Pada musim pandemik ini, pasti susah untuk kita merentas negeri untuk menikmati waktu percutian bersama ahli keluarga sendiri, kan? Terutamanya apabila kita menetap di bandaraya seperti Selangor. Pasti anda akan rasa agak sukar untuk mencari destinasi percutian yang menarik di negeri Darul Ehsan ini. Tetapi, jangan pening-pening lagi hendak cari destinasi percutian dan penginapan di Selangor! Mari kami senaraikan beberapa tempat menarik yang yang boleh anda kunjungi demi tujuan percutian. Yang paling penting, tempat-tempat ini masih tidak diketahui ramai jadi anda boleh bercuti tanpa risiko. Inilah senarai tempat penginapan menarik di Selangor yang bakal memberikan anda satu pengalaman baru.
Tempat penginapan menarik di Selangor
1. Teratak Sofea, Teluk Panglima Garang
Terletak hanya satu jam dari Gombak, Teratak Sofea yang berlokasi di Teluk Panglima Garang ini pasti dapat memberikan anda suasana “balik kampung” dengan rekabentuk rumah tradisional yang diperbuat daripada kayu serta ruang penginapan yang luas untuk berkumpul satu keluarga.
Walaupun konsep Teratak Sofea ini seakan-akan memberi anda suasana berada di kampung halaman dengan konsep dekorasi yang agak kedesaan, ia masih menyediakan kemudahan-kemudahan moden seperti dapur memasak berserta alatannya dan juga mesin membasuh baju, termasuklah kolam mandian peribadi.
2. The Kabin, Pantai Remis
Dengan pelbagai fasiliti seperti bilik karaoke, ruang untuk membuat BBQ serta ruang rehat yang mempunyai meja snuker (Savannah Lounge), The Kabin ini sangat sesuai bagi mereka yang hendak bercuti dan menginap bersama rakan-rakan atau merancang untuk mengeratkan hubungan sesame ahli keluarga dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh destinasi penginapan ini.
Ruang penginapan The Kabin ini menggunakan kontena, tetapi ia masih boleh memberi privasi dan keselamatan kepada para pelancong yang menginap di sini. Yang paling seronok, ia terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan dengan Pantai Remis, jadi bagi mereka yang hendak merasakan pasir pantai di kaki dan angin pantai sepoi-sepoi bahasa, anda bolehlah mengunjungi The Kabin ini sebagai destinasi percutian anda yang seterusnya!
3. Padi Box, Sekinchan
Tahukah anda, Selangor pun mempunyai ruang sawah padi sendiri? Ya, ianya terletak di Sekinchan dan di sini terdapat muzium tentang industri beras tempatan, termasuklah Kilang Pemprosesan Padi. Bayangkan anda menikmati kehijauan pemandangan sawah padi setelah menetap di bandaraya yang sentiasa sibuk dengan bunyi-bunyian kereta serta kesibukan hari-hari bekerja. Pasti semua penat lelah dan tekanan harian anda akan hilang serta-merta!
Jika anda hendak menikmati pemandangan penuh kehijauan, anda bolehlah menginap di Padi Box! Padi Box menawarkan pelbagai jenis bilik-bilik yang berbeza yang bersesuaian bagi anda. Nikmati juga pelbagai aktiviti menarik seperti membawa basikal meronda-ronda kawasan sawah padi, melihat kunang-kunang pada waktu malam serta memberi makanan kepada burung helang di kawasan Sekinchan!
4. Homestay Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar
Hendak menikmati suasana sawah padi tetapi tidak mahu menginap di dalam kontena? Jangan risau, Homestay Kampung Sungai Haji Dorani kan ada! Ya, namanya sedikit panjang tetapi destinasi penginapan ini pasti akan memberikan anda ketenangan dari kehidupan bandaraya.
Rumah tumpangan Haji Dorani ini hanya terletak beberapa jam (dalam 1 ½ ke 2 jam) dari Kuala Lumpur, tetapi suasananya sangat berbeza dengan bandaraya yang sentiasa sibuk dengan kehidupan moden. Bayangkan anda bangun pagi-pagi di rumah ini dan mendengar bunyi burung-burung berkicauan dan bukannya bunyi hon-hon kereta atau motor yang bising serta merasakan angin sejuk semulajadi dan bukan dari pendingin hawa yang boleh mengeringkan kulit anda.
Berehatlah sepuas-puasnya di rumah tumpangan ini dan berkunjunglah ke pasar Sungai Besar sekiranya anda hendak membeli beberapa buah tangan seperti kuih-kuih atau keropok kepada rakan-rakan serta ahli keluarga anda.
5. KV@Kemensah Valley Recreation and Chalet, Ulu Klang
Sukakan aktiviti-aktiviti lasak dan menikmati suasana alam semulajadi? Jadi, Kemensah Valley Recreation and Chalet inilah tempat penginapan yang sesuai bagi anda!
Tetapi, anda perlu tahu terlebih dahulu bahawa ruang penginapan ini tidaklah menyediakan katil dengan tilam yang empuk, malah anda hanya akan tidur di dalam sebuah khemah. Memang betul-betul ekstrem destinasi penginapan kali ini! Walaupun begitu, anda dapat menikmati beberapa aktiviti dan pengalaman yang menyeronokkan ketika berada di kawasan alam semulajadi ini.
Antara aktiviti yang anda boleh lakukan ketika berada di Kemensah ini adalah anda boleh berpengalaman menaiki ATV (all-terrain vehicle) di ATV Adventure Park dan kemudian anda boleh menikmati makan tengahari sambil merendam kaki di dalam sungai yang mengalir di BBQ Lamb KL Kemensah! Jangan risau, saya pernah mencubanya dan saya syorkan anda tidak akan hanyut. Malah, anda akan lebih seronok menikmati makanan yang sangat sedap di kedai ini. Oh ya, anda juga dapat bermain sepuas-puasnya di kawasan air terjun yang mengelilingi kawasan Kemensah ini.
6. Huda’s Haven Resort, Batang Kali
Tempat penginapan menarik di Selangor yang seterusnya ialah Huda’s Haven.
Berlokasi di Batang Kali, Huda’s Haven Resort adalah sebuah tempat penginapan yang terletak jauh di luar bandar jadi anda pasti akan dapat bercuti di sebuah tempat yang menawarkan suasana yang tenang tanpa hiruk-pikuk bandaraya. Yang lagi penting, masih ramai yang tidak mengetahui tentang Huda’s Haven Resort ini jadi di musim pandemik ini, jika anda hendak mengelak dari berada di antara kesibukan orang ramai, inilah pilihan destinati percutian dan penginapan terbaik bagi anda.
Dengan ruang penginapan yang pelbagai, ianya sesuai untuk percutian bersama ahli keluarga atau rakan-rakan yang hendak menikmati waktu bersama. Huda’s Haven Resort juga menawarkan khemah sebagai ruang penginapan bagi mereka yang lebih gemar dengan pengalaman yang lebih ekstrem dan mencabar.
Antara aktiviti-aktiviti yang anda boleh lakukan ketika berada di Huda’s Haven Resort ini adalah menikmati kesejukan air Sungai Hijau atau anda juga boleh berendam di dalam kolam yang menggunakan air semulajadi. Terdapat juga aktiviti lain seperti menaiki bot, mengayuh basikal, pembakaran BBQ dan yang jarang-jarang sekali dapat kita lihat di ruang percutian, aktiviti memancing! Bagi mereka yang lebih gemarkan aktiviti yang tidak terlalu ekstrem, terdapat gelanggan terbuka untuk bermain badminton dan ping-pong serta padang sekiranya anda gemarkan sukan bola atau hendak merancang pelbagai aktiviti kekeluargaan. Bagi mereka yang gemar menyanyi, tentulah Huda’s Haven Resort menyediakan ruangan karaoke juga bagi anda!
Akhir kata
Ruang percutian dan penginapan yang telah saya senaraikan ini bukan sahaja sesuai bagi mereka yang hendak lari dari hiruk-pikuk bandaraya tetapi bagi mereka yang rindukan suasana kampung dan/atau hendak menikmati berada berdekatan alam semulajadi tetapi masih mahu menikmati pelbagai aktiviti menyeronokkan yang boleh merapatkan hubungan antara mereka dan ahli keluarga atau rakan-rakan yang bercuti bersama.
Kalau belum ada bajet untuk percutian kali ini, saya sarankan anda baca tempat menarik di Selangor yang percuma. Siapa kata kita tak boleh bergembira?
3 Comments
article dah ok tapi boleh ke nanti sertakan gambar sekali..baru ada feel nak baca..hehe
Setuju
PLEASE CHECK FOR MY FAMILY HOMESTAY AT SEKINCHAN
9 ADULTS
3 KIDS AGED 2, 3 AND 4
2 DAYS 1 NIGHT
9 ADULTS N 3 KIDS
DATE FROM 26 DEC 2021 ONWARDS