4 Tempat Menarik di Mersing

Tempat menarik di Mersing merangkumi pelbagai tarikan pelancongan, budaya, dan semula jadi yang menjadikan daerah ini destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia. Mersing terkenal sebagai pintu masuk utama ke pulau-pulau indah di Laut China Selatan, seperti Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Pemanggil, dan Pulau Tinggi. Pulau-pulau ini menawarkan pantai berpasir putih, air laut yang jernih, serta aktiviti seperti snorkeling dan menyelam skuba.

Di daratan, pengunjung boleh menikmati keindahan Pantai Air Papan, yang terkenal dengan pasir putih dan pemandangan laut yang memukau. Bagi pencinta alam, Taman Negara Endau-Rompin menawarkan pengalaman mendaki dan meneroka hutan hujan tropika yang kaya dengan flora dan fauna. Muzium Mersing pula mempamerkan sejarah dan budaya tempatan, memberikan wawasan mendalam tentang warisan daerah ini.

Lokasi Pelancongan dan Aktiviti Menarik di Mersing

Mersing terletak di pantai timur laut negeri Johor dan merupakan salah satu daripada sepuluh daerah di negeri tersebut. Dengan keluasan sekitar 2,838 km², Mersing adalah daerah ketiga terbesar di Johor, merangkumi 14.6% daripada keluasan negeri ini. Daerah ini terdiri daripada 14 mukim, termasuk Mersing, Jemaluang, dan Tenggaroh.

Topografi Mersing merangkumi kawasan pesisir pantai, dataran rendah, dan kawasan berbukit, dengan hutan hujan tropika yang meliputi sebahagian besar kawasan pedalaman. Iklimnya adalah tropika lembap dengan suhu purata antara 23°C hingga 32°C sepanjang tahun. Mersing juga terkenal dengan pelabuhan nelayan dan sebagai titik permulaan bagi feri ke pulau-pulau berdekatan.

1. Pantai Air Papan

Pantai Air Papan terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Mersing. Keindahan pasir putih, pantai yang luas, serta laut kebiruan menjadikan Pantai Air Papan lokasi strategik untuk menikmati panorama matahari terbenam, atau sekadar bersiar-siar untuk melapangkan minda. Jika anda ingin mandi-manda di sini, kemudahan seperti tandas, tempat mandi awam, dan surau turut tersedia. Pantai Air Papan ialah destinasi yang terkenal di Mersing dan sangat meriah pada hujung minggu. Ramai yang memilih lokasi ini untuk mencuba aktiviti seperti ATV, sukan rekreasi air, berkelah dan berkhemah. Ada banyak gerai-gerai makanan di sini, menjadikan Pantai Air Papan destinasi sempurna untuk menghabiskan waktu lapang anda.

 

2. Melawat Masjid Jamek Bandar Mersing

Dibina pada tahun 1956, Masjid Jamek Bandar Mersing berkonsepkan gabungan seni bina Afrika Selatan dan Melayu tradisional. Pada awal tahun 2021, masjid ini telah diubahsuai untuk menambah bilangan jemaah dan memberi keselesaan kepada pengunjung. Masjid yang tersergam indah dengan tema warna biru dan putih ini mampu memuatkan sekitar enam ratus Jemaah pada satu-satu masa. Selain seni bina yang mengagumkan, lokasi Masjid Jamek yang terletak di atas bukit membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan Laut China Selatan, kawasan perkampungan dan kepulauan sekitar bandar Mersing.

 

3. Gunung Arong

Bagi penggemar alam sekitar atau yang sukakan aktiviti hiking, anda wajib berkunjung ke Gunung Arong. Puncak Gunung Arong setinggi 240 meter ini merupakan antara yang terendah di Johor. Ia mengambil masa sekitar satu setengah ke tiga jam untuk naik dan turun dari gunung ini. Denai juga ditanda dan pendakian tidak begitu sukar, sesuai bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki gunung. Setelah sampai ke puncak, pendaki pasti terpukau dengan keindahan pemandangan dari menara pemerhatian. Bagi yang berminat mengunjungi Gunung Arong, pastikan anda mendapatkan permit kebenaran mendaki dari Pejabat Renj Endau.

 

4. Laman Samudera

Sebagai inisiatif meningkatkan ekonomi pelancongan di Daerah Mersing, Jalan Abu Bakar kini telah dinaik taraf dan dihiasi pelbagai lukisan mural bertemakan lautan, Taman Negara dan hutan. Terletak berhampiran dengan jeti penumpang Mersing, lorong ini wajib dikunjungi peminat fotografi dan bangunan-bangunan lama. Sementara menunggu ketibaan feri ke destinasi pulau yang dituju, pengunjung boleh merakam gambar dengan mural karya anak tempatan sebagai kenangan berkunjung ke bandar Mersing.

Leave a Comment