Taiping yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Ipoh ialah bandar yang kaya dengan sejarah. Dahulunya berfungsi sebagai pusat perlombongan bijih timah dan ibu negeri Perak, kesan pembangunan yang bercirikan seni bina kolonial British masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan pentadbiran lama. Jika anda berkunjung ke Taiping, jangan lepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di Taiping ini.
Tempat menarik di Taiping
1. Taman Tasik Taiping
Tidak sah kunjungan ke Taiping jika tidak pergi ke Taman Tasik Taiping. Taman tasik ini menjadi simbolik kekayaan timah negeri Perak kerana ianya didirikan atas tapak perlombongan bijih timah seluas 160 ekar.
Taman ini dilengkapi kemudahan seperti trek jogging, gelanggang kasut roda, dan taman permainan khusus untuk kunjungan seisi keluarga. Disebabkan taburan hujan yang tinggi di Taiping, terdapat banyak tasik teratai yang luas dan pokok angsana besar dan rendang di sini.
Panorama yang indah ini boleh dinikmati semasa bersiar-siar di sekitar taman dan menjadi latar belakang sempurna untuk menangkap gambar yang cantik.
2. Bukit Larut
Bagi yang ingin mencabar ketahanan fizikal dan suka mendaki gunung, bolehlah mendaki Bukit Larut. Pendakian sejauh 10 kilometer ini kebanyakannya melalui jalan berturap hingga ke puncak bukit dan mengambil kira-kira tujuh jam untuk dihabiskan.
Anda juga boleh menaiki kereta pacuan empat roda yang tersedia di sini pada harga yang berpatutan. Terdapat beberapa lokasi unik yang akan ditempuhi sepanjang pendakian seperti air terjun, titian gantung, Kuil Sri Kaliamman dan Menara Telekom.
Pengunjung boleh menikmati kehijauan alam sekitar, suhu yang sejuk, dan pemandangan di bandar Taiping sambil beriadah dan menenangkan minda.
3. Spritzer Ecopark
Spritzer Ecopark ialah sebuah taman yang direka khas untuk memberikan pengalaman menyeronokkan sambil menambah ilmu pengetahuan bagi seisi keluarga.
Taman ini bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan alam sekitar dan penghargaan kepada sejarah bandar Taiping.
Pengunjung dapat belajar bagaimana air mineral diproses, bermain golf, memberi makan kepada ikan di sungai, menghasilkan kraf tangan daripada bahan terpakai dan macam-macam lagi.
Setelah seharian menerokai taman ini, anda boleh menikmati hidangan di kafe dan singgah di kedai cenderamata sebelum pulang.
4. Zoo Taiping
Terletak berhampiran Taman Tasik Taiping di kaki Bukit Larut, Zoo Taiping memberi pengalaman yang berbeza bagi peminat-peminat haiwan.
Berbanding dengan zoo lain, Zoo Taiping mempamerkan haiwan dengan konsep terbuka dan menempatkan haiwan dalam habitatnya yang asal. Dengan keluasan 36 ekar, lebih seribu haiwan ditempatkan di sini seperti singa, gajah, badak air, orang utan, dan banyak lagi.
Zoo Taiping turut terkenal dengan Safari Malam di mana pengunjung dapat melihat aktiviti haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam.
5. Muzium Perak
Muzium Perak ialah muzium tertua di Malaysia dan terletak di kaki Bukit Larut. Selain pameran tentang sejarah negeri Perak, Muzium Perak turut menyimpan artifak, objek kebudayaan, serta binatang purba.
Terdapat empat galeri di muzium ini, iaitu galeri alam sekitar, kebudayaan, tanah liat dan orang asli, masing-masing menempatkan simpanan yang unik.
Contohnya, produk tradisi seperti labu sayung, pasu bucung, buyung, dan anyaman mengkuang ibunda Sultan Perak.
Walaupun masih teguh berdiri sejak tahun 1883, Muzium Perak dipelihara dengan sangat baik dan pasti mampu memuaskan hati para pengunjung.
Tempat menarik di Perak yang lain
Taiping hanyalah salah satu lokasi atau destinasi yang perlu dikunjungi di Perak.
Sebenarnya, ada banyak lagi tempat menarik di Perak. Terlalu panjang untuk kami senaraikan di sini. Jadi, jemput langkau artikel ini untuk dapatkan maklumat lengkap mengenai percutian di tempat-tempat lain di negeri Perak:
#1 Dalam Bahasa Melayu:
- Gopeng: Tempat menarik di Gopeng
#2 Dalam Bahasa Inggeris
- Kampar: Things to do in Kampar
Akhir kata
Kepelbagaian tempat menarik di Taiping menjadikannya bandar yang wajib anda kunjungi jika ke Perak. Tempat-tempat ini juga terletak berhampiran satu sama lain dan amat mudah untuk merancang masa lapang anda bersama yang tersayang di sini.
Diharapkan agar perkongsian tempat menarik di Taiping ini akan memberikan anda pengalaman yang baru.