Kebiasaannya, jika kita ingin melihat sawah padi di Selangor, Sekinchan antara tempat yang popular dengan keindahannya. Tahukah anda, terdapat banyak juga tempat menarik di Sungai Besar, iaitu jiran kepada Sekinchan?

Di sini kami akan kongsikan tempat menarik di Sungai Besar untuk anda terokai. Tak cukup sehari di sini. Kami sarankan agar anda meluangkan masa sekurang-kurangnya dua hari untuk percutian anda ke Sungai Besar.

Jalan-jalan di Pasar Petang Sungai Haji Dorani

Antara tempat menarik di Sungai Besar ialah Pasar Petang Sungai Haji Dorani. Apa yang bestnya pasar petang ini? Pasar ini menawarkan pelbagai jenis makanan laut yang segar yang terus dihantar oleh nelayan seperti ikan, kerang, kepah, mentarang, pepahat, dan banyak lagi.

Pasar ini dibuka setiap hari bermula 4 petang. Bukan sahaja bahan mentah, makanan seperti kuih-muih, barang dapur serta makanan tempatan turut dijual di sini. Anda boleh merasai makanan tempatan di sini yang unik kerana kebanyakan penduduk di sini berasal dari Jawa.

Pasti seronok berjalan-jalan sambil menikmati makanan yang sedap dan jarang ditemui.

Beli coklat di Laman Choco

Kalau anda pernah makan Choco Jar, mesti akan suka Laman Choco ini. Mereka menghasilkan banyak produk berasaskan coklat di Laman Choco.

Semua produk mereka dibuat dengan coklat premium dan bahan-bahan berkualiti tinggi.

Jika anda seorang pencinta coklat, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba produk-produk lazat dari Laman Choco!

Ambil gambar untuk Instagram di Laman Tebu Aidil

Lokasi ini tidak jauh dari Sungai Haji Dorani. Kalau anda dari jalan besar Kuala Selangor – Teluk Intan, anda perlu pergi ke hujung jalan Sungai Haji Dorani.

Laman Tebu Aidil, sesuai dengan nama yang diberi, memang cantik dengan pokok tebu yang disusun cantik. Ramai yang datang ke sini untuk ambil gambar dan diletakkan ke dalam Instagram atau Facebook masing-masing.

Selain lokasi yang Instagrammable, anda juga boleh duduk sebentar untuk hirup air tebu hitam segar. Air tebu ini bukan air tebu hijau yang kita biasa beli di pasar malam. Air tebu hitam ini kurang manis dan lebih sedap. Kalau lapar, ada banyak juga makanan yang dijual di sini.

Terlalu ramai pengunjung yang datang pada hujung minggu. Jadi, memang susah untuk dapat tempat untuk meletakkan kenderaan kerana lokasi Laman Tebu Aidil betul-betul berada di tepi jalan yang agak sibuk. Berkenaan dengan parking, kami sarankan anda jangan parking di tepi jalan kerana ia membahayakan. Ada lot parking yang disediakan oleh pihak Laman Tebu Aidil.

Buat aktiviti di Dorani Homestay

Seterusnya, antara tempat menarik di Sungai Besar ini ialah Haji Dorani Homestay.

Di sini , anda akan merasai pengalaman dan suasana yang sudah semakin hilang ditelan kemodenan. Dengan penduduk yang rata-ratanya dari Kaum Jawa, pelbagai aktiviti kebudayaan seperti kuda kepang, barongan, gamelan dan kompang jawa semestinya rugi jika anda lepaskan.

Pelbagai aktiviti akan disediakan jika anda menginap di Haji Dorani Homestay. Antaranya ialah mewarna batik canting, menumbuk padi, mengagau ikan, dan bermain layang-layang. Terdapat banyak lagi aktiviti menarik di sini dan anda juga akan menginap bersama keluarga angkat anda.

Jika anda menginap di Dorani Homestay, anda akan disajikan dengan makanan ala kampung yang pasti akan membangkitkan selera anda. Terdapat beberapa pakej yang disediakan, dan anda boleh lihat sini untuk membuat perancangan bercuti di Haji Dorani Homestay.

Makan di Burger STOP Western & Grill

Jangan ingat orang kampung hanya makan lauk kampung sahaja. Di Burger STOP Western & Grill ini, ada banyak hidangan western yang disediakan seperti burger, spaghetti, carbonara, chicken chop dan lain-lain lagi.

Namun, bukan itu yang kami mahu kongsi. Yang lebih penting lagi, di Burger STOP Western & Grill, suasana kedai tepi jalan ini sangat mendamaikan. Sambil menikmati makanan, anda akan dihidangkan dengan pemandangan sawah padi yang sangat indah.

Terlalu kontra di situ bukan? Makan makanan western, tapi di tepi sawah padi. Nampak macam tak kena, tapi itulah kelainan yang dibawa oleh Burger STOP Western & Grill.

Minum-minum di KopiKupi Kampung

Lagi lokasi menenangkan yang anda boleh makan sambil menikmati pemandangan sawah padi ialah KopiKupi Kampung yang terletak di Sungai Limau.

Apa yang menarik dengan KopiKupi Kampung ialah ia dibina dengan rekabentuk rumah kampung dua tinggal yang berasaskan kayu. Masuk sahaja simpang, kita boleh nampak kedai yang unik ini.

Kepada peminat kopi seperti Starbucks, Coffee Bean dan kafe hipster yang besepah di Kuala Lumpur, anda boleh rasai sendiri kelainan kopi di KopiKupi Kampung. Yang penting, bukan latte atau cappucino sahaja dihidangkan, kopi kampung pun ada juga.

Lawati Nisah Agro Farm

Jika anda inginkan kelainan semasa percutian anda di Sungai Besar, anda boleh lawati Nisah Agro Farm.

Tempat ini merupakan ladang cendawan tiram putih dan yang uniknya, penanaman cendawan ini menggunakan padi jerami yang telah dikeringkan dan mengambil masa yang lebih singkat untuk tumbuh.

Tempat ini merupakan tempat untuk anda menimba pengalaman dan boleh belajar banyak perkara yang baru di sini.

Untuk ke sini, anda boleh menggunakan Google Maps ini.

Jalan-jalan petang di Pasar Jerami Ban Kenal

Pasar ini antara tempat menarik di Sungai Besar yang terkenal kerana keunikan tempatnya.

Anda boleh membeli belah barangan kampung di sini sambil menikmati pemandangan padi yang indah.

Tarikan paling utama di sini ialah adanya jerami yang disusun tinggi. Ramai pengunjung akan beratur dan bergilir-gilir mengambil gambar dengan latar belakang jerami ini.

Biasanya, jerami-jerami besar begini kita hanya dapat lihat di luar negara. Tak sangka di Sungai Besar juga ada jerami sebegini.

Antara lain, apabila tiba musim padi, anda akan teruja menyaksikan orang-orang yang dihias berbagai rupa oleh penduduk kampung.

Orang-orang ini bertujuan untuk menghalau burung yang ingin memakan padi. Pasti seronok bergambar bersama orang-orang di sini.

Sambil membeli belah di pasar jerami, anda juga boleh menikmati makanan di tepi bendang. Pasti pengalaman ini memberi keriangan dan kedamaian di hati anda.

Jangan lupa bergambar sepuas-puasnya di sini, banyak port untuk anda berselfie berlatarbelakangkan pemandangan yang indah.

Makan makanan eksotik di Restoran Lembah Bernam

Dah puas makan makanan biasa, sesekali nak juga rasa makanan eksotik, disinilah tempat yang harus anda tujui. Selain sedap, makanan yang disajikan juga memang makanan eksotik.

Antara menu eksotik yang disajikan ialah rendang landak, rusa masak lemak, rusa masak kicap, ikan baung masak tempoyak pelanduk masak kari, dan macam-macam lagi.

Tempat ini juga menjadi tempat persinggahan kegemaran konvoi motor atau basikal.

Bagi anda yang kurang familiar dengan daging rusa, landak, dan pelanduk, anda boleh cuba pengalaman menikmati daging rusa masak lada hitam atau rendang landak.

Ya, memang makanan eksotik ini pelik.

Selain itu, terdapat variasi masakan lain seperti sup, masak kicap, goreng, berlada, dan lemak cili api untuk hidangan ini.

Anda juga boleh try daging landak yang lembut dan manis ataupun sup belut.

Namun, jika hidangan tersebut kurang sesuai dengan selera anda meskipun sangat digemari oleh pelanggan, ada menu biasa seperti sambal udang galah, ayam kampung, atau berbagai pilihan ikan.

Untuk merasai makanan eksotik dan sedap ini, anda boleh gunakan Google Maps ini. Jangan lupa singgah jika anda ke Sungai Besar, pasti menjadi pengalaman menarik untuk anda merasai makanan eksotik di sini.

Shopping di kilang Nata de Coco

Siapa suka makan nata de coco semasa masih kecil? Di sinilah tempat pembuatan manisan kegemaran kita semasa kecil. Rupa-rupanya kita boleh melawat kilang ini dan melihat sendiri cara pembuatannya.

Selain daripada itu, anda juga boleh membeli nata de coco disini dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran. Jika anda bernasib baik, anda akan mendapat perisa istimewa iaitu perisa nanas. Terdapat 5 perisa nata de  coco ini iaitu epal hijau, laici, mangga, strawberi dan anggur.

Anda boleh mendapatkan info lanjut mengenai mereka di sini.

Minum dulu di Cendol Atok

Selepas anda membeli belah nata de coco, anda boleh basahkan tekak di Cendol Atok. Lokasinya hanya di sebelah Kilang Nata de Coco tadi.

Walaupun kedai ini kedai cendol, menu lain seperti Western Food turut disediakan. Kalau anda lapar pun boleh singgah di kedai ini.

Anda boleh hubungi kedai ini terlebih dahulu di sini sebelum berkunjung.

Lawati Masjid Jin Panchang Bedena

Misteri Masjid Jin ini telah menjadikan ia antara tempat menarik di Sungai Besar. Pelbagai cerita mistik telah diceritakan berlaku di sini sejak dari pembinaannya pada 1905. Terdapat beberapa cerita mengatakan telah terdengar suara mengaji dan berzikir namun tiada sesiapa di masjid itu.

Antara cerita mistik itu juga, jika anda tertidur di dalam masjid itu, kemungkinan anda akan ‘dialihkan’ dari tempat tidur asal. Misteri betul!

Namun, selain daripada cerita mistik, senibina masjid ini juga turut menjadi tumpuan pengunjung. Pembuatannya daripada kayu menampilkan keistimewaannya di samping kubahnya yang berbentuk seperti piramid.

Lokasinya di sini jika anda ingin menziarahi masjid ini.

Bermalam di D’Sawah Homestay

Jika dahulu melalui sawah bendang dalam perjalanan, syoknya rasa jika ada rumah di sini. Sekarang anda boleh merasa pengalaman duduk di tengah bendang di D’Sawah Homestay ini. Terletak di tengah bendang, anda pasti dapat merasai kampung vibe apabila menginap di sini.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah bermain layang-layang, memancing ikan, berbasikal, dan melihat aktiviti bersawah. Sungguh tenang dan damai di sini. Anda juga boleh menikmati makan tengah hari di tepi sawah di tempat yang disediakan.

Pada waktu malam pula, anda boleh menghayati keindahan langit malam yang luas dan berbintang. Angin yang bertiup pasti akan membuat diri anda bagai di langit. Anda boleh membuat tempahan dan pertanyaan di sini untuk memastikan percutian anda berjalan lancar.

Bermalam di MyDesaStay

Seterusnya, tempat menarik di Sungai Besar, Selangor ini ialah MyDesaStay. Ia adalah sebuah penginapan yang berkonsepkan Community Based Tourism.

Jika anda mengimpikan percutian yang tenang, seronok dan damai di sini lah tempatnya.

Homestay ini menyediakan beberapa jenis bilik dan semuanya berlainan mengikut konsepnya. Antaranya Rumah Kayu, Rumah Atas Kolam, Rumah Nordin Ahmad, Rumah Kontena, dan Rumah Menara.

Di sini juga tersedia beberapa kemudahan untuk anda seperti set bbq, dapur luar, surau, dobi, dan kolam renang. Kawasan ini juga tidak jauh dari pekan Sungai Besar jika anda ada urusan lain.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, anda boleh klik sini.

Makan-makan di Restoran Kuala Kurau

Jika anda inginkan cucur udang yang sedap, anda harus datang ke sini.

Serius, sangat sedap dimakan panas-panas sambil dicicah dengan kuah kacang resepi turun temurun. Fuh!

Cucur udang menjadi pilihan utama pengunjung kerana rasanya yang memang sedap. Bukan itu sahaja, terdapat juga pilihan lain seperti laksa, char kuey teow dan banyak lagi.

Restoran ini menjadi pilihan kerana lokasinya yang berada di tengah pekan dan berdekatan dengan kedai membeli-belah. Anda boleh menggunakan Google Maps ini untuk mencari Restoran Kuala Kurau.

Singgah makan di Warong Lalapan

Jika anda datang ke Sungai Besar, tidak lengkap percutian anda jika anda tidak singgah ke restoran ini.

Restoran ini menyajikan hidangan makanan tengahari dan malam mengikut citarasa nusantara jawa timur asli.

Antara menu istimewa yang ditawarkan di sini ialah Set Kambing Bakar Jember, Set Gulai Kambing (Nasi putih, kambing bakar/gulai kambing, sup bakso dan sambal penyet).

Set Warong Lalapan Setalam dan Set Mini Couple yang menghimpunkan menu Lapan dalam satu sajian turut menjadi hidangan utama di sini.

Jom lihat antara menu yang disediakan, atau untuk tempahan, klik sini.

Cuba makanan Jawa di Lela Best Nasi Ambeng

Jom nikmati kelazatan nasi ambeng di Restoran Lela Nasi Ambeng, iaitu satu hidangan tradisi masyarakat Jawa yang pasti menepati selera anda.

Nasi ambeng merupakan hidangan yang terdiri daripada nasi putih yang disajikan bersama pelbagai lauk-pauk seperti ayam goreng, sambal goreng, tempe, tahu, serunding kelapa, telur rebus, dan sayur.

Setiap lauk-pauk ini dibuat menggunakan bahan-bahan segar dan rempah-rempah tradisional, yang menciptakan rasa yang unik dan menggugah selera.

Kombinasi rasa pedas, manis, dan masam menjadikan nasi ambeng sebagai hidangan yang seimbang dan menyelerakan.

Restoran Lela Nasi Ambeng terkenal dengan hidangannya yang lazat, dan ini menjadikannya destinasi makan yang sesuai untuk anda dan keluarga.

Beli pakaian murah di Pasaraya Ekonomi Yang Yang

Pasaraya Ekonomi Yang Yang ini merupakan destinasi utama bagi mereka yang mencari pakaian dengan harga berpatutan. Menawarkan produk pakaian dan kain pada harga borong, Pasaraya Ekonomi Yang Yang ini dikendalikan oleh peniaga Cina.

Banyak orang dari luar kawasan sudi melawat pasaraya ini kerana harganya yang berbaloi, serta menjual pelbagai jenis pakaian dan barangan rumah seperti karpet, set tilam dan lain-lain lagi.

Pasaraya Ekonomi Yang Yang ini buka setiap hari, bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam, menjadikan ia sebuah pilihan yang sesuai untuk memenuhi keperluan membeli-belah anda.

Akhir kata

Banyak juga tempat menarik di Sungai Besar, Selangor ini. Kalau anda dah tak tahu nak kemana untuk bercuti sekitar Selangor, bolehlah anda menuju ke sini.

Jika anda mencari tempat penginapan menarik di Selangor untuk percutian anda, boleh klik sini.

Selamat bercuti!

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply