Bandar Muar yang sinonim dengan Syed Saddiq merupakan salah satu bandar yang sangat menarik untuk dilawati jika anda bercuti ke Johor. Kalau tak tahu nak buat apa di Muar, kami akan kongsikan beberapa tempat menarik di Muar untuk anda lawati. Tak jauh pun dari Melaka.

Destinasi-destinasi menarik di Muar ini memang wajib anda kunjungi. Sangat untuk bergambar dan letak dalam Instagram untuk tontonan kawan-kawan sambil makan makanan yang sedap-sedap.

Tempat menarik di Muar

1. Ladang Herba Nasuha

Kebiasannya ramai orang beranggapan ladang herba merupakan tempat yang kurang menarik untuk dilawati. Ladang Herba Nasuha mampu mengubah persepsi orang ramai yang mengatakan tempat ini kurang menarik. Ladang yang berkeluasan 3200 hektar ini pasti akan memukau anda.

Mempunyai kira-kira 150 spesis rempah dan herba dari seluruh dunia, pengunjung pasti akan mempelajari pelbagai ilmu baru yang bermanfaat. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berkhemak, berkayak, merentas hutan dan banyak lagi.

Antara tarikan popular di sini ialah Restoran Herba yang mempunyai seni bina dan hiasan dalaman yang sangat unik dan cantik. Pastikan anda dan keluarga menjamu selera di sini dengan pelbagai menu istimewa yang ditawarkan seperti asam pedas kambing Barbados, sup herba dan beriani herba ayam.

Untuk masuk ke Ladang Herba Nasuha ini juga tiada sebarang bayaran yang dikenakan. Terletak di Jalan Pagoh-Muar, anda boleh lihat lokasinya di sini.

 

2. Kolam Air Panas Sg Gersik

Setelah penat berjalan seharian atau sekadar ingin menghilangkan lenguh kaki, anda boleh berkunjung ke kolam air panas ini. Kolam air panas dikatakan memberi beberapa manfaat kepada pengunjung seperti membantu mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, membuka pori di wajah dan menyembuhkan penyakit kulit.

Terdapat beberapa jenis kolam air panas yang bersuhu 50 hingga 70 darjah celcius untuk anda cuba bersama keluarga. Jika ada yang tidak sukakan panas, terdapat juga kolam untuk kanak-kanak mandi pada suhu air yang normal. Kolam di sini juga menyediakan ruang yang dilengkapi bumbung, jadi tidaklah begitu panas jika anda berkunjung pada waktu siang.

Yang menariknya di sini, kemudahan WIFI turut disediakan untuk pengunjung. Kemudahan asas lain turut disediakan seperti surau, bilik mandi dan persalinan, chalet, pondok wakaf dan taman permainan kanak-kanak. Tiada bayaran yang dikenakan untuk masuk ke sini. Anda digalakkan untuk menghubungi 06-9881316 terlebih dahulu untuk memastikan waktu operasi mereka.

 

3. Menara Jam Muar

Antara tempat menarik di Muar ialah Menara Jam Muar. Menara ini terletak di dalam sebuah taman yang dikenali sebagai Padang Nyiru. Uniknya menara jam ini ialah seni binanya yang berasaskan seni bina Inggeris lama. Tempat ini sering menjadi tumpuan kerana ramai yang ingin mengambil gambar di sini.

Anda boleh membawa keluarga anda ke sini untuk mengambil angin dan berjalan-jalan di sekitarnya. Sangat sesuai jika anda tidak tahu nak kemana jika bercuti di Muar.

 

4. Pantai Leka

Jika berada di kampung nelayan, pasti akan ada satu perasaan yang damai dan tenang di hati. Pada yang ingin mencari ketenangan hati, boleh berkunjung ke Pantai Leka yang terletak di Parit Jawa. Pantai Leka ini di dalam perkampungan nelayan dan mempunyai jeti yang panjang dan mempunyai pemandangan yang cantik.

Anda juga pasti sukakan tempat ini lebih-lebih lagi jika berkunjung pada waktu petang. Keindahan yang dipancarkan dari matahari terbenam pasti akan memukau anda. Pantai ini juga merupakan kawasan perlindungan burung di mana burung berhijrah, jika anda minat mengambil gambar dan bird watching, boleh juga berkunjung ke sini.

Terdapat juga beberapa restoran asam pedas di medan selera di sini. Anda boleh menikmati hidangan di sini sambil melihat pemandangan Selat Melaka.

 

5. Maharani Uptown

Untuk kaki shopping, atau window shopping jangan lupa berkunjung ke Maharani Uptown. Seperti Uptown lain, di sini merupakan syurga bagi anda yang sukakan membeli-belah dengan harga yang berpatutan. Anda boleh mencari pelbagai jenis barangan untuk dijadikan sebagai ole-ole dari Muar. Jika anda lapar setelah penat berjalan, di sini juga terdapat banyak kedai makan dan gerai jualan yang menjual pelbagai jenis makanan.

Maharani Uptown ini terletak di Jalan Majidi di Pekan Muar. Jika anda menginap berhampiran sini, jangan lepaskan peluang untuk membeli belah di Maharani Uptown.

 

6. Bukit Mor

Bagi peminat sukan mendaki, anda boleh menjejakkan kaki dan menawan puncak Bukit Mor. Laluannya mengambil masa lebih kurang selama 1 jam dan tidak berapa sukar. Bagi pendaki tegar, laluan ini agak mudah dengan ketinggian 227 meter, tetapi boleh juga untuk sekadar latihan dan mengeluarkan peluh. Kanak-kanak juga ramai yang datang ke sini untuk mendaki. Setelah sampai ke puncak, anda akan disajikan dengan pemandangan yang cantik dari alam semulajadi.

Untuk ke sini, anda boleh menggunakan jalan yang diberikan. Perjalanan untuk ke bukit ini mengambil kira-kira 25 minit dari Pekan Muar. Pastikan juga anda membawa bekal air dan makanan ringan untuk pendakian anda.

 

7. Taman Tanjung Ketapang

Khas untuk anda yang sukakan pemandangan matahari terbenam, anda harus berkunjung ke Taman Tanjung Ketapang. Taman ini terletak di tepi Sungai Muar. Kebanyakan orang datang ke sini untuk berjogging dan menikmati pemandangan matahari terbenam. Sepanjang taman ini terletak beberapa biji bangku untuk anda bersantai. Anda juga boleh membeli makanan ringan yang dijual di gerai di sini.

Jika anda singgah ke sini, jangan lupa untuk mengambil gambar anda bersama pemandangan matahari terbenam. Diingatkan supaya berhati-hati jika anda datang ke sini kerana terdapat monyet yang berkeliaran. Takut makanan anda akan dicuri pula.

 

8. Masjid Jamek Sultan Ibrahim

Seterusnya, tempat menarik di Muar yang wajib anda kunjungi ialah Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Tahukah anda, masjid ini sudah berusia hampir satu abad? Masjid ini ibarat permata dan turut menjadi mercu tanda kepada Bandar Muar  yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani ini. Seni bina masjid ini juga sangat menarik dan unik hasil gabungan elemen pertukangan Melayu, Turki dan Inggeris. Jika dilihat dari luar, bentuk rupa masjid ini juga seperti lebih kepada bangunan pentadbiran berbanding masjid lain.

Selain tempat untuk menunaikan ibadah, masjid ini turut menyediakan beberapa perkhidmatan lain untuk umat Islam. Antaranya ialah masjid ini memiliki pusat pelupusan Al-Quran dan kitab lama, galeri khat dan turut menyelia dan membiayai Pusat Pengajian Al-Quran dan Pusat Taranum.

Antara keunikan masjid ini juga ialah masjid ini mempunyai satu set jam matahari yang sudah jarang dilihat kini. Jam ini juga masih berfungsi, jadi anda harus datang ke sini untuk melawat jam ini juga, jangan lupa untuk mengambil gambar okay!

 

9. Kedai Kopi Sai Kee 434

Bagi pencinta kopi dan peminat kedai yang rare atau hipster, anda kena berkunjung ke kedai kopi ini. Kopi 434 ini antara kopi yang terkenal di kalangan pencinta kopi. Sebelum ini, kedai ini hanya menjual kopi sahaja, namun sudah diluaskan menjadi kafe. Hiasan dalaman kafe yang ala-ala vintage ini juga pasti mengkagumkan anda.

Antara kopi yang bestseller di sini ialah Kopi Musang, Blue Mountain Coffee, Elephant Beans Coffee dan Queen’s Coffee. Hidangan ala kopitiam juga turut disediakan seperti aneka roti bakar. Tidak lupa juga, menu citarasa Muar yang terdapat di sini seperti Mee Bandung Muar dan Nasi Lemak Otak-otak Muar. Pastikan anda merasa menu ini, rugi jika tak rasa.

Selain itu, kedai ini juga turut menjual pek rempah dan herba segera seperti pes mi bandung, laksa Johor dan soto. Bolehlah anda membawa pulang sebagai cenderamata untuk jiran anda. Biskut dan roti yang rare juga ada dijual di sini.

 

10. Street Art Muar

Street Art di Malaysia sudah mula mendapat tempat di kalangan rakyat tempatan. Di Muar sahaja terdapat lebih 30 mural yang menarik dan harus anda lawati. Street Art Muar terletak di beberapa tempat iaitu:

  • Muar Cultural Walk (Jalan Meriam)
  • The Great Mural of Muar (Jalan Arab)
  • Mural: The Bond (Jalan Yahya)
  • Maharani Lane (Jalan Sisi)

Selain mural yang mempamerkan budaya masyarakat tempatan, beberapa mural turut menggunakan teknik 3D yang memberikan hasil yang lebih menarik! Antaranya seperti mural jerung, gerai otak-otak dan lukisan harimau.

Salah satu lukisan mural yang popular di sini ialah ‘The Loving Sister’. Mural ini diiktiraf sebagai mural terbesar oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2016. Mural ini mendapat perhatian bukan sahaja kerana saiznya, namun wajah dua beradik perempuan ini berjaya menyentuh emosi ramai pengunjung.

 

11. Taman Tanjung Emas

Terletak di muara Sungai Muar, Taman Tanjung Emas merupakan salah satu tempat menarik di Muar untuk anda. Sangat sesuai untuk anda yang ingin menikmati pemandangan Sungai Muar yang indah dan permai. Terdapat laluan pejalan kaki yang dibina sepanjang taman ini untuk anda bersiar-siar.

Menariknya di sini ialah, terdapat ‘Muar River Cruise’ di Jeti Tanjung Emas yang akan membawa anda menghayati pemandangan bandar Muar dari Sungai Muar. Kapal ini akan membawa anda bersiar-siar selama lebih kurang 30 minit.

Waktu malam juga sangat seronok di sini. Terdapat pelbagai arca replika yang dihiasi lampu berwarna-warni, di mana sangat cantik untuk anda mengambil gambar. Gerai menjual makanan juga ada untuk anda mengisi perut sambil berjalan-jalan. Pastikan anda berkunjung ke sini jika anda bercuti di Muar!

 

12. Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Jika anda ke Muar, jangan lupa singgah ke Medan Ikan Bakar Sabak Awor untuk merasai kesegaran dan kesedapan ikan bakar di sini. Uniknya di sini, terdapat menara tinjau yang anda boleh pergi untuk menikmati pemandangan Sungai Muar. Boleh pergi menikmati angin sungai sebelum atau selepas makan.

Berkonsepkan medan selera, terdapat pelbagai gerai di bawah satu bumbung dan anda boleh memilih mana-mana restoran yang anda inginkan mengikut citarasa anda. Anda tidak perlu risaukan isu parking kerana di sini terdapat ruang letak kereta yang luas dan mencukupi.

Seperti medan ikan bakar yang lain, terdapat pelbagai jenis ikan dan seafood yang ditawarkan di sini. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan, dengan servis yang pantas. Medan ini dibuka setiap hari bermula jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Anda boleh menghubungi 012-7676219 untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Lokasinya terletak di Jalan Cahaya, Sabak Awor.

 

13. Mee Bandung Muar

Jika ke Muar, menu wajib dicuba mestilah Mee Bandung Muar! Di sini terdapat banyak kedai yang menjual hidangan tempatan ini. Salah satu restoran yang terkenal ialah Restoran Mee Bandung Muar. Dengan rasanya yang asli, pengunjung pasti akan terliur dengan rasanya. Harga  di sini juga sangat murah!

Walaupun harga di restoran ini murah, namun hidangannya bukan biasa-biasa. Semangkuk hidangan sahaja sudah cukup untuk membuatkan pengunjung tersandar kekenyangan. Restoran ini terletak di Jalan Tg Agas, Muar dan dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 4 pagi. Anda dinasihatkan untuk datang awal kerana awal-awal pagi lagi restoran ini sudah penuh.

 

14. Mee Bandung Udang Galah Muo Ori

Peminat udang galah, wajib ke sini! Restoran Mee Bandung Udang Galah Muo Ori ini antara restoran yang cukup terkenal di Muar. Dengan resepi mee bandung yang asli, dihidangkan bersama udang galah yang besar dan banyak pasti akan mengecurkan liur anda sebaik sahaja melangkahkan kaki ke restoran ini.

Udang galah yang dihidangkan bukan sahaja besar dan banyak, malah semuanya segar-segar. Selain itu, kuahnya yang pekat dan harga yang berpatutan juga turut menjadi salah satu faktor restoran ini begitu terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar. Jika anda bukan peminat udang galah jangan risau, mee bandung biasa juga ada dihidangkan.

Restoran ini beroperasi dari jam 9.15 pagi hingga 11 malam setiap hari kecuali Rabu dan Jumaat. Jangan lupa untuk datang lebih awal untuk mengelakkan terpaksa menunggu dan tiada tempat parkir.

 

15. Donhu Jurassic Garden

Jika anda membawa kanak-kanak bercuti di Muar, jangan lepaskan peluang untuk menonton dinosaur di depan mata! Walaupun hanya replika, saiznya yang besar dan seakan betul pasti akan menggembirakan hati anak-anak anda. Untuk masuk ke sini juga tiada bayaran dikenakan namun terdapat beberapa aktiviti yang ada dikenakan bayaran.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini ialah Pengembaraan Dunia Dinosaur, Bumper Car, Dinosaur World Water Fun dan Pengembaraan Kereta Api Dunia Dinosaur. Kesemua aktiviti ini amat menyeronokkan dan akan memberi pengalaman gembira untuk anak-anak anda.

Jika anda tidak mahu melakukan aktiviti ini semua tidak mengapa, anda masih lagi boleh berjalan-jalan untuk melihat pelbagai jenis dinosaur di sini. Selalu kita tengok di dalam televisyen sahaja, sekali-sekala jom cuba lihat di depan mata sendiri pula!

 

16. Gerai Asam Pedas Parit Jawa

Selain mee bandung, asam pedas juga merupakan salah satu menu wajib jika anda ke Muar, Johor. Keunikan rasa asam pedas di sini memang lain dari yang lain. Anda boleh cuba antara hidangan asam pedas terbaik di sini.

Di sini terdapat beberapa pilihan gerai asam pedas yang anda boleh pilih, antara yang popular ialah Asam Pedas Pak Yahya dan Warung Dalisa. Kebiasaannya gerai makanan ini dibuka untuk makan tengah hari, anda juga kena datang lebih awal, jika terlambat takut melepas pula asam pedas di sini.

Di sini juga terdapat jeti nelayan Parit Jawa. Anda boleh berjalan-jalan di sini sambil mengambil gambar dan menikmati pemandangan jeti yang permai selepas menjamu selera dengan asam pedas.

 

17. Muar Soup House Sdn Bhd

Jika anda kurang gemar mee bandung atau asam pedas, Muar Soup House ini salah satu tempat makan wajib pergi jika anda berkunjung ke Muar.

Kenapa?

Ini kerana restoran ini sudah beroperasi selama lebih 5 dekad di Muar dan sangat dekat di hati penduduk tempatan. Seiring dengan namanya, restoran berkonsep ini menawarkan pelbagai jenis sup seperti gearbox kambing, gearbox lembu, sup kambing, sup lidah, sup urat dan sup ayam.

Makanan yang dihidangkan untuk pelanggan semuanya menggunakan bahan segar yang pasti meningkatkan lagi rasa dan aroma masakan di sini.

Selain daripada sup, anda juga boleh menikmati hidangan lain seperti rojak, chapati, naan dan juga mee bandung. Terdapat banyak lagi menu yang ditawarkan di restoran ini yang pasti akan membuatkan anda rambang mata untuk memilih!

 

Akhir kata

Banyak juga tempat menarik di Muar ini kan? Selepas ini anda boleh merancang percutian anda bersama keluarga ke Muar.

Kami juga kongsikan tempat menarik di Johor jika anda ingin melanjutkan percutian anda bersama teman atau pun solo.

Selamat bercuti!

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply