Mersing merupakan bandar pesisir pantai yang terletak kira-kira 2 jam dari Johor Bahru. Bandar Mersing menempatkan jeti yang menjadi titik perlepasan jika ingin berkunjung ke pulau-pulau berhampiran seperti Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Pemanggil dan banyak lagi. Namun, bukan pulau sahaja. Ada banyak lagi tempat menarik di Mersing.

Berada di pesisir Laut China Selatan, pantai dan pulau di Mersing megah dengan pasir putih dan air laut yang jernih kebiruan. Jika anda berkunjung ke Mersing, jangan lupa singgah di tempat-tempat menarik yang ada di sini.

Tempat menarik di Mersing

1. Pantai Air Papan

Pantai Air Papan terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Mersing. Keindahan pasir putih, pantai yang luas, serta laut kebiruan menjadikan Pantai Air Papan lokasi strategik untuk menikmati panorama matahari terbenam, atau sekadar bersiar-siar untuk melapangkan minda. Jika anda ingin mandi-manda di sini, kemudahan seperti tandas, tempat mandi awam, dan surau turut tersedia. Pantai Air Papan ialah destinasi yang terkenal di Mersing dan sangat meriah pada hujung minggu. Ramai yang memilih lokasi ini untuk mencuba aktiviti seperti ATV, sukan rekreasi air, berkelah dan berkhemah. Ada banyak gerai-gerai makanan di sini, menjadikan Pantai Air Papan destinasi sempurna untuk menghabiskan waktu lapang anda.

 

2. Melawat Masjid Jamek Bandar Mersing

Dibina pada tahun 1956, Masjid Jamek Bandar Mersing berkonsepkan gabungan seni bina Afrika Selatan dan Melayu tradisional. Pada awal tahun 2021, masjid ini telah diubahsuai untuk menambah bilangan jemaah dan memberi keselesaan kepada pengunjung. Masjid yang tersergam indah dengan tema warna biru dan putih ini mampu memuatkan sekitar enam ratus Jemaah pada satu-satu masa. Selain seni bina yang mengagumkan, lokasi Masjid Jamek yang terletak di atas bukit membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan Laut China Selatan, kawasan perkampungan dan kepulauan sekitar bandar Mersing.

 

3. Gunung Arong

Bagi penggemar alam sekitar atau yang sukakan aktiviti hiking, anda wajib berkunjung ke Gunung Arong. Puncak Gunung Arong setinggi 240 meter ini merupakan antara yang terendah di Johor. Ia mengambil masa sekitar satu setengah ke tiga jam untuk naik dan turun dari gunung ini. Denai juga ditanda dan pendakian tidak begitu sukar, sesuai bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki gunung. Setelah sampai ke puncak, pendaki pasti terpukau dengan keindahan pemandangan dari menara pemerhatian. Bagi yang berminat mengunjungi Gunung Arong, pastikan anda mendapatkan permit kebenaran mendaki dari Pejabat Renj Endau.

 

4. Laman Samudera

Sebagai inisiatif meningkatkan ekonomi pelancongan di Daerah Mersing, Jalan Abu Bakar kini telah dinaik taraf dan dihiasi pelbagai lukisan mural bertemakan lautan, Taman Negara dan hutan. Terletak berhampiran dengan jeti penumpang Mersing, lorong ini wajib dikunjungi peminat fotografi dan bangunan-bangunan lama. Sementara menunggu ketibaan feri ke destinasi pulau yang dituju, pengunjung boleh merakam gambar dengan mural karya anak tempatan sebagai kenangan berkunjung ke bandar Mersing.

 

5. Lain-lain tempat menarik di Johor

[display-posts tag=”johor” posts_per_page=”50″]

 

Akhir kata

Walaupun Mersing merupakan bandar yang agak kecil berbanding dengan bandar-bandar pelancongan lain di Malaysia, pengunjung dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang menikmati keindahan alam sekitar dan destinasi menarik yang ada di bandar ini.

Bagi menikmati keindahan pantai dan pulau di Mersing, waktu terbaik untuk datang ialah sekitar bulan April ke September, di mana hujan kurang dan air laut lebih tenang.

Setelah seronok bersiar-siar di tempat-tempat menarik dan kepulauan, jangan lupa untuk menikmati hidangan laut pada harga berpatutan di sini.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply