Kuala Terengganu, jika disebut namanya, pasti kita akan terbayang-bayang pantai yang pasirnya halus dengan laut yang biru. Keindahan bandarayanya yang masih mengekalkan tradisi menjadi sajian mata kita. Makanan yang terkenal seperti celup tepung dan keropok lekor juga pasti akan menjadi ‘to-go list‘ kita. Tempat menarik di Kuala Terengganu memang banyak dan pasti akan memerlukan kita untuk bercuti selama beberapa hari. Satu hari memang tidak akan cukup.

Bandaraya ini juga diberi gelaran Bandaraya Warisan Pesisir Air kerana lokasinya di tepian pantai dan bandarnya yang banyak mengekalkan seni bina lama. Kedudukan Kuala Terengganu adalah terletak di bahagian tengah negeri Terengganu, sesuai dengan fungsinya sebagai ibu negeri. Terletak di kawasan sungai Terengganu dengan pusat bandarnya berada di muara sungai Terengganu, menghadap Laut China Selatan di bahagian timur dengan dikelilingi oleh persisiran pantai berpasir dan landai. Di sini kami kongsikan tempat menarik di Kuala Terengganu untuk anda lawati.

1. Muzium Negeri Terengganu

Apa yang menarik di muzium ini? Antaranya ialah muzium ini merupakan kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama dan juga mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional. Wahh mesti best jika dapat ke sini kan? Kompleks muzium ini mempunyai sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, taman botani serta taman ulam. Mesti seharian juga jika ke sini kan.

Terletak di Bukit Losong, Kuala Terengganu, ia dibina dengan landskap taman yang mengembalikan kegemilangan Terengganu yang terkenal dan kaya dengan sejarah budaya. Kompleks ini juga mempunyai senibina menarik yang terinspirasi dari istana lama. Muzium utamanya mempunyai beberapa galeri yang mempamerkan perkembangan petroleum, senjata tradisional, seni Islam dan banyak lagi.

Harga tiket hanyalah RM5 untuk seorang dan kaunter tiket terletak di Jeti Shahbandar, berhadapan Pejabat Pos Utama.

2. Taman Tamadun Islam

Jika anda ingin melawat monumen Islam serata dunia, anda boleh melawat di Taman Tamadun Islam ini. Kompleks ini mempamerkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.

Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India). Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Jika anda sukakan senibina dan tamadun Islam, Taman Tamadun Islam ini akan memberikan anda pengalaman yang sangat indah! Taman Tamadun Islam ini memang menarik jika anda sukakan seni bina dan monumen. Di sini anda akan dapat melihat dengan lebih jelas antara monumen Islam yang termahsyur di dunia.

3. Kampung Losong

Setelah melawat Muzium Negeri Terengganu, pastinya anda akan lapar. Jangan lupa singgah di sini untuk memberi keropok lekor. Kampung Losong memang terkenal dengan keropok lekornya dan diiktiraf sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor oleh kerajaan negeri Terengganu.

Terdapat banyak gerai yang menjual keropok lekor di sini, anda boleh pilih mengikut citarasa anda. Yang pasti semuanya sedap-sedap! Jangan lupa juga untuk membeli lebih untuk diberikan sebagai buah tangan kepada keluarga dan jiran.

4. Masjid Kristal

Sebagai masjid pintar pertama di Malaysia, pastinya ia menjadikan Masjid Kristal antara tempat menarik di Kuala Terengganu. Terletak di Taman Tamadun Islam, ia satu-satunya masjid yang dibina menggunakan kaca dan keluli di negara ini. Masjid yang menerapkan kehebatan seni bina Islam Moorish ini juga mempunyai 51 kubah dan lengkap dengan empat menara yang pasti membuatkan anda kagum.

Kedudukan masjid yang terletak di tengah Sungai Terengganu dan terlihat jelas daripada Jambatan Sultan Mahmud juga menjadikan pemandangannya sangat indah. Anda pasti terpesona dengan keindahan Masjid Kristal terutama apabila ia berkilau terkena sinaran matahari. Walaupun kubahnya diperbuat daripada kaca, ia tidak menyebabkan jemaah di dalam masjid berasa panas kerana dilengkapi dengan pendingin hawa. Jadi anda boleh beribadah dengan selesa.

Masjid ini juga sangat cantik jika anda datang pada waktu malam. Disinari dengan sistem pencahayaan yang menarik, pasti akan mengkagumkan anda. Jangan lupa untuk bergambar di waktu malam juga di sini. Pasti gambarnya cantik-cantik belaka.

5. Bot Penambang Jeti Seberang Takir

Jika anda ingin merasakan pengalaman menaiki bot seperti orang zaman dahulu, boleh cuba menaiki bot penambang di Jeti Seberang Takir. Bot ini menghubungkan Seberang Takir dengan Bandar Kuala Terengganu. Penduduk di sini memang menggunakan khidmat bot penambang untuk pergi dan balik. Namun setelah jambatan baru siap, sudah tidak ramai yang menggunakan khidmat ini. Jadi sebelum perkhidmatan ini sudah tiada lagi, kita harus mencuba pengalaman ini.

Bayaran yang dikenakan untuk menaiki bot ini hanyalah RM1 seorang.

6. Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu

Seterusnya, antara tempat menarik di Terengganu ialah Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu. Di sini merupakan pusat yang menempatkan pelbagai alatan sains yang interaktif dan berkonsepkan permainan. Kanak-kanak yang datang ke sini pasti akan teruja dengan alatan yang terdapat di sini.

Antara tarikan utama di sini ialah Planetarium. Jika anak-anda atau anda sendiri berminat dengan sains dan teknologi angkasa lepas, jangan lepaskan untuk singgah di sini. Pengunjung di sini dapat menyaksikan sendiri simulasi dan dokumentari mengenai angkasa dalam 3D yang dipancarkan pada ‘Dome’ (Kubah). Mereka akan dapat merasai pengalaman menjelajah ke angkasa lepas yang dipenuhi bintang-bintang, planet, meteor dan pelbagai lagi.

Harga tiket untuk walk-in

Dewasa – RM 10.00
Kanak-Kanak – RM 6.00
Portable Dome – RM 2.00
Pakej Keluarga (2 Dewasa & 3 Kanak-kanak) – RM 40.00
*Harga termasuk tayangan Portable Dome
*Warganegara Malaysia diberikan diskaun sebanyak 50%
*Bagi pemegang kad ‘orang kurang upaya’(OKU) diberikan diskaun sebanyak 40%

PAKEJ SCIENTIST JUNIOR

Pra Sekolah / Sekolah Rendah – RM 16.00
Sekolah Menengah – RM 20.00
*Harga termasuk Galeri Sains, Pameran Bertema & Portable Dome* Warganegara Malaysia diberikan diskaun sebanyak 50%
* Bagi pemegang kad ‘orang kurang upaya’(OKU) diberikan diskaun 60%

PROGRAM CUTI SEKOLAH

– Spark your creativity program
– STEMEC program
– Science in English

  • Alamat : Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu.
  • Nombor Telefon : 09-617 4004
  • Waktu Operasi : 9:00 a.m – 5:00 p.m

7. Pasar Payang

Kaki shopping pasti rugi kalau tidak singgah ke Pasar Payang yang terletak berdekatan Sungai Terengganu ini. Boleh dikatakan Pasar Payang ini tempat wajib jika berkunjung ke Kuala Terengganu. Barangan yang dijual di sini sangat meriah dan murah. Walaupun murah, pengunjung masih boleh tawar-menawar jika membeli.

Untuk pengetahuan anda, terdapat juga ‘Payang Walk’ yang dibuka di luar Pasar Besar Payang ini. Ia dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam. Jika malam-malam anda tidak tahu mahu ke mana, boleh berkunjung ke ‘Payang Walk’ ini.

Selain dari tempat membeli belah, terdapat juga ruangan untuk anda mencuba aktiviti lokal di sini seperti mencanting batik, membuat wau, menganyam tikar dan membuat ukiran. Boleh cuba jika anda ingin mengetahui sejauh mana bakat seni anda.

8. Wanisma Craft & Trading

Jika anda penggemar koleksi cenderamata, pastikan anda singgah ke Wanisma Craft & Trading. Pusat ini merupakan pusat menjual barangan kraf dan cenderamata yang diperbuat daripada barangan logam dan tekstil. Antara kraf barangan logam yang boleh didapati di sini ialah seperti keris, tepak sirih dan pasu. Manakala tekstil seperti songket dan batik menjadi pilihan popular pengunjung terutama wanita.

Selain itu, anda juga boleh melihat sendiri bagaimana barangan kraf ini dihasilkan. Proses untuk menghasilkan barangan ini tidaklah mudah dan anda pastinya boleh belajar sesuatu tentang warisan peninggalan nenek moyang kita yang kaya dengan nilai estetik ini.

9. Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung)

Dikenali sebagai ‘Masjid Terapung’ menjadikannya antara salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu yang harus anda kunjungi. Anda boleh ke sini untuk beribadat dan seterusnya pasti akan kagum dengan seni binanya. Bercirikan tamadun Islam terdahulu dan dengan gabungan pengaruh moden dan ‘Moor’, pasti akan membuatkan anda terpukau. Reka bentuk masjid ini mendapat inspirasi daripada reka bentuk masjid yang terdapat di zaman Othmaniah. Masjid ini bukan sahaja indah dari seni reka bentuknya, namun hiasan dalaman dan persekitarannya juga pasti akan memukau anda.

Kedudukan strategiknya di tepi Jalan Sultan Mahmud sangat memudahkan pengunjung untuk beribadah di sini. Pada malam hari, masjid ini juga kelihatan sangat cantik. Dibina di atas pelantar terapung, memang membuatkan masjid ini salah satu masjid yang sangat unik.

10. Kompleks Kraf Noor Arfa

Batik Noor Arfa memang tidak asing lagi bagi peminat batik terutamanya kaum wanita. Tahukah anda, batik Noor Arfa ini berasal dari Terengganu? Bagi peminat batik, boleh dikatakan kompleks ini merupakan syurga batik untuk anda.

Selain membeli-belah di sini, anda juga dapat menyaksikan sendiri demonstrasi pembuatan batik. Anda akan dibawa oleh seorang pemandu pelancong untuk menerangkan proses pembuatan batik kepada anda. Terdapat beberapa jenis demonstrasi batik seperti batik terap, batik blok, dilukis tangan dan juga batik canting. Selain batik, anda juga boleh melihat demonstrasi tenunan songket yang masih menggunakan kaedah tradisional sejak turun temurun. Bukan itu sahaja, demonstrasi arca kaca juga terdapat di sini. Wah bermacam aktiviti juga di sini.

Yang menariknya di sini, selain membeli pakaian yang telah siap dijahit, anda juga boleh menempah baju dengan menggunakan khidmat tukang jahit mereka sendiri.

11. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Terengganu memang kaya dengan hasil seni kraf yang sangat mengekalkan warisan kita. Sangat rugi jika kita tidak ambil tahu akan warisan budaya kita. Di Pusat Budaya Kraf Terengganu, anda boleh melihat dengan lebih dalam serta mempelajari bagaimana hasil seni kraf tangan dihasilkan.

Di sini pengunjung boleh menyaksikan sendiri kemahiran serta kesabaran untuk menghasilkan kraf. Antara kraf yang terdapat di sini ialah seperti hasil tekstil seperti songket dan batik. Selain itu, anyaman mengkuang dan pandan juga terdapat di sini. Pengunjung juga boleh membuat tempahan mengikut citarasa mereka sendiri. Barangan tembaga dan logam juga boleh didapati di sini. Pasti semua ini akan menarik minat anda dan jangan lupa membeli hasil di sini juga!

12. Istana Maziah

Istana Maziah adalah antara istana tertua yang masih digunakan di Terengganu. Ia dibina selepas istana asal yang musnah akibat kebakaran. Tahukah anda, istana ini dibina menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Menarik betul fakta ini!

Senibina istana ini diilhamkan daripada senibina Perancis dan Eropah dan menggunakan ukiran tempatan sebagai hiasan dalaman. Walaupun tidak dibuka untuk orang awam, anda boleh mengambil gambar kenangan di pintu gerbangnya. Lokasi istana ini juga tidak jauh daripada Pasar Besar Kedai Payang. Anda boleh berjalan kaki sahaja dari sini.

13. Pantai Pandak

Pantai Pandak atau lebih dikenali sebagai Pantai Chendering ini merupakan salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu yang mesti anda lawati. Pantai ini terletak di kawasan perkampungan di jalan utama Marang-Terengganu. Persekitaran yang berbatu menjadikan pantai ini lokasi yang sangat cantik jika anda suka mengambil gambar pemandangan.

Tempat ini juga sangat sesuai jika anda mahu berkelah di sini. Jika ingin mandi, dinasihatkan untuk mengetahui kekuatan ombak terlebih dahulu kerana ombak di sini agak kuat dan permukaan dasarnya juga agak ke dalam. Jika anda mahu sekadar mengambil angin, jangan lupa singgah di warung celup tepung di sini juga.

14. Kota Lama Duyong

Kota Lama Duyong ini merupakan destinasi wajib jika anda bercuti ke Kuala Terengganu. Di dalam kota ini terdapat beberapa buah rumah tradisional yang masih asli sejak dibina. Rumah ini juga merupakan rumah yang asli dan bukan replika namun telah melalui beberapa pembaikan kerana banjir.

Terletak di Pulau Duyong, reka bentuknya menyerupai Istana Kecil Raja Melayu pada zaman dahulu. Uniknya kota ini diperbuat daripada bahan-bahan campuran seperti kapur, putih telur, madu, batu, pasir dan lain-lain. Anda akan lihat kelainan dindingnya yang berbeza dengan dinding biasa kerana ia tidak menggunakan simen. Ukiran di sekeliling rumahnya juga sangat unik dan pastinya akan membuat anda terpesona.

Untuk ke sini, anda perlu memandu melalui Jambatan Sultan Mahmud dahulu.

15. Panorama Cafe, Bukit Panorama

Jika anda bercuti di Kuala Terengganu, anda wajib ke Panorama Cafe di Bukit Panorama. Pasti indah sahaja rasanya menjamu selera sambil menikmati pemandangan malam Bandar Kuala Terengganu. Seusai makan anda boleh mengambil gambar kenangan berlatarbelakangkan Bandar Kuala Terengganu ini.

Di sini terdapat pelbagai jenis makanan yang sedap-sedap. Terdapat menu Western dan tempatan yang dihidangkan di sini. Set sate juga turut menjadi hidangan popular di sini. Pastikan anda datang awal kerana cafe ini selalu penuh terutamanya di hujung minggu.

16. Waterfront Kuala Terengganu

Kuala Terengganu Waterfront atau lebih dikenali dengan nama KT Waterfront merupakan antara salah satu tempat menarik di Kuala Terengganu yang harus anda kunjungi. Terletak di sepanjang Jalan Hiliran di Pulau Kambing, di sini merupakan taman awam yang sangat sesuai untuk anda bersiar-siar di waktu petang bersama keluarga. Jaraknya yang hanya 2km dari pusat bandar raya juga menjadi tempat kegemaran penduduk tempatan di sini untuk melepaskan lelah selepas seharian bekerja.

Pada waktu malam juga sangat meriah di sini terutamanya dengan kehadiran kaki pancing. Anda dinasihatkan untuk berhati-hati jika membawa anak kecil atas faktor keselamatan. Di sini juga terdapat banyak pilihan kafe dan restoran untuk anda menjamu bersama keluarga sambil menikmati pemandangan sungai Terengganu.

Berdekatan sini juga terletak Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Anda boleh membeli ikan dan hasil laut di sini kerana murah dan segar.

17. Warung Pok Nong

Kalau ke Terengganu, tak sah kalau tidak makan celup tepung. Dengan kedudukannya yang terletak di tepi pantai, hasil laut tidak dinafikan memang segar dan murah. Antara warung celup tepung yang terkenal ialah Warung Pok Nong. Selain ikan celup tepung, terdapat lagi hasil laut yang lain seperti udang dan sotong yang dihidangkan di sini. Keropok lekor juga menjadi antara menu popular di sini.

Warung ini sentiasa penuh lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah atau hujung minggu. Makan celup tepung sambil menghayati pemandangan yang indah pasti akan memberikan anda pengalaman yang seronok di sini! Warung ini dibuka setiap hari kecuali hari Selasa bermula pukul 3.30 petang sehingga 8 malam.

18. Chinatown, Kuala Terengganu

Ingatkan di Kuala Lumpur sahaja ada Chinatown, di Kuala Terengganu juga ada Chinatown rupanya. Jika anda suka berjalan-jalan, singgah ke sini untuk menghayati dengan lebih dekat bangunan di sini. Kedai-kedai di Chinatown ini memiliki auranya yang tersendiri yang pasti akan membuatkan anda lupa berapa lama anda di sini.

Lorong-lorong di sini juga mempunyai temanya yang tersendiri seperti Lorong Warisan Dunia, Lorong Kenangan, Lorong Penyu dan lain-lain. Memang rugi jika anda tidak mengambil gambar kenangan di sini. Reka bentuk bangunan kedainya yang masih mengekalkan konsep lama juga sangat cantik dan sangat sesuai untuk diupload di media sosial anda.

19. Nasi Dagang Atas Tol

Seperti yang kita tahu, nasi dagang memang merupakan salah satu makanan tradisional yang cukup terkenal di Terengganu. Antara restoran popular untuk nasi dagang di Terengganu semestinya Nasi Dagang Atas Tol. Restoran ini sungguh terkenal dan sebaik-baiknya selepas Subuh anda sudah kena beratur kerana restoran ini terlalu terkenal dengan kesedapan nasi dagangnya.

Dihidangkan dengan daun pisang, aromanya memang membuatkan pengunjung tak cukup. Kebiasaannya mereka akan membungkus pula nasi dagang ini kerana terlalu sedap. Jangan lupa singgah ya! Sila datang awal juga untuk memastikan anda dapat merasa nasi dagang ini.

20. Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Jika anda singgah untuk beribadah di Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung), berdekatan dengan anda terdapat Taman Awam Lagun Kuala Ibai. Kawasan ini merupakan teluk Sungai Ibai dan memang menjadi tumpuan untuk kaki pancing. Pada waktu petang kawasan ini memang akan penuh dengan orang ramai yang bersiar-siar mengambil angin pantai. Kawasan ini memang menjadi tempat tumpuan kanak-kanak mandi pantai kerana airnya yang surut.

Datang ke sini di waktu petang boleh membuatkan anda lupa akan masalah dunia dan sepertinya anda akan berada di tempat yang tersendiri. Nyaman dan tenang. Anda juga boleh mengisi perut dengan makanan ringan yang dijual di gerai-gerai di sini seperti keropok lekor, sate ikan dan lain-lain.

21. TTI River Cruise

Jika anda melawat Taman Tamadun Islam, anda juga boleh bersiar-siar menaiki bot dengan TTI River Cruise. Dengan menaiki bot ini, anda akan dibawa mengelilingi Pulau Duyong. Di sini anda akan dapat melihat dan menyusuri beberapa tempat yang menarik seperti Muzium Negeri, Pulau Sekati, Seberang Takir, Pulau Warisan dan termasuklah Masjid Kristal.

Perjalanan menaiki bot ini adalah lebih kurang selama 45 minit. Harga yang ditawarkan bermula RM16.00 untuk kanak-kanak dan RM20.00 untuk dewasa. Terdapat juga harga pakej sekali untuk Taman Tamadun Islam.

22. Uptown Kontena

Seterusnya, tempat menarik di Kuala Terengganu yang anda harus kunjungi ialah Uptown Kontena. Uptown Kontena atau dikenali sebagai Dapo Pata merupakan antara tarikan terbaru di sini. Di sini terdapat banyak kafe yang diperbuat daripada kontena dan berkonsepkan ala-ala hipster. Sesuai sangat jika anda suka mengambil gambar untuk upload di media sosial anda.

Yang menariknya di sini, sambil makan kita juga boleh berhibur. Terdapat persembahan seperti muzik, pelukis, pemain api atau ular, ahli silap mata dan ahli seni belon. Wah pasti meriah di sini. Sambil makan boleh juga berhibur.

Uptown Kontena ini terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu. Terletak di tepi Pantai Tok Jembal, sambil makan juga anda boleh menghirup udara pantai.

23. Pulau Warisan

Jika Shah Alam ada I-City, Terengganu pula ada Pulau Warisan. Kenapa? Pulau buatan manusia ini dihiasi dengan aneka warna lampu LED yang menghiasi pelbagai jenis replika pokok tiruan, ala-ala di I-City. Anda mesti datang ke sini pada waktu malam untuk suasana yang lebih meriah dan cantik untuk mengambil gambar.

Selain dengan hiasannya, di sini juga terdapat banyak kafe untuk anda mengisi perut sambil menikmati pemandangan Sungai Terengganu. Selain itu, pertandingan lumba perahu layar juga sering dianjurkan di sini. Bukan itu sahaja, jika anda datang pada waktu yang tepat, anda akan dapat menyaksikan perayaan dan festival keagamaan yang diadakan oleh masyarakat Cina Terengganu di sini seperti Tahun Baru Cina dan Pesta Tanglung.

24. Pulau Duyong

Menurut lagenda, Pulau Duyong mendapat namanya dari dua ekor ikan duyung telah terdampar di pantai sewaktu musim air surut di pulau ini. Wah, menarik juga fakta ini kan. Terdapat beberapa tempat menarik yang anda boleh lawati jika berkunjung ke Pulau Duyong ini. Selain Kota Lama Duyong yang kami kongsikan di atas, pulau ini juga terkenal dengan tempat yang membuat bot tradisional. Terdapat dua bangsal membuat bot yang sangat terkenal di seluruh dunia iaitu milik Pak Lah dan Hassan Ali. Jangan lupa singgah ke sini dan pastinya anda mempelajari sesuatu dari sejarah di sini.

Selain itu, Pulau Duyong juga mempunyai galeri seni dan muzium. Anda boleh meneroka kawasan ini yang pasti memberi anda banyak ilmu baru. Jangan lupa juga singgah ke jeti Pulau Ketam. Jeti ini merupakan tempat untuk aktiviti nelayan dan anda boleh lihat banyak bot nelayan yang berlabuh di sini. Untuk mengambil gambar juga sangat cantik bagi anda yang inginkan nilai estetik dalam gambar kenangan anda.

25. Fauzi Nasi Kerabu (World Best Street Food)

Jika anda datang ke Kuala Terengganu untuk jalan-jalan cari makan, pastikan anda singgah ke Fauzi Nasi Kerabu. Hidangan Fauzi Nasi Kerabu pernah disenaraikan dalam “Top 50 List of the World Street Food Congress 2017”. Apa yang membuatkan nasi kerabu di sini sedap sangat sehingga mendapat gelaran ini? Pastinya dengan teknik masakannya kerana makanan di sini masih menggunakan teknik pembakaran yang tradisional iaitu menggunakan arang. Aroma yang diberikan memang tiada tandingannya jika dibandingkan dengan teknik pembakaran moden.

Nasi kerabu di sini disajikan dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam bakar, daging bakar, telur masin dan pelbagai jenis ulam. Selain itu, hidangan lain seperti nasi lemak dan mi goreng turut ada dijual. Tapi yang wajib rasa mestilah nasi kerabu. Terdapat beberapa cawangan restoran ini iaitu di Wakaf Tengah dan Gong Badak.

Akhir kata

Sekian perkongsian kami mengenai tempat menarik di Kuala Terengganu. Selepas ini anda boleh plan percutian anda dengan sebaiknya kerana sehari memang tak cukup untuk meneroka Kuala Terengganu ini.

Selamat bercuti!

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply