Cyberjaya, yang merupakan jiran kepada Putrajaya, terkenal dengan gelarannya sebagai Silicon Valley Malaysia. Ini kerana banyak syarikat berasaskan teknologi beroperasi di sini yang menjadikan Cyberjaya sebagai hab koridor raya multimedia di Malaysia. Jadi, izinkan kami berkongsi tempat menarik di Cyberjaya.
Walaupun Cyberjaya nampak seperti bandar yang tiada apa-apa melainkan pejabat, sebenarnya banyak tempat menarik di Cyberjaya. Jom kita tengok apa aktiviti yang boleh dilakukan di sini.
Senarai tempat menarik di Cyberjaya, Selangor
1. Taman Tasik Cyberjaya
Taman tasik ini merupakan salah satu tempat yang menjadi tumpuan penduduk di sini dari golongan pelajar, pekerja dan keluarga. Dengan pemandangannya yang cantik, dan kemudahan yang disediakan, tempat ini menjadi pilihan untuk melepaskan tekanan dan mengambil udara segar.
Kemudahan seperti trek jogging dan taman permainan yang menarik memang menjadi tumpuan dan yang bestnya, di sini ada pulau kecil di tengah tasik yang dikenali sebagai Pulau Wind Chime. Anda boleh ke pulau ini dengan menggunakan jambatan yang disediakan. Di jambatan itu anda boleh menikmati pemandangan tasik yang indah ini.
Di sini juga terdapat menara tinjau yang anda boleh jadikan port untuk berselfie dan mengambil gambar.
2. Masjid Cyberjaya (Masjid Raja Haji Fi Sabilillah)
Masjid Cyberjaya, turut dikenali sebagai Masjid Raja Haji Fi Sabilillah merupakan masjid hijau atau greenhouse pertama di Malaysia. Masjid hijau merujuk kepada teknologi berkonsepkan hijau secara keseluruhannya daripada penggunaan air sehinggalah kepada reka bentuknya.
Selain dari teknologi yang mesra alam sekitar, seni bina dan reka bentuknya juga unik dan menarik yang pasti memikat hati anda. Rekaan menggunakan kubah kaca di bumbung solat masjid ini sangat menarik dan ia adalah yang pertama dipasang pada binaan masjid.
Anda juga pasti akan sukakan keindahan masjid ini pada waktu malam. Limpahan lampu yang menyinari masjid tersebut pasti akan mencuri hati anda.
3. Tamarind Square
Anda suka makan? Suka mengambil gambar yang insta-worthy? Ini adalah salah satu tempat menarik di Cyberjaya yang mesti anda kunjungi! Bangunan perniagaan yang berkonsepkan urban temporari ini mempunyai rekaan yang unik dan penuh dengan kehijauan, sangat sesuai untuk dijadikan port untuk mengambil gambar OOTD anda dan pasti dapat memenuhi jiwa seni anda.
Dah penat ambil gambar mesti perut lapar kan? Tempat ini juga memberikan pilihan restoran yang bermacam rasa. Anda boleh menikmati hidangan Asian, Fusion, Middle Eastern, dan Western di sini. Terdapat banyak pilihan yang boleh memenuhi citarasa dan perut anda di sini. Banyak sangat tempat makan best dan sedap di sini!
Tamarind Square ini juga sangat sesuai untuk pencinta buku. Di sini terdapat kedai buku BookXcess. Yang menariknya, kedai buku ini beroperasi selama 24 jam! Jadi anda boleh datang bila-bila masa sahaja. Tempat ini juga menyediakan kafe dan ruangan untuk anda membuat kerja. Memang syok kan di sini.
4. Dpulze Shopping Centre
Satu-satunya pusat beli belah yang mempunyai panggung wayang, pusat ini juga menjadi tumpuan penduduk di sini untuk berhibur. Anda juga boleh membeli-belah di sini jika singgah di Cyberjaya.
Pelbagai restoran juga turut disediakan di sini, dari masakan Itali sehingga ke masakan kampung yang boleh menjadi pilihan anda.
5. Kidztech Centre
Antara tempat yang menarik untuk kanak-kanak di Cyberjaya ialah Kidztech Centre.
Jika anda mempunyai anak-anak berusia 7-12 tahun, tempat ini sangat sesuai untuk anak anda! Pusat Didikan ini memberi pendedahan tentang STEAM (Science, Technology, Engineering, Arts, and Mathematics) kepada anak anda.
Anak anda juga akan didedahkan dengan budaya Jepun yang mendidik anak anda menjadi insan yang lebih baik dan bermoral.
Anda perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum ke tempat ini dan harus membawa stokin sendiri. Aktiviti yang disediakan juga pasti menarik minat anak anda, tidakla mereka asyik melekat dengan gajet kan.
6. Cyberview Resort & Spa
Hotel butik 5 bintang ini harus menjadi pilihan anda jika anda ingin menetap di Cyberjaya. Dengan keluasan sebanyak 28.8 ekar, Cyberview Resort & Spa dikelilingi pokok palma dan landskap yang menyejukkan mata, sudah pasti membuat anda terpukau dengan keindahan tempat ini dan menjadikannya salah satu tempat menarik di Cyberjaya.
Di sini anda mempunyai pilihan untuk menetap, sama ada di resort, suites ataupun banglo. Belai diri anda di Sembunyi Spa, yang menyediakan beberapa pakej untuk kesesuaian diri anda.
Bagi peminat rekreasi, resort ini juga menawarkan beberapa aktiviti seperti memancing dan berbasikal. Anda juga boleh menikmati pemandangan di sini hanya dengan berjalan kaki.
Cyberview Resort & Spa mempunyai 3 buah restoran dan 2 buah bar, wah banyak pilihan untuk anda jika lapar. Ketiga-tiga restoran ini menawarkan menu yang berbeza bagi memenuhi selera anda. Anda juga boleh bersantai di bar yang disediakan sambil menikmati minuman dan snek ringan jika anda tiada aktiviti untuk dilakukan.
Jika anda ingin membuat photoshoot untuk perkahwinan atau pun konvokesyen, anda boleh datang ke sini. Bukan sahaja waktu siang, suasana waktu malam di sini juga sangat cantik.
7. Dash Box Hotel
Sekiranya anda mencari tempat penginapan yang lain dari yang lain di Cyberjaya, jemput berkunjung ke Dash Box Hotel.
Kenapa?
Ini kerana jika anda berkunjung ke Dash Box Hotel, anda akan dapati reka bentuknya sangat unik dan mempunyai hiasan dalaman yang acah-acah hipster. Pasti memikat hati anda.
Paling menarik di sini ialah setiap bilik hotel di sini dilengkapi dengan balkoni yang menghadap kolam renang. Kolam renangnya yang panjang dan melalui setiap hotel memberi anda pemandangan unik semasa berenang.
Pada waktu malam pula, anda boleh menikmati suasana lampu yang berwarna-warni di sini. Suasana waktu malamnya sangat cantik untuk dijadikan memori kenangan anda. Jangan lupa bergambar sepuas-puasnya.
Akhir kata
Jadi inilah dia, tempat menarik di Cyberjaya yang boleh anda kunjungi dan nikmati.
Jangan lupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan bila anda lawati tempat ini!