Apa yang kami kongsikan ini adalah antara beberapa tempat menarik cuti sekolah yang popular. Walau bagaimanapun, dek kerana destinasi ini sangat popular, anda perlukan kesabaran yang tinggi. Lagi bagus, tak payah pergi langsung.

Kenapa kami kata jangan pergi? Sebab akan buang banyak masa beratur panjang. Bukan setakat beratur panjang untuk beli tiket ke tempat menarik di Malaysia, tetapi akan buang masa beratur dan bersesak-sesak di jalan raya. Boleh sesak dada jadinya. Walaupun ini adalah tempat pelancongan di Malaysia yang menarik, buat apa sakit hati semasa bercuti?

Apa tujuan sebenar kita pergi bercuti?

Objektif utama kita sanggup laburkan duit pergi bercuti adalah untuk hilangkan stress dan tenangkan minda. Bukannya untuk bersesak-sesak dan serabut di jalan raya.

Tambahan lagi berhimpit-himpit di tempat makan yang ada kalanya servis ke laut dan terpaksa tunggu hingga sejam.

Masa cuti sekolah juga, ada peniaga yang ambil kesempatan dengan menjual dengan harga cekik darah.

Bila terlalu ramai manusia, maka sopan santun peniaga juga akan hilang. Langsung tidak friendly. Mahu salahkan mereka, tidak boleh juga. Mungkin masa tidak kena.

Tempat menarik cuti sekolah di Malaysia

Maka, izinkan kami senaraikan tempat percutian menarik cuti sekolah, yang perlu dielakkan. Bukan tak boleh datang langsung, cuma lebih afdal pergi padi hari-hari lain.

1. Cameron Highlands, Pahang

Lupakan Kea Farm kalau mahu beli sayur dan buah-buahan. Orang Cameron Highlands sendiri pun tidak beli di sini. Cuma orang luar sahaja yang datang.

Mengikut laporan Mstar, kesesakan lalu lintas di kawasan itu khususnya pada hujung minggu atau cuti umum bukan sesuatu yang baharu.

Kena pandai pilih masa bila untuk naik, bila untuk turun, dan bila untuk pergi ke sesuatu tempat yang ingin dikunjungi.

Pro Tips:

Sebenarnya, masih boleh datang ke Cameron Highlands semasa musim cuti sekolah. Cuma kena sampai awal pagi untuk mengelakkan kesesakan. Jika mahu pergi ke tempat-tempat menarik di Cameron Highlands juga, kena keluar awal.

Untuk tempat tinggal, disarankan pilih tempat penginapan yang berdekatan dengan pasar malam. Percayalah, untuk cari tempat letak kereta disini sahaja pun, boleh buat anda panas hati. Silap-silap, boleh bergaduh kerana kereta bergesel.

Mengikut pengalaman kami, selain guna Agoda, Booking.com atau Trivago, cubalah cari tempat penginapan menggunakan AirBnB pula. Ada banyak rumah yang dijadikan homestay di sekitar Cameron Highlands.

 

2. Pulau Langkawi, Kedah

Kali ini, bukan kesesakan jalan raya di atas pulau Langkawi. Sebaliknya, kesesakan di jeti memang boleh menguji hati. Ada ketika, tiket pula habis jika tidak merancang dengan teliti.

Jadi kena buat perancangan awal, dengan penuh hati-hati. Bimbang tempat percutian menarik di Langkawi yang diangan-angankan, bertukar menjadi cemuhan.

Bagi yang memandu kereta, boleh letak kenderaan di sekitar kawasan jeti. Nampak macam kurang selamat kondisinya, tetapi mahu buat macam mana. Yakin sahajalah.

Sila naik melalui Jeti Kuala Perlis untuk perjalanan yang lebih dekat ke Langkawi. Bukannya Jeti Kuala Kedah.

Pro Tips:

Bagi yang memang tabiatnya merancang lebih awal untuk pergi bercuti, boleh bawa kereta sendiri ke Langkawi.

Perkongsian dari Mohd Khairul di Facebook, ada dua syarikat perkhidmatan feri angkut kenderaan untuk ke Langkawi, iaitu:

Mereka guna Langkawi Auto Express, di mana masa perjalanan cuma 2 jam, berbanding 1 jam 15 minit jika dengan feri penumpang.

Kos yang terlibat:
Tambang pergi-balik:
– Kereta Sedan, 1.6cc : RM300 (Tempahan secara atas talian)
– Dewasa x 1 : RM36 (Percuma untuk pemandu)
– Kanak-kanak x 2 : RM52

3. Pulau Pinang

Ini adalah salah satu tempat menarik semasa musim cuti sekolah. Orang luar biasanya memang mahu ke Penang bagi merasai makanan-makanan yang tidak ada di tempat lain, kecuali di Penang sahaja.

Ada ketikanya, perjalanan dari Georgetown ke Batu Feringghi boleh mengambil masa 45 minit hingga 1 jam. Rasa terlalu perlahan untuk sampai ke destinasi. Panas punggung dalam kereta boleh buat kita rasa malas untuk ‘hore-hore’.

Sudahlah jalan sesak, untuk beratur makan nasi kandar dan makanan-makanan lain yang viral di sekitar Penang, memang boleh menguji iman di dada. Silap haribulan, tak mahu jejak lagi ke Pulau Pinang.

Pro Tips:

Jika dari arah selatan, masuk menggunakan jambatan kedua kerana kurang sesak.

Untuk tempat penginapan pula, boleh pilih untuk menginap di kawasan tengah bandar kerana boleh ke mana-mana dengan mudah.

Untuk ke tempat-tempat makan yang viral, paling mudah, gunakan Grab untuk mengelilingi Penang.

 

4. Melaka

Tempat percutian menarik di Melaka boleh bertukar menjadi tidak menarik dalam sekelip mata sahaja.

Keluar dari Tol Ayer Keroh untuk ke Bandaraya Melaka sahaja boleh sampai 1 jam lebih. Memang lama. Penat jika guna kereta manual.

Lupakan sahaja niat untuk beratur panjang semata-mata untuk merasa Kuih Keria Antarabangsa yang viral. Penat badan dan akan hilang tenaga. Datang semula jika keadaan tidak sesak.

Pro Tips:

Tidur di sekitar Ayer Keroh, kerana kesesakan kurang berbanding kawasan tengah bandar. Lagipun, banyak juga tempat menarik di sekita Ayer Keroh.

Satu hari memang tidak akan habis untuk pergi jelajah Ayer Keroh sahaja.

Setkan 1-2 hari untuk Ayer Keroh, dan 1-2 hari lagi untuk kawasan bersejarah di sekitar bandar. Jika berulang alik, penat.

 

5. Jalan TAR, Kuala Lumpur

Orang Kuala Lumpur, sibuk balik kampung atau bercuti ke tempat lain. Sebaliknya, orang luar Lembah Kelang pula berpusu-pusu datang ke Kuala Lumpur untuk bercuti.

Ramai orang luar akan pergi Sogo, sebab katanya murah. Tapi sekali masuk, lebih-lebih lagi di bahagian kanak-kanak, penuh dengan manusia. Hinggakan, mahu berjalan pun susah. Sesak nafas.

Pro Tips:

Parking mahal, sebab di tengah-tengah Kuala Lumpur. Kadar tempat letak kereta macam tak masuk akal pun ada.

Jadi, orang luar yang tidak biasa, cari tempat penginapan yang dekat dengan LRT atau MRT.

Bukan tidak boleh naik kereta sendiri, cuma bimbang tersesat. Hati akan jadi panas sebab Waze pun tidak membantu.

Banyakkan berjalan kaki dari satu stesen ke stesen yang lain. Jika siap membeli-belah, dan rasa sukar untuk bawa barang naik pengangkutan awam, boleh naik Grab.

 

Komen di media sosial

Mereka ini juga besetuju, yang tempat percutian menarik cuti sekolah ini, tak perlu pergi semasa musim cuti sekolah.

Tempat menarik di Malaysia (Cameron Highlands)

 

Akhir kata

Tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah tempat menarik cuti sekolah yang menjadi impian kanak-kanak.

Bukannya kami benci dengan tempat-tempat ini. Cuma, atas pengalaman sendiri, kita gagal mengawal perasaan marah akibat kesesakan yang berlaku.

Akhirnya, percutian rasa tidak ada apa-apa. Langsung tidak ‘enjoy‘. Jika mahu buat lawatan cuti sekolah, fikir masak-masak dahulu.

Semoga perkongsian tempat pelancongan di Malaysia yang menarik ini akan memberikan anda sedikit idea untuk merancang lebih awal. Jangan kata kami tidak beritahu.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply