Selangor adalah antara negeri yang sangat padat di Malaysia kerana ia mengelilingi ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur. Kalau nak tahu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berasal dari tanah Selangor. Itu yang kadang-kadang, banyak tempat yang agak mengelirukan sama ada ia di bawah Selangor atau Kuala Lumpur. Walaupun negerinya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, Selangor masih lagi mengekalkan kehijauan muka buminya. Sebenarnya, ada banyak air terjun di Selangor yang orang tak tahu; dan banyak juga tempat menarik yang boleh untuk berkelah untuk mereka yang memang berada ke Selangor. Lebih-lebih lagi, tempat mandi manda di Selangor; yang boleh menyegarkan badan, setelah penat bekerja pada hari biasa. Jika ada khemah, boleh bawa sekali kerana ini juga antara tempat berkelah di Selangor yang menarik.

Jangan bimbang, semuanya percuma. Hanya perlu modalkan makanan, barangan berkhemah, berkelah dan BBQ jika perlu. Cuma anda perlu bertanya samada BBQ dibenarkan atau tidak. Bimbang tidak boleh kerana akan mengotorkan kawasan sekitar.

Air Terjun Serendah

Air Terjun Serendah menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk berkelah dan bersantai bersama-sama ahli keluarga.
Semua orang akan menyenangi suasana kawasan air terjun yang dikelilingi kehijauan hutan yang sangat mendamaikan. Bunyi air terjun sahaja boleh menjadi terapi diri. Ditambah pula dengan haiwan hutan di sekeliling. Sangat sesuai untuk mereka yang ingin merehatkan minda sementara lari daripada kesibukan hiruk pikuk kota.

Antara yang menarik lagi di sini, pengunjung boleh mengenali perkampungan orang asli moden, sekali gus dapat melihat rutin dan kehidupan penduduk asal di sini. Di sepanjang perjalanan yang melalui jalan-jalan kecil, berdirinya rumah-rumah orang asli ini.

Seronok melihat mereka hidup dalam kesederhanaan.

Air Terjun Sungai Kanching

Tidak pasti dalam kawasan Selayang atau Rawang. Yang penting, mudah sahaja untuk pergi ke sini. Nampak signboarddari tepi jalan utama. Jangan risau, ada tempat persalinan dan tandas di atas. Cuma pastikan untuk menjaga barang masing-masing kerana banyak monyet berkeliaran.

Modal cuma parking dan yuran untuk masuk. Tidak ingat berapa, tapi tidaklah mahal mana. Masih lagi mampu. Ada gerai-gerai jual makanan di luar. Jika tidak mahu bawa bekal sendiri, boleh juga makan di sana.

Ambil masa setengah atau satu hari untuk rekreasi di air terjun Sungai Kanching. Bukan kanak-kanak sahaja, orang dewasa juga pasti happy.

Air Terjun Sungai Chiling

Lokasi ini mungkin agak jauh bagi yang tinggal di Klang atau Shah Alam. Tempat ini sudah dekat dengan Bukit Fraser, sempadan Raub, Pahang. Bagi yang minat aktiviti lasak, tetapi tidak guna banyak duit, bolehlah datang ke sini. Katanya, kena lintas 6 sungai untuk sampai ke Air Terjun Sungai Chiling.

Jika ingin rasa adventure di Air Terjun Sungai Chiling, silakan rasai pengalaman menyeberang sungai pada kedalaman paras peha hingga pinggang dengan aliran air agak deras.

Air Terjun Sungai Gabai

Bayaran masuk cuma RM1 sahaja. Ramai orang lebih suka untuk bermain air di bahagian bawah. Bagi yang minat hiking, bolehlah mendari 300 anak tangga.

Air Terjun Sungai Sendat

Air terjun yang terletak di Hulu Yam ini semestinya menjadi pilihan warga kota yang ingin lari daripada kesibukan kota raya untuk mencari ketenangan. Dinasihat agar berhati-hati semasa melakukan aktiviti di sini.

Ini kerana ada kes kematian akibat lemas.

Air Terjun Kemensah

Kalau pergi ke Zoo Negara, singgalah ke sini. Dalam banyak-banyak tempat mandi manda, air terjun Kemensah ini merupakan antara air terjun yang paling selesa dan menarik untuk dikunjungi. Jika tidak mahu bawa khemah untuk berkelah, boleh keluarkan sedikit modal untuk tidur di chalet.

Jeram Sungai Congkak

Jeram Sungai Congkak merupakan antara tempat mandi-manda di Selangor yang agak popular. Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah tapak perkhemahan, pondok untuk berehat dan kemudahan lain seperti tandas dan tempat persalinan. Air terjun ini juga terletak tidak jauh dari beberapa lokasi air terjun sekitar Hulu Langat. Jadi, anda boleh berkunjung ke sini jika tempat lain sudah penuh. Di sini pun kawasannya agak menarik untuk berkelah.

Jeram Sungai Tekala

Terletak lebih kurang 43km dari Kuala Lumpur, Sungai Tekala juga antara lokasi mandi-manda yang agak menarik di Selangor. Kawasan di sini dijaga agak rapi dan agak selesa. Air terjun di sini lebih sesuai untuk kanak-kanak dek kedalaman sungainya yang agak cetek. Tempat ini juga airnya kurang sejuk dan kurang deras, memang sangat sesuai jika baru nak bawa anak-anak berkenalan dengan sungai.

Hutan Rekreasi Sungai Tekala ini dibuka bermula 7 pagi sehingga 7 malam. Bayaran yang dikenakan untuk mandi hanyalah RM1 seorang. Murah sahaja kan? Terdapat banyak pondok disediakan di sini tetapi anda digalakkan datang awal kerana pondok-pondok kebiasaannya memang menjadi pilihan pengunjung, takut nanti tak dapat tempat pula.

Air Terjun Hutan Rimba Komanwel

Terletak di dalam Hutan Rimba Komanwel, tempat ini agak mudah dijumpai kerana papan tandanya sangat besar dan mudah dilihat dari jalan besar. Seperti taman rekreasi air terjun yang lain, kemudahan dan fasilitinya tersedia dan dijaga. Anda boleh bermandi-manda, berkelah dan melakukan aktiviti serperti berkhemah dan BBQ di sini.

Air terjun Komanwel juga merupakan lokasi yang agak sesuai untuk aktiviti lasak seperti abseiling, berakit dan lain-lain. Seronoknya! Anda boleh plan bersama kawan-kawan namun jangan lupa keselamatan juga ya.

Air Terjun Ulu Perdik

Bagi anda yang sukakan cabaran, anda boleh berkunjung ke Air Terjun Ulu Perdik. Untuk sampai ke sini, anda kena mendaki sejauh 2.5km selama lebih kurang 1 jam. Selepas berpeluh-peluh, terjun pula ke dalam air sungai yang sejuk. Fuh! Kawasan ini juga sangat cantik untuk berkelah, jadi jangan lepaskan peluang untuk ke sini.

Air Terjun Sungai Tua

Jika anda ingin berkhemah bersama kanak-kanak, kami sarankan anda ke sini. Fasilitinya amat selesa. Di sini terdapat tandas yang besar dan banyak serta surau yang bersih. Pondok untuk berkhemah juga sangat dekat berhampiran tandas dan selesa. Kedudukannya juga tidak jauh dari sungai. Jadi amat sesuai untuk berkhemah di sini.

Kawasan ini juga dijaga rapi. Setiap pagi pekerja pembersihan akan datang untuk mengutip sampah dan mengosongkan tong sampah. Namun anda perlu berhati-hati kerana apabila tiba waktu petang dan pengunjung sudah berkurang, monyet akan datang untuk mencari makan.

Air Terjun Templer Park

Terletak berhampiran Rawang, air terjun ini memberikan anda salah satu nikmat alam semulajadi, terutamanya jika sudah penat dan stress menghadap kerja. Air terjun yang mempunyai 7 tingkat ini mempunyai penariknya yang sendiri yang memberikan kedamaian kepada sesiapa yang berkunjung.

Hutannya yang tebal mampu memberikan kesejukan dan anda pasti tidak akan merasa tempat ini tidaklah jauh dari hiruk pikuk kota raya. Di sini juga terdapat haiwan liar yang memberikan anda feel seperti sedang bercuti di hutan, tidak hairanlah air terjun ini menjadi tempat pilihan warga Selangor untuk bermandi-manda.

Akhir kata

Bukan setakat tempat mandi manda di Selangor, sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik di Selangor yang percuma. Cuma tak banyak yang mendapat perhatian netizen, dan dikongsikan di Internet. Informasi tentang tempat mandi manda seperti ini, tidak banyak dijumpai. Terima kasih Selangorkini kerana sudi berkongsi.

Apa-apa pun, hati-hati jika pergi ke tempat sebegini. Jangan buat perkara yang bukan-bukan. Kalau rasa tak sesuai untuk anak-anak, boleh cuba tempat menarik di Selangor untuk kanak-kanak yang mempunyai aktiviti indoor.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply