Selangor tidak dinafikan mempunyai banyak tempat yang menarik. Namun, jika anda menginginkan pengalaman yang unik ketika bercuti di Selangor, anda boleh bercamping! Banyak tempat camping di Selangor yang akan membuatkan jiwa anda tenang dan bahagia.
Izinkan kami berkongsi.
Campsite di Selangor
1. Teratak Tok Alang Batang Kali
Berkhemah dalam suasana kebun dan tanpa elektrik pastinya memberikan satu pengalaman yang unik untuk anda. Teratak Tok Alang ini merupakan tapak perkhemahan di tepi sungai yang terletak di Kampung Hulu Rening, Batang Kali. Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur hanya memakan masa sekitar 1 jam.
Anda wajib datang ke sini jika anda penggemar buah-buahan tempatan. Dengan bayaran sebanyak RM20 seorang, anda boleh menjamu buah-buahan di sini sebanyak mana yang anda suka. Wah!! Menarik sangat tawaran ini. Antara buah-buahan yang terdapat di kebun ini ialah durian, manggis, rambutan dan duku. Dengan harga yang murah, kita dapat menikmati pelbagai jenis buah-buahan. Sangat menguntungkan bagi penggemar buah-buahan tempatan.
Di sini juga terdapat sungai yang mengalir jernih. Mungkin agak cetek untuk dewasa, namun cukup seronok jika anda membawa kanak-kanak ke sini. Kemudahan asas seperti tandas ada disediakan. Untuk menyewa satu tapak perkhemahan di sini, anda akan dikenakan caj sebanyak RM20.
Untuk membuat tempahan, anda boleh hubungi 019 3032021 / 012 6726752.
2. Rumah Kebun Camping Ground
Jika anda baru berjinak-jinak dalam dunia perkhemahan, anda boleh ke Rumah Kebun Camping Ground, Kg Sungai Semungkis, Hulu Langat. Tapak ini antara tapak perkhemahan yang sangat selesa, terdapat tandas dan bilik air serta hot shower ala hotel, dan khemah yang disediakan turut mempunyai tilam dan bantal. Sangat selesa dan sesuai jika anda ingin merasai suasana berbulan madu ala-ala berkhemah.
Selain sungai yang khas untuk pengunjung di sini, tapak perkhemahan ini turut menyediakan kolam renang, jadi anda boleh memilih untuk mandi sungai atau kolam. Anda juga boleh membuat BBQ di sini kerana kemudahan seperti tempat membakar turut disediakan.
Terdapat beberapa jenis tapak perkhemahan yang disediakan di sini, bergantung pada harganya. Anda boleh melihat pakej-pakej yang disediakan di Facebook Rumah Kebun Camping Ground. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan dengan jenis dan pakej, anda boleh memilih bergantung kepada bilangan kenalan atau keluarga anda yang akan berkunjung.
3. Hutan Lipur Sg Tua
Tapak perkhemahan ini terletak di Taman Negeri Selangor. Ia amat sesuai untuk anda yang baru berjinak dengan dunia perkhemahan disebabkan kemudahannya yang cukup untuk anda. Terdapat tandas yang besar, surau yang selesa serta gazebo untuk anda meletakkan khemah.
Tapak perkhemahannya juga terletak bersebelahan dengan sungai. Malam anda akan ditemani bunyi sungai mengalir, pasti memberikan anda suasana malam yang tenang. Kawasan ini juga memang dijaga dengan baik, sampah akan dikutip setiap pagi oleh pekerja awam.
Jika anda ingin berkhemah di sini, anda perlu melaporkan dan membayar sewa di kaunter pendaftaran. Dengan bayaran yang murah, anda pasti puas hati dengan pengalaman yang akan anda alami. Namun diingatkan, waktu petang selepas pengunjung mula mengosongkan kawasan ini, monyet akan mula memunculkan diri mereka untuk mencari makan. Jaga barang dan makanan anda untuk mengelakkan diambil monyet.
4. Kemensah Valley Recreation & Chalet
Untuk anda yang baru berjinak dalam dunia perkhemahan, anda boleh ke Kemensah Valley Recreation & Chalet. Terletak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, tempat ini mudah diakses dan anda tidak perlu bersusah untuk mencarinya.
Selain itu, harga untuk menyewa tapak perkhemahan juga tidaklah mahal. Jika anda datang beramai-ramai lebih seronok dan tidak perlu risaukan kawasannya kerana ia agak luas dan mampu menampung jika anda datang beramai-ramai. Selain mandi sungai dan BBQ, di sini juga terdapat beberapa aktiviti lain yang disediakan seperti merentas hutan, mendaki bukit dan juga trip memancing.
Di sini juga tersedia beberapa kemudahan seperti meja, kerusi, arang, bantal namun ini semua perlu disewa. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang Kemensah Valley Recreation & Chalet dan lebih elok jika anda membuat tempahan terlebih dahulu.
5. Congkak Eko Resort
Pernah dikenali dengan nama Ecotouria Resort, tempat ini mempunyai pemandangan yang pasti memukau anda. Berlatar belakangkan bukit bukau di samping air sungai yang mengalir jernih pasti akan menarik perhatian anda dan pasti anda akan merasai suasana tenang dan damai di sini.
Jika anda ingin mencari tempat untuk membuat majlis seperti majlis perkahwinan, hari keluarga, atau team bulding, anda boleh buat di sini kerana kawasannya yang luas dan infrastruktur yang lengkap. Kawasannya juga memang bersih dan terjaga.
Congkak Eco Resort ini juga turut menyediakan chalet jika anda memerlukannya secara tiba-tiba. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah jungle trekking, night walk, river tracking dan river crossing. Sangat sesuai jika anda ingin membuat aktiviti dan program beramai-ramai.
Harga yang ditawarkan juga sangat berbaloi dan anda boleh melihat pakej dan kemudahan yang lebih detail di Congkak Eco Resort atau anda boleh hubungi 017-3090190.
6. Hammocks By The River
Seterusnya, antara tempat camping di Selangor yang menarik ialah Hammocks by The River. Jika anda tidak mempunyai khemah tetapi ingin berkhemah, anda boleh datang ke sini. Apa yang anda perlu bawa hanyalah makanan dan barang peribadi anda. Selain daripada khemah, terdapat juga camping essentials lain yang tersedia seperti flysheet, meja, kerusi, lampu LED dan alatan memasak. Sangat sesuai jika anda mahu menceburi bidang ini, tetapi tidak mempunyai barang untuk berkhemah.
Namun, diingatkan di sini kanak-kanak bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan untuk masuk. Jika anda berminat untuk bercamping di Hammocks by The River, anda boleh membuat tempahan terlebih dahulu untuk memudahkan anda.
7. Moon Kiss Camp Site
Jika anda sudah bosan bercamping dan ingin berglamping, anda harus datang ke sini! Tempat ini sangat sesuai jika anda mahu datang bersama keluarga. Dengan kemudahan asas seperti tandas dan bilik mandi yang selesa, di sini juga turut mempunyai gerai kecil jika anda memerlukan sesuatu.
Terdapat dua jenis khemah yang disediakan, iaitu khemah biasa dan khemah yang mempunyai reka dalaman yang cantik, luas dan mempunyai tilam yang selesa. Kipas dan air cooler juga turut disediakan. Wah menarik betul jika dapat glamping kan. Di sini juga tersedia beberapa pondok di tepi sungai jika anda ingin menggunakannya pada waktu siang.
Tapak perkhemahan ini terletak di Semungkis, Hulu Langat dan tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur. Sesuai untuk anda yang mahu keluar dari kesibukan kota dan mahu merehatkan minda. Jom ajak keluarga anda ke Moon Kiss Camp Site untuk pengalaman yang menarik dan mendamaikan.
Akhir kata
Tidak kira di mana anda berkhemah, yang penting jangan tinggalkan sampah dan jaga lah persekitaran anda. Jika kawasan perkhemahan sentiasa terjaga, pengunjung lain juga akan lebih seronok untuk berkhemah.
Jika anda sudah berkhemah di Selangor, anda juga boleh berkelah di Janda Baik.
Banyak tempat menarik di Janda Baik yang anda boleh kunjungi bersama keluarga dan kawan-kawan.
Selamat bercuti!