Ramai orang tahu, tempat menarik di Selangor yang percuma memang banyak. Kali ini, kami hanya ingin senaraikan tempat rereasi dan mandi-manda sahaja, iaitu senarai air terjun di Selangor.

Izinkan kami berkongsi.

Air Terjun Sendat – Ulu Yam

Air Terjun Sendat juga dikenali sebagai Hutan Lipur Sungai Sendat yang terletak di Jalan Ulu Yam yang menuju ke Batang Kali.

Persekitaran air terjun ini dihiasi dengan pelbagai jenis spesis flora dan fauna eksotik dan dihiasi dengan air terjun 3 tingkat. Semestinya ia akan menjadi tarikan unik pada para pengunjung. Dengan kedalaman serta keluasan kolam yang berbeza di kawasan ini memberikan kelebihan kepada para pengunjung untuk berseronok sambil menikmati keindahan alam.

Jika anda ingin bermandi-manda dengan keluarga yang ada anak kecil, boleh berkelah di tingkat pertama dimana kolamnya agak luas dan tidak terlalu dalam. Di tingkat kedua pula, keadaan sungai yang terlalu cetek menjadikannya tidak sesuai untuk berenang. Manakala di tinkat ketiga pula, keadaannya sangat sesuai untuk anda berenang dan jika anda suka melompat ala penerjun negara, anda boleh lakukannya di sini!

Air Terjun Sungai Tua – Ulu Yam

Air Terjun Sungai Tua merupakan salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti anda sekeluarga. Anda juga boleh membiarkan anak anda bermain di kawasan ini kerana airnya yang cetek dan tenang. Bukan itu sahaja, terdapat juga pondok berteduh di sekitar sungai juga Air Terjun Sungai Tua ini. Anda boleh sampai ke sini dengan menaiki kereta menjadikannya suatu tempat pilihan ramai dikala hujung minggu.

Lokasinya yang bersebelahan dengan taman rekreasi, menjadikannya lebih menarik jika dibandingkan dengan air terjun yang lain. Sebelum bergerak ke sini, pastikan anda melihat ramalan cuaca agar tidak dikecewakan oleh hujan disamping persiapan lain.

Anda dinasihatkan untuk membatalkan rancangan untuk ke sini jika ramalan cuaca tidak baik agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kes kepala air pasang atau apa saja. Utamakan keselamatan anda dan keluarga ya!

Air Terjun Templer – Rawang

Bagi pengunjung yang inginkan kelainan, anda boleh berkunjung ke Air Terjun Templer di dalam hutan simpan Templer. Kedinginan air terjun bertingkat yang dilengkapi dengan pemandangan hijau yang menyegarkan akan membuat anda lupa akan kesibukan kota atau stress kerja harian kerana ia sangat menenangkan.

Air Terjun Templer ini sering menjadi pilihan pengunjung yang mencari sesuatu untuk dilakukan pada cuti hujung minggu. Tempat letak kereta yang luas juga disediakan, selain itu, pondok rehat juga ada banyak disediakan untuk para pengunjung.

Gazebo untuk berkelah, ruang privasi untuk anda tukar baju turut disediakan untuk kemudahan anda semua. Terdapat juga jambatan yang dibina untuk keselamatan pengunjung.

Selain itu, ia juga dilengkapi beberapa kemudahan lain, antaranya kedai makan, tapak perkhemahan dan chalet comel untuk anda yang ingin bermalam ditemani deruan air terjun di sini.

Kepada pengunjung yang datang bersama anak kecil, jangan risau kerana kemudahan di sini lengkap dan selamat. Namun begitu, anda dinasihatkan untuk memerhatikan anak anda ketika bermain air kerana anak kecil kadangkala boleh cedera ketika bermain di kawasan berbatu dan berpasir ini.

Air Terjun Sungai Gabai – Hulu Langat

Hati anda dan keluarga anda pasti akan terpikat dengan kejernihan air sungai di Air Terjun Sungai Gabai ini. Dengan kelestariannya yang masih terjaga, air yang dingin serta kemudahan yang disediakan memang akan memudahkan anda.

Bukan sahaja anda boleh bermandi-manda di sini, anda juga boleh mengadakan aktiviti BBQ bersama keluarga atau rakan-rakan.

Terdapat banyak kemudahan yang disediakan di sini, contohnya surau dan tandas yang bersih selain dari penjaga parking yang akan memudahkan anda serta menjaga keselamatan kenderaan. Menambah kelengkapan kemudahan di sini adalah pondok besar untuk berteduh yang boleh memuatkan lebih dari 5 orang! Apa lagi yang anda mahu? Air Terjun Sungai Gabai ini cukup lengkap!

Info: Bayaran masuk sebanyak RM1 akan dicaj untuk setiap kepala

Air Terjun Serendah – Rawang

Templer Kai atau dikenali dengan nama Rekreasi Air Terjun Serendah adalah antara lokasi pilihan para pencinta alam yang popular di daerah Hulu Selangor.

Antara sebab mengapa ia sering menjadi pilihan pengunjung adalah kerana jarak antara lokasi ini dengan Pusat Banda Kuala Lumpur adalah tidak terlalu jauh dan mudah diakses menggunakan kereta. Lebih menarik, penempatan orang masyarakat orang asli yang juga terletak berdekatan kawasan ini yang boleh anda kunjungi bersama anak-anak. Mempelajari tentang gaya hidup, senibina rumah dan cara pergaulan mereka pasti membuatkan lawatan ini lebih unik serta bakal mencipta pengalaman baru buat anda dan keluarga.

Anak kecil juga boleh bermain di Air Terjun Serendah ini kerana lokasinya yang ideal. Selain dari terdapatnya penanda aras bagi menandakan kawasan yang cetek dan dalam, ia juga dilengkapi dengan taman permainan lengkap dan ada juga disediakan pondok untuk berehat. Kesemua kemudahan ini menjadikannya sangat sesuai untuk ibu bapa yang mengutamakan keselamat anak-anak mereka.

Jika anda ingin ke destinasi indah ini, anda boleh menggunakan beberapa jalan antaranya jalan ke pekan Serendah kemudian masuk ke persimpangan Dato’ Harun dan seterusnya terus memandu untuk jarak lebih kurang 4KM untuk tiba ke lokasi.

Air Terjun Sungai Congkak – Hulu Langat

Air Terjun Sungai Congkak bukanlah nama asing bagi penduduk Selangor. Kawasan air terjun indah yang terpelihara kelestariannya yang turut dilengkapi kemudahan seperti resort dan kawasan lapang untuk aktiviti secara berkumpulan menjadi antara faktor utama dalam menjadikan kawasan ini sebagai pilihan orang ramai terutamanya pada hujung minggu.

Congkak Park & Resort iaitu nama lain bagi Air Terjun Sungai Congkak dikendalikan oleh Badan Pelancongan Selangor. Jadi tidak hairanlah mengapa semua kemudakan dan kebersihan di kawasan ini dijaga dengan baik.

Lokasi ini juga adalah pilihan yang baik bagi anda yang inginkan privasi sambil menikmati keindahan alam. Jangan lepaskan peluang untuk bermalam di resort yang bersebelahan dengan sungai dan nikmati tidur malam dibuai bunyi air sungai mengalir menimbulkan suasana dingin dan damai.

Tapak perkhemahan yang luas, pondok berehat, kemudahan asas seperti tandas dan surau serta kebersihan yang terjaga menjadikan Air Terjun Sungai Congkak antara kawasan air terjun yang layak diberikan 5 bintang!

Air Terjun Batu Asah – Hulu Langat

Terletak di Kampung Kemensah, Hulu Klang Selangor, Air Terjun Batu Asah turut dikenali sebagai Air Terjun Kemensah kerana lokasinya. Jadi, tak perlu keliru apabila ada orang mengajak anda ke Air Terjun Kemensah tapi memanggilnya dengan nama Air Terjun Batu Asah, lokasi yang sama tetapi berlainan nama.

Jika anda ingin menikmati keindahan alam semulajadi dengan cara yang mempunyai kelainan, anda boleh menggunakan All Terrain Vehicle (ATV Rides). Selain mendapat “adrenalin rush” ketika menaiki ATV yang lasak, anda juga dapan melihat alam dari sudut berbeza.

Bukan itu saja, di sini juga terdapat “camp site”, tapak khas untuk BBQ dan chalet Jeram Teratak Angah menjadikan ia sangat popular di kalangan keluarga untuk bercuti di hujung minggu dan hari cuti lain.

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian senarai air terjun dan tempat mandi manda di Selangor ini akan menceriakan lagi percutian anda.

Yang penting, hati-hati bila berada di sana.

Jaga keselamatan diri, keluarga dan rakan-rakan.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply