Anda mencari tempat minum petang di Shah Alam yang best? Yelah, dah lama meronda di tempat menarik di Shah Alam, badan pun dah penat, mesti anda tercari-cari di mana. Jom kita tengok di mana lokasi nak minum petang di sini. Ada beberapa tempat yang mesti anda pergi jika anda singgah di sini.

Tempat minum petang di Shah Alam

1. Fradoo ABC Special

Petang yang panas memang sangat sesuai kalau pekena ABC. Lebih-lebih lagi jika dah penat seharian berjalan dan shopping di Shah Alam. Fradoo ABC Special memang antara lokasi popular di kalangan warga Shah Alam untuk menyejukkan tekak. Terdapat lebih kurang 10 jenis ABC, memang pening nak pilih yang mana satu nak minum.

Antara menu ABC yang menjadi pilihan ialah ABC Milo, ABC Classic, ABC Special dan banyak lagi. Yang bestnya di sini, gerai ini turut menyediakan ABC Cendol, jadi tidaklah anda pening nak makan ABC atau cendol! Anda tidak perlu risau akan kualiti ABC di sini kerana gerai ini telah wujud 15 tahun yang dahulu dan sentiasa penuh, pastinya gerai ini memberikan kualiti yang terbaik untuk pengunjung.

Tidak sukar untuk mencari gerai ini. Anda hanya perlu pergi ke medan selera di Seksyen 2 dan boleh cari kedai bernombor 14. Kedai ini dibuka bermula 9 pagi sehingga 12 tengah malam.

 

2. Kueh Cafe

Tempat minum petang di Shah Alam yang harus anda kunjungi jika anda penggemar kuih tempatan ialah di Kueh Cafe. Terletak di Seksyen 13, cafe ini menawarkan pelbagai jenis kuih tempatan, seiring dengan namanya. Antara kuih yang terdapat di kafe ini ialah kuih keria, ketayap, kek lapis, kuih seri muka dan bermacam lagi. Kuih-kuih di sini memang dijamin dengan kesedapannya dan cukup rasa, susah juga nak jumpa kuih sedap sekarang. Jadi kami memang sangat recommend kafe ini untuk penggemar kuih tradisional.

Jika anda bukan penggemar kuih, di sini juga terdapat menu selain kuih seperti nasi lemak, nasi kerabu, mi kari dan lain-lain. Sedap juga hidangan yang disediakan ini. Anda juga tidak perlu risau jika datang dalam bilangan yang ramai kerana kafe ini cukup luas gabungan dua buah kedai dan dekor dalamannya juga unik yang mengenakan gaya industrial.

Kafe ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

 

3. Nasi Bukit Padang Jawa

Waktu petang kalau nak makan nasi agak susah kerana kebiasaannya kedai lauk tengah hari sudah mula tutup, dan masakan panas pula agak lewat dibuka. Jadi kami kongsikan Restoran Nasi Bukit Padang Jawa bagi anda yang inginkan nasi di waktu petang. Menariknya di sini, saiz hidangan yang disediakan memang banyak dan membukit seperti namanya, baru puas hati kan tambah-tambah lagi jika perut memang sedang berkeroncong.

Walaupun saiz hidangan yang memang banyak, harga menu di sini tidaklah terlalu mahal, sangat berbaloi dengan harganya. Jika anda bukan jenis selera besar, dinasihatkan untuk berkongsi sahaja untuk elakkan pembaziran.

Selain nasi goreng yang membukit, anda juga boleh menikmati menu lain seperti set nasi kambing, nasi ayam penyet dan nasi ayam. Kambing bakar di restoran ini juga agak terkenal dengan kesedapannya.

 

4. Cendol dan Laksa UNISEL

Antara tempat minum petang di Shah Alam yang agak terkenal ialah di sini. Lokasinya terletak di atas bukit berhampiran UNISEL Seksyen 7 Shah Alam menjadikannya lokasi tumpuan pelajar UNISEL dan UiTM. Laksa utara yang dihidangkan di sini memang sedap, laksa yang pedas di samping cendol yang manis dan pekat menjadikannya kombo yang padu dan wajib dicuba.

Apa yang menariknya di sini, lokasinya yang agak tinggi menjadikan kawasan ini berangin. Sambil makan sambil layan angin dan view sekitar. Syok juga kan.

 

5. Rojak dan Cendol Shah Alam

Jika di Seksyen 2 anda boleh menikmati pelbagai jenis hidangan ABC, di Seksyen 24 pula anda boleh menikmati sekitar 100 jenis rasa cendol. Wah banyaknya! Selepas penat berjalan-jalan di Shah Alam, boleh isi perut dengan cendol pula.

Antara menu cendol di sini yang menjadi pilihan ialah cendol marshmellow, cendol madu, cendol buah tin dan paling popular mestilah cendol durian. Jika anda teringinkan cendol durian pada bukan musimnya, di sinilah lokasi yang perlu anda terjah.

Kedai di Medan Selera Seksyen 24 ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.

 

6. Eat & Repeat

Jika anda tak tahu nak makan atau minum apa untuk minum petang, kami sarankan untuk anda singgah ke restoran Eat & Repeat yang terletak di Pusat Komersil Seksyen 7  ini. Konsepnya ala-ala Boat Noodle, di mana hidangan yang disediakan dalam satu mangkuk kecil dengan harga RM1.90 sahaja.

Menu di sini terdapat pelbagai seperti mi hailam, nasi ayam cincang, nasi paprik dan banyak lagi. Jika anda hanya inginkan pencuci mulut, di sini juga terdapat ais krim pelbagai perisa. Boleh pilih sahaja mengikut citarasa anda, harga pun murah!

 

Akhir kata

Sekian, tempat minum petang di Shah Alam untuk anda singgah.

Anda tidak tahu nak kemana untuk bergambar di Shah Alam? Kami ada kongsikan tempat bergambar di Shah Alam yang memang cantik dan menarik.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply