Jika anda berkunjung ke Alor Setar, Kedah dan tidak tahu ingin ke mana, di sini kami kongsikan tempat menarik di Alor Setar untuk anda. Rugi jika anda tidak singgah ke tempat ini semua kerana masing-masing mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tempat makan sedap dan untuk kanak-kanak juga kami ada kongsikan.
Jom kita lihat apakah tempat menarik di Alor Setar, Kedah.
Tempat menarik di Alor Setar
1. Muzium Padi Kedah
Kedah antara negeri di Utara yang memang terkenal dengan pengeluaran hasil padinya. Malah makanan ruji kita juga beras, tak sedikit sebanyak kita harus tahu apakah proses yang terjadi di sebalik pembuatan beras yang menjadi makanan utama kita ini. Tahukah anda? Muzium Padi adalah muzium yang ke-4 yang dibina selepas negara Jepun, Filipina dan Jerman. Wahh mesti menarik jika menjejakkan kaki ke muzium ini.
Terletak berdekatan dengan Menara Alor Setar dan Masjid Zahir, muzium ini berlatarbelakangkan Gunung Keriang dan sangat cantik dilawati jika anda berkunjung pada musim menanam dan musim padi masak. Boleh ambil feel ambil gambar berlatarbelakangkan sawah padi yang luas.
Bayaran masuk untuk seorang dewasa hanyalah RM5 dan Rm2 untuk kanak-kanak. Muzium Padi ini dibuka pada hari Selasa hingga Ahad pada pukul 9 pagi hingga 5 petang.
2. Menara Alor Setar
Setelah berkungjung ke Muzium Padi, anda harus singgah ke Menara Alor Setar pula. Menara ini merupakan salah satu mercu tanda negeri Kedah dan memang wajib untuk anda kunjungi jika ke Kedah. Menara ini merupakan bangunan tertinggi di Kedah dan anda boleh melihat seluruh pemandangan Alor Setar dari menara ini.
Apa yang menarik tentang menara ini ialah ia juga digunakan sebagai balai cerap untuk melihat anak bulan. Anda boleh melihat seluruh Alor Setar dari menara ini dan boleh juga menjamu selera di restoran yang terdapat ni menara ini. Pasti seronok menjamu selera sambil menikmati pemandangan seluruh Alor Setar.
Harga tiket / Bayaran masuk dengan MyKad:
Dewasa: RM12
Pelajar Berkumpulan: RM8
Kanak-kanak/Warga Emas/OKU: RM8
Tel: (604) – 720 2234 / 720 2901
3. Taman Jubli Emas Alor Setar
Seterusnya, tempat menarik di Alor Setar ialah Taman Jubli Emas Alor Setar. Taman ini dibina sempena meraikan sambutan Jubli Emas Sultan Kedah ke-27 iaitu Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Selain itu, menariknya taman ini kerana ia memaparkan keunikan negeri Kedah sejak 1000 tahun dahulu.
Taman ini juga mempunyai Tugu Jubli Emas, ia dikelilingi lima arca keris yang melambangkan pemerintahan 50 tahun Sultan Abdul Halim. Tempat ini sangat sesuai jika anda ingin membawa keluarga anda untuk berjalan-jalan mengambil angin. Di sini juga terdapat sebuah kolam ikan dan kanak-kanak pasti seronok jika dapat memberi makanan kepada ikan. Di sini juga terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik seperti go-kart, papan luncur, payung terjun dan menunggang kuda.
4. Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir
Siapa tidak kenal bekas perdana menteri kita yang mentadbir paling lama ini kan? Tempat ini merupakan tempat yang wajib anda lawati jika anda berkunjung ke Kedah. Di sini, anda boleh menghayati pelbagai barangan yang digunakan oleh bekas perdana menteri kita ini. Barangan lama dan replika juga turut dipamerkan. Jadi, anda boleh hayati dan selami bagaimana kehidupan Tun Dr. Mahathir yang dahulu.
Selain itu, terdapat juga catatan dan gambar yang menceritakan tentang sejarah keempat-empat bekas Perdana Menteri Malaysia sejak Tunku Abdul Rahman. Anda akan mempelajari dan menghayati banyak kisah sejarah di rumah ini.
Rumah ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dan masuk adalah percuma.
5. Rumah Merdeka
Selepas ke Rumah Tun Dr. Mahathir, pastinya semangat patriotik anda akan lebih membara. Jom berkunjung ke Rumah Merdeka ini pula. Sesuai dengan namanya, rumah ini diberi nama sebagai Rumah Merdeka kerana di sinilah urusan untuk mendapatkan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Bapa Kemerdekaan kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman berbincang dan berurusan.
Rumah ini mempamerkan keadaan semasa Tunku menjalani kehidupannya dan turut memberikan banyak kenangan dan sejarah penting yang harus kita pelajari. Selain perabot dan barangan rumah asal, barangan peribadi Tunku juga turut dipamerkan untuk kita mengenali dengan lebih dekat lagi figura yang amat besar dalam sejarah kemerdekaan negara kita. Rugilah jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mengambil tahu antara sejarah penting dalam memerdekakan Tanah Melayu.
6. Pasar Karat Kampung Berjaya
Jika anda penggemar koleksi vintaj atau antik, anda harus kunjungi pasar karat ini. Pasar Karat Kampung Berjaya ini adalah antara pasar karat yang popular di Kedah. Di sini terdapat banyak gerai yang menjual barangan terpakai dan lama seperti duit lama, barangan tembaga, keris dan banyak lagi.
Selain barang lama, di sini juga terdapat jualan makanan basah dan kering. Selepas puas berjalan pastinya anda akan lapar dan dahaga. Jadi jangan risau, anda boleh mengisi perut di sini. Sayur-sayuran yang susah dijumpai juga ada dijual di sini.
Bagi anda yang ingin ke sini, dinasihatkan untuk datang awal kerana selepas Subuh tempat ini akan mula dipenuhi pengunjung. Tempat letak kereta juga tiada jadi untuk mengelakkan anda bersesak dan bersusah payah, datang awal ke sini. Pasar ini dibuka pada hari Jumaat dari 7 pagi hingga 1 tengah hari.
7. Gua Gunung Keriang
Bagi peminat alam sekitar, Gua Gunung Keriang merupakan salah satu tempat menarik di Alor Setar yang harus anda kunjungi. Terletak lebih kurang 8km dari Alor Setar, gua ini merupakan formasi batu kapur dan terdiri daripada beberapa gua menarik antaranya Gua Terus, Gua Pelamin dan Gua Seribu Bayur.
Antara tarikan popular di sini ialah gua ini mempunyai batu kristal yang pelbagai jenis dan bentuk. Kristal ini turut dijual di sini. Anda boleh membawa pulang kristal sebagai tanda kenangan. Selain itu, anda juga boleh mendaki Gunung Keriang jika anda berminat. Laluannya tidak begitu sukar dan tidak begitu tinggi. Di kawasan kaki bukit juga turut tersedia gerai makanan dan minuman jika anda ingin berehat melepaskan lelah selepas meneroka.
8. Balai Seni Negeri
Bagi penggemar seni pula, Balai Seni Negeri pasti akan menjadi tempat menarik di Alor Setar untuk anda. Tahukah anda? Bangunan ini pada asalnya dibina khas untuk Mahkamah Besar dan antara bangunan kerajaan moden terawal dibina di bandar Alor Setar. Reka bentuk dan seni bina bangunan ini banyak dipengaruhi oleh senibina Roman. Pasti sangat cantik jika anda ambil gambar di sini.
Balai seni ini menghimpunkan koleksi seni dari anak tempatan Kedah yang telah mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa. Balai seni ini juga turut mempamerkan seni ukiran kayu dan seni khat selain seni lukis.
Tiada bayaran yang dikenakan untuk masuk ke sini. Balai Seni Negeri Kedah ini dibuka dari Selasa hingga Ahad dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang (Jumaat tutup sementara dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang)
9. Masjid Al-Bukhary
Bagi seorang Muslim, kadang-kala kita akan singgah ke masjid untuk menunaikan ibadah. Jika anda berada di Alor Setar, jangan lupa singgah ke Masjid Al-Bukhari yang terletak hanya kira-kira 3km dari pusat bandar. Menariknya masjid ini telah dibiayai oleh jutawan terkenal Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.
Selain dari masjid, antara tarikannya ialah masjid ini dibina beserta dengan sebuah kompleks yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti hospital, tempat penginapan pelancong, ruang perniagaan dan lain-lain. Bukan itu sahaja, masjid ini juga turut menjadi asrama anak yatim dan rumah warga tua.
Setelah beribadah, anda boleh bersiar-siar di sekitar masjid ini juga. Reka bentuk masjid ini kebanyakannya direka mengikut inspirasi sepertimasjid yang terdapat di Turki dan Iran. Yang paling menarik sekali ialah pintu gerbang Masjid Al-Bukhary ini. Pintu gerbang di dalam masjid yang dibentuk sebanyak lima lapisan ini melambangkan lima Rukun Islam.
10. Galeri Sultan Abdul Halim Shah
Seterusnya, salah satu tempat menarik di Alor Setar ini ialah Galeri Sultan Abdul Halim Shah. Galeri yang terletak di kawasan Medan Bandar Alor Setar ini dahulunya merupakan Mahkamah Tinggi Alor Setar namun diubahsuai untuk dijadikan galeri. Dengan adanya galeri ini, orang ramai akan dapat mengenali lebih mendalam lagi tentang Sultan Abdul Halim.
Galeri ini mempamerkan hampir 2000 barangan koleksi peribadi Sultan Abdul Halim. Selain itu, dokumen rasmi, pakaian istana dan hiasan turut dipamerkan. Anda pasti akan teruja tentang carta yang menunjukkan susur galur keluarga DiRaja Kedah ini jika anda memang berminat dengan sejarah!
Jangan lupa juga mengambil gambar kenangan di sini. Reka bentuk dan seni bina galeri ini sangat cantik dan anda boleh berposing bersama teman dan keluarga anda.
11. Kota Kuala Kedah
Ini adalah lokasi wajib yang anda harus kunjungi jika bercuti di Alor Setar. Kota Kuala Kedah ini merupakan antara tapak kota bersejarah yang dibina pada zaman dahulu. Kota ini pernah diserang oleh Bugis, Acheh dan Siam. Wah rugi jika anda tidak menjejakkan kaki ke sini kerana terdapat banyak sejarah yang boleh anda pelajari di sini. Pasti membuatkan anda lebih menghargai pejuang-pejuang dahulu yang berjuang demi kebebasan.
Kota yang dikenali sebagai Kota Kuala Bahang ini agak luas kerana menempatkan beberapa tinggalan yang unik seperti Pintu Gerbang Kacapuri, Ointu Gerbang British, rumah api dan tembok-tembok lain. Di tengah-tengah kota ini terdapat sebuah muzium yang mempamerkan lebih kurang 60 koleksi artifak arkeologi, seramik dan batu bata asal kota. Kota ini juga mempunyai 13 buah peluru meriam dan enam buah meriam buatang Inggeris yang berusia lebih 100 tahun.
Kota ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
12. Masjid Zahir Alor Setar
Antara fakta menarik tentang Masjid Zahir Alor Setar ini ialah masjid ini merupakan masjid yang tertua di Kedah dan telah berusia lebih 100 tahun. Masjid ini juga merupakan mercu tanda yang terkenal kerana usianya dan juga mempunyai kubah yang berwarna hitam. Masjid ini mempunyai satu kubah utama dan lima kubah yang lebih kecil yang melambangkan lima rukun Islam. Tidak susah untuk ke sini kerana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar.
Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Zahrah atau Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin. Jadi sambil anda berjalan-jalan di Alor Setar, jangan lupa singgah ke masjid ini untuk menunaikan kewajipan di samping melawat masjid tertua ini.
13. Muzium Negeri Kedah
Jika anda sukakan sejarah, pastikan anda melawat juga Muzium Negeri Kedah. Muzium ini adalah muzium terbesar di negeri ini dan paling banyak menyimpan khazanah tentang sejarah negeri Kedah. Muzium ini merupakan bekas Istana Kota Setar yang merupakan pusat pemerintahan baginda Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah II. Reka bentuk bangunan ini banyak dipengaruhi oleh campuran kesenian Melayu dan Siam.
Terdapat 10 galeri pameran yang terdapat di muzium ini iaitu Dewan Sejarah, Dewan Seni Kraf, Dewan Kebudayaan, Dewan Manuskrip, Dewan Tekstil dan Sudut Bahasa dan Sastera. Pastikan anda melawat kesemuanya untuk mengetahui lebih lanjut tentang negeri Kedah.
Tiada bayaran yang dikenakan untuk masuk ke muzium ini. Muzium ini dibuka dari Selasa hingga Ahad.
14. Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah
Jika anda bercuti bersama anak-anak, tempat menarik di Alor Setar untuk kanak-kanak ialah di sini! Terdapat sekitar 150 pameran yang terdapat di sini untuk kanak-kanak. Pusat ini mempamerkan aktiviti yang mendedahkan kanak-kanak kepada ilmu sains, teknologi dan inovasi. Di sini, bukan sahaja kanak-kanak malah dewasa juga pasti akan garu kepala dengan teori sains yang baru dan mencabar minda.
Terdapat beberapa dewan yang disediakan mengikut temanya seperti Fascinating Tunnel, Kids Pavilillion, Science Mall dan Sudut Kreativiti. Anda boleh menghabiskan lebih 2 jam di sini. Selain itu, jika anda datang pada waktu yang tepat, anda boleh menonton Science Show yang sangat menarik! Petugas di sini akan membuat pertunjukan sains dan kebiasaannya akan turut melibatkan volunteer dari kanak-kanak untuk memeriahkan acara.
Harga tiket untuk dewasa ialah RM3 dan kanak-kanak sebanyak RM2. Sangat murah jika dibandingkan dengan ilmu yang kita dapat di sini. Waktu operasi Pusat Sains Negara ialah dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang, dan dibuka setiap hari kecuali Jumaat.
15. Balai Besar
Jika anda tidak tahu untuk ke mana-mana di Alor Setar, jom berkunjung ke Balai Besar. Balai ini merupakan sebuah balairung seni atau balai penghadapan yang dibina pada tahun 1735 dan berfungsi untuk mengendalikan upacara rasmi raja-raja dan kerajaan.
Menariknya balai ini terletak pada seni binanya. Balai ini dibina menggunakan kayu cengal emas dan mempunyai ukuran berwarna keemasan dan cermin dari Cina pada bumbungnya. Walaupun balai ini dibina beratus tahun yang lalu, tiang utamanya masih kukuh sehingga ke hari ini. Wah begitu hebat sekali balai ini. Anda juga akan dapat melihat seni-seni halus yang sangat mengkagumkan di sini.
Kedudukan Balai Besar ini juga tidak sukar untuk dicari kerana kedudukannya di tengah bandaraya Alor Setar dan dikelilingi bangunan bersejarah lain seperti Muzium DiRaja Kedah, Galeri Sultan Abdul Halim, Balai Nobat, Balai Seni Negeri dan Masjid Zahir. Anda boleh melawat semua tempat ini sekaligus!
16. Balai Nobat
Selepas ke Balai Besar, jangan lupa singgah di Balai Nobat. Balai ini juga dibina pada tahun 1735 dan fungsinya adalah untuk menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang digunakan pada upacara seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian DiRaja. Bangunan ini mempunyai 3 tingkat dengan kubah di kemuncaknya untuk mencerminkan unsur Islam. Anda boleh berjalan-jalan di sini untuk mengambil gambar dan menambah serba sedikit ilmu pengetahuan tentang adat dan budaya juga.
17. Kompleks Pekan Rabu Alor Setar
Tak lengkap percutian ke Alor Setar jika tidak membeli-belah. Antara tempat menarik di Alor Setar untuk membeli-belah ialah Pekan Rabu. Terletak di tengah-tengah bandaraya Alor Setar, kompleks ini menjadi lambang kemegahan kepada perniaga Melayu di negeri ini. Ini kerana kebanyakan peniaga di sini merupakan generasi ketiga dan keempat daripada peniaga asal Pekan Rabu yang mula dibuka sekitar tahun 1930. Pekan Rabu ini dibuka oleh putera DiRaja Kedah pada zaman dahulu untuk memberi peluang kepada orang Melayu berniaga dan menjual hasil tanaman dan perusahaan kampung yang turut dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Menariknya, di sini juga ialah tempat bekas perdana menteri kita iaitu Tun Dr Mahathir juga pernah berniaga. Beliau menjual cendol dan membuka kedai kopi serta menjual buah-buahan pada zaman penjajahan Jepun pada tahun 1942 hingga 1944.
Di sini terdapat bermacam-macam barangan yang dijual seperti barang hiasan rumah handmade, pakaian, kraftangan, makanan, kuih-muih tradisional dan lain-lain. Kompleks bangunan ini juga sangat luas dan sudah dinaiktaraf. Anda tidak perlu risau untuk duduk lama di sini kerana kemudahan seperti surau dan tandas turut disediakan.
18. Aiskrim Bazaar
Sudah penat berjalan-jalan, jika dapat melegakan tekak dengan aiskrim pasti seronok. Anda harus ke Aiskrim Bazaar ini! Menawarkan lebih 25 perisa aiskrim yang unik dengan konsep buffet, Aiskrim Bazaar ini menjadi tarikan pengunjung tidak kira dari negeri Kedah atau luar. Antara tarikan yang ditawarkan di sini ialah Aiskrim MaiCedok, di mana pengunjung boleh mengambil berapa banyak aiskrim yang akan ditimbang serta topping percuma. Seterusnya terdapat aiskrim gulung. Pengunjung tidak perlu susah-susah untuk ke Thailand untuk merasa aiskrim ini. Antara perisa yang popular ialah vanila, oreo dan strawberi.
Aiskrim Nyoq Muda juga menjadi pilihan pengunjung di sini. Aiskrim ini memang unik kerana ia diadun dengan santan kelapa muda dan memberikan rasa yang berlemak manis untuk anda. Sangat sesuai dan sedap dimakan pada waktu panas. Jangan lupa add-on topping jagung dan kacang untuk rasa yang lebih sedap!
Jika anda tidak berapa gemar dengan aiskrim, di sini juga anda boleh merasai cendol yang sangat unik buatannya. Cendol ini menggunakan santan sawit dan air gula merah. Cendolnya juga tidak dibeli, malah dihasilkan sendiri. Ditambah dengan hirisan buah-buahan segar seperti betik, pisan dan buah naga. Kurang sedikit rasa bersalah jika anda sedang diet.
Jika anda ingin merasakan keunikan rasa aiskrim yang ditawarkan di sini, lokasinya di Kompleks Perniagaan Saga, Jalan Alor Mengkudu yang terletak tidak jauh dari Tol Alor Setar Selatan.
19. Restoran Nasi Lemak Royale
Tempat wajib datang jika anda ingin menjamu selera ialah di sini. Nasi lemak dengan lauk masakan kandar yang meriah seperti kari, gulai, dan kuah madu memang memberi rasa yang lain dari yang lain. Terdapat juga banyak lagi lauk yang lain seperti daging masak kicap, ayam goreng dan sotong. Kombinasi rasa nasi lemak di sini sangat berbeza dari nasi lemak yang selalu kita makan.
Dikatakan nasi lemak royale yang popular di sini ialah Nasi Lemak Royale Hijau Kuning. Kedai makannya tidak pernah kosong membuktikan masakan di sini memang sedap! Jika anda memang peminat nasi lemak, jangan lupa menjamu selera di sini.
20. Laksa Ikan Sekoq
Kedah memang terkenal dengan hidangan laksa. Laksa utara memang menjadi sinonim dengan kuahnya yang pekat, masam dan pedas. Peminat laksa wajib merasa laksa di Laksa Ikan Sekoq. Seperti namanya, uniknya di sini laksa akan dihidangkan bersama ikan seekor yang menjadikannya lebih sedap dari laksa utara lain. Jika anda kurang gemar dengan ikan, anda boleh tukar juga dengan udang.
Seronoknya lepak di sini kerana warung ini terletak di tepi pantai. Sambil makan anda boleh menikmati angin pantai di waktu petang. Anak-anak juga pasti tidak bosan boleh bermain di tepi pantai sambil makan.
Selain laksa, terdapat juga makanan lain seperti keropok lekor, abc, laicikang dan cendol pulut. Selepas menahan pedas laksa, boleh legakan tekak dengan pencuci mulut juga.
21. Gulai 7 Kawah
Jika anda ingin menikmati makanan tengah hari di tempat yang banyak pilihan dan murah, semestinya Gulai 7 Kawah ini menjadi pilihan. Terdapat 7 pilihan gulai kawah untuk anda seperti gulai daging itik, gulai daging kambing dan gulai ayam kampung. Tidaklah mempunyai gulai sahaja, di sini juga terdapat hidangan lauk tengah hari yang banyak lagi. Pasti pening kepala anda nak makan apa.
Di sini juga terdapat pelbagai jenis pulut seperti pulut ayam dan pulut pelam untuk anda nikmati. Pasti anda keluar dari kedai ini dengan perut penuh!
22. Kuey Teow Iman
Walaupun kuey teow terkenal di Pulau Pinang, namun di Alor Setar juga mempunyai kuey teow yang wajib anda rasa jika berkunjung ke Alor Setar.
Iman Kuey Teow ini merupakan salah satu restoran yang popular di kalangan warga tempatan dan juga pelancong luar. Menu yang dihidangkan ini memang sedap dan sangat rugi jika anda lepaskan. Kuey teow di sini dimasak menggunakan sos kicapnya yang tersendiri dan rasanya memang sedap dan lain dari yang lain.
Kedai ini sudah beroperasi selama lebih 35 tahun yang bermula dari warung tepi jalan sahaja. Namun sehingga kini masih terkenal kerana kesedapannya.
Anda juga boleh merasa menu selain dari kuey teow seperti nasi lemak, nasi ayam dan satay.
23. Warung Roti Canai Celaru
Kenapa namanya Roti Canai Celaru? Ini kerana kuah roti canai ini dihidangkan bersama dal, kari dan sambal tumis sardin yang diolah sendiri, di samping telur mata yang pasti membangkitkan selera.
Warung ini merupakan warung sarapan pagi yang sangat terkenal. Warung Roti Canai Celaru ini mempunyai pelbagai menu roti canai yang lain dengan roti canai biasa.
Jika anda ingin datang ke sini, pastikan anda datang awal pagi kerana tempat ini sentiasa penuh dengan pengunjung. Rugilah anda jika ke Alor Setar tetapi tak merasa Roti Canai Celaru ini.
Akhir kata
Sekian perkongsian dari kami mengenai tempat menarik di Alor Setar. Jika anda ingin bercuti di sekitar Kedah, kami juga ada kongsikan tempat menarik di Kedah selain Pulau Langkawi untuk anda.
Selain itu, ada juga tempat menarik di Pulau Langkawi jika anda ingin bercuti di sini.
Selamat bercuti!