Bila kita sebut Port Dickson, pasti kita akan terus teringat pantai dan Lexis Hibiscus. Dengan kedudukannya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur, memudahkan lagi anda untuk ke tempat menarik di Port Dickson dan rancang percutian anda. Kebiasaannya, kita hanya akan tertumpu untuk mandi pantai sahaja jika ke Port Dickson, kan?

Tapi sebenarnya, anda tahu tak banyak lagi tempat yang boleh dilawati selain mandi pantai. Apa yang menarik di PD? Terlalu banyak kalau nak disenaraikan di sini. Pelbagai aktiviti lain seperti melawat kawasan bersejarah, mengambil gambar 5D, membuat aktiviti lasak dan banyak lagi aktiviti lain yang boleh dibuat di sini. Selepas anda puas mandi pantai, boleh melawat kawasan lain juga.

Izinkan kami berkongsi.

Tempat menarik di Port Dickson

Jangan menggelabah kalau anak-anak asyik bertanya apa yang menarik di Port Dickson. Ikuti perkongsi kami seperti di bawah:

1. Alive 3D Art Gallery

Galeri seni ini menawarkan 50 koleksi yang menarik dan interaktif yang pastinya seronok dikunjungi. Selain mengambil gambar, anda juga boleh memegang, memeluk dan berinteraksi dengan bahan pameran tersebut. Wah! Seronoknya!

Anda juga pasti akan berseronok dengan zon yang berlainan tema iaitu Adventure, Aquarium, Animation, Exotic dan Dark Art Zone. Tempat ini pasti akan memberi pengalaman yang menarik untuk anda. Anda juga boleh mencetak gambar anda di baju, cawan dan sarung bantal juga di kedai cenderahati.

Lokasi galeri ini terletak di Bandar Dataran Segar Lukut. Dibuka dari pukul 11 pagi hingga 11 malam Isnin sehingga Jumaat. Hujung minggu dan cuti sekolah pula dibuka dari pukul 10pagi hingga 11 malam. Anda dinasihatkan supaya datang awal untuk mengelakkan tempat ini terlalu sesak. Jangan lupa bawa stokin sekali kerana anda perlu menanggal kasut di sini.

 

2. Rumah Terbalik

Salah satu tempat percutian di Port Dickson yang pasti membuatkan anak-anak suka ialah Rumah Terbalik.

Apa yang seronok di Rumah Terbalik di Port Dickson ni? Pastinya kedudukan rumah ini yang terbalik! Tempat ini amat seronok untuk dilawati dan pasti anda akan bergelak tak henti ketika posing di sini. Reka bentuknya yang unik pasti akan membuat anda terkesima kerana jarang nak lihat rumah terbalik di Malaysia ini kan.

Rumah terbalik ini mempunyai dua tingkat. Tingkat pertama meletakkan reka bentuk rumah terbalik. Terdapat ruang tamu, tandas dan beberapa bahagian rumah lagi. Di sini bukan sahaja ada rumah terbalik, anda juga boleh bergambar dengan pameran 3D di sini. Jika anda tak puas bergambar di Alive 3D art Gallery, pastikan anda singgah ke sini pula!

Jika anda bukan ‘kaki gambar’ dan tidak berapa mahir bergambar, jangan risau. Di sini ada disediakan pekerja untuk membantu anda mendapatkan hasil yang terbaik.

Harga tiket untuk masuk Rumah Terbalik Port Dickson ini ialah sebanyak RM20 untuk dewasa, dan RM15 untuk kanak-kanak. Tempat ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

 

3. Muzium Tentera Darat Port Dickson

Jika anda pencinta sejarah, Muzium Tentera Darat ini pasti akan menarik minat anda. Terdapat pelbagai bahan artifak dan replika sejarah dari zaman penjajahan Portugis sehingga saat Malaysia mencapai kemerdekaan. Semangat patriotisme anda pasti akan menyala apabila anda melawat muzium ini.

Untuk pengetahuan anda, muzium tentera darat ini juga adalah muzium tentera terbesar di Malaysia. Bahan pameran dan infrastrukturnya juga setanding dengan muzium-muzium tentera di luar negara. Wah kagum betul bila mengetahui fakta ini. Sambil bercuti, kita boleh memanfaatkan percutian kita dengan ilmu sejarah ini. Memang sesuai dijadikan destinasi tempat menarik di PD.

Di dalam muzium ini bukan sahaja ada gambar dan dokumen, malah teknologi perang dari zaman keris sehingga bom pemusnah turut dipamerkan. Menarik betul! Baru kita dapat merasakan kepayahan zaman dulu berbanding sekarang.

Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki muzium ini. Muzium ini juga dibuka dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

 

4. Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas

Selepas melawat Muzium Tentera Darat, pasti keinginan anda untuk mengetahui sejarah lebih dalam, bukan? Jom kita melawat Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas pula. Pada masa dahulu, Pengkalan Kempas merupakan sebuah pelabuhan kecil yang menjadi tempat perhentian bagi kapal dan perahu.

Yang menariknya di sini terdapat sebuah makam tua serta sebatang batu bersurat dan beberapa kepingan batu tua yang diukir oleh orang zaman dahulu. Selain itu, terdapat juga binaan batu Megalit di sini. Batu Megalith ialah batu pra-bersejarah yang besar yang telah digunakan untuk membina struktur atau monumen, sama ada bersendirian atau dibina bersama dengan batu-batu lain. Di kompleks sejarah ini, terdapat tiga bentuk baru megalith saling berdekatan yang dikatakan menyerupai pedang dan senduk dengan ukiran purba. Satu lagi terasing di bawah binaan yang melindunginya.

Begitu banyak info dan maklumat yang anda boleh perolehi jika anda berkunjung ke sini. Terletak kira-kira 20km dari Pantai Teluk Kemang, selepas anda mandi pantai boleh pula melawat dan berjalan-jalan di sini. Kompleks ini juga diketahui sebagai Makam Keramat Sungai Udang. Kami kongsikan lokasi Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas untuk anda.

 

5. PD Ostrich Show Farm

Jika anda pencinta haiwan, boleh plan percutian anda ke PD Ostrich Show Farm. Ladang ini menempatkan lebih kurang 20 ekor burung unta. Terdapat juga beberapa ekor burung unta jinak yang dibiarkan berkeliaran. Bukan sahaja terdapat burung unta, haiwan lain turut ada seperti kambing, arnab, keldai dan kuda kerdil. Pasti seronok melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat. Anda juga boleh memberi makan kepada mereka. Sangat menarik dan pasti worth for the gram. Selain memberi makan, anda juga boleh menunggang sendiri burung unta tau, rugi jika anda lepaskan peluang ini jika sudah sampai.

Selain melihat burung unta, terdapat juga aktiviti lain yang boleh dibuat di sini. Antaranya ialah menunggang ATV, memanah dan juga paint-ball. Jika dah bosan melihat haiwan boleh cuba aktiviti-aktiviti menarik ini pula.

Satu lagi benda yang anda wajib buat di PD Ostrich Farm ini ialah mencuba sate burung unta! Bukan senang kita nak jumpa sate burung unta kan, sesekali bila dapat peluang jangan lepaskan pula. Dah penat berjalan memberi haiwan makan, masa untuk kita pula mencuba daging mereka.

Ada beberapa perkara juga yang anda perlu fikirkan jika ingin berkunjung di sini. Memandangkan haiwan di sini ada dibiarkan bebas, ladang ini berkemungkinan tidaklah begitu bersih tetapi tidaklah kotor. Jika anda agak cerewet dengan kebersihan, tempat ini kurang sesuai untuk anda.

Ladang ini dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 6 petang. Harga tiket untuk dewasa ialah RM20 dan untuk kanak-kanak ialah RM15.

 

6. Pulau Burung

Tahukah anda? Anda boleh berjalan sahaja untuk menuju ke Pulau Burung ini. Untuk ke pulau ini ada tersedia jambatan sepanjang 150m. Malah jika anda tiba pada waktu air surut, anda boleh berjalan dari pantai tanpa menaiki jambatan.

Terletak bersebelahan Pantai Cahaya Negeri, pulau ini merupakan sebuah pulau kecil yang dikategorikan sebagai kawasan hutan paya laut. Pulau ini terkenal dengan keindahan pokok bakaunya yang sangat indah. Suasananya yang nyaman di waktu petang yang menjadikannya tarikan dan adakala ada juga pasangan pengantin baru berkahwin yang menjadikan tempat ini sebagai tempat photoshoot untuk perkahwinan mereka.

Selain itu, Pulau Burung ini juga menjadi salah satu tempat menarik di Port Dickson bagi kaki pancing. Kebanyakan penduduk setempat gemar memancing di sini namun tidak digalakkan untuk memancing semasa musim cuti persekolahan kerana terdapat banyak banana boat di pantai ini. Jika anda tetap mahu memancing, boleh berkunjung ke sini pada waktu malam. Suasana pun lebih tenang.

 

7. Rantau Eco Park

Kita sering bercuti di tepi pantai jika ke Port Dickson, sekali-sekala kita tukar angin bercuti di Rantau Eco Park pula terutama jika anda adalah kaki pancing. Tasik di sini sangat luas dan selain dari memancing, anda juga boleh berkayak di sini. Selain itu, tarikan utama tempat ini juga ialah kolam renangnya yang sangat luas. Jika anda membawa anak-anak, pasti seharian pun tak cukup untuk mereka puas menghabiskan masa bermandi-manda.

Tempat ini juga amat sesuai jika anda ingin membuat majlis perkahwinan atau pun program-program sekolah. Fasiliti di sini sangat lengkap dan pasti memberikan keselesaan untuk setiap pengunjung. Terdapat juga beberapa pakej yang disediakan bergantung kepada keperluan anda. Anda boleh melihat maklumat lanjut di Facebook Rantau Eco Park.

 

8. Hutan Simpan Sungai Menyala

Salah satu tempat best di PD ialah Hutan Simpan Sungai Menyala.

Pencinta alam semula jadi pasti akan gemarkan tempat ini. Ini kerana hutan simpan ini mempunyai antara pokok tertua di Negeri Sembilan yang berusia 200 hingga 300 tahun. Kawasan hutan simpan ini memang menjadi salah satu lokasi popular bagi mereka yang gemarkan alam semula jadi. Selain itu, hutan simpan ini juga merupakan salah satu hutan dara yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Hutan dara ialah hutan yang masih tidak dijalani aktiviti perhutanan seperti pembalakan, penerokaan dan sebagainya. Pasti menarik kan untuk datang ke hutan ini.

Ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Antaranya ialah jungle trekking, memerhati burung dan hidupan liar, berbasikal dan berjogging dan juga melawat galeri yang disediakan di sini. Aktiviti di sini amat sesuai jika anda seorang yang lasak dan cintakan alam sekitar. Pasti akan memberikan anda pengalaman yang unik apabila anda berada di sini. Perkhemahan juga dibenarkan di sini, pasti seronok dapat tidur di hutan sambil ditemani bunyi alam semula jadi pada waktu malam. Di sini juga terdapat Galeri Orang Asli bagi anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang orang asli.

Anda tidak perlu risau akan fasiliti di sini kerana telah lengkap tersedia untuk kemudahan pengunjung. Beberapa jenis bilik dan dorm juga tersedia jika anda datang beramai-ramai.

 

9. Bukit Batu Putih

Pendaki bukit atau hiker pasti sukakan tempat ini. Bukit Batu Putih menjanjikan view yang sangat cantik dengan pemandangan laut biru dan jika anda datang pada waktu yang baik, pasti dapat bergambar bersama matahari terbit atau terbenam.

Pendakiannya tidaklah sukar, hanya 30 minit sahaja dari permulaan anda boleh sampai ke puncak. Tetapi anda digalakkan untuk bersedia jika ingin mendaki mana-mana bukit untuk stamina yang lebih tahan lama. Jika anda datang pada hujung minggu, pastikan anda tiba awal kerana ramai yang akan mendaki termasuk kanak-kanak bila tiba cuti sekolah atau hujung minggu.

Bayaran sebanyak RM1 akan dikenakan untuk mendaki bukit ini. Dengan bayaran yang murah ini, anda boleh merasai sendiri pengalaman di tempat tinggi dengan angin laut yang meniup kencang. Jangan lupa singgah di Rumah Api Tg Tuan di sini, anda boleh mengambil gambar kenangan juga!

 

10. Taman Tema Wild West

Nikmati percutian yang unik di Taman Tema Wild West, Port Dickson! Taman tema ini merupakan pusat hiburan yang menyeronokkan tak kira untuk dewasa atau kanak-kanak. Antara tarikan utama mestilah funfair yang pasti menggembirakan kanak-kanak yang berkunjung ke sini.

Di sini juga terdapat 7D dan 5D Cinema yang akan memberikan pengalaman yang unik bukan seperti biasa anda menonton wayang. Untuk dewasa, tersedia permainan arked untuk anda cuba dan juga Virtual Reality (VR) Game, silap-silap anda yang tak mahu keluar dari sini. Reka bentuk dan hiasan dalaman bangunan tiga tingkat ini juga sangat menarik dan kreatif. Jika anda berani, di sini juga ada rumah hantu untuk menguji keberanian anda.

Anda juga boleh menguji minda anda dan ahli keluarga dengan bermainan permainan di Awake Thrill/ Escape Game yang terdapat di sini. Terdapat 5 jenis bilik yang berbeza tema dan anda perlu menyelesaikan misi di dalam setiap bilik ini. Antara tema yang ada ialah, Save the Princess, The Awakening of Pharaoh, Haunted Mansion, The Defense of Galaxy dan Mirror Room.

Jika anda sudah lapar dan penat beraksi, isi perut anda di Cowboy Restaurant. Pelbagai jenis makanan Western disediakan di sini. Reka bentuk dan hiasan dalaman restoran ini juga sangat menarik, boleh feeling seperti berada di negara orang.

Harga tiket untuk dewasa ialah RM38 dan kanak-kanak ialah RM28 dan setiap hari tempat ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

 

11. Balai Cerap Kompleks Baitul Hilal

Lokasi terbaru bagi tempat menarik di Port Dickson ialah Balai Cerap Kompleks Baitul Hilal. Jika anda mempunyai minat yang tinggi terhadap ilmu astronomi atau kaji bintang, pasti tempat ini sangat bermakna buat anda. Balai cerap ini merupakan pusat kegiatan melihat anak bulan, kajian bintang dan sistem cakerawala. Balai cerap ini memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara dan terbesar di Malaysia yang membuatkan balai cerap ini antara balai cerap yang terkenal di Malaysia.

Kompleks balai cerap ini pada mulanya didirikan sebagai tempat penyelidikan astronomi, kemudiannya dibuka kepada orang awam untuk tujuan mempromosi edu tourism di Port Dickson. Terdapat pelbagai pameran artifak yang dipamerkan di sini untuk anda lihat.

Balai cerap ini terletak bersebelahan dengan Klana Beach Resort. Terletak di tepi pantai, anda juga boleh berjalan-jalan di pantai sekitar balai cerap ini. Jika anda menginap di sini, anda boleh ke balai cerap ini tanpa dikenakan bayaran. Tetapi bayaran untuk pengunjung luar tidak begitu mahal dengan harganya yang tak sampai RM10 untuk seorang. Ilmu yang bakal diperoleh lebih berharga dari harga tiket yang dibayar. Waktu operasi balai cerap ini bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

 

12. PD Water Front

Ini adalah salah satu tempat menarik di Port Dickson waktu malam.

Jika anda mahu sekadar bersantai dan berjalan-jalan, PD Water Front tempat yang sangat sesuai. Dengan pemandangan pantai yang indah dan tiupan angin laut yang manja, sudah cukup untuk menghiburkan hati dan mendamaikan jiwa. Nak ambil gambar kenangan pun boleh di sini.

Kebiasaannya pengunjung yang datang ke sini akan menjamu selera di sini kerana terdapat banyak kedai makan segera seperti McDonalds, Dominos dan Starbucks. Seusai penuhkan perut, elok sangat jika berjalan-jalan di pesisir pantai ini. Waktu petang yang berangin juga menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain layang-layang. Pada waktu malam pula, bunyi hempasan ombak pasti akan menenangkan jiwa anda. Sekali sekala seronok juga menikmati antara nikmat dunia ini.

Di sini juga terletak banyak hotel jika anda ingin menginap. PD Waterfront juga terletak tidak jauh dari bandar Port Dickson. Jadi anda juga boleh menginap di sini jika inginkan pemandangan laut yang tenang.

 

13. Kota dan Muzium Lukut

Selain dari pantai, Port Dickson mempunyai banyak tempat bersejarah. Antara tempat menarik di Port Dickson ialah Kota dan Muzium Lukut. Kota ini sebenarnya kubu yang telah didirikan pada tahun 1847 oleh Raja Jumaat. Wah fakta yang menarik! Muzium ini memaparkan sejarah Kota Lukut termasuklah sejarah pentadbiran, pertahanan dan sistem ekonomi pada masa itu. Jika anda ingin menambah ilmu pengetahuan, boleh jejakkan kaki anda ke sini.

Di sini terdapat pelbagai koleksi dan bahan pameran yang berkaitan dengan sejarah kegemilangan Lukut. Apa yang menarik sangat dengan Kota Lukut ini? Pada awalnya, Kota Lukut merupakan kawasan di bawah kerajaan Selangor, kemudian dibuka menjadi lombong bijih timah. Kemerosotan kota ini berlaku apabila cukai yang dikenakan terhadap pelombong sangat tinggi dan menyebabkan mereka marah sehingga pemerintah ketika zaman itu iaitu Raja Busu dibunuh. Jika anda nak tahu dengan lebih lanjut, anda harus ke Kota dan Muzium Lukut ini.

Terdapat 4 galeri utama di muzium ini iaitu Galeri Sejarah Lukut, Galeri Nassau, Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional. Senibina muzium ini juga sangat menarik kerana ia merupakan bangunan Melayu Bugis yang menjadi kebanggaan.

Di sini fasiliti yang disediakan juga lengkap. Terdapat tandas, surau, tempat parking kereta dan taman permainan kanak-kanak. Selain itu, terdapat juga kesan kebu Kota Lukut yang anda boleh lawati di sini. Pemandangan untuk mengambil gambar juga sangat cantik kerana tempat ini agak tinggi kedudukannya.

Muzium ini dibuka setiap hari kecuali Isnin pertama setiap bulan bermula 9 pagi hingga 5 petang. Kemasukan juga percuma.

 

14. Pusat Ikan Hiasan Teluk Kemang

Siapa kata kalau ke Port Dickson tak dapat tengok ikan? Walaupun ikannya di dalam akuarium, namun masih setanding dengan ikan-ikan di pulau.  Diuruskan oleh Jabatan Perikanan Port Dickson, Pusat Ikan Hiasan Teluk Kemang ini merupakan sebuah tempat yang mempamerkan pelbagai hidupan laut yang menarik dan eksotik di dalam akuarium.

Terdapat juga beberapa jenis ikan yang boleh anda sentuh, tidaklah hanya melihat dari luar sahaja. Menarik kan? Selain itu, anda juga boleh belajar serba sedikit tentang hidupan laut jika anda datang ke sini. Selain ikan, tempat ini juga mempamerkan hidupan laut yang lain seperti ular laut, kuda laut dan terumbu karang.

Pusat ikan hiasan ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang dan tiada bayaran kemasukan dikenakan untuk pengunjung.

 

15. Extreme Park PD

Peminat sukan extreme dan lasak pasti akan sukakan tempat ini. Dengan pelbagai aktiviti yang disediakan, anda juga boleh menghirup udara segar kerana kebanyakan aktiviti ini dilakukan di luar secara outdoor. Antara aktiviti lasak yang anda boleh lakukan ialah ATV fun ride, paintball, memanah, go-kart dan bermacam lagi. Seronok kalau datang beramai-ramai.

Terletak tidak jauh dari Port Dickson, jika anda belum puas berseronok di sini, boleh singgah ke pantai pula untuk bermandi-manda. Antara nasihat yang kami boleh berikan ialah tempat ini digalakkan untuk dewasa dan kanak-kanak berumur 12 ke atas kerana aktiviti yang disediakan kurang sesuai untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Jadi, anda boleh plan kembali rancangan anda jika mempunyai kanak-kanak yang masih kecil. Kasihan pula jika kita berseronok tetapi mereka hanya boleh melihat.

Dapatkan info tambahan mengenai Extreme Park di laman web mereka.

 

16. Masjid Sri Sendayan

Sebagai umat Islam, kita wajib menunaikan solat Fardhu dalam apa keadaan sekalipun. Sekali sekala jika kita menunaikan solat di masjid pasti akan memberikan ketenangan jiwa yang lain jika solat di tempat lain. Jika anda bercuti di Port Dickson, singgah ke Masjid Sri Sendayan ini untuk menunaikan solat.

Anda pasti akan terpukau dengan senibina masjid ini kerana rekaan hiasan dalamannya begitu indah. Ini kerana kebanyakan hasil seni yang digunakan pada masjid ini banyak dibawa dari luar negara seperti Maghribi, Mesir, Turki, China dan Dubai. Keindahan masjid ini yang sangat memukau dan unik sehingga mendapat gelaran sebagai Masjid Kerajaan Uthmaniyyah, Taj Mahal dan Masjid Nabawi.

Masjid ini juga merupakan masjid yang terbesar di Negeri Sembilan dan mampu memuatkan 5000 jemaah pada satu masa. Kemudahan lain seperti dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah, perpustakaan, bilik kuliah, dewan makan dan bangunan pentadbiran juga turut disediakan. Selepas menunaikan solat, anda boleh berjalan di sekitar sini.

 

17. Pantai Tanjung Tuan

Setelah hiking di Bukit Batu Putih dan melihat Rumah Api Tanjung Tuan, jangan lupa singgah ke Pantai Tanjung Tuan ini pula. Terletak berdekatan sahaja dengan bukit ini, anda boleh melepaskan lelah di sini sambil menghirup udara pantai kerana di sini tidak digalakkan untuk mandi kerana kawasannya terjaga rapi.

Pantai ini merupakan pusat rizab hidupan liar, oleh itu tiada pembangunan yang dilakukan di sini untuk mengekalkan alam semula jadi yang sudah indah permai ini. Apa yang menarik lagi di sini ialah orang awam boleh berjalan melalui hutan-hutan di sini untuk mengakses beberapa kawasan terpencil. Jika anda mempunyai sikap adventure yang tinggi, anda boleh meneroka hutan di sini.

Mengikut kajian oleh pakar, terdapat 119 spesis baru karang pelbagai jenis dijumpai di sekitar laut Tanjung Tuan dan Pulau Terumbu. Jadi kita tidak boleh sesuka hati bermandi-manda di sini dikhuatiri akan mengganggu hidupan laut di sini. Kawasan ini juga dilarang sebagai aktiviti perikanan seperti memukat, membubu, merawai dan memancing. Jadi kaki pancing tidak boleh memancing di sini, anda hanya boleh berjalan-jalan sahaja di sini sambil menikmati keindahan alam.

 

Akhir kata

Sekian perkongsian dari kami tempat menarik di Port Dickson selain dari pantai. Selepas ini, anda boleh rancang percutian anda di Port Dickson! Selepas mandi-manda, boleh ke tempat yang kami kongsikan ini.

Ketahui tempat menarik di Selangor yang percuma jika anda ingin meluangkan masa di Kuala Lumpur pula.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply