Pulut kuning rendang ayam ini sering dihidangkan ketika majlis keraian seperti kenduri, akikah, dan juga hari istimewa. Pulut kuning diperbuat daripada pulut yang direndam serta dikukus bersama santan, serbuk kunyit, dan sedikit garam. Hasilnya, pulut ini kelihatan kekuningan, cantik, serta berlemak dengan sedikit rasa masin.
Tekstur pulut ini sedikit kenyal dan sangat sesuai dipadankan dengan hidangan rendang ayam. Rendang ayam dimasak bersama santan, serai, lengkuas, halia, bawang merah, bawang putih, dan cili kering. Proses memasak rendang ini mengambil masa yang lama untuk memastikan kuahnya menjadi pekat dan meresap ke dalam semua bahan, menghasilkan rasa yang kaya dan berempah.
1. Resepi Pulut Kuning Rendang Ayam
Bahan-bahan Pulut Kuning Rendang Ayam
Bahan pulut kuning
- 1 kg beras pulut
- 1 1/2 cawan santan pekat/ kakak guna santan kara kotak kecil jer.
- 1 sudu besar garam kasar
- 2 sudu besar gula
Bahan rendaman pulut
- Serbuk kunyit 1 sudu kecil
- Asam keping 1@3 keping.
Bahan rendang ayam
- 1 ekor ayam
- 2 cawan santan
- 2 sudu kerisik.(jika takde pun takpe.)
- 1@2 asam keping
- 1 helai daun kunyit diracik halus
- 3 helai daun limau purut
- Minyak untuk menumis
- Garam & gula secukup rasa
Bahan kisar rendang ayam
- 15@20 biji cili kering
- 1@2 biji bawang besar
- 3 biji bawang merah
- 9 ulas bawang putih
- 3 batang serai
- 3 inci kunyit hidup
- 3 inci halia
- 3 inci lengkuas
Cara nak buat Pulut Kuning Rendang Ayam
Pulut kuning
- Basuh sampai bersih pulut dan rendam semalaman@ 6 jam bersama serbuk kunyit dan asam keping.
- Kukus pulut selama 25 minit. Saya letak daun pandan untuk aroma wangi. Nak alas daun pisang pun boleh juga.
- Masukkan gula dan garam dalam santan, kacau sampai larut (rasa dulu santan ikut selera masing-masing nak macam mana ya) kemudian masukkan dalam pulut yang baru diangkat. Kacau/Arung pulut sehingga rata dan biarkan seketika.
- Masukkan semula pulut dalam kukusan dan kukus dalam 15@20 minit lagi.
- Untuk nampak pulut berkilat cantik, boleh taburkan sedikit gula atas pulut.
Rendang ayam
- Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar (cili kering, bawang besar, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia, dan lengkuas) sehingga naik bau dan pecah minyak. Masukkan serai yang telah dititik.
- Tambahkan ayam yang telah dipotong ke dalam kuali dan kacau rata hingga ayam kecut dan mesra dengan rempah.
- Tuangkan santan ke dalam kuali dan kacau perlahan-lahan supaya kuah tidak pecah minyak terlalu awal. Masukkan asam keping.
- Tambahkan garam, gula, dan kerisik. Gaul sebati dan biarkan rendang mereneh sehingga kuah menjadi pekat.
- Akhir sekali, taburkan daun kunyit yang telah dihiris halus untuk menaikkan aroma rendang.
- Masak sehingga rendang benar-benar pekat dan ayam empuk
Sumber: Hajar Mohd dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
2. Resepi Pulut Kuning Rendang Ayam Sedap
Bahan-bahan Pulut Kuning Rendang Ayam Sedap
Bahan rendang ayam
- Serai/Lengkuas/Kunyit/ Halia*
- Bawang merah / Bawang Putih*
- Cili Api(ikut kepedasan)*
- Blend yang *
- Kerisik Nyiur
- Ayam
- Santan
- Daun kunyit/Daun limau purut
- Garam/Gula@Nisan
Bahan pulut kuning
- Beras pulut di rendam sekurangnya 2-4jam
- basuh bersih beras dan letakkan kunyit debu dan asam gelugur
- Santan diletak gula dan garam (ikut rasa )
Cara nak buat Pulut Kuning Rendang Ayam Sedap
Rendang ayam
- Panaskan minyak dalam kuali, kemudian tumis semua bahan kisar (cili kering, bawang besar, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia, dan lengkuas). Masak lama sehingga garing dan air bawang kering.
- Setelah bahan tumisan garing, masukkan kerisik dan kacau rata. Teruskan memasak sehingga campuran semakin kering.
- Masukkan sedikit air dan masak sehingga kering. Ulang langkah ini sebanyak tiga kali untuk memastikan rempah benar-benar masak dan sebati.
- Tuangkan santan ke dalam kuali dan teruskan memasak sehingga kuah menjadi pekat.
- Masukkan ayam yang telah dipotong, kemudian kacau hingga ayam bersalut dengan rempah. Masak sehingga kuah semakin pekat dan meresap ke dalam ayam.
- Biarkan rendang mereneh sehingga kering dan pecah minyak. Taburkan daun kunyit yang telah dihiris halus sebelum diangkat.
Pulut kuning
- Toskan beras pulut yang telah direndam dan masukkan ke dalam kukusan bersama daun pandan. Gunakan api besar dan kukus sehingga pulut masak sepenuhnya.
- Setelah pulut masak, pindahkan ke dalam bekas besar untuk proses ‘mengarung’ (menggaul santan ke dalam pulut).
- Ketika pulut masih panas, tuangkan santan yang telah dicampur dengan garam dan gula ke dalam pulut.
- Gunakan teknik mengarung, iaitu ambil pulut dari bahagian bawah ke atas untuk memastikan santan meresap sekata. Pecahkan ketulan pulut jika ada yang bergumpal.
- Jika rasa masih kurang garam atau gula, boleh ditabur ketika pulut masih berwap supaya mudah sebati.
- Masukkan semula pulut ke dalam kukusan dan kukus selama lebih kurang 10 minit.
- Setelah dikukus, ulang proses mengarung untuk kali kedua bagi memastikan pulut lembut, berlemak, dan tidak bergumpal.
Sumber: Emilia Abdul Ghani dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Selain Pulut Kuning Rendang Ayam, Apa Lagi Resepi yang Berasaskan Pulut
Pulut boleh dijadikan macam-macam hidangan, baik yang manis atau pelengkap hidangan. Kalau bosan dengan Pulut Kuning Rendang Ayam, jom cuba beberapa resepi pulut lain yang tak kurang sedapnya.
1. Pulut Panggang
Pulut Panggang ialah satu kuih tradisi yang enak dan beraroma, diisi dengan sambal udang kering atau serunding kelapa. Pulut yang sudah berinti ini dibungkus dengan daun pisang dan dibakar hingga wangi, menghasilkan rasa lemak, pedas dan sedikit berasap.
2. Pulut Durian
Pulut Durian adalah hidangan yang sempurna untuk pencinta durian! Pulut lemak manis ini disajikan dengan isi durian segar dan kuah santan pekat yang manis. Gabungan yang cukup sempurna.
3. Pulut Ayam Thai
Pulut Ayam Thai adalah hidangan yang cukup terkenal di Thailand. Pulut dimakan seperti nasi, disajikan bersama ayam goreng berempah yang garing dan sos pedas manis ala Thai. Kombinasi rasa pedas, manis, memang menarik.
4. Pulut Hitam
Pulut Hitam adalah bubur manis yang sedap dan sedikit rasa lemak. Beras pulut hitam dimasak hingga pekat dan dihidangkan bersama dengan santan cair yang lemak. Rasanya yang manis dan berlemak menjadikannya hidangan yang sempurna untuk pencuci mulut.