Ayam buttermilk ialah hidangan ayam goreng rangup yang disalut dengan kuah berkrim berasaskan susu cair (buttermilk), mentega dan daun kari, menghasilkan rasa yang lemak, pedas, manis dan sangat wangi. Hidangan ini sering dijumpai di restoran masakan Barat tempatan dan kafe hipster, serta menjadi pilihan utama dalam menu fusion Melayu-Cina.
Ayam biasanya dipotong kecil, diperap dan digoreng rangup menggunakan salutan tepung. Sementara itu, kuah buttermilk dimasak menggunakan mentega, bawang putih, cili padi, daun kari, susu cair, susu pekat manis dan sedikit keju atau tepung jagung untuk memekatkan sos. Ayam goreng yang masih panas kemudian digaul dalam kuah ini sehingga disaluti sepenuhnya. Rasa ayam buttermilk sangat lemak berkrim dengan sedikit pedas dan aroma daun kari yang menaikkan selera. Ia biasanya dihidang bersama nasi putih panas.
Masakan Buttermilk Chicken
1. Resepi Ayam Buttermilk Mudah Cepat dan Sedap
Bahan-bahan
- 2 ketul besar ayam bahagian dada,
- 4 sudu besar mentega
- 1/2 tin susu cair
- Sekeping cheesedale.
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 biji bawang besar potong dadu
- 2 tangkai daun kari
- 4 biji cili padi
Bahan salutan ayam
- Tepung bistari
- Sedikit garam
Cara buat ayam buttermilk
- Potong dadu isi ayam, bersihkan dan toskan airnya.
- Masukkan sikit garam ke atas ayam dan gaulkan sebati.
- Gaul ayam dengan tepung. Basahkan ayam sikit, gaul lagi dengan tepung.
- Goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
Cara masak ayam buttermilk
- Dalam kuali, panaskan butter sehingga cair dan tumis bawang besar, bawang putih, cili dan daun kari sehingga naik bau.
- Masukkan susu cair dan cheesedale.
- Masak sehingga kuah pekat. Kemudian masukkan ayam yang digoreng tadi.
- Perasakan dengan garam dan perasa secukupnya. Siap.
Sumber: Nurul Glassware Ipoh dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
2. Resepi Ayam Buttermilk Simple
Bahan-bahan
- Ayam bahagian dada
- Susu cair
- bawang putih, hiris halus
- Butter
- Daun kari
- Cili padi
Bahan-bahan untuk tepung salutan ayam
- 2-3 sudu besar tepung serbaguna bestari
- 1 biji telur
- Sedikit garam
- Air secukupnya
Cara masak ayam buttermilk
- Potong dadu isi ayam, bersihkan dan toskan air.
- Masukkan telur dan garam kedalam mangkuk dan masukkan ayam gaulkan sebati.
- Masukkan tepung serbaguna bestari (pedas) dan sedikit air. Kacau supaya tepung pekat dan menyaluti ayam. Perap selama 30 minit atau lebih.
- Goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
- Dalam kuali, panaskan butter sehingga cair dan tumis bawang putih, cili dan daun kari sehingga naik bau. (Kalau tak makan pedas jangan letak cili padi).
- Masukkan susu cair. Kemudian masukkan ayam yang digoreng tadi. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
- Siap.
Sumber: Nurul Q Aini dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
3. Resepi Ayam Buttermilk 15 Minit
Bahan-bahan
- Isi Ayam (dipotong dadu)
- Mentega / Marjerin (1 sudu besar)
- Tepung Gandum (ikut kuantiti ayam)
- Serbuk Kari (ikut kuantiti ayam)
- Susu Cair (satu tin)
- Daun Kari
- Cili Api (optional)
- Telur (1 biji)
- Cheese Slice (optional)
- Garam & perasa
Cara masak ayam buttermilk
- Perapkan isi ayam dengan tepung gandum, serbuk kari, telur dan garam.
- Goreng ayam separuh masak.
- Cairkan mentega dan tumis daun kari dan cili api sehingga naik bau.
- Masukkan susu cair dan masak sehingga mendidih.
- Masukkan cheese slice dan masak sehingga cheese cair.
- Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan masak sehingga pekat.
- Jika mahukan kuah, boleh tambah sedikit susu cair atau air.
- Perasakan dengan garam, perasa dan siap.
Sumber: Fellina Fattah dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Apa Lagi Menu Ayam Yang Popular?
Selain ayam buttermilk, ayam juga boleh dipelbagaikan cara masakan. 3 lagi menu ayam yang popular adalah:
1. Ayam Salted Egg
Hidangan ayam goreng yang disalut dengan sos telur masin yang diperbuat daripada kuning telur masin yang dikisar halus, mentega, daun kari dan cili padi untuk memberi rasa pedas.
2. Ayam Korean Sauce
Hidangan ayam goreng yang disalut dengan sos Korea yang manis dan pedas, diperbuat daripada sos gochujang, madu, bawang putih dan bijan. Ayam digoreng rangup sebelum disalut dengan sos.
3. Ayam Masak Lemak Cili Api
Hidangan ayam yang dimasak dalam kuah santan yang pekat dengan cili padi, kunyit, serai dan daun kesum. Masakan ini mempunyai rasa pedas dan lemak yang seimbang.