Air cocktail (koktel) adalah sejenis minuman pencuci mulut yang lazimnya disediakan dengan mencampurkan pelbagai jenis buah-buahan dalam tin, susu, dan bahan-bahan lain yang memberikan rasa manis dan segar. Air cocktail dihidangkan sejuk dengan tambahan ais, menjadikannya minuman yang menyegarkan terutama di waktu panas atau semasa majlis perayaan dan kenduri.
Untuk menyediakan air cocktail, beberapa bahan utama yang biasa digunakan seperti susu cair (biasanya jenama Carnation atau Ideal), susu pekat manis untuk memberikan rasa manis dan lemak pada minuman, buah-buahan campuran dalam tin seperti buah koktail atau laici dan nata de coco yang menambahkan tekstur kenyal dan rasa manis.
Penyediaan air cocktail buah-buahan adalah mudah. Tapis dan buang air dari buah-buahan dalam tin untuk mengelakkan rasa masam. Campurkan susu cair, susu pekat, dan sedikit garam dalam bekas dan kacau hingga sebati. Selepas itu, masukkan buah-buahan yang telah ditapis tadi bersama nata de coco. Tambahkan ais dan sedikit esen vanilla untuk aroma yang menyegarkan.
Resipi Air Cocktail
1. Resepi Air Cocktail Buah-Buahan
Bahan-bahan
- 1@2 tin Susu Sejat
- ½ tin Susu Pekat
- 1 tin Buah-buahan dalam tin (buang air utk elak rasa masam, terpulang)
- Sedikit Esen Vanilla
- Garam secubit(bagi rasa lemak-lemak, baru umphhh)
- Ais
Cara buat air cocktail buah-buahan
- Campurkan dan kacau susu sejat bersama susu pekat & garam hingga larut.
- Masukkan buah-buahan dalam tin dan letak ais gaul sebati.
- Dah siap untuk dinikmati!
Sumber: Siti Khadijah Binti Mohammad dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
2. Resepi Air Cocktail Soda Mudah
Bahan-bahan
- 1 tin cocktail
- 1 tin susu cair
- 1 cwn ais soda
- 1/2 cwn susu pekat
Cara buat air cocktail soda mudah
- Masuk semua dalam satu bekas dan kacau.
- Simpan dalam peti sejuk sekejap.
- Bila nk minum, boleh masuk ketul ais.
- Sedia untuk dinikmati.
Sumber: Iedaa Jahaya dari Berkongsi Ilmu Kuih Muih & Masakan (BIKMM)
3. Resepi Air Cocktail Bandung Buah-Buahan
Bahan-bahan
- 1 tin laici
- 1 tin buah buahan campur
- 1 tin susu pekat
- 1 tin susu cair
- Perasa sirap
- Ais
Cara buat air cocktail bandung buah-buahan
- Campurkan semua bahan (tambah sedikit air jika nk kurangkan manis) .
- Tambah ais dan siap.
Sumber: Ira Idris dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
4. Resepi Air Cocktail Kayangan
Bahan-bahan
- 1 liter fresh milk Dutch lady
- 1 tin susu pekat
- 2 block cincau (diparut/potong dadu )
- 2 tin buah laici
- 1 tin buah longan
- 1 tin buah peach
- 1 tin buah kabong
- 2 biji buah naga
- biji selasih secukupnya
( rendam biji selasih sekejap bagi kembang ) - Sedikit garam
- ais secukupnya
Cara buat air cocktail kayangan
- Mula-mula cincau (diparut/potong dadu).
- Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk/bekas besar dan kacau sebati.
- Masukkan ais. Kacau dan hidangkan.
Sumber: Shuhada Are-da dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Akhir kata
Mudahkan nak buat resepi ini?.
Orang kata air penyejuk tekak ketika musim panas, terutama sekali bulan Ramadan.
Kalau teringin air lain, jemput baca resepi air mata kucing dan air mangga yang juga cukup menyegarkan ini.
Selamat mencuba!