Pelajar dari kelas belakang memang selalu kena panggil bodoh. Sudah biasa. Apa tidaknya, gred A tak ada. Yang ada cuma C, D, E dan F. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna budak kelas belakang tidak ada hak untuk jadi pelajar cemerlang yang berjaya.

Jika anda ibu bapa yang masih mempunyai anak yang bersekolah, jangan terlalu risau dengan keputusan yang dilihat di laman SAPS Ibu Bapa. Itu tidak menggambarkan keseluruhan tentang anak.

Robert Kiyosaki

Jangan terlalu cepat menilai. Robert Kiyosaki juga ada pendapat beliau yang ditulis menjadi buku.

Kata beliau, budak yang dapat A, selalunya akan bekerja untuk budak yang dapat C. Budak dapat B pula, akan bekerja dengan kerajaan.

Benarkah pendapat ini?

Wallahualam. Hanya sesiapa yang pernah melalui dan mengalaminya, akan faham.

Kelebihan pelajar biasa

Sebenarnya, ada beberapa kelebihan pada budak kelas belakang yang orang tak nampak. Hinggakan, banyak yang kata, pelajar yang selalu dapat gred C ini, selalunya lebih berjaya dari pelajar yang cemerlang.

Nota: Ini adalah corak pembelajaran dahulu. Kini, tidak ada lagi streaming atau pembahagian kelas mengikut kepandaian dan tahap penguasaan pelajar.

 

Pelajar kelas belakang juga pelajar cemerlang

Izinkan kami berkongsi, kenapa mereka selalunya lebih baik dari pelajar kelas depan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, mereka boleh dan mungkin lebih berjaya dalam hidup dari orang lain yang hebat semasa di sekolah.

 

Bagi mereka, markah ujian bukan penentu hidup

Budak kelas belakang tidak fikir tentang berapa banyak A yang dia akan dapat.

Dia cuma perlu main, main, dan main sambil belajar. Bukannya belajar, belajar, belajar baru main sedikit-sedikit.
Dalam alam pekerjaan, adakah markah 5 bintang dari pelanggan itu penting? Tentu sekali tidak.

Laman Lifehack mengatakan, budak-budak yang kurang pandai ini, yang selalu dapat gred C, selalunya akan lebih berjaya lepas habis sekolah.

Jika anda seorang pelajar yang sedang membaca artikel ini, janganlah jadikan alasan untuk tidak belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Gred A tetap lebih baik dari C. Bukankah lebih bagus jika dapat A dan berjaya dalam hidup?

Bagi yang pernah nampak perkara ini, walaupun ada yang berjaya dalam SPM, tak semestinya dia berjaya dalam kerjaya.

Betul tak?

 

Tak mengharap pujian cikgu dalam akademik

Untuk lulus pun susah, apatah lagi untuk dapat A dalam mana-mana mata pelajaran. Prestasi budak kelas belakang dalam akademik, memang agak menyedihkan.

Namun, pujian dari cikgu dalam bidang akademik, dan berapa banyak A, bukanlah menjadi motivasi mereka.

Sebaliknya, jika cikgu kata “Terima kasih banyak-banyak. Rajinnya tolong cikgu”. Itu lebih berharga buat mereka.

 

Tak peduli apa orang kata

Biarlah apa orang kata, mereka tetap dengan diri mereka.

Budak kelas belakang selalunya buat tidak tahu bila orang-orang sekeliling pandang rendah.

Sudah biasa katanya. Alah bisa, tegal biasa.

Walaupun selalu dipanggil bodoh dan budak malas, dia tak pernah rasa apa-apa.

 

Kejayaan bagi dia, sesuatu yang berbeza

Yakni kejayaan bagi budak kelas belakang bukanlah kecemerlangan dalam peperiksaan.

Budak kelas belakang, kalau boleh tulis karangan satu muka surat penuh, itu pun mereka sudah bangga.

Budak kelas belakang, jika dapat markah 50% dalam ujian Matematik, ia sudah cukup bagus buat mereka.

Mereka ini lebih terarah kepada perkara-perkara dan tugasan yang menggunakan tangan dan tenaga.

Sebab itu golongan kelas belakang ini, lebih berjaya dalam bidang yang melibatkan skil dan hands-on.

 

Hanya belajar apa yang dia suka

Dari sudut pendidikan di sekolah, pasti ini salah. Cuma, dari kapasiti dan kebolehan budak kelas belakang itu sendiri, mungkin agak susah untuk mereka mengikuti pelajaran yang agak berat.

Jadi, mereka lebih suka belajar apa yang mereka suka sahaja. Otak pun tidak berat untuk belajar mata pelajaran yang sukar untuk difahami konsepnya.

Mereka lebih fokus dengan cara begini.

 

Budak kelas belakang, bukan ‘perfectionist’

Mereka ini ‘generalist‘. Mereka jenis yang belajar dari kesilapan.

Tentu sekali banyak kesilapan dan kesalahan yang mereka telah buat. Cuma budak kelas belakang tidak malu mengaku yang dia buat silap.

Buat silap, betulkan. Buat silap lagi, betulkan lagi.

Tiada ego disitu.

 

Lebih pandai bersosial

Mungkin agak nakal dan tidak dengar kata. Tetapi mereka bukanlah jenis pendiam yang hanya duduk melihat sahaja. Budak kelas belakang selalu budak yang aktif.

Kelas paling bising? Tentulah kelas belakang.

Hidup seimbang, inilah yang akan membantu mereka bila masuk alam pekerjaan nanti.

 

Hormat cikgu dan orang tua

Kebanyakan, bukan semua, murid kelas belakang pandai hormat cikgu dan orang tua. Mereka bukan jenis berlagak. Sejuk hati hati cikgu yang mengajar.

Memanglah tidak pandai mana, tapi rajin membantu tanpa mengharap apa-apa.

Inilah yang dikatakan pelajar cemerlang. Cemerlang dari sudut sahsiah, itu lebih baik dari sekadar cemerlang dari sudut akademik semata-mata.

 

Akhir kalam

Jika anda pernah menjadi golongan budak kelas belakang, dan jenis pelajar gred C, anda pasti faham perasaan ini. Tentu sekali anda sedang tersenyum sekarang kerana anda telah membuktikannya.

Jadi, buat ibu bapa di luar sana, jangan rasa rendah diri jika anak kita tidak pandai mana. Itulah rezeki kita, terima seadanya.

Banyakkan berdoa pada Allah, jika tidak beri rezeki anak yang bijak dan yang pandai dalam akademik, jadikan dia orang yang berakhlak.

Jangan cepat putus asa.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

1 Comment

Leave A Reply