Pada zaman sekarang, memiliki penyaman udara atau aircond ibarat menjadi satu keperluan kepada kebanyakan rumah, bukan sahaja di Malaysia, malah di kebanyakan negara di seluruh dunia. Jadi pada kali ini, izinkan kami kongsi tips beli aircond supaya lebih selesa di rumah.

Pada zaman dahulu, sesiapa yang berkemampuan dan inginkan suhu yang sejuk di dalam rumah, mereka akan memasang aircond, biasanya di kawasan ruang tamu, ataupun di bilik tidur. Memandangkan kos memasang aircond serta kos bulanan untuk ditanggung amat tinggi, memiliki aircond dianggap sebagai satu kemewahan.

Tetapi tidak pada zaman sekarang. Suhu di Malaysia menjadi semakin panas, dan kanak-kanak serta warga emas kadangkala tidak mampu untuk bertahan dengan suhu sebegini walaupun kipas dibuka. Semakin hari, penggunaan aircond menjadi semakin penting. Tetapi, bukan semua pemilik rumah yang peka tentang kesesuaian jenis aircond untuk kawasan dalam rumah mereka.

Tips beli aircond

Di bawah, akan dikongsikan tips bagi anda pemilik rumah yang ingin membeli aircond untuk rumah anda.

Kuasa Kuda/Horsepower (HP)

Kalau anda nak tahu, kuasa kuda atau horsepower (HP) untuk sesebuah aircond memainkan peranan dalam menentukan jenis aircond yang sesuai untuk sesebuah tempat atau ruang. Semakin besar ruang itu, semakin tinggi HP yang diperlukan bagi sesebuah aircond. Selain ruangan, faktor lain yang mampu mempengaruhi HP sesebuah aircond ialah suhu bilik itu sendiri. Bilik yang mudah dan banyak terdedah kepada cahaya matahari memerlukan aircond dengan HP yang tinggi, supaya aircond mampu menurunkan suhu di bilik itu dengan efektif.

Oleh itu, anda perlukan mendapatkan tips dan nasihat daripada pakar yang mahir tentang aircond. Anda akan dibantu untuk memilih aircond yang terbaik untuk rumah anda.

 

Tips beli aircond, perlu tahu inverter dan no-inverter

Selain itu, anda juga perlu tahu tentang perbezaan antara penyaman udara jenis inverter atau non-inverter.

  • Aircond jenis inverter lebih jimat dari segi kos elektrik bulanan berbanding aircond jenis biasa atau non-inverter, kerana jenis inverter memerlukan penggunaan selama 8 jam minimum, tetapi lebih mengurangkan kos berbanding aircond non-inverter yang akan menambahkan lagi kos apabila lebih lama digunakan
  • Aircond jenis inverter mempunyai komponen-komponen atau spare part yang mahal berbanding aircond biasa atau non-inverter.
  • Aircond jenis inverter mampu untuk menyesuaikan suhu sesuai dengan keperluan bilik. Bermakna sekiranya suhu bilik sudah menjadi sejuk, aircond akan menjadi perlahan supaya tidak terlalu sejuk, berbanding aircond jenis biasa yang akan terus-menerus menurunkan suhu bilik.

Bagi yang ingin kurangkan bil elektrik TNB setiap bulan, gunakanlah jenis inverter.

 

Jenis Penyaman Udara Yang Sesuai Untuk Rumah

Tips beli aircond yang perlu diutamakan juga ialah jenis aircond tersebut.

Ada dua jenis aircond yang anda boleh pilih untuk pasang di rumah anda, iaitu aircond jenis unit pisah atau aircond jenis kaset.

Di kebanyakan rumah, pemilik rumah memasang aircond jenis unit pisah atau split unit, iaitu aircond yang digantung di dinding, berdekatan dengan siling. Aircond jenis ini didatangkan dengan satu unit luar (compressor) dan satu unit dalam. Unit dalam perlu dipasang pada ketinggian 7 hingga 8 kaki dari paras lantai, bagi bilik yang mempunyai ketinggian siling pada 10 kaki. Sekiranya di Kawasan ruang tamu di rumah anda mempunyai ruang pada ketinggian tersebut yang juga berdekatan dengan siling, jadi ia sesuai untuk dipasang aircond.

Aircond jenis kaset pula sesuai untuk dipasang di dalam rumah, di mana ketinggian siling dari lantai rumah melebihi daripada 10 kaki. Set aircond jenis ini juga didatangkan dengan satu unit luar (compressor) dan satu unit dalam. Unit dalam akan digantung di siling rasuk (ceiling beam), iaitu di bahagian belakang siling plaster dan hanya panel yang nipis sahaja akan kelihatan.

Bahagian yang tersorok dibelakang siling plaster biasanya setebal 700mm. Oleh sebab itu, penyaman udara kaset ini sesuai dipasang di ruang tamu yang mempunyai kawasan void yang sangat tinggi atau di bilik loteng.

 

Cara Penggunaan Aircond Di Dalam Rumah

Tips beli aircond yang seterusnya ialah berkenaan cara penggunaan.

Cara dan juga kekerapan anda menggunakan aircond juga akan mempengaruhi jenis aircond yang sesuai untuk anda beli. Sekiranya rumah anda kosong atau tiada sesiapa pada waktu siang, anda dinasihatkan untuk membeli aircond dengan kuasa kuda atau HP yang lebih tinggi. Kenapa? Kerana aircond dengan HP yang lebih tinggi akan lebih cepat menyejukkan sesebuah ruang, sesuai dengan keadaan penghuni rumah anda yang mungkin baru pulang dari kerja pada lewat petang.

Sekiranya rumah anda ada orang pada waktu siang, tahap kecekapan tenaga atau energy efficiency pula akan diambil kira bagi aircond tersebut untuk menyejukkan sesebuah ruang. HP yang tinggi pun mungkin akan jadi tidak sesuai, sekiranya ahli keluarga anda ingin melakukan aktiviti di dalam rumah sehingga terpaksa menyelimutkan seluruh badan. Faktor lain juga adalah seperti kualiti penjimatan elektrik. Ahli keluarga anda di rumah berkemungkinan akan memasang aircond melebihi daripada 12 jam sehari, jadi faktor ini sangat perlu diambil kira.

Cara untuk tahu sama ada aircond yang anda ingin beli itu jimat elektirk atau tidak, adalah dengan menyemak Energy Efficiency Label. Terdapat bintang yang tertera pada label tersebut, dan semakin banyak bintang, maka semakin cekap aircond tersebut dalam hal pengendalian tenaga. Dalam erti kata lain, aircond tersebut lebih jimat kos elektrik.

 

Fungsi Pada Alat Kawalan Jauh (Remote Control) Penyaman Udara

Dunia semakin moden. Aircond juga menjadi semakin maju, di mana terdapat banyak versi aircond dengan fungsi yang baru pada alat kawalan jauh atau remote control. Secara asas, beberapa fungsi asas patut anda kenali pada remote untuk aircond:

  • Butang ON/OFF – Untuk menghidupkan/mematikan aircond
  • Butang kawalan suhu (Temperature setting) – Untuk anda tentukan suhu aircond yang sesuai mengikut keperluan anda dengan suhu bilik/ruang itu sendiri
  • Butang kelajuan kipas (Fan speed) – Anda boleh tentukan kelajuan kipas sama ada perlahan, sederhana, laju atau automatik, bergantung kepada suhu bilik serta suhu yang telah disetkan pada penyaman udara tersebut.
  • Butang Pemasa (Timer) ON/OFF – Anda boleh menentukan untuk aircond anda dihidupkan atau dimatikan secara automatik tanpa anda perlu menekan butang ON/OFF. Anda menentukannya dengan memasukkan masa untuk airconddihidupkan atau dimatikan
  • Butang Mod Tidur (Sleep mode) – Anda boleh menggunakan mod ini sebelum anda tidur, dan aircond akan ON dan menyejukkan bilik, serta akan OFF secara automatik, apabila suhu bilik sudah sesuai dengan yang anda kehendaki.

Aircond murah sekalipun, tetap ada remote control.

 

Kekerapan Aircond Untuk Diselenggara (Servis)

Aircond anda perlulah dijaga dengan baik supaya dapat tahan lama dan mengelakkan pembaziran. Aircond yang tidak diselenggara akan menggunakan power yang lebih tinggi, dan akan meningkatkan kos elektrik bulanan anda. Salah satu cara untuk menjaganya dengan baik adalah dengan menjalankan servis secara berkala.

Jangan beli aircond murah dan lupa tentang servis. Aircond harga mahal sekalipun, jika tak servis, akan rosak juga.

Servis berkala dapat meningkatkan kadar kecekapan (efficiency) aircond anda. Menurut pakar, setiap tahun kadar kecekapan aircond anda akan turun 5% jika tidak diservis. Jika aircond itu tidak diservis selama tiga tahun, kadar kecekapannya akan turun 15% dan seterusnya akan memberi kesan pada prestasi dan jangka hayatnya.

Servis berkala juga dapat memastikan aircond sentiasa berada dalam keadaan baik. Sebarang kerosakan kecil boleh dibaiki dengan segera sebelum ia menjadi lebih teruk dan akan memakan kos yang lebih tinggi.  Servis berkala mampu memastikan aircond anda berada pada kadar kecekapan 95% seperti asal dan membantu untuk menyahlembapkan (dehumidify) rumah anda.

 

Akhir kalam

Sekali lagi, jangan lupa dapatkan bantuan daripada yang pakar tentang aircond untuk mendapatkan tips tentang jenis aircondyang sesuai untuk rumah anda, bergantung kepada ruang mana yang anda ingin pasang, sama ada di ruang tamu atau bilik tidur, atau di ruang-ruang lain yang anda rasa sesuai.

Diharapkan agar perkongsian tips beli aircond ini dapat memudahkan urusan anda untuk membuat pilihan dan seterusnya membeli penghawa dingin untuk keluarga. Hati-hati bila beli secara online di Lazada atau Shopee. Disarankan agar pergi ke kedai elektrik untuk melihat kondisinya terlebih dahulu.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply