Apabila sudah berkeluarga pastinya kita akan cuba untuk memberikan yang terbaik buat keluarga, termasuklah dalam soal pemilihan kenderaan. Jadi, sebelum keluar duit banyak, lebih baik baca perbandingan SUV terbaik di Malaysia terlebih dahulu.
Ada yang mengatakan kenderaan SUV sesuai untuk mereka yang berkeluarga.
Benarkah antara pilihan SUV terbaik jenama tempatan ialah Perodua Aruz dan Proton X70?
Yang paling penting, yang mana satukah SUV terbaik untuk orang yang sudah berkeluarga?
Sabar, kami akan terangkan satu persatu.
Apa itu kenderaan SUV?
Untuk makluman, kenderaan Sport Utility Vehicle, SUV atau dikenali sebagai Kenderaan Utiliti Sukan, boleh dianggap sebagai kenderaan ‘sport’ yang memiliki kelebihan struktur binaan yang membolehkannya membawa kapasiti beban muatan yang lebih banyak.
Berbanding dahulu, kenderaan jenis SUV pada masa kini banyak menjadi pilihan dan popular dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga, terutama kerana faktor keluasan dan saiz yang ditawarkan.
SUV hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya seperti Toyota Fortuner yang masih dihasilkan dalam kerangka ‘ladder frame’, SUV dalam segmen-C seperti Honda CR-V, SUV kompak seperti Honda HR-V.
Terdapat pelbagai jenama pilihan SUV yang berada dipasaran, namun, terdapat dua jenama yang lebih menjadi sebutan, iaitu SUV keluaran Proton dan Perodua.
Calon SUV Terbaik di Malaysia #1: Perodua Aruz
Pelancaran
Dilancarkan pada Januari 2019, SUV keluaran Perodua, Aruz yang dipadankan dengan enjin 4-silinder 1.5 liter Dual VVT-i bersama transmisi automatik 4-kelajuan, mampu menghasilkan kuasa pada 103hp bersama tork 136Nm.
Bukan SUV sebenar?
Sejujurnya, jika dilihat dari segi rekaan, Aruz tidak boleh dikategorikan sebagai SUV sebenar kerana ia lebih kelihatan seperti sebuah MPV, seperti Toyota Avanza. Namun, dari aspek reka bentuknya, tidak dinafikan ia tampil dengan sentuhan moden dan dinamik.
Harga Perodua Aruz
Didatangkan dalam dua pilihan varian, Aruz bagi varian 1.5 X boleh dimiliki pada harga RM72,900 (atas jalan tanpa insurans) dan varian 1.5 AV ditawarkan pada harga RM77,900 (atas jalan tanpa insurans).
Sesuai jalan kampung
Dari aspek ketinggian yang ditawarkan Aruz, ia menjadikan model ini sebagai sebuah kenderaan yang sesuai untuk dipandu melalui jalan yang tidak rata atau berlubang tanpa perlu mengelaknya.
Sedap layan ‘corner‘
Tetapi dari aspek pemanduan, dengan ketinggian Aruz, SUV keluaran Perodua ini mungkin kurang bersesuaian buat individu yang gemar atau biasa memandu kereta dengan ‘melayan corner’.
Malahan ia juga tidak sesuai buat mereka berjiwa kelajuan.
Bukan untuk ‘performance‘
SUV ini bukan direka lebih kepada aspek prestasi, tetapi ia direka lebih kepada aspek ‘kekeluargaan’ di mana mampu membawa tujuh individu dalam masa yang sama.
Sesuai untuk ‘off-road’
Apa yang boleh disimpulkan, Perodua Aruz sesuai untuk kegunaan off-road ringan atau kawasan pedalaman, dan sesuai untuk mereka yang inginkan kenderaan yang tinggi.
Spec Perodua Aruz
Antara kelengkapan lain yang turut ada pada Aruz adalah seperti 6 beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang Push Start, dan port pengecas bagi ketiga-tiga barisan (USB di barisan satu dan dua, soket 12V di barisan ketiga).
Selesa jika ramai ahli keluarga
Faktor keselesaan pastinya menjadi faktor utama dalam pemilihan sesebuah kenderaan, khususnya buat mereka yang memiliki bilangan ahli keluarga yang ramai.
Apa yang boleh dikatakan Aruz boleh memberikan keselesaan kepada penumpangnya.
Dengan kerusi baris ketiga yang boleh dilipat, pastinya ia memberikan ruang tambahan mengikut keperluan sekiranya perlu mengisi barang.
Calon SUV Terbaik di Malaysia #2: Proton X70 & X50
Dua jenis pilihan SUV yang ditawarkan Proton, X70 dari segmen C yang sudah berada dalam pasaran sejak Disember 2018 dan X50 dari segmen B yang dikatakan akan memasuki pasaran tidak lama lagi.
X50, spec lebih rendah dari Proton X70?
Ada yang ura-ura yang mengatakan Proton X50 yang akan dikeluarkan akan mengadaptasi kenderaan subkompak, Geely Binyue yang dilancarkan di China dan berkemungkinan akan dijual pada harga bermula sekitar RM75,000 sehingga RM95,000 seunit, bersama spesifikasi yang lebih rendah berbanding X70.
Harga Proton X70
Bagi Proton X70 pula, ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans, bermula dari RM99,800 harga dengan pilihan empat varian; Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD.
Spec Proton X70
Keempat-empat varian yang dilengkapi dengan transmisi automatik 6-kelajuan, dijana dengan enjin petrol 4-silinder 1.8 liter turbocaj yang dapat menghasilkan kuasa pada 181hp bersama tork 286Nm.
Didatangkan dengan 3 pilihan mod pemanduan; Normal, Eco dan Sport, Proton X70 juga turut disertakan dengan 6 beg udara, sistem ABS, kamera undur dan 4 sensor parkir belakang yang pasti memudahkan pemandu terutamanya pemandu wanita ketika ingin meletakkan kenderaan.
Selesa depan dan belakang
Dari aspek keselesaan, pastinya ia menjanji keselesaan buat penumpangnya tidak kira sama ada bagi penumpang tempat duduk hadapan mahupun penumpang tempat duduk belakang.
Enjin Proton SUV mengaum
Cuma dari aspek pemanduan, oleh kerana X70 dijana enjin 1.8L, apa yang boleh dikatakan ia menjanjikan prestasi pemanduan tahap sederhana tetapi enjin pastinya akan sedikit mengaum apabila pemandu ingin meningkatkan kelajuan terutama ketika berada di jalan berbukit.
Tetapi bagi pemanduan di lebuh raya atau jalan biasa, X70 tidak akan mendatangkan sebarang masalah.
SUV Terbaik di Malaysia: Perodua Aruz atau Proton X70?
Jadi jika ditanya yang mana satu harus dijadikan pilihan, sama ada Proton X70 atau Perodua Aruz, anda harus mengetahui keperluan utama atau faktor utama yang anda inginkan pada sesebuah kenderaan.
Kalau mahu prestasi
Jika anda inginkan prestasi, maka anda harus memilih Proton X70 yang lebih sesuai untuk mereka yang mementingkan aspek pemanduan dan prestasi.
Kalau mahu selesa
Namun, jika anda ingin memilih kenderaan untuk membawa keluarga anda berjalan atau dalam erti kata lain, sebagai kenderaan keluarga, maka Perodua Aruz harus dijadikan pilihan anda. Pilihlah SUV terbaik untuk keluarga anda.
Kalau masih belum mampu, tak apa. Boleh naik Yamaha Ysuku dulu.
Semoga bermanfaat!