Nasi Tomato Ayam Masak Merah adalah salah satu gabungan hidangan yang cukup sempurna. Ia sangat sesuai dipadankan dengan nasi dan lauk ini. Kebiasaannya, hidangan ini dihidangkan pada hari keraian atau kenduri.
Nasi tomato ini dimasak dengan bahan utama seperti tomato puri, bawang putih, bawang merah, rempah ratus, susu cair, dan daun pandan. Hasilnya, warna nasi ini akan bertukar sedikit oren disebabkan penggunaan tomato puri ketika memasak.
Bagi resepi ayam masak merah, ayam akan digoreng terlebih dahulu sebelum membuat kuahnya. Kuah ini terdiri daripada cili kering sebagai asas sambal, serta bahan tambahan lain seperti sos tomato, sos cili, dan sedikit sos tiram. Kuah ini mempunyai rasa pedas dan sedikit manis yang memberikan keseimbangan dan melengkapi nasi tomato. Hidangan ini juga disertakan dengan acar dan keropok papadom.
1. Resepi Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah
Bahan-bahan Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah
Bahan Nasi Tomato
- 3 sekawan (bawang besar, halia, daun pandan)
- Butter
- Tomato puri
- Krimer sejat Marigold
- Garam
- 3 pot nasi (yang telah dibersihkan)
Bahan-Bahan Ayam Masak Merah
- Ayam (dipotong kecil)
- Garam (untuk perapan ayam)
- Kunyit (untuk perapan ayam)
- Minyak untuk menggoreng ayam
- Bawang besar
- Bawang putih
- Halia
- Serai
- Daun pandan
- Pes cili
- Pes tomato
- Gula melaka
- Krimer sejat Marigold
- Krimer manis Marigold
- Kacang peas (untuk hiasan)
Bahan-Bahan Jelatah Timun
- Timun (dihiris)
- Carrot (dihiris)
- Bawang besar (dihiris)
- Cili padi merah (dihiris)
- Cili padi hijau (dihiris)
- Garam
- Gula
Cara nak buat Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah
Nasi Tomato
- Tumis dengan butter sehingga wangi tiga sekawan (bawang besar, halia, dan daun pandan).
- Masukkan tomato puri, krimer sejat Marigold, dan garam. Kacau rata sehingga pecah minyak.
- Masukkan ke dalam tiga pot nasi yang telah dibersihkan. Masak nasi seperti biasa menggunakan rice cooker.
Ayam Masak Merah
- Potong ayam kecil-kecil, lumurkan dengan garam dan kunyit, kemudian goreng separuh masak.
- Gunakan minyak yang digunakan untuk menggoreng ayam, tumis bawang besar, bawang putih, halia, serai, dan daun pandan hingga wangi.
- Masukkan pes cili, pes tomato, dan gula melaka. Tumis sehingga cili masak.
- Masukkan krimer sejat dan sedikit krimer manis Marigold ke dalam tumisan, kacau sebati bersama ayam.
- Akhir sekali, perasakan dengan garam dan hias dengan taburan kacang peas.
Jelatah Timun
- Sediakan hirisan timun, carrot, bawang besar, cili padi merah, dan cili padi hijau.
- Campurkan semua bahan dalam satu bekas dan gaul dengan sedikit garam dan gula.
Sumber: Azzrin Zulkeply dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
2. Resepi Nasi Tomato Ayam Masak Merah Sedap
Bahan-bahan Nasi Tomato Ayam Masak Merah Sedap
Bahan nasi tomato
- Beberapa sudu minyak sapi
- Minyak masak
- Daun pandan beberapa helai
- 4 biji bwg merah
- 3 biji bwg putih
- Halia
- Rempah 4 sekawan
- 1 batang serai
- 3 cawan beras
- 4 cawan air
- ½ cawan susu cair
- Puri tomato
- Garam dan gula secukupnya
Bahan ayam masak merah
- Halia
- Bwg merah
- Lengkuas
- Bwg putih
- Serai
- Bawang besar
- Cili kering
- Bahan² ayam masak merah
- ½ biji bwg merah dihiris nipis
- Ayam
- Garam
- Serbuk kunyit
- Sos tiram
- Sos cili
- Air asam jawa
Cara nak buat Nasi Tomato Ayam Masak Merah Sedap
Nasi tomato
- Sediakan periuk, masukkan minyak sapi dan minyak masak, tunggu sehingga panas.
- Masukkan daun pandan, bawang merah, dan bawang putih. Tumis sehingga naik bau.
- Selepas itu, masukkan 4 sekawan (bawang besar, halia, serai, daun pandan).
- Masukkan beras, susu cair, dan air mengikut sukatan yang diberi.
- Tambahkan 3 sudu tomato puri, garam, dan perasakan dengan secukup rasa.
Ayam masak merah
- Gaulkan ayam dengan kunyit dan goreng separuh garing.
- Kemudian, masukkan bawang yang dihiris nipis dan bahan-bahan yang telah dikisar halus.
- Masukkan sos tiram, sos cili, dan sedikit air asam jawa. Kacau rata.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Setelah semua bahan sebati, hidangkan.
Sumber: Asiah Fairoz dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Selain Nasi Tomato Ayam Masak Merah, Apa Lagi Resepi Nasi yang sedap dan Sesuai Dipadankan Bersama Lauk
Kalau bosan dengan Nasi Tomato & Ayam Masak Merah, ada banyak lagi resepi nasi yang sedap dan sesuai dipadankan dengan pelbagai lauk. Berikut beberapa pilihan menarik untuk dicuba.
1. Nasi Minyak
Nasi Minyak atau nasi kahwin ini mempunyai bau yang wangi dan berlemak, dimasak dengan minyak sapi, rempah 4 sekawan, daun pandan, serta susu cair. Teksturnya yang lembut dan rasa berempah menjadikannya padanan sempurna untuk lauk seperti Ayam Masak Merah, Daging Kurma, dan Acar Jelatah.
2. Nasi Daging Air Asam
Nasi Daging Air Asam adalah hidangan yang dimasak bersama daging dan rempah ratus. Mempunyai rasa nasi yang lembut serta rasa daging yang sedap. Keenakan hidangan ini lebuh enak apabila dipadankan dengan daging rebus yang empuk, air asam kerisik yang masam pedas, serta sambal belacan.
3. Nasi Briyani
Nasi Briyani ini dimasak bersama ghee, safron serta rempah ratus yang lain. Mempunyai rasa rempah yang kuat dan sangat sedap. Selalunya nasi briyani ini dipadankan bersama lauk ayam masak merah, daging masak hitam atau dalca.
4. Nasi Dagang
Nasi Dagang ialah hidangan tradisional Pantai Timur yang menggunakan beras pulut wangi, dimasak bersama santan untuk menghasilkan tekstur yang lembut dan berlemak. Keenakannya lebih sedap apabila dihidangkan dengan Gulai Ikan Tongkol yang pekat berempah, bersama telur rebus dan acar timun.