3 Resepi Kuih Tahi Itik

Kuih Tahi Itik ialah sejenis kuih tradisional Melayu yang berasal dari Kelantan, yang namanya sering menimbulkan rasa ingin tahu kerana terjemahannya yang unik. Kuih ini sangat popular di kawasan Pantai Timur, terutama di Kelantan dan Terengganu, dan biasanya dijadikan kuih sampingan kerana ia sering dibuat bersama-sama dengan kuih jala mas atau kuih bunga tanjung yang menggunakan kuning telur.

Kuih ini dibuat menggunakan putih telur, gula, tepung beras, daun pandan dan bunga cengkih yang dimasak sehingga mencapai kekentalan seperti kastard. Walaupun kos pembuatannya rendah, kuih ini kurang popular di negeri lain di Malaysia kerana rasanya yang sangat manis dan melekit di tekak apabila ditelan.

1. Resepi Kuih Tahi Itik Kelantan

Bahan-bahan

  • 10 biji putih telur
  • 500 ml santan
  • 400 g gula pasir (boleh kurangkan kalau nak kurang manis)
  • 100 g tepung pulut
  • 150 g tepung beras
  • Sehelai daun pandan (dicarik)
  • Sedikit esen vanila

Cara buat kuih tahi itik kelantan

  1. Campurkan semua bahan dan kacau atas api sehingga masak dan nampak sedikit berkilat. Biarkan sejuk.
  2. Bulatkan atau boleh dibentuk mengikut kesukaan sendiri.
  3. Sedia untuk dihidang.

Sumber: Wan Muhammad Hafiz Satar dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

 

2. Resepi Kuih Tahi Itik

Bahan-bahan

  • 10 biji PUTIH telur
  • 500ml santan / satu kotak santan Kara campurkan dengan air jadikan 500ml.
  • 250g gula pasir
  • 100g tepung pulut
  • 150g tepung beras
  • Sehelai daun pandan (dicarik-carik)
  • Sesudu bunga cengkih
  • 4 sudu makan minyak masak/ minyak jagung

 

Cara buat kuih tahi itik

  1. Campurkan semua bahan dan kacau sehingga sebati.
  2. Kemudian baru kacau atas api sehingga masak dan nampak sedikit berkilat. Kacau jangan berenti tau.
  3. Biarkan sejuk.
  4. Bulatkan atau boleh dibentuk sesedap rasa. Kak Mel guna piping beg masa adunan suam2.

Sumber: Melati Desa dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

 

3. Resepi Kuih Taik Itik

Bahan-bahan

  • Telur putih setengah kilo *ditapis*
  • Tepung gandum setengah cawan
  • Gula 1 cawan
  • Bunga cengkih 5 – 6 kuntum
  • Daun pandan 3 helai disimpul
  • Minyak mazola setengah cawan

 

Cara buat kuih taik itik

  1. Kesemua bahan kecuali minyak disatukan. Kepok2 biar sebati.
  2. Masak dengan menggunakan api yang sederhana.
  3. Kacaukan agar tidak hangit.
  4. Bila dah hampir kental, masukkan minyak mazola.
  5. Kacau lagi hingga kental sempurna.
  6. Buang daun pandan dan bunga cengkih.
  7. Bentukkan ikut suka hati.

Sumber: Shai Anne Ahemed dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

 

Kuih Tradisional Dengan Nama Unik

Walau pun nama kuih tahi itik agak tidak sepadan, namun kuih ini memang ada penggemarnya terutama di kawasan Pantai Timur. Selain kuih tahi itik, terdapat juga kuih-kuih lain yang dinamai dengan unik. Antaranya adalah:

1. Kuih Bunga Tanjung

Kuih Bunga Tanjung ialah sejenis kuih tradisional Melayu yang popular di Kelantan dan merupakan hidangan istimewa di sana. Ia dibuat menggunakan kuning telur bercampur tepung dan disira dalam air gula, berbentuk titisan air dan berwarna kuning keemasan yang dibentuk menggunakan acuan khas.

2. Kuih Jala Mas

Jala Mas ialah kuih tradisional asal Portugis yang dihasilkan menggunakan kuning telur untuk diolah menjadi lembaran nipis dan direbus dalam sirap gula. Nama “jala mas” diambil daripada warnanya yang kuning keemasan dan bentuknya seperti jala, di mana secara tradisi warna kuning keemasan dikhaskan bagi golongan raja.

3. Kuih Akok

Kuih Akok merupakan sejenis kuih tradisional yang sangat popular di Kelantan dan terdapat beberapa jenis kuih akok yang berbeza. Kuih ini mempunyai nama yang unik dan merupakan salah satu kuih khas negeri Cik Siti Wan Kembang yang sukar dijumpai di negeri lain.

4. Kuih Nekbat

Kuih Nekbat adalah salah satu kuih tradisional Kelantan yang mempunyai nama yang menarik perhatian. Ia merupakan kuih yang popular di kalangan masyarakat Kelantan dan sering dijual bersama-sama dengan kuih-kuih tradisional lain seperti kuih tahi itik dan bunga tanjung.

5. Kuih Pauh Dilayang

Kuih Pauh Dilayang ialah sejenis kuih tradisional yang juga menggunakan kuning telur dalam pembuatannya, sama seperti kuih jala mas dan bunga tanjung. Ia sering dibuat serentak dengan kuih tahi itik kerana penggunaan bahagian telur yang berbeza, menjadikan kombinasi pembuatan yang ekonomik dan praktikal.

Leave a Comment