2 Resepi Empek Empek

Empek-empek, atau dikenali juga sebagai pempek, ialah makanan tradisional yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia. Hidangan makanan ringan ini sangat popular di Indonesia. Dikatakan bahawa penduduk Palembang mencipta resepi ini kerana terdapat banyak lebihan ikan di Sungai Musi.

Bahan utama dalam resepi empek-empek ini adalah campuran ikan dan tepung sagu yang diolah menjadi adunan kenyal seperti bebola atau kepingan. Empek-empek ini biasanya dimakan bersama kuah yang dipanggil cuko. Kuah ini diperbuat daripada campuran gula aren, bawang putih, cili, garam, dan cuka.

Makanan ini bukan sekadar makanan ringan tetapi juga merupakan warisan tradisional yang sering dijadikan sebagai buah tangan.

1. Resepi Empek Empek Kapal Selam

Bahan-bahan Empek Empek Kapal Selam

  • 30grm tepung gandum
  • 150ml air
  • 350gr daging ikan tenggiri (saya pakai fish ball)
  • 300gr tepung ubi
  • 5 ulas bawang putih
  • 1bj telur
  • 1/2 paket serbuk pati ayam
  • 1/2 sudu lada putih
  • Garam, gula secukupnya
  • 4 butir telur rebus untuk isian

Bahan kuah

  • 2 ketul gula melaka
  • 10 cili api (nak pedas boleh tambah lagi sesuai selera)
  • 50grm asam jawa (saya pakai cuka)
  • 2 siung bawang putih
  • 1 sudu udang kecil kering (optional)
  • Garam
  • 500ml air

Cara nak buat Empek Empek Kapal Selam

Empek empek

  1. Masak air hingga mendidih. Kemudian, masukkan tepung gandum dan kacau hingga menjadi adunan yang kental. Angkat dari api dan biarkan sejuk.
  2. Kisar daging tenggiri (fish ball), bawang putih, telur sampai halus.
  3. Masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam adunan tepung gandum yang telah kental. Tambahkan air rebusan, lada, garam, dan sedikit gula, lalu gaul hingga sebati.
  4. Kemudian tambahkan tepung ubi. Masukkan sedikit demi sedikit sampai adunan tak melekat di tangan.
  5. Ambil sedikit adunan, bulatkan dan buat lubang di tengahnya. Masukkan telur, kemudian tutup dengan kemas. Elakkan mengacau telur terlalu banyak supaya isian tidak terkeluar.
  6. Panaskan air yang telah dicampur dengan sedikit minyak masak sehingga mendidih. Rebus pempek yang telah dibentuk ke dalam air mendidih tersebut. Apabila pempek terapung, angkat dan toskan.

Kuah

  1. Potong kecil cili api , bawang putih , udang kering dan juga garam.
  2. Didihkan air.
  3. Masukkan serbuk rempah yang telah dihaluskan, kemudian tambahkan gula merah dan asam jawa atau cuka. Kacau hingga gula larut.
  4. Masak terus hingga air sedikit kering dan kuah menjadi lebih gelap.
  5. Angkat dan tapis. Jika kuah terlalu cerah, tambah sedikit kicap untuk menggelapkannya.

Sumber: Yulia Hafiz dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

2. Resepi Empek Empek Ikan Selar

Bahan-bahan Empek Empek Ikan Selar

  • 1kg ikan selar
  • 1kg sagu tani
  • 3bj telur
  • Bawang putih halus
  • Lada
  • Garam, gula dan penyedap rasa
  • Air sejuk 250ml

Cara nak buat Empek Empek Ikan Selar

  1. Masukkan daging ikan ke dalam mangkuk besar. Tambahkan air sejuk (air ais) secara bertahap sambil menguli adunan selama lebih kurang 10 minit.
  2. Setelah adunan ikan lembut, masukkan telur, garam, gula, dan penyedap rasa. Uli semula adunan selama 7 hingga 10 minit sehingga sebati.
  3. Tambahkan tepung sagu sedikit demi sedikit ke dalam adunan sambil terus menguli sehingga adunan menjadi kalis. Proses ini boleh dilakukan selama 15 minit atau lebih. Lebih lama menguli akan menghasilkan adunan yang lebih kalis dan mudah dibentuk
  4. Ambil sedikit adunan, bentukkan memanjang, dan masukkan ke dalam air mendidih. Rebus sehingga adunan terapung ke permukaan air. Ini menandakan ia telah masak.
  5. Setelah masak, angkat adunan yang telah direbus dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dimakan.

Sumber: Mulyati Ridwan Amir dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

Selain Empek Empek, Apakah Resepi Kudapan Yang Mudah dan Enak Boleh Dicuba?

Selain empek-empek, terdapat banyak lagi resepi kudapan yang mudah dan ringkas untuk anda cuba sendiri di rumah. Tak perlu lagi membeli di luar, kerana membuat sendiri bukan sahaja lebih memuaskan, tetapi juga lebih menjimatkan. Berikut adalah beberapa resepi yang kami cadangkan untuk anda cuba.

1. Cucur Udang Rangup

Cucur udang diperbuat daripada adunan tepung gandum dan tepung beras yang dicampur dengan bahan-bahan seperti udang, daun bawang, kucai, dan bahan lain. Kemudiannya digoreng hingga dan mempunyai tekstur rangup di luar, tetapi tetap lembut di dalam.

2. Popia Goreng Inti Sayur

Resepi ini adalah campuran sayur-sayuran yang dimasak, digulung dengan kemas bersama kulit popia dan digoreng hingga rangup. Campuran sayur pula adalah seperti lobak merah, sengkuang, kobis, dan bawang. Intinya boleh juga ditambah dengan taugeh, cendawan, atau ayam mengikut citarasa masing-masing.

3. Keropok Lekor

Keropok lekor adalah kudapan yang popular dari pantai timur Malaysia, terutama Terengganu dan Kelantan. Ia diperbuat daripada campuran isi ikan segar dan tepung sagu. Setelah diuli dan dibentuk memanjang, adunan akan direbus sehingga masak, kemudian digoreng hingga rangup sebelum dihidangkan.

4. Pisang Goreng

Pisang goreng antara kudapan yang cukup popular. Sesuai dihidangkan ketika minum pagi dan juga minum petang. Bahan untuk adunan goreng pisang ini adalah campuran tepung gandum, tepung beras, garam, gula, dan sedikit air, kadang-kadang ditambah serbuk kunyit untuk memberikan sedikit warna yang menarik.

Leave a Comment