Karipap frozen adalah sejenis pastri sejuk beku yang diisi dengan pelbagai inti seperti kentang, ayam, atau sayur-sayuran. Ia merupakan versi sejuk beku daripada karipap tradisional yang boleh disimpan untuk tempoh yang lebih lama dan mudah dimasak bila-bila masa sahaja.
Untuk menyediakan karipap frozen, anda memerlukan tepung gandum, marjerin, garam, air sejuk untuk kulit dan kentang, ayam cincang, bawang, rempah kari untuk inti. Cara penyediaannya mudah – uli doh, perap inti, bentukkan karipap, bekukan dalam peti sejuk, dan bila hendak dimakan, goreng terus dalam minyak panas tanpa perlu dinyahbeku.
1. Resepi Karipap Frozen Rangup
Bahan-bahan
- 1kg tepung gandum
- 180g minyak masak
- 30g marjerin
- 2 cawan air ais @ 390g (jangan tuang semua)
- 2 sudu teh garam halus
- 1 biji telur
- 1 sudu besar gula
- Minyak untuk menggoreng
Cara buat karipap frozen
- Ayak tepung gandum dan ketepikan.
- Panaskan minyak dengan marjerin sehingga berbuih.
- Tuang minyak di atas tepung dan gaul dengan senduk kayu.
- Apabila sudah suam, gaul dengan jari sehingga menjadi serbuk roti. Ketepikan.
- Larutkan air ais bersama garam dan telur. Sebatikan dan tuang sedikit demi sedikit pada tepung.
- Uli hingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan.
- Perap selama 15 minit. Timbang doh 20 – 25g setiap doh, gelek dan isikan inti dan kelim.
- Bakar pada suhu 180°c selama 10 minit. Alaskan plastik dalam bekas sebelum bekukan.
Sumber: Jalilah JJ Homemade dari Masak Apa Hari Ni
2. Resepi Karipap Frozen Rangup Di Luar Lembut Di Dalam
Bahan-bahan
- 4 cawan / 1/2kg tepung gandum
- 2 sudu gula
- Sedikit garam
- 1/3 sudu marjerin
- Air sejuk
Cara buat karipap frozen
- Satukan tepung, gula, garam, marjerin dan minyak panas. Gaul menggunakan senduk.
- Apabila suam, gaul lagi dengan tangan sehingga rata.
- Masukkan air sejuk sedikit-sedikit. Air sejuk akan merangupkan lagi karipap.
- Uli sehingga doh tidak melekat di tangan. Rehatkan selama 5 minit.
- Bulatkan doh dan gelek mengikut ketebalan yang diingini.
- Masukkan inti dan susun di dalam tray.
- Bakar pada suhu 160°c selama 5 minit api atas bawah.
- Sejukkan dan boleh simpan di dalam bekas atau plastik.
Sumber: Ctazliza Yahaya dari Masak Apa Hari Ni
3. Resepi Karipap Frozen Sukatan Cawan
Bahan-bahan
- 1 bungkus tepung gandum cap ros
- 3/4 cawan minyak masak
- 1 sudu marjerin
- 2 cawan air masak
- 1 sudu air kapur (yang jernih)
Cara buat karipap frozen
- Panaskan minyak dan marjerin. Biarkan suam dan tuang ke dalam tepung gandum.
- Gaul rata minyak dan tepung menjadi serbuk roti.
- Campurkan air kapur dan air masak bersama. Tambahkan ke dalam tepung sedikit-sedikit jangan terlalu lembik atau keras.
- Uli sehingga tidak melekat dan sebati menjadi doh.
- Rehatkan doh selama 45 minit – 1 jam. Boleh juga tutup dengan cling wrap dan rehatkan selama 15 minit.
- Bulat-bulatkan doh, leperkan dan masukkan inti dan kelim dengan kemas.
- Goreng separuh masak, sejukkan dan simpan. Boleh juga bakar pada suhu 150°c selama 15 minit bergantung oven masing-masing.
Sumber: Azam Abd Wahab dari Masak Apa Hari Ni
4. Resepi Karipap Frozen
Bahan-bahan
- 1/2 kg tepung gandum
- 2 sudu besar tepung beras
- 2 sudu besar tepung jagung
- Garam
- 1/2 cawan minyak masak
- 3/4 cawan air sejuk
Cara buat karipap frozen
- Gaulkan tepung gandum, tepung beras, tepung jagung dan sedikit garam.
- Panaskan minyak masak sehingga menggelegak dan tutup api.
- Curahkan minyak panas ke dalam adunan tepung tadi dan kacau menggunakan senduk.
- Apabila doh sudah suam, gaul dengan tangan sehingga menjadi serbuk.
- Tambahkan air sejuk sedikit demi sedikit sehingga boleh diuli. Masukkan dalam plastik dan rehatkan dalam 20 minit.
- Uli sebentar dan bentukkan bulat-bulat. Gelekkan, masukkan inti dan kelim.
- Goreng sebentar dan sejukkan. Simpan di dalam peti dan bekukan.
Sumber: Pn Habsah Ngah dari Masak Apa Hari Ni
Kuih Apa Lagi Yang Sesuai Dibuat Kuih Frozen?
Sekian perkongsian resepi karipap frozen untuk anda cuba. Selepas ini, bolehla buat stok di rumah. Jimat juga kalau buat sendiri. Boleh masukkan inti yang kita suka juga. Jika anda kurang gemar karipap, banyak juga kuih lain yang sesuai untuk dibuat frozen. 5 diantaranya adalah:
1. Spring Roll Frozen
Spring roll frozen adalah sejenis makanan ringan sejuk beku yang diisi dengan sayur-sayuran dan ayam cincang. Ia dibungkus dengan kulit spring roll yang nipis dan rangup apabila digoreng.
2. Samosa Frozen
Samosa frozen ialah pastri segitiga yang diisi dengan kentang, kacang peas, dan rempah-rempah. Ia popular di seluruh Asia dan merupakan pilihan makanan ringan yang mudah disediakan.
3. Pau Mini Frozen
Pau mini frozen adalah sejenis dim sum yang diisi dengan ayam, kacang merah atau sayuran. Ia merupakan makanan sejuk beku yang boleh dikukus terus dari peti sejuk.
4. Popia Frozen
Popia frozen ialah makanan ringan yang diisi dengan lobak, taugeh dan ayam cincang. Ia dibungkus dengan kulit popia yang nipis dan boleh digoreng terus dari keadaan sejuk beku.
5. Dumpling Frozen
Dumpling frozen adalah sejenis makanan yang dibungkus dengan kulit dumpling nipis dan diisi dengan campuran ayam cincang dan sayur-sayuran. Ia boleh dikukus atau digoreng mengikut citarasa.