Cendol ialah minuman sejuk yang terkenal di Malaysia. Ia terdiri daripada campuran bahan utama seperti jeli cendol (diperbuat daripada tepung beras dan pewarna pandan), santan, gula melaka cair, dan ais kisar. Bahan tambahan yang boleh dimasukkan ialah jagung manis dan kacang merah.
Untuk membuat cendol, pertama sekali sediakan jeli cendol dengan mencampurkan tepung beras, air pandan dan garam, kemudian masak sehingga pekat. Adunan tersebut ditekan melalui acuan khas untuk menghasilkan bentuk jejari cendol. Untuk menghidang, susun ais kisar dalam mangkuk, tambah jeli cendol, siram dengan santan dan gula melaka cair.
1. Resepi Cendol Gula Merah
Bahan-bahan cendol
- 5 sudu tepung beras
- 1 sudu tepung gandum
- 1 sudu tepung pulut
- 10 helai daun pandan (kisar, ambil air)
Bahan-bahan kuah cendol
- 1 kotak santan
- 1 cawan air masak
- Gula merah
- 1 sudu kecil garam
Cara buat cendol
- Campur semua tepung ke dalam mangkuk. Masukkan air pandan sedikit demi sedikit.
- Gaulkan kesemua sehingga tidak melekat di tangan.
- Panaskan periuk dengan air tapis/masak.
- Sambil tunggu air mendidih, masukkan cendol ke dalam plastik piping.
- Bila air mendidih, paipkan cendol mengikut panjang yang diingini.
- Masak sehingga cendol kembang.
- Angkat dan toskan cendol ke dalam air sejuk.
- Untuk kuah, panaskan periuk dan masukkan santan dan air.
- Masukkan garam dan gula. Masak sehingga mendidih, tutupkan api.
- Tuang ke dalam 1 jag besar. Campurkan semua dengan cendol dan air. Sedia untuk dihidang.
Sumber: Nur Aqyla dari Koleksi Resepi Mudah
2. Resepi Cendol Simple
Bahan-bahan
- 1 cawan tepung jagung
- 1/2 cawan tepung beras
- 2 sudu tepung ubi
- 3 cawan air pandan
- 1/2 sudu kecil air kapur
- Sedikit garam
- Sedikit pewarna hijau
Cara buat cendol
- Bancuh semua bahan dan tapis.
- Masak di atas api sederhana dan sentiasa kacau sehingga likat dan berkilat.
- Sediakan besen berisi air sejuk dan ais.
- Masukkan adunan cendol ke dalam piping beg.
- Paipkan adunan cendol ke dalam besen tadi dan boleh dihidang bersama kuah.
Sumber: Haslindawati Omar dari Masak Apa Hari Ni
3. Resepi Cendol Gula Melaka
Bahan-bahan
- 1.5kg cendol segera
- Santan
- 1 tin susu sejat
- 1 tin santan pekat
- 1 cubit garam
- Gula melaka
- Ais
Cara buat kuah cendol
- Campurkan susu sejat dengan santan dalam anggaran 1 tin.
- Kacau dan campurkan secubit garam. Tidak perlu masak.
- Dalam periuk lain, cairkan gula di atas api dengan sedikit air sehingga larut.
- Untuk penyediaan, isikan cendol diikuti dengan gula melaka dan kuah santan. Tambahkan ais. Sedia untuk dihidang.
Sumber: Shida Ambok dari Masak Apa Hari Ni
4. Resepi Cendol Durian
Lebih sedap dimakan bersama aiskrim gula Melaka.
Bahan-bahan
- Aiskrim Coconut Gula Melaka
- Cendol
- Durian
- Buah kabung
- Jagung
- Ais
- Santan
Cara buat cendol
- Masak santan sehingga mendidih dan tambahkan garam.
- Campurkan semua bahan dan sedia untuk dihidang.
Sumber: Tuan Adriana Arissa dari Masak Apa Hari Ni
Apa Alternatif Bagi Cendol?
Enaknya bila minum petang dengan yang manis-manis. Selain cendol, banyak lagi minum petang manis yang boleh dijadikan santapan. Antaranya adalah:
1. Air Batu Campur (ABC)
Air Batu Campur atau ABC ialah minuman yang mengandungi pelbagai bahan seperti sirap ros, jagung manis, cincau, kacang merah, jeli dan ais kisar. Ia disiram dengan susu pekat manis dan sirap ros.
2. Bubur Cha Cha
Bubur Cha Cha ialah pencuci mulut yang dibuat daripada ubi keledek pelbagai warna, keladi, sagu mutiara dan kacang merah yang dimasak dalam santan manis. Ia boleh dihidangkan panas atau sejuk mengikut citarasa.
3. Sago Gula Melaka
Sago Gula Melaka ialah hidangan pencuci mulut yang terdiri daripada mutiara sago yang dimasak sehingga lutsinar, dihidang dengan santan dan gula melaka cair.
4. Pengat Pisang
Pengat Pisang ialah hidangan yang diperbuat daripada pisang masak yang dimasak dalam santan, gula melaka dan daun pandan sehingga kuahnya pekat dan wangi.
5. Bubur Pulut Hitam
Bubur Pulut Hitam ialah hidangan yang dibuat daripada beras pulut hitam yang dimasak bersama air dan daun pandan sehingga lembut, kemudian dihidang dengan santan dan gula melaka.
1 Comment
kalo x guna tepung beras boleh ke?