Bengkak gusi, dia punya sakit memang tak boleh bincang. Susah betul mahu telan makanan. Menggigit apatah lagi. Ada kalanya, sampai lebih sakit dari sakit gigi bukan?
Jangan bimbang, kami akan kongsikan punca gusi bengkak dan cara menghilangkan sakit yang teramat sangat itu.
Cara hilangkan bengkak gusi dengan cepat
Tanda gusi bengkak
Perkongsian dari Colgate, antara simptom-simptom atau gejala-gejala gusi bengkak termasuklah:
- Gusi merah
- Gusi nampak bengkak
- Gusi akan berdarah ketika anda berus, flos dan makan makanan rangup atau keras seperti kerepek.
Gejala-gejala lain termasuk luka pada mulut dan nafas yang berbau. Ini bukan berbau pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi pada hari-hari biasa.
Apa pun, keadaan gusi bengkak ini boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan yang kadang-kadang membuatkan kepala berdenyut.
Perlulah diingat yang gusi bengkak dan berdarah tidak boleh dipandang ringan dan harus dirawat dengan segera.
Punca gusi bengkak
Kenapa gusi bengkak? Orang-orang tua kata, sebab panas dalam.
Walau bagaimanapun, dari sudut perubatan moden, mari kita lihat, apa faktor-faktor, penyebab, atau punca gusi bengkak, berdarah dan mungkin boleh bernanah?
Izinkan kami kongsi seperti di bawah ini.
Sebab gingivitis atau dipanggil keradangan gusi
Gingivitis merupakan faktor utama gusi bengkak dan berdarah. Gingivitis dalam bahasa lain ialah keradangan gusi. Ini dapat dikesan apabila gusi mudah menjadi merah, bengkak dan berdarah. Tanda-tanda berlakunya Gingivitis ialah apabila:
- Jaringan gusi terlihat bengkak dan menjadi merah yang ketara iaitu merah yang lebih tua daripada bahagian gusi yang lain.
- Ketika memberus gigi, bahagian gusi berkenaan mudah berdarah.
- Gusi berasa berdenyut dan sakit yang kuat.
- Mulut berasa tidak selesa dan bau yang tidak menyenangkan.
- Pembentukan nanah di bahagian antara gusi dan gigi.
Gingivitis harus dirawat secepat mungkin atau boleh menyebabkan berlakunya Periodontitis. Periodontitis boleh mengakibatkan gusi tertarik menjauhi bahagian leher gigi dan menyediakan ruangan pembentukan poket yang boleh dijangkiti.
Penghasilan toksin oleh bakteria seterusnya akan memusnahkan tulang dan tisu penghubung yang penting sebagai tapak pemegang gigi.
Punca gigi bengkak kerana perubahan hormon wanita hamil / mengandung
Secara amnya, wanita-wanita hamil amatlah terdedah dengan perubahan hormon yang tidak menentu. Hormon adalah punca segala-galanya. Ini adalah sebab utama kenapa gusi bengkak semasa mengandung.
Hormon-hormon yang terhasil pula boleh menyebabkan pengaliran darah ke gusi meningkat, di mana peningkatan yang ketara ini secara amnya akan mengakibatkan gusi berasa tidak selesa dan seterusnya membengkak.
Apabila kurang vitamin
Pengambilan Vitamin C dan K yang rendah merupakan pengaruh yang agak penting kepada sistem imunisasi dan daya tahan kita secara keseluruhannya.
Namun, bagaimana kita mahu mengesan sama ada tubuh kita mempunyai Vitamin C dan K yang cukup?
Cara yang paling ringkas sekali ialah dengan melihat sama ada adakah terjadi pendarahan pada gigi dan gusi apabila anda memberus gigi.
Jika ada, itu boleh diambil kira sebagai antara faktor-faktor jelas bagi individu yang mengalami masalah kekurangan Vitamin C dan K. Disamping itu, kekurangan pengambilan sayur-sayuran hijau adalah antara salah-satu faktor utama seseorang kekurangan kandungan Vitamin C dan K.
Kerana kekurangan asid folik
Asik folik sangat popular di kalangan ibu hamil atau mengandung. Biasanya, jika ibu mengandung yang malas makan asid folik, darahnya rendah. Ini akan memaksa si ibu tadi untuk minum air gula.
Sama juga seperti Vitamin C dan K, kandungan asid folik yang rendah boleh menyebabkan seseorang terdedah dengan risiko gusi bengkak dan berdarah.
Menurut pakar, ini disebabkan ketidaknormalan pada fungsi sel yang menjurus kepada keradangan gusi ataupun Gingivitis.
Jangan ditanya kenapa gusi bengkak hanya kepada golongan ibu yang mengandung sahaja. Ini adalah ujian dari Allah.
Sebab jarang berus gigi
Antara faktor lain kenapa gusi bengkak ialah orang yang malas berus gigi.
Jarang memberus gigi juga boleh menyumbangkan kepada faktor gusi bengkak dan berdarah. Justeru, mempunyai rutin memberus gigi amatlah digalakkan kerana seseorang itu mampu menjamin kesihatan dan kebersihan mulutnya dengan membersihkan gigi secara teratur dan konsisten.
Ini kerana, sisa- sisa makanan yang terlekat pada celahan gigi akan mendorong kepada pembentukan plak oleh bakteria dan seterusnya membuat gusi terdedah dengan pelbagai jenis jangkitan.
Walau bagaimanapun, harus diingat, memberus gigi secara kasar juga boleh mengakibatkan gusi terluka dan berdarah.
Jadi, diharap anda semua memberus gigi secara bersederhana, jangan sekuat hati. Jangan sebab malas gosok gigi, jadi sebab gusi bengkak pula!
Punca gusi bengkak ialah sebab pakai pendakap gigi (braces)
Pendakap gigi (braces) yang tidak dipasang dengan teliti dan tepat akan memudahkan lagi sisa-sisa makanan melekat pada celahan gigi dan menjadi sarang untuk bakteria membiak dan membentuk plak gigi.
Jika dibiarkan untuk tempoh yang lama, ini mengakibatkan plak mengeras dan menghasilkan karang gigi yang mendedahkan gusi kepada jangkitan kuman.
Sebab pakai gigi palsu
Sama seperti pendakap gigi, punca gusi bengkak yang lain ialah kerana pemakaian gigi palsu.
Gigi palsu yang tidak dipakai dengan kemas akan membuatkan sisa makanan terselit. Pastikan pakai dengan betul dan tanggalkan jika tidak digunakan.
Sebab makan ubat
Sesetengah ubat seperti ubat untuk penyakit darah tinggi mengandungi bahan yang boleh mengakibatkan keradangan dan pendarahan pada gusi.
Selain daripada ubat darah tinggi, ubat penenang juga menyebabkan mulut menjadi kekeringan dan ini juga mendorong kepada pelbagai masalah kepada kebersihan dan kesihatan gusi dan gigi itu secara keseluruhannya. Antara contoh ubat-ubatan ini termasuklah Warfarin, Aspirin dan Heparin.
Cara hilangkan bengkak gusi
Antara rawatan-rawatan, dan cara menghilangkan gusi bengkak yang mudah dan selamat diamalkan. Izinkan kami berkongsi.
Menggunakan garam
Penggunaan garam adalah kaedah konvensional yang lazim diamalkan yang dapat mengubati gusi bengkak.
Kaedahnya adalah dengan mencampurkan satu sudu garam ke dalam air suam dan dikacau sehingga garam larut.
Kemudian kumur untuk beberapa saat. Lakukan kaedah ini sebanyak 3 kali sehari bagi menyembuhkan gusi yang bengkak.
Menggunakan jus lemon
Kaya dengan Vitamin C, jus lemon amatlah elok digunakan bagi kesihatan gusi. Berkumur ataupun minum campuran jus lemon dengan air suam secara konsisten setiap hari dikatakan mampu mengubati gusi yang bengkak.
Menggunakan madu
Antara cara menghilangkan gusi bengkak yang lain ialah dengan menggunakan madu. Madu memang diakui sebagai makanan yang bermanfaat untuk kesihatan dan kecantikan tubuh badan.
Namun, jangan terperanjat, kerana madu yang manis dan sedap ini juga mampu menyembuhkan gusi yang membengkak dengan cara menyapu madu pada gusi tersebut sebanyak 3 – 4 kali sehari.
Namun harus diingat, madu yang harus digunakan adalah madu asli dan bukannya yang sudah dicampurkan dengan bahan pengawet. Pastikan madu yang asli.
Penjagaan gigi yang baik
Cara hilangkan bengkak gusi yang terbaik ialah dengan menjaga gigi dengan baik.
Ini adalah langkah mencegah. Pastikan memberus gigi secara konsisten boleh menghapuskan plak gigi dan mencegah pembentukan kaviti.
Justeru, anda disyorkan memberus gigi sebanyak 3 kali sehari dan lebih baik jika anda memberus gigi setiap kali selepas makan dan amalan flos secara kerap kerana ia juga baik untuk membersihkan gigi.
Selain daripada itu, adalah dinasihatkan untuk anda memberus gigi dengan lembut dan cermat, kerana amatlah penting melindungi gusi daripada terluka, seterusnya membengkak dan mengakibatkan pendarahan.
Ambil makanan yang kaya dengan vitamin C dan K
Seperti yang diberitahu, Vitamin C dan K yang rendah menyumbang kepada kesihatan gusi yang lemah.
Bagi mencegah badan rendah dengan kandungan Vitamin C dan K, anda digalakkan memakan pelbagai makanan berkhasiat yang kaya dengan Vitamin C dan K. Antaranya seperti berikut:
- Buahan dan jus citrus
- Buah strawberi
- Buah tomato
- Sayur brokoli
- Sayur kentang
- Sayur lada loceng
- Sayur selada air
- Sayur bayam
- Sayur salad
- Kacang soya
- Minyak kanola
- Minyak zaitun
Cara hilangkan bengkak gusi dengan minum air kosong
Minum air kosong secara kerap merupakan kaedah yang paling mudah sekali bagi menghapuskan kuman dan bakteria yang terdapat pada celahan gigi.
Dengan penghapusan kuman dan bakteria pada gigi, ia sekaligus dapat mengurangkan risiko gusi terdedah kepada jangkitan kuman.
Selain daripada itu juga, mengambil air kosong dengan banyak amat membantu dalam penghasilan air liur yang secara semula jadinya berfungsi membunuh kuman dan bakteria dalam mulut.
Jumpa doktor gigi, jangan takut sangat
Jangan asyik nak cuba kaedah tradisional sangat, kalau masih lagi sakit tak kebah.
Jumpa doktor gigi bagi mengetahui cara mengatasi gusi bengkak dan berdarah. Mungkin bukan sebab gusi, mungkin sebab gigi. Mungkin juga sebab jangkitan yang kita sendiri tidak tahu.
Kenapa ibu hamil selalu mengalami gusi bengkak?
Menurut Healthline, gusi bengkak juga boleh berlaku semasa kehamilan.
Ini kerana hormon yang dihasilkan semasa oleh tubuh semasa mengandung dapat meningkatkan aliran darah dalam gusi anda. Peningkatan aliran darah ini boleh menyebabkan gusi anda lebih mudah merengsa, menyebabkan bengkak.
Jadi, janganlah rasa pelik jika anda berasa bengkak gusi semasa mengandung.
Akhir kata
Gusi bengkak dan berdarah tidak boleh dipandang remeh.
Ini kerana situasi ini bagaikan petanda bahawa tubuh badan anda mungkin kekurangan vitamin-vitamin tertentu.
Jadi, jika anda mengalami situasi gusi berdarah, anda disarankan untuk melawat doktor gigi untuk mendapatkan rawatan pembersihan gigi dan nasihat daripada doktor pakar.
Harus diingat, kebersihan gigi yang baik merupakan langkah utama ke arah gusi yang sihat.
Jemput baca juga berkenaan penulisan lain berkenaan mulut dan gigi seperti punca gigi kuning, cara memutihkan gigi, cara melegakan sakit tekak dan jenis ubat sakit gigi yang boleh dibeli di farmasi.
Semoga bermanfaat.