Sekarang ini, pembantu rumah asing merupakan suatu bentuk perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh sesebuah keluarga, khususnya pasangan suami isteri yang bekerjaya dan mempunyai anak-anak kecil.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan pembantu rumah akan memainkan peranan sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak yang dijaga. Masakan tidak, makan, minum dan mandi anak-anak diuruskan oleh pembantu rumah. Bukan itu sahaja, ibu bapa yang uzur turut diuruskan pembantu rumah.
Kerja-kerja rumah seperti mengemas, membasuh pakaian termasuklah memasak turut dilakukan oleh pembantu rumah yang diwajibkan di negara ini hanya dalam kalangan kaum perempuan sahaja.
Perlukah ada maid?
Dengan kesibukan ibu bapa dengan kerjaya masing-masing, terutamanya yang mendiami kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan ibu-ibu negeri lain pastinya memerlukan perkhidmatan pembantu rumah.
Di Malaysia, perkhidmatan pembantu rumah didominasi oleh warga asing. Kebiasaannya pembantu rumah ini adalah dari negara seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Pekerja asing dari Indonesia boleh dilihat sebagai kumpulan majoriti yang mendominasi perkhidmatan pembantu rumah di negara ini.
Persoalannya mengapa pembantu rumah luar negara lebih mendapat perhatian rakyat Malaysia? Adakah ibu bapa di negara ini tidak mempercayai perkhidmatan pembantu rumah warga tempatan? Adakah rakyat tempatan sendiri yang memilih untuk pekerjaan dan pembantu rumah bukanlah kerjaya pilihan?
Kelebihan pembantu rumah asing
Okay, di bawah ini disenaraikan beberapa sebab mengapa pembantu rumah dari luar negara menjadi pilihan berbanding pembantu rumah tempatan.
Kos lebih murah
Kos untuk menggaji seorang pembantu rumah bukan tempatan adalah lebih murah berbanding pembantu rumah tempatan.
Nilai mata wang ringgit yang lebih tinggi berbanding negara-negara seperti Indonesia menjadi kos untuk menggajikan pekerja asing adalah jauh lebih murah berbanding sekiranya majikan mahu menggajikan pekerja pembantu rumah dari Malaysia.
Ini memainkan peranan yang besar kepada pemilihan majikan sama ada mahu mengambil pembantu rumah yang bukan berasal dari sini atau pembantu rumah warga tempatan.
Boleh melakukan pelbagai kerja
Bukan mahu menafikan kemahiran yang dimiliki pembantu rumah tempatan, tetapi pembantu rumah bukan warga tempatan melakukan pelbagai tugas seharian.
Daripada menjaga anak-anak majikan, mengemas rumah, menggosok pakaian sehinggalah memasak makanan untuk majikan sekeluarga. Ini merupakan nilai tambah yang pastinya menjadi pilihan setiap majikan.
Pada hari cuti Sabtu Ahad , cuti umum juga pembantu rumah ini bertugas seperti biasa.
Menetap bersama
Kebiasaannya pembantu rumah warga ini akan menetap bersama dengan majikan. Ini sangat memberi kemudahan kepada para majikan, termasuklah pada hari cuti.
Tiada waktu bekerja dan tempoh masa, majikan boleh keluar pergi bekerja tanpa rasa bimbang dan terkejar-kejar mengenai anak-anak mereka.
Semuanya boleh diuruskan oleh pembantu rumah bukan tempatan ini. Tinggal bersama membolehkan majikan menggunakan perkhidmatan pembantu rumah ini semaksimum mungkin dengan kadar bayaran yang lebih rendah berbanding pembantu rumah warga tempatan. Siapa yang tidak mahu?
Kekurangan pembantu rumah asing
Walaupun begitu, menggaji pembantu rumah bukan warga tempatan juga mempunyai keburukannya. Antara beberapa keburukan yang dikenal pasti adalah seperti berikut:
Tidak jujur
Hakikatnya pembantu rumah bukan tempatan merupakan individu yang tidak pernah majikan kenali dan tidak pernah bertemu. Dalam erti kata lain majikan tidak mengenali pembantu rumah tersebut secara peribadi, perangainya dan sebagainya.
Ada kejadian-kejadian dilaporkan berlakunya kecurian barangan majikan sepanjang pembantu rumah warga asing yang digajikan berkhidmat dengan mereka.
Ini lebih kepada sikap seseorang pembantu rumah bukan warga tempatan itu. Bukan semua tetapi dalam setandan pisang pasti ada yang tidak elok. Jadi majikan yang menggajikan pembantu rumah luar perlu berhati-hati juga.
Kerja sambil lewa
Ada pembantu rumah warga asing datang ke negara ini bukanlah semata-mata mahu bekerja tetapi sebagai tiket untuk memasuki Malaysia dan melakukan kerja lain, atau bertemu dengan kekasih hati.
Ada kes-kes yang dilaporkan pembantu rumah bukan tempatan yang lari mengikut teman lelakinya di negara ini.
Sekali lagi, berhati-hati para majikan. Sentiasa ambil tahu mengenai pekerja pembantu rumah anda.
Porak-perandakan keluarga
Okay, ini merupakan kebimbangan sebahagian besar para isteri sebelum membuat keputusan menggaji pembantu rumah warga asing.
Masakan tidak bimbang, ada kes-kes si suami jatuh hati pada pembantu rumah warga asing dan berlaku curang. Lebih-lebih lagi jika pembantu rumah warga asing itu muda dan rupawan. Jadi, hati-hati kepada para isteri ketika memilih pembantu rumah warga asing.
Cara mohon permit pembantu rumah asing
Bagaimana mahu memohon pembantu rumah warga asing?
Okay, bagi yang berminat begini caranya.
Permohonan pembantu rumah warga asing hanya melibatkan negara tertentu sahaja iaitu Indonesia, Thailand, Filipina, Sri Lanka, India, Vietnam dan Laos.
Syarat kepada pembantu rumah, sebelum dapat permit dari Jabatan Imigresen Malaysia
Begitupun ada syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengambil pembantu rumah. Antara syaratnya ialah:
- Pembantu rumah perlu perempuan sahaja
- Tidak kurang umur 21 tahun dan tidak melebihi 45 tahun .
- Perlu disahkan sihat oleh Kementerian Kesihatan di negara asal pembantu rumah.
- Berada di negara asal ketika memohon.
- Masuk ke Malaysia menggunakan Visa Dengan Rujukan (VDR) yang diambil dari pejabat perwakilan Malaysia di negara asal.
- Disahkan lulus Immigration Security Clearance (ISC) yang dibuat di negara asal.
Syarat kepada majikan pembantu rumah asing
Begitu juga dengan majikan. Ada syaratnya, iaitu:
- Suami isteri yang mempunyai anak berumur 15 tahun ke bawah atau ibu bapa yang sakit dan uzur.
- Satu keluarga satu pembantu rumah warga asing sahaja.
- Pengambilan pembantu rumah warga asing juga bergantung kepada pendapatan majikan antara RM3,000 hingga RM5,000 mengikut negara asal pembantu rumah tersebut.
- Majikan yang muflis tidak layak memohon.
- Majikan beragama Islam hanya boleh menggajikan pembantu rumah beragama Islam sahaja.
Dokumen yang diperlukan
Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA):
1. Borang permohonan PRA
2. Borang IM 12. (Permohonan PLKS)
3. Borang Personal Bond yang dimatikan setem RM10.00
4. Perjanjian Pekerjaan di antara majikan dan PRA yang dimatikan setem RM10.00 (1 set asal dan 1 set salinan)
5. Salinan kad pengenalan majikan (suami dan isteri)
6. Salinan pasport PRA
7. Laporan perubatan bakal PRA dari negara asal oleh panel yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
8. Bukti pendapatan tetap suami isteri:
9. Penyata KWSP dan slip gaji (3 bulan terkini) ATAU
10. Borang e-BE/ Penyata LHDN yang disah terima beserta slip bayaran
11. Sijil perkahwinan (bagi permohonan kali pertama sahaja)
Insurans pembantu rumah asing
Salah satu komponen yang penting untuk menggaji pembantu warga asing ialah skim insurans. Kerajaan Malaysia telah memutuskan supaya Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing dilaksanakan bermula Januari 2011.
Ini bermakna semua pekerja asing diwajibkan mengambil polisi insurans Skim Kemasukan Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing dengan perlindungan sehingga RM10,000 setahun dan bayaran premium insurans sebanyak RM120 setahun bagi seorang pekerja asing.
Untuk pengetahuan semua, kerajaan telahpun memutuskan supaya majikan yang menggaji pekerja asing sebagai pembantu rumah menanggung polisi insurans.
Sebanyak 17 syarikat insurans di negara ini telah bersetuju dan menyediakan skim perlindungan tersebut.
Bagaimanapun, sekiranya bil rawatan hospital pembantu rumah itu melebihi RM10,000. Pembantu rumah itu hendaklah membayar baki bil tersebut.
Akhir kalam
Dalam erti kata lain, untuk mengambil pembantu rumah bukan warga tempatan ini bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai prosedur dan proses yang perlu dilalui. Jika sudah bersedia, boleh terus pergi ke portal MAID online yang disediakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Jadi, adakah berbaloi menggajikan pembantu rumah warga asing?
Jawapannya setakat ini ialah berbaloi.
Mengapa?
Meskipun proses yang perlu dilalui sedikit renyah, namun sekurang-kurangnya majikan boleh menggunakan perkhidmatan pembantu rumah luar dengan lebih fleksibel terutama daripada aspek pengurusan masa dan gaji.
Ini merupakan nilai tambah terbesar bagi pembantu rumah warga asing berbanding pembantu rumah tempatan.
Namun, jika masih skeptikal dengan pembantu rumah asing, boleh boleh sendiri dan ikut cara kemas rumah bersama-sama keluarga.
Semoga bermanfaat.
1 Comment
Boleh kah majikan pergi sendiri ke negara asal pekerja utk mengambil pekerja tersebut , tetapi akan mengikut prosidor yg di tetap kan oleh imigresen, tujuan nya ada lah untuk mengenal pasti pekerja yg bakal diambil untuk bekerja, terima kaseh.