Jenama Honda merupakan antara jenama kereta kegemaran ramai individu di Malaysia. Malahan boleh dikatakan banyak kereta dari jenama Honda boleh dilihat di jalan raya. Hadir dengan pelbagai varian seperti kereta Honda City, Accord, Jazz dan Civic.

Tetapi untuk perkongsian kali ini, jom kita berbicara mengenai kereta Honda City dan adakah ia sesuai sebagai sebuah kereta untuk keluarga, okay?

Perihal kereta Honda City

Sebelum kita menentukan sama ada kenderaan keluaran Honda ini sesuai sebagai kenderaan keluarga atau tidak, apa kata kita kenali serba sedikit mengenai kereta sedan ini, boleh?

Honda City merupakan sebuah kereta di bawah segmen B, iaitu kenderaan ekonomi (economy car) dalam versi sedan. Sememangnya kebanyakan individu di negara ini lebih gemarkan kenderaan jenis sedan.

Ini kerana ia menawarkan aspek praktikaliti seperti ruangan kabin dan bonet belakang yang luas. Sudah aspek ini amat bersesuaian dengan gaya hidup khalayak umum di Malaysia yang gemarkan bercuti dan memandu kereta bersama keluarga.

 

Rekaan Honda City tak telan dek zaman

Ini bukanlah satu ciri penting, tetapi sudah pasti apabila memilih untuk membeli sebarang kenderaan, kita mahukan kereta yang tampak moden sesuai dengan peredaran zaman dan masa.

Jadi ia boleh dikatakan sebagai kriteria utama pada City yang membuatkan ia menjadi antara pilihan ramai. Ini kerana Honda City bukan sahaja menawarkan reka bentuk moden, tetapi boleh dikatakan ia tidak ketinggalan zaman.

Rekaannya ia tidak terlalu sporty pasti sesuai untuk dipakai semua peringkat usia dan status. Jadi boleh dikatakan atas sebab ini Honda City menjadi pilihan ramai berbanding kenderaan Honda yang lain.

 

Honda City jimat minyak

Dengan peningkatan kos sara hidup zaman sekarang, sudah tentu kita mencari kenderaan yang boleh memberikan penjimatan bahan api dan cekap dari aspek penggunaan bahan api, bukan? Ini kerana secara tidak langsung, ia dapat membantu menjimatkan duit bulanan untuk bahan api.

Beli kereta bukanlah semudah membeli makanan atau pakaian. Tetapi apabila seseorang individu ingin membeli kereta sudah pasti pelbagai aspek harus diambil kira. Begitu juga mengenai aspek penjimatan bahan api. Barulah berbaloi untuk dibeli.

Untuk keluarga:

Jika selalu jalan jauh dengan keluarga, kosnya tentu tinggi. Namun, dengan Honda City, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan.

 

Kuasa dan prestasi

Sudah tentu ciri prestasi menjadi antara keutamaan pembeli selain aspek penjimatan dan rekaannya. Honda City yang dijana dengan enjin 1.5 liter 4 silinder 16-Valve, SOHC i-VTEC boleh memberikan kuasa pada 120 ps pada rpm 6,600 dengan tork 145 Nm pada rpm 4,600. Rasanya ia cukup memuaskan untuk pemanduan di lebuh raya dan jalan raya di Malaysia ini.

 

Praktikaliti

Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, Honda City menjadi pilihan kerana ciri praktikalitinya. Ia menawarkan ruangan kabin dan bonet belakang yang luas dan selesa. Ia dikatakan sesuai untuk mereka yang berkeluarga dan gemarkan untuk memandu sambil bercuti.

Tetapi keluarga yang bagaimana sesuai memilih kenderaan Honda City ini?

 

Kesesuaian buat keluarga

Pada pendapat penulis, kenderaan Honda City ini sesuai dijadikan kenderaan keluarga buat keluarga yang bersaiz kecil dan sederhana besar. Keluarga dalam ciri ini sudah pasti akan dapat menikmati keluasan ruangan kabin dan bonet belakang seluas 536 liter.

Kewujudan penyaman udara pada ruangan belakang, sudah pasti menjadikan perjalanan percutian keluarga akan lebih selesa. Tetapi adakah keluarga yang besar tidak sesuai memakai Honda City?

Di sini kita memerlukan pemikiran secara logik, Honda City adalah sebuah kenderaan sedan dibawah segmen B. bayangkan jika anda mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai atau bersaiz besar?

Adakah anda yakin mereka yang menjadi penumpang pada bahagian tempat duduk belakang akan selesa seperti anda yang duduk di tempat pemandu mahupun penumpang bahagian depan?

Sudah tentu jawapannya TIDAK! Mereka, penumpang dibelakang jika dalam bilangan yang lebih dari 3 individu akan terpaksa berhimpit, apatah lagi jika saiz individu adalah besar (maaf, bukan menghina tetapi kita fikir secara logik).

 

Tidak sesuai jika anak ramai

Jadi Honda City tidak sesuai untuk keluarga dengan ahli keluarga yang ramai dan bersaiz besar.

Apatah lagi jika anda mempunyai anak kecil lebih daripada tiga. Ini memandangkan tahun 2020, kerajaan sudah mewajibkan penggunaan kerusi kereta (car seat) untuk kanak-kanak dibawah 12 tahun. Boleh bayangkan kesesakan yang akan berlaku?

 

Model terkini Honda City

Jadi kita sudah mengetahui bahawa kenderaan ini tidak praktikal untuk keluarga besar dan bilangan yang ramai. Tetapi bagi mereka yang mempunyai keinginan untuk membeli kenderaan ini, berikut dikongsikan mengenai model terkini Honda City.

Terdapat empat pilihan varian Honda City iaitu:

  • Honda City 1.5L S
  • Honda City 1.5L E
  • Honda City 1.5L V
  • Honda City 1.5L Hybrid
  • Honda City 1.5L SE

Kesemua varian dijana enjin 1,497 cc 4 silinder 16-Valve, SOHC i-VTEC dengan sistem Suntikan Bahan Api Elektronik (Electronic Fuel Injection (PGM-FI)), kecuali varian Hybrid dengan enjin 1,496 cc.

Selain varian Hybrid, kesemua varian City menawarkan kuasa pecutan pada 120 ps bersama tork 146 Nm. Manakala varian Hybrid boleh memberikan prestasi pecutan pada 110 ps untuk enjin dan 30 ps untuk motor dan gabungan keduanya memberikan kuasa pada 137hp. Tork bagi varian Hybrid pula adalah 137 Nm untuk enjin dan 160 Nm untuk motor, maka kombinasi keduanya menghasilkan tork pada 170 Nm.

Antara pilihan warna yang ditawarkan adalah Passion Red Pearl, Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl.

Untuk maklumat lanjut dan informasi terkini, sila ke laman rasmi Honda di sini.

 

Pengiraan bayaran

Tidak dinafikan semua individu mempunyai keinginan untuk memiliki kenderaan berjenama. Tetapi ia sebenarnya bergantung kepada kemampuan anda. Cara pertama membuat pengiraan sama anda anda mampu memiliki Honda City atau tidak adalah dengan mengira jumlah gaji tahunan anda.

Sebagai contoh, jika gaji bulanan anda adalah RM2,800 x 12 = RM33,600.

Anda dinasihatkan untuk membeli kenderaan yang berharga kurang daripada jumlah gaji tahunan anda. Atau pilihlah kenderaan yang harga bayaran bulanannya tidak melebihi 15 peratus daripada gaji bulanan anda. Lebih kurang adalah lebih baik.

Jadi kalau mengikut pengikut pengiraan di atas, sudah tentu gaji minimum yang yang disarankan jika ingin memiliki kenderaan Honda City adalah pada RM6,000. Ini kerana ia adalah bersesuaian dengan harga Honda City itu sendiri.

 

Harga Honda City 2019

Berikut dikongsikan harga Honda City tanpa insurans mengikut varian:

  • Honda City 1.5L S – RM73,836.00
  • Honda City 1.5L E – RM79,955.00
  • Honda City 1.5L V – RM86,983.00
  • Honda City 1.5L Hybrid – RM92,172.00
  • Honda City 1.5L SE – RM75,955.00

 

Jadi bayaran bulanan untuk Honda City (dengan bayaran 10 peratus deposit) paling minimum adalah RM875 sebulan untuk pinjaman penuh (full loan). Namun bukan itu sahaja yang harus dititikberatkan, sebalik anda juga harus memikirkan mengenai kos selepas pembelian seperti

  • Insurans kenderaan
  • Cukai jalan
  • Harga bahan api
  • Kos penyelenggaraan dan servis (biasanya anggaran RM300-RM500 untuk servis minor dan boleh mencecah RM1,000 untuk servis major)
  • Kos tidak terjangka seperti tayar, bateri
  • Kos susut nilai
  • Serta perbelanjaan dan komitmen bulanan yang lain

 

Akhir kalam

Membeli kereta tidak semudah seperti membuat pembelian dalam talian. Anda mengambil kira dari aspek komitmen bulanan serta komitmen selepas pembelian sesebuah kenderaan.

Jangan membeli kerana mengikut kawan-kawan, sebaliknya beli kereta mengikut keperluan dan kemampuan anda.

Jangan nanti anda diisytihar bankrap semata-mata hutang kereta Honda City.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply