Chia seed atau dalam bahasa Melayu digelar sebagai biji chia, merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang tergolong dalam keluarga pudina. Berasal dari Mexico dan Guatemala, chia seed yang dikenali sebagai salvia hispanicadalam istilah saintifik, telah lama digunakan sebagai suplemen oleh perajurit suku kaum Maya dan Aztec di Mexico dek kerana khasiatnya yang cukup luar biasa.

Anda pasti tertanya-tanya, apakah kebaikan chia seed sampai orang dulu-dulu pun guna?

Tergolong dalam kelompok superfood, kajian USDA National Nutrient mendapati 100 gram chia seed memenuhi 91% keperluan diet harian memandangkan biji ajaib ini kaya protein, serat, thiamin, vitamin A, vitamin C, vitamin E, folat, niasin dan riboflavin.

Selain itu, chia seed juga mengandungi sodium, kalium, mineral, kalsium, besi, tembaga, fosforus, mangan, selenium, zink dan magnesium. Sifatnya sebagai antioksidan yang aktif mampu menghalang kesan buruk akibat daripada radikal bebas.

Walaupun ramai orang ingat chia seed itu hanya untuk kurus, hakikatnya, khasiat chia seed bukan sekadar untuk diet semata-mata.

Penelitian oleh pakar perubatan dan para saintis beberapa tahun kebelakangan ini mendapati chia seed turut bermanfaat untuk kesihatan, kecantikan dan sebagainya.

Kebaikan chia seed (untuk kesihatan)

Chia seed bantu turunkan berat badan

Kaya dengan serat, pengambilan chia seed sebanyak 25 hingga 38 gram sehari dapat membantu menurunkan berat badan.

Kandungan tryptophan pula membantu melancarkan sistem pencernaan sekali gus membantu melangsingkan tubuh. Sebuah kajian di Brazil membuktikan bahawa chia seed berupaya untuk mengurangkan lemak dalam tubuh.

Malah kandungan protein yang dimilikinya ternyata berkeupayaan untuk meningkatkan rasa kenyang dan seterusnya membantu menurunkan berat badan.

Chia seed boleh cegah sembelit

Chia seed berkhasiat merawat sembelit kerana kandungan serat tidak larut yang terkandung di dalamnya.

Bahagian luar biji chia seed yang terdiri daripada polisakarida non-pati (NSP) yang larut dalam air akan mengembang dan berubah menjadi seperti jeli sehingga dapat membantu pencernaan dan melancarkan pembuangan air besar.

Mengawal kencing manis

Pakar perubatan menjelaskan chia seed merupakan salah satu rawatan semula jadi yang efektif buat pesakit diabetes tahap 2.

Keupayaan chia seed untuk melambatkan pencernaan dapat dikaitkan dengan pencegahan diabetes.

Lapisan chia seed yang berubah menjadi jeli apabila terkena air dapat mencegah lonjakan kadar gula dalam darah. Sebagai salah satu makanan indeks glisemik rendah, chia seed dapat membantu menstabilkan gula dan melawan rintangan bagi insulin yang telah terikat dalam peningkatan pada lemak perut.

Memerangi kanser

Laporan perubatan yang diterbitkan dalam UCSF Medical Center menyatakan chia seed turut berkhasiat dalam memerangi kanser.

Kandungan asam alpha-linoleat dapat membantu mencegah kanser payudara. Minyak chia seed juga memiliki sifat antikanser yang dikenal pasti dapat mengurangkan pertumbuhan tumor dan menghambat sel kanser.

Chia seed boleh turunkan tahap kolesterol

Asam lemak omega-3 dan lemak monounsaturated (lemak tak jenuh tunggal) dalam chia seed turut berupaya menurunkan kolesterol dalam darah dan mencegah penyakit jantung koroner.

Kajian The Academy of Nutrition and Dietetics menjelaskan bahawa hanya dengan mencampurkan chia seed ke dalam makanan, kadar kolesterol akan dapat dikawal.

Meningkatkan kesuburan

Kajian menunjukkan makanan kaya asam lemak omega-3 seperti chia seed mampu meningkatkan kadar kesuburan lelaki.

Chia seed yang dimasak bersama salmon mengandungi khasiat yang luar biasa untuk kesihatan sperma lelaki. Malah baik juga untuk pertumbuhan bayi dalam kandungan.

Membantu perbaiki kesihatan kardiovaskular

Laporan kesihatan terbitan West Virginia Universitymenyatakan bahawa kandungan asam lemak omega-3 dalam chia seed dapat meningkatkan kesihatan jantung dan mencegah penyakit yang berhubungan dengan jantung.

Antaranya, mengurangkan risiko detak jantung tidak teratur (aritmia) dan melambatkan akumulasi plak arteri.
 

Meningkatkan tenaga dan metabolisme

Jika anda aktif bersukan, amalkan pengambilan chia seed. Tahu kenapa? Ini kerana chia seed mampu membuatkan anda lebih bertenaga.

Kandungan vitamin B, zink, zat besi dan magnesium dapat membantu meningkatkan tenaga.

Laporan terbitan University of New Hampshire  menjelaskan bahawa chia seed berupaya meningkatkan metabolisme tubuh.

Bagus untuk tulang dan gigi

Pengambilan makanan kaya kalsium dan fosforus seperti chia seed dalam menu harian dapat membaiki kesihatan tulang.

Amalan memakan chia seed dianggap sebagai cara terbaik untuk menambahkan kandungan kalsium dalam tubuh.

Selain kalsium, chia seed juga kaya dengan mangan yang turut berperanan penting dalam mendapatkan tulang dan gigi yang kuat.

Satu hidangan chia seed dalam menu harian memiliki 18 peratus daripada yang disyorkan untuk kalsium di mana ia berfungsi untuk mengekalkan kesihatan gigi, tulang dan mencegah osteoporosis.

Kebaikan chia seed (untuk kecantikan)

Meningkatkan kesihatan kulit

Bukan hanya baik untuk kesihatan tubuh, si mungil ini juga berguna untuk memelihara kecantikan kulit.

Asam lemak omega-3 dalam chia seed telah terbukti dapat merawat peradangan kulit.

Bersifat anti radang, chia seeddapat mengembalikan kelembapan kulit, mengurangkan kemerahan kulit dan mencegah jerawat.

Wajah kusam juga dapat diatasi menggunakan chia seed kerana ia sarat dengan protein, zink dan mineral yang efektif untuk mencerahkan kulit.

Selain memakannya, kulit kusam dapat diatasi dengan menjadikan chia seed sebagai masker wajah bagi mendapatkan hasil yang memberangsangkan.

Lebih istimewa, chia seed juga dapat digunakan dalam merawat penyakit kulit seperti rosacea dan psoriasis.

Melembabkan kulit

Minyak yang diekstrak daripada chia seed mempunyai manfaat menakjubkan buat kulit.

Secara klinikal, minyak chia seed terbukti meningkatkan penghidratan kulit.

Ia mengurangkan kehilangan air secara trans epidermis dan menghalang kehilangan kelembapan walaupun pada kulit kering.

Serum semulajadi

Selain melembabkan kulit, minyak chia seed juga boleh menjadi pengganti serum yang sangat baik. Justeru, ia dapat menghalang mekap daripada cair atau merekah.

Pengambilan chia seed yang konsisten turut membantu menggalakkan fungsi sel dan meningkatkan kecerahan kulit.

Mencegah tanda penuaan

Minyak chia seed turut mengandungi tahap antioksida dan phytonutrien yang tinggi.

Mengandungi 30% lebih antioksidan daripada beri biru, ia terdiri daripada asid Alpha-Lipoic, antioksidan kuat yang boleh mengurangkan garis halus, kedutan dan liang besar.

Selain itu, ia juga dapat melindungi kulit daripada radiasi UV dan bertindak sebagai agen anti inflamasi yang membantu mencegah kulit daripada berkedut atau kendur lebih awal.

Memudarkan parut jerawat

Selain mampu mengatasi inflamasi pada kulit, omega-3 dalam chia seed baik untuk mengatasi parut jerawat.

Untuk hasil yang optimum, jadikan chia seed sebagai masker wajah.

Bagaimana? Hanya campurkan tiga sudu besar chia seed bersama satu sudu kecil madu. Kacau sebati dan oles pada wajah.

Biarkan selama 15 minit dan basuh wajah hingga bersih. Amalkan rutin ini sebanyak dua kali seminggu, parut jerawat akan beransur pudar.

Mudahkan?

Kebaikan chia seed (untuk ibu hamil & menyusukan anak)

Sumber zat ibu hamil

Keperluan nutrisi wanita hamil lebih banyak berbanding orang lain. Jika anda sukar untuk mendapatkan makanan yang boleh memenuhi keperluan nutrisi itu, ambil sahajachia seed.

Menurut kajian yang terbitan Journal of Food Science and Technology, chia seed membekalkan asam lemak omega-3 yang sangat penting untuk perkembangan otak dan sistem saraf bayi serta membantu meningkatkan sistem kekebalan tubuh mereka.

Manakala penyelidikan yang diterbitkan dalam Nutrients pada 2015 pula melaporkan bahawa amalan memakan minyak chia seed selama tiga bulan pertama menyusukan bayi dapat meningkatkan pengeluaran susu dan meningkatkan kandungan omega-3 dalam air susu.

Mengurangkan rasa lapar

Menyusukan bayi membuatkan kaum ibu mudah berasa lapar. Rasa lapar ini berpunca daripada jumlah kalori yang banyak digunakan untuk menghasilkan susu.

Dalam situasi ini, chia seed boleh dijadikan alternatif untuk menghilangkan rasa lapar sekali gus memberi zat tambahan memandangkan ia dapat memberikan 139 kalori bagi setiap dua sudu makan pengambilannya.

Meningkatkan protein

Bayi memerlukan protein untuk tumbesaran. Pada bayi yang masih menyusu, sumber protein mereka datangnya daripada susu ibu.

Journal of Food Science and Technology menerusi sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 2016 menjelaskan kandungan protein chia seed adalah sekitar 18.8 hingga 21.5% per auns.

Satu portion makanan dengan chia seed mampu memenuhi sekitar 15% keperluan protein harian pada wanita hamil, satu pertiga keperluan serat harian dan hampir semua keperluan kalori tambahan sepanjang trimester pertama.

Ini menjadikan chia seed antara sumber protein terbaik.
 

Menguatkan tulang & gigi bayi

Chia seed mengandungi 268 miligram kalsium bagi setiap tiga sudu besar. Database Produk Makanan USDA menjelaskan jumlah tersebut hampir sama dengan pengambilan segelas susu.

Khasiat kalsium yang disalurkan menerusi air susu ibu membantu menguatkan tulang dan gigi si kecil. Bagi si ibu pula, chia seed membantu meremajakan tulang selepas kehamilan dan melahirkan.

Keburukan chia seed

Adakah semuanya tentang kebaikan chia seed, hinggakan tak ada satu pun keburukannya?
Begini.

Biarpun memiliki banyak khasiat untuk kesihatan, chia seed juga boleh mendatangkan kesan sampingan, akibat pengambilan chia seed.

Antaranya:

Masalah gastrointestinal

Masalah gastrointestinal merupakan kesan sampingan paling umum yang boleh dialami akibat pengambilan chia seed yang berlebihan.

Antara kesannya ialah sembelit, najis keras dan kembung perut.
 

Meningkatkan risiko kanser prostat

Seperti yang diketahui, chia seed mengandungi asam alfa-linolenat dalam jumlah tinggi.

Beberapa penelitian mendapati jumlah asam alfa-linolenat yang sangat tinggi dapat meningkatkan risiko kanser prostat.
 

Kandungan omega-3 dalam chia seed boleh menurunkan tekanan darah secara semula jadi. Selain itu, chia seed juga berperanan sebagai pencair darah semula jadi.

Oleh itu, jika anda menggunakan ubat mencairkan darah seperti warfarin, hindarilah chia seed. Anda juga tidak digalakkan untuk mengambil chia seed ketika baru menjalani pembedahan bagi mengelakkan pendarahan.

Menyebabkan sakit tekak

Amalan memakan chia seed boleh menyebabkan sakit di bahagian tekak kerana saluran tenggorok akan mengalami penyempitan akibat penyumbatan makanan.
Chia seed adakalanya mampu mengeringkan air di sekitar saluran esofagus sehingga menyebabkan makanan tersekat.

Tidak sesuai untuk orang kurus

Chia seed memiliki kemampuan untuk membakar lemak dan menahan rasa lapar sehingga sesuai dijadikan menu diet sihat.

Namun, individu yang berbadan kurus tidak disarankan untuk memakan chia seed kerana boleh menyebabkan kehilangan nafsu makan dan menimbulkan masalah kesihatan yang lain.

Cara makan chia seed

Chia seed kering juga boleh ditambah untuk dijadikan:

  • Smoothies
  • Jus buah-buahan
  • Dicampur menjadi yoghurt
  • Dicampur dalam oat
  • Ditabur atas salad

Resepi puding chia seed

Anda juga boleh mencuba cadangan resepi di bawah:

(Sumber: tasty-yummies.com)

Bahan-bahan:

  • 1¼ cawan susu
  • ¼ cawan chia seed
  • 3 camca makan serbuk koko
  • 1 camca makan madu
  • Sedikit garam
  • Hirisan dark chocolate untuk hiasan

Cara menyediakannya:

  • Masukkan semua bahan ke dalam bekas bertutup.
  • Kacau sebati.
  • Tutup bekas dan goncang bekas kuat-kuat.
  • Setelah itu, masukkan bekas tersebut ke dalam peti ais selama semalaman atau sekurang-kurangnya 4 jam.
  • Tekstur makanan akan berubah seperti puding.
  • Sedap dimakan ketika sejuk.

Akhir kata

Walau chia seed ada banyak kelebihan dan kebaikannya, jangan ambil berlebihan kerana ia boleh mendatangkan keburukan.

Kesan sampingan ini, mungkin tidak akan nampak dalam masa terdekat.

Namun, kesannya ada dapat dilihat beberapa tahun akan datang.

Usahlah terlalu obses untuk kurus dan sihat dengan chia seed semata-mata.

Kuruskan badan dengan cara dan diet yang betul seperti diet Atkins.

Semoga kebaikan chia seed ini dapat dikongsikan lagi dengan lebih ramai orang.

Jagalah kesihatan, pastikan tidur awal setiap malam.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

2 Comments

  1. bagaimana kalau pesakit kencing manis yang kronik ataupon beberapa penyakit kronik boleh mengamalkan chiaseed ni. bagaimana pula kalau orang yang mengambil suntikan insulin dapat diberhentikan kerana pengambilan chia seed ini.

Leave A Reply