Selain barah payudara, antara penyakit yang paling ditakuti oleh golongan wanita ialah kanser serviks. Kami bukan ingin menakutkan sesiapa. Hanya sekadar berkongsi maklumat penting berkenaan barah pangkal rahim yang anda perlu tahu.

Apa itu kanser serviks?

Kanser serviks atau juga dikenali sebagai kanser pangkal rahim adalah disebabkan pertumbuhan luar biasa sel-sel yang mempunyai kebolehan untuk menyerang atau merebak ke bahagian lain badan. Pada awalannya, tiada simptom-simptom barah pangkal rahim yang boleh dilihat.

Malah ia adalah salah satu daripada penyebab keputihan yang telah kita pelajari di dalam topik sebelum ini. Hanya simptom-simptom peringkat seterusnya dapat dilihat termasuklah pendarahan luar biasa faraj, sakit di bahagian pelvik atau sakit sewaktu melakukan hubungan kelamin.

Jangkitan HPV (Human Papillomavirus) kebiasaannya terlibat di dalam lebih daripada 90% kes barah pangkal rahim, bagaimanapun kebanyakan orang yang mempunyai jangkitan HPV, tidak mendapat kanser serviks.

Faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada barah pangkal rahim adalah tabiat merokok, sistem imunisasi yang lemah, pil-pil perancang keluarga dan mula melakukan hubungan kelamin pada usia muda dan mempunyai berbilang pasangan. Kanser serviks kebiasaannya terjadi disebabkan perubahan-perubahan dalaman badan yang mengambil masa 10 hingga 20 tahun.

 

Jenis kanser serviks

Terdapat dua jenis barah pangkal rahim yang utama. Hampir 90% barah pangkal rahim adalah merupakan Squamous Cell Carcinoma. Ianya bermula dari dalam sel skuamus atau kulit seperti sel yang terdapat di pangkal rahim. Kedua adalah Adenocarcinoma yang jarang berlaku dan ia bermula dari dalam sel glandular.

 

Cara diagnos kanser serviks

Terdapat banyak cara untuk mendiagnos barah pangkal rahim tersebut, di antaranya adalah:

  • Ujian pap smear

Seringkali dilakukan untuk mengesan perubahan sel yang luar biasa di dalam pangkal rahim dan boleh mengesan walaupun kanser belum lagi terbentuk. Doktor akan mengambil contoh sel dari permukaan pangkal rahim dan akan melihatnya di bawah mikroskop. Wanita disyokran untuk menjalani ujian pap smear ini setiap dua tahun sekali.

  • Kolposkopi

Ia adalah sejenis alat khas yang dapat memeriksa kawasan pangkal rahim. Kolposkopi dapat membesarkan imej sel pangkal Rahim dan faraj, sama seperti mikroskop. Apabila ianya dimasukkan, ia boleh memberikan cahaya dan selamat digunakan untuk wanita yang hamil.

  • Biopsi

Dengan mengambil sedikit tisu untuk menjalankan pemeriksaan di bawah mikroskop dengan lebih teliti. Ia adalah sangat tepat dan keputusan boleh didapati dalam masa seminggu.

  • Computed Tomography Scan (Imbasan CT)

Ia merupakan imbasan dan memberikan gambar tiga dimensi di dalam badan menggunakan sinar-X.

  • Magnetic Resonance Imaging (MRI)

Ujian ini sama seperti imbasan CT tetapi ia menggunakan kuasa magnet untuk membentuk imej-imej yang lebih jelas dan lengkap.

 

Tahap barah pangkal rahim

Ada empat tahap kesemuanya di dalam kanser serviks, di mana tahap 1 adalah kurang merbahaya dan tahap 4 merupakan sangat merbahaya. Jenis rawatan adalah mengikut tahap keseriusan kanser serviks tersebut.

 

Rawatan barah pangkal rahim

Antara rawatan yang kebiasaannya dilakukan untuk merawat kanser serviks adalah dengan melakukan pembedahan untuk membuang sel-sel kanser, radioterapi dan juga kemoterapi.

Tetapi kalau boleh, jangan tunggu sehinggan kanser serviks terbentuk. Adalah lebih baik jika kita dapat mencegahnya daripada berlaku dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif, setia kepada pasangan anda dan lakukan pap smear setiap 2 tahun sekali.

Juga disarankan untuk berjumpa dengan pakar segera jika anda mempunyai simptom-simptom kanser serviks di mana pengesanan awal dapat menghalang kanser serviks dari merebak. Walaupun ianya kelihatan hanya seperti keputihan luar biasa, anda boleh dapatkan khidmat pakar dan ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda.
Layari program pencegahan kanser serviks, inisiatif dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semoga kita semua dilindungi Allah dari penyakit seperti ini.

Ameen.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

Leave A Reply