Pernah tak berlaku, badan penat dan mata mengantuk tetapi sukar untuk melelapkan mata? Kalau tiap-tiap malam macam ini, susahlah. Nanti takut akan mengganggu prestasi kerja dan kehidupan harian. Pasti akan stress sebab inginkan cara supaya cepat tidur, agar lena tanpa gangguan.
Ada orang, dia tidur awal dengan mengambil wuduk terlebih dahulu dan membaca doa tidur. Kemudian bangun malam untuk solat tahajjud. Ada orang pula, memang terjaga malam sebab tak boleh tidur langsung.
Kalau anda adalah salah seorang yang menghidapi masalah yang disebutkan di atas dan sedang mencari jalan penyelesaian, kami ada jalan penyelesaian.
Jadi teruskan membaca artikel ini.
Tidur awal itu sangat penting
Menurut artikel dari Sinar Harian, antara jam 11 malam dan 3 pagi, putaran perjalanan darah kita tertumpu di hati. Hati menjadi kembang apabila dipenuhi dengan darah. Inilah masa yang sangat penting untuk tubuh kita mengalami proses detoksifikasi.
Maknanya, hati akan meneutralkan dan memecahkan toksin yang terkumpul di dalam badan sepanjang hari.
Tetapi jika kita tidak tidur pada waktu tersebut, hati kita tidak boleh melakukan proses tadi dengan lancar.
Jadi, kalau tidur jam 11 malam dan bangun 3 pagi, badan kita ada 4 jam untuk proses detoksifikasi.
Kalau kita tidur jam 12 tengah malam, ada 3 jam. Semakin lewat kita tidur semakin kuranglah tempoh pemprosesan itu. Jadi, bagaimana jika kita tidur selepas pukul 3 pagi?
Jawapannya mudah tapi membimbangkan. Sekiranya kita terus dengan amalan tidur mengikut corak begini, toksin akan terus bertambah dalam bada dan toksin meracuni badan kita.
Banyak masalah boleh terjadi kepada diri akibat toksin berlebihan; daripada kulit kusam dan berjerawat kepada sakit kepala, letih tanpa sebab, susah bangun tidur dan keliling mata seakan lebam.
Nampak tak, betapa pentingnya tidur awal untuk kesihatan kita.
Kenapa susah tidur?
Sebelum kita pergi kepada cara penyelesaiannya, sudah tentu kita perlu mengenal pasti punca yang mendasari masalah yang anda hadapi.
Takkanlah anda sukar tidur tanpa sebab, bukan? Jadi berikut merupakan antara faktor yang menyebabkan anda sukar untuk tidur.
1. Penyebab susah tidur ialah tekanan
Menghadapi tekanan merupakan punca bagi kebanyakan isu berkaitan kehidupan.
Tekanan boleh mewujudkan masalah kesihatan, tekanan boleh mengganggu perjalanan seharian anda. Malahan tekanan juga boleh membuatkan badan anda menjadi tegang dan akhirnya sukar untuk tidur.
2. Susah tidur sebab tak sihat
Berdepan dengan beberapa keadaan kesihatan juga boleh menjadi punca kepada masalah sukar untuk tidur.
Beberapa masalah berkaitan kesihatan yang mempengaruhi tidur adalah seperti perut kembung, asma, masalah berkaitan sendi dan alahan.
3. Sukar tidur kerana faktor umur
Dikatakan peningkatan usia turun mempengaruhi kualiti tidur. Kebanyakan individu yang mula memasuki usia 50 tahun dan ke atas akan mengalami perubahan pola tidur.
Secara ringkasnya, mereka akan kerap untuk terbangun pada tengah malam dan sukar untuk mendapatkan tidur yang nyenyak.
4. Penyebab sukar tidur kerana kuat merokok
Tabiat harian seperti merokok dan pengambilan minuman beralkohol juga boleh mempengaruhi dan menyebabkan timbulnya masalah sukar untuk tidur.
Pengambilan minuman berkafein secara berlebihan juga boleh menjadi antara punca anda sukar tidur.
5. Susah tidur kerana kitaran yang terganggu
Circadian rhythm
atau ritma sirkadian merupakan satu kitaran kehidupan bagi tempoh kitaran 24 jam sehari. Dikatakan ‘sistem’ ritma sirkadian ini turut mempengaruhi kualiti tidur.
Apabila anda mengamalkan rutin dan waktu tidur yang berkala dan sama setiap hari, ia sekali gus dapat meningkatkan kualiti tidur anda.
Ritma sirkadian ini boleh berubah dan dipengaruhi oleh aktiviti fizikal, kekerapan tidur siang dan pelbagai faktor lain.
Cara mudah tidur awal
Jadi anda sudah mengetahui punca yang mengakibatkan wujudnya masalah sukar untuk tidur. Bagaimana pula dengan penyelesaiannya? Adakah terdapat cara yang boleh membantu mengatasi masalah ini? Sudah tentu!
Berikut adalah beberapa cara serta kaedah yang boleh diamalkan untuk membantu anda mengatasi masalah anda dan menjadikan anda mudah tidur pada malam hari.
1. Tidur dalam keadaan gelap
Keadaan bilik dan persekitaran memainkan peranan penting dalam mewujudkan mood untuk tidur.
Umumnya, mata manusia amat sensitif terhadap cahaya dan ia cenderung menyebabkan mata untuk terbuka. Manakala keadaan gelap akan membuat mata lebih mudah tertutup.
2. Matikan telefon
Selain mendatangkan impak radiasi, penggunaan telefon pintar ketika hampir masuk waktu tidur akan membuatkan anda terleka terutama ketika melayari media sosial dan sebagainya.
Untuk dapatkan tidur berkualiti, sebaiknya matikan telefon atau sekurang-kurangnya tutup data.
3. Membaca buku
Membaca buku yang bersifat santai pastinya dapat membantu menjadikan fikiran anda lebih relaks. Ini sekali gus dapat membantu dan memudahkan anda untuk tidur. Malahan, sesi bed time story ini sebenarnya menjadi rutin bagi sesetengah individu khususnya di luar negara.
Ingat lagi di zaman sekolah bila anda baca sahaja buku Sejarah, anda dengan mudahnya boleh tidur?
Apa kata cuba ambil buku teks Sejarah dan baca. Mungkin ini penawar yang mujarab.
4. Kurangkan tidur siang
Walaupun terdapat kajian yang mengatakan tidur siang boleh memberikan manfaat yang baik. Tetapi anda perlu membataskan tempoh tidur tersebut, sekurang-kurangnya antara 20 hingga 30 minit sahaja. Sebaiknya, elakkan dari tidur terlalu lama.
Ini kerana jika anda tidur terlalu, ia akan memberi menyukarkan anda untuk tidur pada waktu malam.
5. Banyakkan bersenam
Melakukan aktiviti fizikal adalah bagus. Ia memberikan dua manfaat, sama ada membuatkan anda penat dan membolehkan anda tidur dengan lebih mudah atau aktiviti fizikal yang dilakukan akan membuatkan anda segar dan sukar tidur.
Mungkin anda boleh melakukan aktiviti yang lebih santai.
6. Mandi air panas
Dikatakan mandian air panas (jangan terlalu panas) bersama wangian aroma terapi amat bagus untuk dijadikan sebagai salah satu cara mudah cepat tidur malam hari.
Kebiasaannya, selesai mandi, badan akan merasa lebih relaks dan membolehkan tidur cepat dan nyenyak.
7. Jangan makan makanan berat
Cara mudah cepat tidur malam yang perlu diberikan perhatian adalah untuk mengelakkan daripada mengambil sebarang makanan berat ketika dekat dengan waktu tidur.
Makanan yang berat akan membuatkan sistem pencernaan bekerja lebih keras sehingga menyukarkan anda tidur. Sekiranya anda berasa lapar, mungkin anda boleh memilih untuk mengambil makanan ringan seperti buah-buahan atau bijirin bersama susu.
8. Tidur di tempat yang selesa supaya cepat tidur
Siapa yang tidak suka tidur di tilam yang empuk dan selesa, bukan? Jadi sebaiknya hindari daripada meletakkan terlalu banyak barangan seperti bantal, teddy bear atau apa sahaja yang boleh membuatkan keadaan katil menjadi terlalu sesak dan semak. Ada masanya yang ringkas itu lebih baik. Pastikan juga suhu aircond tidak terlalu panas mahupun sejuk.
9. Untuk cepat tidur, jangan fikir tentang bebanan kerja
Kerja di pejabat memang tak akan pernah siap. Percayalah.
Elakkan daripada melakukan kerja atau tugasan yang berat, paling kurang sejam sebelum anda tidur.
Ini kerana ia akan membuatkan anda akan terus memikirkan mengenai tugasan tersebut dan akhirnya menyukarkan anda tidur.
Usah terlalu memikirkan tentang masalah kerja pada waktu malam. Kerja tidak akan pernah habis, jadi berikan badan anda peluang untuk berehat..
10. Tetapkan masa bangun dan tidur
Tidur dan bangun pada masa yang sama setiap hari adalah amat baik untuk diamalkan.
Kaedah tidur dengan teratur ini boleh mengurangkan risiko untuk anda mengalami penat pada waktu siang.
Akhir kalam
Masalah sukar untuk tidur boleh diperbaiki dengan melakukan tip yang dinyatakan di atas. Ia mungkin memerlukan kesabaran untuk anda dapat tidur dengan lebih mudah.
Namun seandainya anda masih sukar untuk tidur walaupun sudah mencuba pelbagai cara, mungkin anda boleh dapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar perubatan.
Jangan pula jadi orang yang tidur awal, bangun lambat. Itu lagi teruk. Gayanya seperti orang malas. Hidup pun tidak produktif.
Semoga kita semua dapat tidur dan melakukan kerja harian. Manfaatkan waktu yang diberi oleh Allah.
Semoga bermanfaat.
4 Comments
Terima kasih sangat sangat ya.Lepasni buatlah artikel yg lebih banyak supaya dapat Bantu semua orang😊😊
NICE… :))
Terima kasih atas perkongsian yg diberi.Selepas ini saya akan dapat tidur awal dan bangun awal😁.
NO:01133225705
Acc:0301041180195
BANK:bsn
TAC: