Tiada siapa boleh mengatakan tugas sebagai ibu bapa satu peranan yang mudah. Membesarkan anak menjadi seorang individu yang berjaya di dunia tidak akan berlaku dengan sendirinya. Ia merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang besar buat semua ibu bapa yang wujud di dunia ini. Cara mendidik anak berjaya zaman sekarang, tak sama dengan zaman kita dulu.
Anda mungkin berasa apa yang anda lakukan adalah betul dan terbaik untuk anak anda. Tetapi tidak dapat dinafikan, secara hakikatnya ia mungkin berubah menjadi perkara yang salah dan tidak patut anda lakukan.
Beri yang terbaik untuk anak-anak
Pastinya sebagai ibu bapa, anda mahu melakukan yang terbaik buat anak-anak anda. Dikatakan dalam satu kajian saintifik yang dijalankan, terdapat 5 perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk memperolehi anak yang berjaya.
Pastinya anda ingin mengetahui apakah 5 perkara tersebut, bukan? Teruskan membaca perkongsian artikel ini yang diinspirasikan dari Inc. Lelaki atau perempuan, sama sahaja.
Cara mendidik anak
Sesungguhnya tiada manual yang boleh dijadikan panduan dalam membesarkan anak-anak. Ini kerana setiap anak adalah berbeza dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, tidak salah untuk kita sebagai ibu bapa mendapatkan sedikit panduan dan bantuan dalam aspek penjagaan anak-anak.
Berikut adalah antara perkara yang dapat disimpulkan oleh beberapa penyelidik dan boleh diamalkan oleh ibu bapa, seperti:
Jangan terlalu kongkong hidup anak
Dalam satu laporan kajian diterbitkan dalam The Journal of Abnormal Psychology, menyatakan kajian yang dilakukan antara tahun 2009 dan 2017 menunjukkan peningkatan dalam statistik kesihatan mental individu remaja. Perkara ini merupakan sesuatu yang amat mengejutkan.
Hasil kajian yang melibatkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan masalah kemurungan lebih 40 peratus, manakala peningkatan lebih 47 peratus adalah bagi kanak-kanak antara usia 12 dan 13 tahun. Jumlah pada tahun 2015 menunjukkan peningkatkan dua kali ganda berbanding tahun 2007.
Malahan individu remaja di dalam kelompok usia dinyatakan di atas merupakan antara individu yang kerap ditemui di jabatan kecemasan dan mempunyai pemikiran, keinginan atau tingkah laku untuk membunuh diri.
Menurut pengarang buku, Small Animals: Parenthood in the Age of Fear, Kim Brooks, menyatakan sebahagian punca masalah itu adalah ibu bapa itu sendiri yang terlalu mengawasi dan mengawal perlakuan anak-anak pada setiap saat.
Cara mendidik anak perlu ada seni. Tidak boleh main terjah sahaja. Kena ada ilmu. Main psikologi.
Mengawal tak sama dengan memantau
Mengawal dan memantau setiap tingkah laku anak-anak adalah dua perkara yang berbeza. Mengawal bermakna anak anda langsung tidak diberikan kebebasan untuk melakukan apa yang ingin dilakukan. Ini secara tidak langsung boleh memberikan kesan negatif kepada perkembangan emosi dan sosial anak-anak.
Manakala memantau pula bererti anak anda diberikan kebebasan untuk melakukan apa yang dingini tetapi masih dalam pemerhatian anda. Ini bermakna, selagi apa yang ingin dilakukan oleh anak anda tidak mendatangkan bahaya dan memudaratkan, mereka bebas untuk melakukannya.
Anak-anak perlu diberikan kebebasan sebagai peluang untuk mereka mengembangkan kemahiran sosial seperti berkawan dan memikirkan bagaimana untuk menangani sebarang masalah berkaitan interpersonal.
Ajar anak membaca
Membaca merupakan satu keupayaan dan kemahiran yang mendatangkan kesan kepada kehidupan seseorang. Menurut penyelidik, Kindel Turner Nash, ibu bapa yang terbaik akan mencari dan mengambil pendekatan yang dapat membantu anak-anak mereka untuk memahirkan diri dalam pembacaan.
Nash mencadangkan kaedah pembacaan seperti:
- Pilih bahan bacaan yang mencabar anak anda
- Bacaan petikan ayat yang mencerminkan budaya, bahasa dan minat anak anda
- Pastikan anda membaca dengan jelas dan anak anda mampu mendengar anda
- Pimpin tangan anak anda ketika proses pembacaan.
- Baca bersama anak anda. Tetapi sebaiknya biarkan anak anda membaca beberapa saat selepas anda dengan lantang
- Ulangi pembacaan, menggunakan kaedah yang sama
Dikatakan sekiranya anda melakukan kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas, sekurang-kurangnya 10-15 minit setiap hari, kemahiran dan keupayaan pembacaan anak anda dipercayai akan bertambah baik.
Sewaktu mereka masih kecil, cara mendidik anak dengan membaca ini akan membuatkan anak-anak semakin rapat dengan kita. Ilmu dapat, bonding pun dapat.
Jangan malukan anak di media sosial
Boleh dikatakan kebanyakan ibu bapa pada masa kini gemar untuk berkongsikan gambar dan maklumat mengenai anak-anak mereka di media sosial atau penggunaan istilah yang lebih tepat adalah sharenting.
Dalam satu penyelidikan yang dijalankan, didapati lebih daripada 70 peratus ibu bapa yang menggunakan media sosial melihat ibu bapa lain berkongsi di atas talian perkara yang boleh memalukan anak. Ini termasuklah maklumat peribadi yang memberikan info mengenai lokasi anak serta gambar yang dianggap tidak bersesuaian.
Sebenarnya tidak ada salahnya untuk berkongsi gambar atau sebarang momen menarik di media sosial sebagai kenangan anda.
Tetapi sebagai ibu bapa, anda seharusnya lebih mengetahui tentang apa yang perlu dan tidak perlu diletakkan di media sosial. Bukan semua yang anda rasa sesuai untuk dikongsikan sesuai untuk dijadikan tontonan umum.
Berpada-padalah.
Anak yang sudah remaja
Lebih-lebih lagi jika anak-anak sudah ada akaun Instagram dan Facebook sendiri. Mereka akan rasa malu jika ibu bapa sendiri berkongsi gambar yang mereka tidak suka.
Jika ingin berjaya dalam cara mendidik anak yang sudah pandai dalam media sosial, kena pandai bertolak ansur. Kena pandai main tarik tali.
Mendidik anak dengan kawal televisyen dan main gajet
Lebih 1,800 individu kanak-kanak terlibat dalam satu kajian Quebec Longitudinal Study of Child Development yang dilakukan oleh penyelidik daripada Kanada. Hasil kajian mendapati, kanak-kanak yang mempunyai televisyen di dalam bilik tidur seawal usia 4 tahun, berdepan dengan beberapa risiko.
Kanak-kanak ini mempunyai kecenderungan untuk berdepan dengan beberapa isu seperti masalah indeks jisim badan, tabiat pemakanan yang tidak sihat serta tahap kebimbangan dan kegelisahan emosi yang lebih tinggi pada usia 12 dan 13 tahun.
Lebih membimbangkan lagi apabila mereka juga terdedah kepada masalah kemurungan, menjadi mangsa buli, penderaan fizikal dan tahap kebolehan sosial yang lebih rendah.
Jangan ada TV dalam bilik tidur
Malahan, American Academy of Pediatrics mencadangkan supaya bilik tidur dijadikan sebagai satu zon bebas skrin dan pendedahan kanak-kanak kepada skrin pada semua peringkat usia dihadkan.
Cara mendidik anak dengan cara begini, tidak bermakna anak anda tidak boleh langsung menonton televisyen kerana terdapat juga rancangan kanak-kanak berbentuk pendidikan yang mendatangkan manfaat. Namun pastinya segalanya terkawal dan tidak secara berlebih-lebihan.
Kepada ibu bapa yang berhasrat untuk menyedia atau meletakkan televisyen dalam bilik tidur anak anda, mungkin anda boleh fikirkan kembali tentang keputusan anda itu. Jangan nanti, menyesal di kemudian hari. Mengajar anak, perlukan ketegasan.
Cuma pada hari ini, mungkin TV bukan lagi satu medium yang ibu bapa selalu guna. Kini bertukar kepada telefon bimbit pula. Hinggakan ada ibu bapa yang mengumpan dan pujuk anak menangis dengan telefon.
Sekali lagi, bukannya tidak boleh. Biarlah ia dalam situasi yang terkawal.
Mendidik, serta ambil berat pendidikan anak
Tentu sekali cara mendidik anak supaya berjaya adalah dengan mengambil berat tentang pelajarannya.
Tahukah anda, apabila ibu bapa melibatkan diri dalam aspek pendidikan anak-anak pada awal persekolahan, anak anda akan kurang berdepan kecenderungan untuk mengalami masalah berkaitan dengan tingkah laku dan fokus pembelajaran?
Tak percaya? Anda harus mempercayainya kerana ini adalah penyelidikan yang dijalankan di University of Missouri.
Maknanya, anda perlu ambil berat tentang pendidikan anak. Jangan ambil mudah dan buat sambal lewa sahaja.
Anak yang berjaya mempunyai ibu bapa yang memberikan keutamaan dalam membantu dalam menyiapkan tugasan kerja rumah, kerap berkomunikasi dengan guru, menghadiri acara yang dijalankan sekolah serta menyertai persatuan ibu bapa.
Aktif dalam PIBG
Lebih baik lagi, anak yang mempunyai ibu bapa yang terlibat secara aktif dalam perihal berkaitan persekolahan mereka, didapati memiliki kemahiran sosial yang lebih baik dan boleh memberikan tumpuan kepada sebarang tugasan dengan lebih baik.
Jadi apa yang boleh dikatakan, apabila ibu bapa aktif dengan hal sekolah anak-anak, ia sekali gus memberikan kesan kepada anak-anak sama dari segi fizikal mahupun mental. Kalau anda inginkan anak anda berjaya, tidak salah bukan untuk mengorbankan masa anda dan melibatkan diri secara aktif dalam perihal persekolahan anak.
Dengan mengambil pendekatan cara mendidik anak dengan berbuat baik sekali dengan guru-gurunya, tentu sekali ia akan memberi lebih banyak kebaikan dan advantage pada anak-anak. Ajarkan pada mereka, jika tidak faham, terus bertanya.
Akhir kalam
Senang cerita, kalau anda mahukan anak berjaya, ia seharusnya bermula daripada anda. Anda adalah model contoh terbaik dan terdekat buat anak-anak.
Kajian sains mungkin ada kebenarannya.
Tapi bagi kita yang beragama Islam, didiklah dengan didikan Islam.
Kita ingat kembali, pesanan dan nasihat yang sarat dengan makna berserta rahsia kehidupan dari Lukmanul Hakim pada anaknya:
1. Wahai Anakku yang ku sayangi…
Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah SWT.
2. Wahai anakku yang ku sayangi…
Sesungguhnya orang-orang yang selalu menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat perjuangan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar telah menerima kemuliaaan dari Allah.
3. Wahai anakku yang ku sayangi…
Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka dia bertawadhu’ kepadaNya. Dia akan lebih taat kepada Allah dan selalu berusaha menghindari maksiat.
4. Wahai anakku yang ku sayangi…
Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu) maka marahnya orang tuamu itu adalah bagaikan pupuk bagi tanaman.
5. Wahai anakku yang ku sayangi…
Jauhkanlah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
6. Wahai anakku yang ku sayangi…
Selalu berharap kepada Allah tentang segala sesuatu yang menyebabkan dirimu tidak derhaka kepada Allah. Takutlah kepadaNya dengan sebenar takut, tentulah engkau akan terlepas sifat putus asa dari rahmat Allah SWT
7. Wahai anakku yang ku sayangi…
Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan senantiasa melamunkan perkara yang tidak benar, ketahuilah memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah dari mengembalikan nama baik atau kehormatan.
8. Wahai anakku yang ku sayangi…
Engkau telah merasakan betapa berat memindahkan batu itu dan besi yang amat berat tetapi akan berat lagi dari semua itu, adalah apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.
9. Wahai anakku yang ku sayangi…
Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan seseorang yang bodoh menjadi utusan. Jika tidak ada orang yang cerdas dan pintar, sebaiknya dirimu sendiri yang menjadi utusan.
10. Wahai anakku yang ku sayangi…
Makanlah makanan bersama orang-orang yang bertakwa dan musyawarahkanlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat kepadanya.
Sangat pasti, kalau kita kejar dunia, kita akan dapat dunia sahaja.
Tapi kalau kita kejar akhirat, dunia akan kejar kita. Maka akan dapat kedua-duanya sekali.
Semoga kita semua dikurniakan, serta dianugerahkan anak yang bijak dan berjaya. Aset untuk kita di hari tua.
Diharapkan cara mendidik anak mengikut kajian sains ini dapat memberikan kita sedikit idea tentang bagaimana untuk membesarkan anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Semoga bermanfaat.