Tidak kiralah sama ada bujang, berkahwin atau tinggal bersama keluarga, kebersihan tempat tinggal memang sangat dituntut. Tak salah jika mempunyai banyak barang. Cuma bila ia tidak disusun dengan rapi, akan membuatkan rasa macam hidup di tempat pembuangan sampah. Maka, atas sebab itu kami ingin berkongsi cara kemas rumah yang banyak barang dan bersepah macam tongkang pecah.

Rumah yang bersih bukan sahaja membuatkan setiap penghuni berasa selesa malah mendapat ketenangan fikiran dan kebahagiaan jiwa.

Gaya Marie Kondo

Bukanlah niat untuk mempromosi Netflix. Sekadar untuk berkongsi.

Cuma jika anda mencari inspirasi, boleh tonton cara kemas rumah ikut gaya Marie Kondo iaitu Konmari, yang cukup terkenal di seluruh dunia.

Sebelum memulakan kerja kemas rumah

Ini antara beberapa perkara yang anda perlu selesaikan untuk memulakan kerja-kerja mengemas dan membersihkan rumah yang terlalu banyak barang dan bersepah. Pastikan semua ambil perhatian.

Jadi, sebelum kami senaraikan cara kemas rumah dalam tempoh 10 minit, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

1. Dapatkan kerjasama daripada seisi rumah

Ada yang kata, kemas rumah tanggung jawab suami. Namun, secara realistiknya, ia adalah tugas kedua-duanya sekali.

Anda tidak boleh melakukannya seorang diri melainkan anda memang tinggal bersendirian. Jika sudah menjadi amalan setiap ahli keluarga mengemas rumah, maka tugas jadi lebih mudah. Bagaimanapun, jika ini kali pertama, anda perlu cekal dan bertegas sewaktu memaklumkan kepada setiap ahli keluarga perihal mengemas rumah bersama-sama.

Menurut DIYNetwork, pastikan buat jadual mengemas jika perlu, khususnya untuk tugasan membersih bilik air atau tandas dan membuang sampah.

 

2. Senaraikan peralatan mengemas yang diperlukan

Jadi, bagaimanakah cari kemas rumah dengan cepat? Pertama sekali, anda perlu sediakan perkakas yang digunakan sewaktu mengemas seperti penyapu, mop, baldi, pengaut sampah, tong sampah, plastik sampah, berus tandas, penyapu sawang, kain pengelap, sabun untuk mencuci lantai, penyembur cermin dan sebagainya. Bayangkan dahulu.

Andai kata peralatan tidak mencukupi, teruskan sahaja `projek mengemas’ menggunakan perkakas sedia ada. Jangan lupa untuk tulis atau catat peralatan mengemas dalam senarai membeli barang supaya ia boleh dibeli kemudian.

 

3. Sediakan peralatan mengemas secukupnya

Jika mendiami rumah teres dua tingkat, anda wajib mempunyai penyapu lebih dari satu. Bayangkan betapa penatnya turun naik dek ‘mengejar’ sebatang penyapu.

Lama kelamaan semangat hendak menyapu hilang begitu sahaja. Begitu juga dengan peralatan membersih bilik air seperti berus tandas atau berus lantai.

Jika rumah mempunyai lebih dari satu bilik air atau tandas, anda memang wajib membeli lebih dari satu berus tandas.

 

4. Sediakan mesin (jika ada)

Saya menyarankan agar setiap kediaman mempunyai sekurang-kurangnya sebuah mesih penyedut hampagas (vakum). Ramai beranggapan kegunaan vakum hanya kepada mereka yang memasang permaidani di rumah.

Sebenarnya, vakum juga boleh digunakan untuk membersih apa juga jenis permukaan lantai, membuang sawang pada dinding atau siling, membersih langsir, perabot dan banyak lagi.

Mengikut kemampuan masing-masing, vakum boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan kegunaan. Ada yang berfungsi menggunakan air; ada juga yang boleh dibawa ke mana-mana kerana reka bentuknya yang kecil dan ringan serta vakum yang bergerak sendiri (robotik). Penggunaan vakum juga boleh menjimatkan masa mengemas sebanyak 50 peratus!

Selepas melengkapkan rumah dengan peralatan yang diperlukan, barulah anda boleh memulakan projek mengemas dalam tempoh yang singkat. Jangan kemas rumah semasa nak raya sahaja.

 

Tips kemas rumah bersepah

Jadi, jika senarai di atas sudah diberi perhatian, mak proses mengemas rumah bolehlah dimulakan dengan selesa.

Izinkan kami berkongsi sedikit tips yang bakal memudahkan anda.

1. Kemas tempat tidur dulu

Ya, itulah yang sepatutnya dibuat selepas bangkit tidur. Tidak kiralah di manapun anda melelapkan mata, jangan biarkan keadaan tempat tidur bersepah. Terutamanya jika mempunyai bilik tidur sendiri. Itu bukan alasan untuk anda malas merapikan cadar, melipat selimut atau menyusun bantal.

Lakukan segera setiap kali bangkit tidur. Didik anak-anak supaya melipat selimut, menyusun bantal, menarik cadar sehingga tegang atau rapi di atas tilam dan mengemas atas katil setiap kali mereka bangun tidur. Jika sudah menjadi kebiasaan, anda boleh melakukannya dalam tempoh seminit.

Kalau sudah berumahtangga, jangan pula halau suami jika dia tidak bangun. Nanti, susah untuk pujuk lekaki merajuk.

2. Kemas bilik air

Ingatkan ahli keluarga supaya:

  1. Memastikan membasuh bersih permukaan lantai tempat mandi daripada sebarang kesan sabun.
  2. Membersih tumpahan ubat gigi atau buihnya dari permukaan sink atau kawasan sekitarnya.
  3. Meletakkan balik setiap barang yang digunakan pada tempatnya seperti berus gigi, ubat gigi dan sabun.
  4. Paling penting, menarik flush selepas menggunakan tandas.
  5. Pastikan setiap ahli dalam rumah mematuhi semua peraturan di atas.
  6. Sebenarnya anda tidak perlu menunggu seminggu sekali baru hendak mencuci tandas.
  7. Andai terlihat kesan kotoran pada permukaan dinding, terus ambil berus dan sental.

Perbuatan itu boleh dilakukan sambil mandi. Sebenarnya anda hanya perlu meluangkan masa satu minit saja untuk mengemas bilik air.

3. Sidai tuala dan kumpul pakaian kotor

Cara kemas rumah bersepah dan banyak barang ini ini juga berkaitan dengan pakaian.

Inilah masalah terbesar bagi kebanyakan orang. Meletak tuala basah selepas mandi dan membiarkan pakaian kotor di merata-rata tempat. Tuala basah inilah antara penyumbang kepada bau hapak atau kurang enak dalam rumah.

Jadikan amalan diri atau keluarga untuk menyidai tuala basah di ampaian atau tempat yang sesuai.

 

4. Kumpul pakaian kotor

Begitu juga pakaian kotor. Jangan main longgok-longgok.

Sediakan bakul khusus untuk pakaian kotor dan letakkan bakul itu di tepi mesin basuh.

Masa yang diambil lebih kurang seminit sahaja.

 

5. Kemas ruang makan

Jadikan tabiat untuk mengemas segera sisa bahan memasak jika membuat persiapan memasak di ruang makan.

Didik anak-anak untuk menolak semula kerusi ke bawah meja setiap kali bangun selepas makan.

Sapu permukaan lantai selepas makan untuk membuang sisa makanan yang bersepah. Sebaik-baiknya setiap ahli keluarga mengambil giliran menyapu ruang makan.

Jika sudah selalu diamalkan. Masa untuk menyapu ruang makan berkeluasan sederhana mengambil masa tidak lebih tiga minit.

 

6. Lepas makan, basuh pinggan

Pastikan sink bebas daripada pinggan kotor setiap hari sebelum tidur. Jika berasa penat melakukannya sendirian, ajak anak atau suami untuk membantu anda. Atau tetapkan giliran membasuh pinggan di kalangan ahli keluarga.

Pastikan semua pinggan, mangkuk dan cawan disusun pada rak atau tempatnya dengan kemas. Jika pinggan yang digunakan sewaktu makan malam sudah dibasuh, anda sebenarnya memerlukan masa tidak sampai seminit untuk membasuh kole atau cawan minum pagi.

Rasanya ini antara yang paling penting. Pinggan bersepah, automatik rumah akan nampak bersepah. Pastikan tips kemas rumah bersepah ini.

 

7. Bersihkan ruang tamu

Susah nak kemas rumah bersepah sebab banyak barang?

Susah nak kemas rumah bersepah sebab rumah kecil? Percayalah, tiada masalah.

Cuba susun kemas kusyen sofa atau kusyen hiasan yang berterabur.

Jika mempunyai anak kecil yang suka membawa permainan dari bilik tidur dan bermain di ruang tamu; ajar mereka supaya menyimpan semula barang permainan di tempat asal.

Atau sediakan kotak berpenutup yang berwarna-warni di ruang tamu supaya mudah menyimpan apa juga barang yang menyemakkan pandangan.

Kotak ini juga boleh jadi penyelamat jika tiba-tiba rumah didatangi tetamu.  Tugas mengemas hanya memakan masa lima minit sahaja bagi ruang tamu berkeluasan sederhana, jika keadaannya tidak seperti `tongkang pecah’.

Bagi mereka yang suka tidur atau tertidur di ruang tamu, jangan bertangguh melipat selimut dan tilam nipis (jika anda menggunakannya) sehingga anda pulang dari tempat kerja.

Sebenarnya, anda akan menjadi lebih ‘stress‘ mendapati ruang tamu bersepah selepas penat bekerja.

 

8. Buang sampah setiap hari

Biarpun sedikit, jangan simpan sampah di rumah. Jadikan amalan untuk membuang sampah setiap hari.

Tujuannya untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan kunjungan daripada `tetamu’ yang tidak diingini seperti tikus, semut, cicak dan lipas.

 

Akhir kalam

Mudah sahajakan cara kemas rumah bersepah ini?

Jika masih lagi rasa penat, tak salah mencuba perkhidmatan dan servis kemas rumah secara ‘part-time‘ yang semakin banyak di kawasan bandar seperti di Klang, Putrajaya, Shah Alam, Kuantan, Seremban dan lain-lain. Keluar modal sedikit, badan pun tak rasa penat.

Semoga dengan rumah yang kemas dan bersih, anda boleh cepat tidur dengan lena setiap malam. Tidak perlu rungsing lagi.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

6 Comments

  1. Yey terima kasih terima kasih,tips ini amat berguna.Sebagai anak sulung saya kenalah disiplin daripada yang lain.

  2. terima kasih terima kasih ,tips ini amat berguna kepada saya.Sebagai anak sulung saya kena berdisiplin lebih daripada yang lain.

Leave A Reply