Kelemumur, bukanlah satu masalah yang menyebabkan seseorang individu mengalami kesakitan tetapi ia boleh mendatangkan kesan kepada tahap keyakinan diri. Ini kerana ia menyebabkan seseorang individu yang mengalami masalah ini berasa rendah diri dan sukar untuk bersosial dengan individu lain. Maka, izinkan kami berkongsi cara hilangkan kelemumur yang teruk.

Jika bukan masalah kelemumur, mungkin anda ada masalah lain seperti rambut yang terlalu banyak guru. Sila rujuk punca rambut gugur.

Apa itu kelemumur

Kelemumur adalah sejenis penyakit kulit kepala kronik . Ia berlaku apabila kulit kepala terlalu kering atau berminyak, mengakibatkan penghasilan kulit mati yang terlalu banyak. Sama seperti kulit di kawasan lain, kulit kepala anda melalui proses berterusan untuk sel-sel kulit tumbuh dan tanggal.

Bagi individu yang mempunyai masalah ini, proses ini berlaku pada kadar yang lebih cepat. Minyak yang dihasilkan oleh kulit kepala akan menyebabkan sel-sel mati melekat bersama, membentuk kepingan (keruping) putih.

Punca kelemumur

Terdapat beberapa keadaan yang boleh mendasari masalah kelemumur ini, antaranya:

Seborrheic dermatitis

Ia mungkin penyebab kelemumur yang paling biasa. Apabila anda mempunyai seborrheic dermatitis, kulit kepala anda menjadi kemerah-merahan, gatal dan berminyak, ditutup dengan serpihan kepingan putih atau kuning. Selain kulit kepala, kawasan lain dengan banyak kelenjar minyak juga boleh terjejas (alis mata, bahagian hidung, tulang dada, pangkal paha, dan ketiak).

Tahap kebersihan dan penjagaan rambut yang lemah

Sekiranya anda tidak membasuh rambut anda dengan kerap, minyak dan sel kulit mati boleh membina dan menyebabkan kelemumur.

Malassezia

Merupakan sejenis kulat seperti fungus yang dapat dijumpai di kulit kepala kebanyakan orang. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, Malassezia boleh bertindak dan merengsakan kulit kepala, menyebabkan kelemumur.

Contact dermatitis

Produk penjagaan rambut anda yang tidak bersesuaian juga boleh merengsa kulit kepala anda dan menyebabkan kulit kepala gatal dan berkepingan.

Cara hilangkan kelemumur

Kelemumur boleh dikawal dengan mengikut rutin penjagaan rambut yang sihat. Anda juga boleh mencuba beberapa rawatan semula jadi yang mudah.

Petua hilangkan kelemumur dengan garam

Cara hilangkan kelemumur dengan garam ialah antara petua yang paling popular sekali.

Garam biasanya berfungsi dengan baik untuk membersihkan serpihan kelemumur sebelum anda syampu.

Dapatkan garam dan gosokkannya ke kulit kepala anda yang kering. Kemudian urut secara perlahan kulit kepala.

Anda akan mendapati terdapat kulit kering sudah tertanggal dan bersihkannya dengan menggunakan syampu. Garam adalah salah satu cara yang telah lama digunakan untuk membuang kelemumur.

Perlu diingatkan kaedah yang disenaraikan di atas mungkin tidak bersesuaian dengan anda atau mengambil masa yang lama untuk menunjukkan hasil. Walau bagaimanapun, tiada salahnya untuk anda mencuba, bukan?

Minyak kelapa

Mempunyai ciri-ciri anti-kulat, minyak kelapa membantu menghapuskan apa sahaja reaksi kulat yang terdapat pada kulit kepala anda serta memberikan kelembapan.

Gunakan dengan menyapu tiga hingga lima sudu makan minyak kelapa pada kulit kepala anda dan biarkan sekurang-kurangnya sejam sebelum mencuci dengan syampu.

Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan syampu yang sudah mempunyai minyak kelapa.

Cuka Epal Cider

Cuka ini adalah baik untuk kulit kepala anda memandangkan keasidannya bertindak sebagai pencegahan yis.

Campurkan satu perempat daripada cuka epal cider dan satu perempat air kemudian spray pada kulit kepala anda.

Tutup kepala dengan tuala selama 15 minit kemudian basuh seperti biasa. Ulang dua kali seminggu.

Serbuk penaik

Serbuk penaik atau baking soda mempunyai sifat pengelupasan ringan. Ia dapat membantu menghilangkan sel kulit mati dan menyerap lebihan minyak.

Ia juga boleh membantu mengimbangi paras pH pada kulit kepala dan mengurangkan pertumbuhan kulat yang menyebabkan kelemumur.

Basahkan rambut anda dan gosokkan segelas baking soda ke kulit kepala anda. Selepas beberapa minit, bilas rambut anda dengan air suam. Ulangi sekali atau dua kali seminggu selama beberapa minggu. Jangan syampu rambut anda selepas rawatan ini.

Aloe vera

Kesemua rawatan kelemumur akan mengilangkan kelemumur, tetapi aloe vera atau lidah buaya adalah dua kali ganda baik sebagai melawan kegatalan.

Hentikan diri anda menggaru, sebaliknya mengurut lidah buaya ke kulit kepala anda sebelum syampu.

Kesan sejuk lidah buaya akan menenangkan kegatalan.

Bawang putih

Bawang putih bertindak sebagai pemusnah bakteria.

Hancurkan bawang putih dan sapukan ke kulit kepala anda.

Anda mungkin mahu mencampurkannya dengan madu untuk mengelakkan baunya. Basuh kepala anda selepas itu.

Minyak zaitun

Minyak zaitun mempunyai banyak faedah dan salah satu daripadanya adalah untuk merawat kelemumur.

Titiskan 10 titik minyak zaitun pada kulit kepala anda dan tutup kepala anda dengan topi mandi seketika.

Basuh rambut anda pada keesokan harinya. Anda juga boleh memilih untuk mencuba syampu yang mengandungi minyak zaitun.

Minyak pokok teh

Beberapa titik minyak pokok teh boleh membantu mengurangkan kelemumur jika digunakan dengan syampu.

Campurkan dengan syampu anda dan cuba sendiri.

Cara hilangkan kelemumur dengan lemon

Sama seperti cuka epal cider, lemon mengandungi keasidan yang membantu mengimbangi pH pada kulit kepala anda.

Sediakan dua sudu besar jus lemon untuk digunakan ketika mengurut kulit kepala anda.

Kemudian basuh dengan menggunakan air seperti biasa. Amalkan ini setiap hari sehingga keadaan anda bertambah baik.

Aspirin

Aspirin dengan asid salisilik di dalamnya boleh merawat kelemumur. Hancurkan dua biji aspirin dan campurkan dengan syampu anda.

Biarkan selama beberapa minit, kemudian basuh sekali lagi dengan syampu biasa.

Cara hilangkan kelemumur dengan cahaya matahari

Walaupun tidak diketahui puncanya dengan tepat, dipercayai terdapat hubungan antara kelemumur dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Terdapat banyak kes di mana kelemumur yang teruk itu berkurangan apabila anda menghabiskan lebih banyak waktu di bawah sinar matahari.

Mungkin kelemumur bukan disebabkan cuaca kering, sebaliknya kerana kurang pendedahan kepada cahaya matahari.

Cahaya matahari mungkin membantu mengeringkan beberapa minyak berlebihan, atau mungkin meluangkan sedikit masa di luar rumah di bawah matahari meningkatkan keadaan kesihatan seseorang secara keseluruhannya.

Siapa tahu, bukan?

Jadi luangkan sekurang-kurangnya 10-15 minit dalam cahaya matahari setiap hari jika boleh. Namun, pastikan anda mengehadkan masa.

Ini kerana terlalu banyak sinar matahari dan sinaran UV-nya boleh memudaratkan kulit, rambut, dan kesihatan anda.

Halba

Herba ini digunakan untuk mengawal kelemumur kerana sifat antikulat dan melegakan kulit kepala.

Gunakan dengan merendam dua atau tiga sudu besar halba dalam air semalaman, kemudian kisar pada hari berikutnya.

Sapukan pada kepala anda dan biarkan beberapa jam kemudian basuh dan syampu rambut anda seperti biasa.

Ulangi dua kali seminggu.

Shampoo untuk kelemumur di farmasi

Jika anda tidak mahu menggunakan kaedah semula jadi sebagai cara merawat masalah kelemumur yang anda alami, anda boleh memilih untuk menggunakan syampu antikelemumur yang banyak terjual di farmasi dan kedai-kedai seperti Watsons.

Bahan-bahan yang perlu diingat semasa membeli syampu antikelemumur adalah ketoconazole, selenium sulfide, asid salisilik, sulfur, tar arang batu, atau zink pyrithione. Ketoconazole, sulfur dan tar arang batu lebih berkesan untuk keadaan ini yang disebabkan oleh seborrheic dermatitis.

Asid salisilik berfungsi lebih baik bagi mereka yang mempunyai kelemumur yang disebabkan oleh psoriasis.Jika syampu di farmasi tidak membantu, atau jika anda menyedari keadaan anda menjadi semakin teruk, sebaiknya dapatkan bantuan perubatan.

Walaupun terdapat beberapa syampu antikelemumur memerlukan penggunaan harian, ada yang hanya perlu digunakan sekali atau dua kali seminggu. Sila ingat untuk mengikuti arahan dengan teratur untuk hasil yang terbaik.

Akhir kata

Kelemumur bukan satu masalah kritikal tetapi untuk mengatasinya ia memakan sedikit masa sebelum anda dapat mengatasi atau menghilangkan masalah kelemumur yang dihadapi.

Namun yang demikian, jika anda masih mengalami masalah yang sama atau kelemumur anda semakin banyak, berjumpalah dengan doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan selamat berkaitan dengan pilihan rawatan yang sesuai untuk anda.

Semoga cara hilangkan kelemumur ini dapat membantu anda.

Semoga bermanfaat.

Hai semua! Saya Nora Hana, seorang penulis bebas yang suka berkongsi kisah dan pengalaman tentang kehidupan wanita Malaysia masa kini. Saya menulis artikel-artikel santai dan padat dengan info berguna tentang topik kekeluargaan, keibubapaan, makanan, resepi masakan, tips kesihatan, kecergasan, dan juga pelancongan.

1 Comment

Leave A Reply