Tak puas makan durian di kedai, nak beli pula untuk dibawa pulang ke rumah. Tetapi masalah lain pula timbul apabila bau durian melekat dalam kereta walaupun disimpan dalam bonet. Baunya yang kuat menusuk hidung itu akan terus melekat walaupun sudah berhari-hari dikeluarkan. Bagi yang tidak tahan, memang akan rasa pening dengan aroma kental dan cukup ‘meraung’ itu. Jadi, bagaimana cara hilangkan bau durian dalam kereta?
Izinkan kami berkongsi petua tradisional yang selalu digunakan oleh orang-orang lama.
Cara hilangkan bau durian dalam kereta
1. Roti
Jika anda tidak tahu, roti merupakan makanan yang menyerap bau yang efektif. Untuk hilangkan bau durian dalam kereta, anda hanya perlu meletakkan beberapa keping roti dan biarkan semalaman.
2. Kopi
Selain daripada roti, kopi juga boleh menyerap bau dengan agak efektif. Kepada penggemar kopi, gunakan serbuk kopi yang anda ada di rumah. Alang-alang boleh juga buat perfume untuk kereta anda. Caranya mudah sahaja, ambil sedikit serbuk kopi dalam segenggam dan balutkan di dalam sapu tangan atau kain kasa dan biarkan semalaman.
3. Tangkai durian
Melalui perkongsian Puan Ika Febrian di Facebook beliau, petua menggunakan tangkai durian ini adalah dari penjual durian sendiri. Caranya mudah sahaja, patahkan tangkai durian dan belah hujungnya, jangan sehingga putus. Kemudian letakkan tangkai yang sudah dipatahkan itu pada jejaring aircond. Ramai dah mencuba dan mengakui teknik ini berkesan.
4. Arang
Jika ada baki arang yang digunakan semasa aktiviti bbq, boleh gunakan arang ni juga sebagai salah satu cara hilangkan bau durian dalam kereta. Anda hanya perlu letakkan arang selama beberapa jam sahaja dalam kereta. Selepas itu bau durian akan hilang. Jika anda tidak tahu, sekarang juga sudah banyak arang yang khas digunakan untuk menghilangkan bau.
5. Soda Bikarbonat
Soda bikarbonat ini kebiasaannya memang ada dalam setiap rumah. Bukan sahaja digunakan dalam masakan, soda bikarbonat ini juga boleh digunakan sebagai agen pembersih dan penghilang bau.
Terdapat dua cara hilangkan bau durian dalam kereta menggunakan soda bikarbonat. Yang pertama, anda letakkan satu bekas berisi soda bikarbonat ini di dalam kereta. Kedua, taburkan dulu soda bikarbonat ke atas lantai kereta atau bahagian yang berbau kuat seperti di dalam but kereta. Biarkan selama 2-3 jam kemudian vakum soda bikarbonat itu. Bau durian akan hilang bersama serbuk tersebut.
6. Buka Tingkap Semasa Memandu
Jika anda membeli durian pada waktu malam atau ketika cuaca kurang panas, gunakan kaedah ini untuk mengurangkan bau durian di dalam kereta anda. Bungkuskan durian menggunakan 2-3 lapis beg plastik dan ikat ketat-ketat dan letakkan di dalam but kereta.
Semasa perjalanan, anda hanya perlu membuka tingkap dan jangan buka aircond. Dengan cara ini, angin akan keluar masuk dan bau durian tidak akan melekat pada kereta anda.
7. Daun Pandan
Daun pandan bukan sahaja sedap diletak dalam masakan, tetapi kita tahu aroma daun pandan ini memang enak dan harum. Simpulkan daun pandan dalam kuantiti yang banyak dan letakkan dalam kereta anda. Ini adalah salah satu cara hilangkan bau durian dalam kereta anda.
Bau durian hilang, bau pandan pula yang memenuhi kereta anda. Pasti wangi.
8. Kain Basah
Cara ini adalah cara yang agak diketahui namun memang berkesan. Letakkan kain basah pada permukaan guni atau plastik durian. Dengan cara ini, bau durian tidak akan keluar dan kereta anda juga tidak akan berbau durian. Mudah sahaja kan.
Akhir kalam
Sekian kami kongsikan cara hilangkan bau durian dalam kereta. Nak lagi senang, makan sahaja durian di kedai. Masalah bau durian pun hilang.
Kalau yang berbau busuk dalam kereta itu bukan sebab durian, boleh cuba cara hilangkan bau hapak dalam kereta pula. Bukannya apa, biar kita rasa selesa dalam perjalanan.
Semoga bermanfaat.