Aktiviti me time mampu untuk menceriakan kehidupan. Ia juga mampu membuat diri anda lebih bahagia dan berharga.
Apa maksud Me Time dalam Bahasa Melayu?
Apa itu Me Time?
Me time boleh dijelaskan sebagai meluangkan masa seketika untuk diri sendiri. Dengan wujudnya me time, ia dapat memberikan ruang kepada diri sendiri atau sesiapa yang memerlukannya untuk waktu yang singkat. Me time adalah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan mental anda.
Pada zaman pandemik ini, me time adalah satu slot yang sangat penting untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. Sekiranya anda terlalu penat, lelah, dan memerlukan ruang untuk memulakan semula, anda perlu mengambil me time bagi memberikan rehat kepada badan dan minda anda.
Aktiviti me time untuk menceriakan kehidupan
Berikut adalah 5 aktiviti yang boleh dilakukan ketika me time yang mampu menceriakan kehidupan anda sehari-harian.
1. Membeli belah barang yang disukai
Sebut sahaja pergi membeli belah, ramai orang sukakannya terutamanya golongan wanita. Tetapi apabila untuk me time, membeli belah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang memerlukannya. Membeli belah ketika me time tidak perlu membelanjakan wang yang banyak.
Cukuplah sekadar membeli sesuatu yang mampu membuatkan anda tersenyum dan merasai keseronokkan ketika membeli belah. Anda boleh membeli belah di mana sahaja tempat yang anda suka.
Walau bagaimanapun, elakkan diri dari melakukan pembaziran ketika membeli belah dan berbelanjalah mengikut kemampuan sendiri. Bak kata peribahasa dulu-dulu, “ukur baju di badan sendiri”.
Yang penting, jangan sampai membazir dan membeli yang bukan-bukan.
2. Percutian singkat untuk tenangkan fikiran
Percutian atau lebih dikenali sebagai short escape adalah salah satu aktiviti yang dapat dilakukan ketika me time. Anda boleh melakukan percutian singkat ke destinasi yang anda rasa mampu memberikan ketenangan dan membuatkan anda lupa tentang realiti sebenar kehidupan buat seketika.
Percutian singkat ini juga, tidak semestinya memakan masa selama 2 ke 3 hari atau lebih dari itu.
Anda boleh melakukan short escape dengan membuat aktiviti seperti berkelah di tepi pantai pada waktu petang sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Kemudian, anda boleh terus pulang ke rumah pada hari yang sama. Semuanya bergantung kepada pilihan destinasi anda. Yang penting, ia mampu menceriakan kehidupan yang suram dan membuat anda lebih gembira.
Bila bercuti, pastikan terus menjaga aurat. Jika sudah bersuami, jagalah keperibadian di tempat orang tanpa ditemani suami.
3. Rekreasi atau bersenam untuk kesihatan
Rekreasi atau bersenam memerlukan keupayaan fizikal seseorang individu. Ia adalah untuk memastikan tahap kardiovaskular mencapai kadar yang optimal. Anda boleh melakukan rekreasi seperti berbasikal atau membuat senaman ringkas seperti plank.
Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat memberikan kecerdasan kepada tubuh badan, malah ia adalah aktiviti yang sihat dan mampu memberikan ketenangan kepada fizikal serta mental anda. Me time juga bukanlah sesuatu yang sia-sia, tetapi juga mampu menceriakan kehidupan anda.
Salah satu kelebihan aktiviti ini adalah ia dapat dilakukan dalam masa yang sangat singkat bergantung kepada keupayaan seseorang. Tambahan lagi, ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja yang anda inginkan. Ingatlah bahawa, kesihatan fizikal dan mental perlu diseimbangkan dengan baik.
Tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersenam atau berekreasi. 5 hingga 10 minit sehari pun sudah memadai untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat.
Jika berekreasi di luar, jangan balik lewat sangat. Jaga solat.
4. Makan dan minum menu kegemaran
Mungkin ianya kedengaran lucu. Tetapi, ia adalah satu keperluan yang hampir tidak dititikberatkan oleh sesetengah individu. Ada segelintir orang yang terlalu sibuk sehingga tidak makan dan minum mengikut jadual yang sepatutnya.
Hal ini dapat memberikan keburukan kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang itu. Dengan kewujudan me time ini, ia dapat memberikan sedikit sebanyak masa kepada seseorang untuk makan dan minum dengan betul. Luangkan beberapa jam untuk makan makanan dan minum minuman kegemaran anda.
Aktiviti ini dapat membantu anda menjadi lebih bertenaga dan segar sepanjang hari. Walau bagaimanapun, ambil makanan yang sihat dan seimbang agar kesihatan anda lebih terjamin.
5. Tidur atau Nap
Seorang manusia normal memerlukan waktu tidur yang cukup. Mengikut kajian, seorang dewasa memerlukan waktu tidur selama 7 hingga 8 jam sehari. Maka apabila anda terlalu letih atau tidak cukup tidur, ambil masa untuk tidur seketika. Orang putih kata “take a nap” untuk memastikan badan anda mendapat rehat yang cukup.
Terdapat sesetengah orang yang mengalami masalah sukar untuk tidur pada waktu malam atau mereka yang sudah berumah tangga kerana menjaga anak yang masih bayi. Oleh itu, golongan seperti ini adalah antara individu yang harus tidur seketika apabila mempunyai me time untuk menceriakan kehidupan mereka. Tambahan lagi, tidur dan rehat yang cukup dapat menjadikan anda lebih produktif untuk meneruskan hari dan tugasan seterusnya.
6. Baca Al Quran
Lazimi membaca Al Quran setiap hari, paling tidak satu muka surat. Apabila membaca Al Quran, jangan sekadar membaca. Buka sekali tafsir dan fahami apa maksud di sebalik ayat-ayat Allah yang diturunkan itu.
Bersendirianlah di mana-mana lokasi, tapi jangan lekang dengan Al Quran. Pasti hati akan menjadi tenang.
Akhir kalam
Setiap orang memerlukan ruang dan masa untuk diri sendiri walaupun untuk seketika. Jangan terlalu menahan atau memaksa diri untuk melakukan sesuatu di luar kawalan. Bertindak dan berfikirlah secara rasional. Sayangi serta hargailah diri kita seadanya.
Lakukanlah me time untuk menceriakan kehidupan anda.
Semoga bermanfaat.