Untuk pencinta masakan nasi goreng, Nasi Goreng Daging kali ini adalah resepi yang sempurna untuk dicuba. Resepi ini menggunakan daging yang dipotong nipis sebagai bahan utama dan akan ditumis bersama bawang merah, bawang putih, cili padi, dan juga ikan bilis untuk menaikkan aroma dan rasa hidangan ini.
Setelah itu, nasi yang telah sejuk ditambahkan ke dalam kuali bersama bahan-bahan tersebut, kemudian digoreng hingga semua bahan meresap bersama dengan sempurna. Sebagai pelengkap, nasi goreng daging ini boleh dihidangkan bersama telur goreng atau sambal belacan.
1. Resepi Nasi Goreng Daging Mudah
Bahan-bahan Nasi Goreng Daging Mudah
Bahan Tumbuk
- Bawang kecil
- Bawang putih
- Ikan bilis
- Cili api
- Daging yang telah direbus (simpan sedikit air daging)
- Sambal tumis
Cara nak buat Nasi Goreng Daging Mudah
- Tumis bahan tumbuk (bawang kecil, bawang putih, ikan bilis, dan cili api) hingga garing.
- Masukkan daging yang telah direbus bersama sedikit air daging.
- Apabila daging sudah kering, masukkan sedikit sambal tumis.
- Tambahkan nasi dan perasakan dengan garam serta perasa.
- Titikkan sedikit kicap manis, sos cili, sos tomato, dan sos tiram untuk rasa tambahan.
- Masukkan sayur dan pecahkan telur, gaul hingga semua bahan sebati.
Sumber: Zyda Arshad dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
2. Resepi Nasi Goreng Daging Sambal Belacan
Bahan-bahan Nasi Goreng Daging Sambal Belacan
- 2 mangkuk nasi semalam
- 3 ulas bawang putih diketuk
- 2 ulas bawang merah dihiris
- 2 sudu sambal belacan semalam
- Cili padi
- Daging direbus dihiris
- Kacang buncis
- 2 biji telur
- Sos ikan
Cara nak buat Nasi Goreng Daging Sambal Belacan
- Tumis bawang hingga garing.
- Masukkan sambal belacan dan daging.
- Masukkan cili padi diketuk.
- Masukkan kacang buncis.
- Masuk telur dan kacau hingga garing.
- Masuk garam dan serbuk perasa sikit.
- Masuk nasi dan sos ikan.
Sumber: Maestro Wan Ateh dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Selain Resepi Nasi Goreng Daging, Apa Lagi Resepi Nasi Goreng yang Sedap
Selain Nasi Goreng Daging, banyak lagi resepi nasi goreng yang sedap dan sesuai untuk pelbagai selera. Berikut adalah beberapa pilihan idea resepi nasi goreng.
1. Nasi Goreng Ayam
Bahan utama dalam resepi nasi gorng ayam ini adalah ayam yang dipotong kecil, bawang, cili, telur, kicap manis, dan sayur-sayuran. Ayam boleh digoreng terlebih dahulu untuk memberikan kerangupan ketika makan. Boleh dihidangkan bersama sambal belacan sebagai pelengkap hidangan.
2. Nasi Goreng Kampung
Nasi Goreng Kampung adalah hidangan yang paling mudah nak buat. Bahan utamanya termasuk ikan bilis, telur, cili padi, dan sayur-sayuran. Ikan bilis yang digoreng garing menambah tekstur rangup. Jika inginkan rasa kepedasan boleh tambahkan cili padi dalam hidangan ini.
3. Nasi Goreng Seafood
Untuk anda yang gemar makanan laut, Nasi Goreng Seafood ini adalah pilihan terbaik. Bahan utama seperti udang, sotong, dan kerang digabungkan dengan bawang, cili, telur, dan sayur-sayuran. Idea masakan untuk makan tengah hari atau makan malam yang menyelerakan.
4. Nasi Goreng Cili Padi
Nasi Goreng Cili Padi adalah hidangan untuk mereka yang suka makanan pedas. Cili padi menjadi bahan utama dalam nasi goreng ini, memberikan rasa pedas yang menyengat. Biasanya, ia digabungkan dengan bawang, telur, sayur-sayuran, dan mungkin sedikit kicap manis untuk menambah rasa. Hidangan ini sangat sesuai dimakan dengan telur goreng atau ayam goreng.