2 Resepi Telinga Keling

Telinga Keling, atau dikenali juga sebagai Denderam, adalah kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, santan, gula, dan sedikit garam. Kuih ini mempunyai tekstur yang lembut, manis dari gula Melaka, dan sedikit kenyal.

Bentuknya yang seakan donat ini memang membuatkan kita tidak cukup hanya dengan satu. Telinga Keling sangat sesuai dijadikan sebagai kudapan.

Cara penyediaannya bermula dengan mencampurkan semua bahan adunan, membentuknya menjadi bulatan kecil seperti donat, kemudian menggorengnya dalam minyak panas. Kuih ini sering dijumpai di pasar malam dan juga ketika bulan Ramadan.

1. Resepi Kuih Telinga Keling (Denderam)

Bahan-bahan Kuih Denderam

  • 500gram tepung beras cap teratai (saya guna 1 gajah)
  • 340gram gula merah
  • 100gram gula pasir
  • 220ml air

Cara nak buat Kuih Denderam

  1. Masak air bersama kedua-dua jenis gula (gula pasir dan gula Melaka) sehingga mendidih. Kacau sentiasa untuk memastikan gula tidak hangit dan air gula tidak melimpah (berbuih-buih dan meruap).
  2. Tuangkan air gula yang masih panas ke dalam tepung. Kacau sehingga rata. Apabila diangkat, adunan akan jatuh seperti riben yang tidak putus.
  3. Biarkan adunan perap selama 3 jam. Jika tidak sabar, selepas 2 jam lebih, boleh terus goreng.
  4. Ambil sedikit adunan dan gentel seperti besar biji guli. Kemudian leperkan dan buat lubang di tengahnya menggunakan lidi atau chopsticks.
  5. Goreng dalam minyak panas, pastikan api tidak terlalu besar atau kecil, sesuaikan dengan dapur masing-masing.

Sumber: Norulrafidah Omar dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

2. Resepi Kuih Denderam 3 Bahan

Bahan-bahan Kuih Denderam 3 Bahan

  • 500gram tepung beras teratai (satu pack)
  • 400gram gula merah
  • 240gram air

Cara nak buat Kuih Denderam 3 Bahan

  1. Masak gula merah bersama dengan air dan kacau sehingga larut.
  2. Letakkan tepung beras di dalam mangkuk.
  3. Masukkan air gula yang telah dimasak (masih panas) ke dalam mangkuk berisi tepung. Jangan lupa tapis air gula semasa menuang.
  4. Kacau rata supaya adunan sebati.
  5. Biarkan adunan sejuk selama 5 minit (jika menggunakan cara saya, saya terus goreng).
  6. Sebelum menguli, sapu sedikit minyak di atas permukaan tempat menguli dan cetak menggunakan cetak donat mini.
  7. Pastikan minyak panas yang betul supaya kuih dapat kembang semasa digoreng.
  8. Goreng dengan api sederhana.
  9. Kuih siap untuk dimakan. Makan ketika panas-panas, sangat sedap!

Sumber: Dyla Roslan dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

Selain Kuih Telinga Keling, Apa Lagi Resepi Kuih yang Popular

Terdapat pelbagai pilihan kuih yang ada pada masa kini, sehingga boleh membuatkan kita rambang mata. Berikut adalah senarai cadangan resepi kuih popular untuk rujukan anda.

1. Kaswi

Cairkan gula melaka dan gula pasir dengan air, tapis dan sejukkan. Setelelah itu campurkan tepung ubi, tepung gandum, garam, dan larutan gula. Masukkan air kapur, kacau hingga sebati. Tuang adunan ke dalam loyang, kukus selama 30-40 minit hingga masak. Potong kuih setelah sejuk, kemudian golekkan dalam kelapa parut.

2. Kuih Akok

Kuih ini terkenal di Kelantan dan Terengganu. Pukul telur, gula melaka, gula pasir, dan garam hingga sebati. Tambah santan dan air daun pandan, kacau rata. Tutup adunan dan tuangkan ke dalam acuan yang telah disapu minyak. Kukus selama 15-20 minit hingga masak. Biarkan sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.

3. Cucur Badak

Gaul tepung ubi keledek dengan air dan garam hingga menjadi doh yang lembut.
Tumis bawang merah, udang kering, gula, dan garam. Masukkan kelapa parut dan gaul rata. Angkat dan ketepikan. Ambil sedikit doh, leperkan dan letakkan inti kelapa, kemudian bulatkan semula. Goreng cucur badak dalam minyak panas hingga keemasan.

4. Dangai

Kuih dangai ini mempunyai tekstur rangup di luar dan kenyal di dalam. Kukus pulut hingga masak, kemudian sejukkan seketika. Gaul pulut dengan kelapa parut, gula pasir, dan garam hingga rata.
Ambil sedikit campuran pulut dan kelapa, tekan padat dalam acuan khas hingga bentuknya kemas. Panaskan minyak dalam kuali, goreng kuih dangai hingga keemasan dan rangup di luar.

Leave a Comment