Keria adalah sejenis kuih tradisional yang disaluti dengan gula melaka cair dan sangat popular di Melaka. Kuih ini mempunyai tekstur rangup di luar serta lembut di dalam. Rupa bentuk kuih keria menyerupai donat, dengan lubang di tengah, tetapi bersaiz lebih kecil dan padat.
Kuih ini diperbuat daripada ubi keledek yang dilenyek halus bersama sedikit garam dan tepung gandum untuk membentuk doh. Setelah itu, doh akan dibentuk bulat dan dilubangkan di tengah sebelum digoreng hingga keperangan. Selepas digoreng, kuih ini disaluti dengan gula melaka cair yang dimasak sehingga menjadi lapisan gula kering di permukaan kuih. Setelah sejuk, kuih keria sedia untuk dinikmati.
1. Resepi Keria Gula Melaka
Bahan-bahan Keria Gula Melaka
- 1kg keledek – keledek direbus bersama garam dan dilenyek masa panas.
- 1tsp garam
- 100gm tepung beras
- 40gm tepung gandum
- 50ml air suam(jika rasa adunan kering)
Bahan sira
- 1 buku gula melaka
- 1 sudu besar gula pasir
- 3-4biji gula batu (kiub kecil) – untuk kilatkan gula
- 1cawan air
Cara nak buat Keria Gula Melaka
- Rebus keledek dan campurkan semua tepung. Tambahkan air sedikit-sedikit hingga adunan sebati dan lembut.
- Timbang 30g setiap adunan. Goreng hingga keemasan.
Sira gula melaka
- Masak air gula hingga pekat dan berbuih-buih halus. Masukkan keledek dan gaul rata hingga terbalut dengan gula.
- Angkat dan asingkan keledek di atas redai supaya tidak melekat antara satu sama lain. Biarkan sejuk sebelum disajikan.
Sumber: Surainah Hussin dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
2. Resepi Keria Montok Gula Melaka
Bahan-bahan Keria Montok Gula Melaka
- 1 kilo keledek (di kukus)
- 1/2 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan tepung beras
Bahan sira
- 1 biji gula melaka di hancurkan dahulu
- 2 sudu gula pasir
- 1 cawan air
- 3 helai daun pandan (diikat simpul)
Cara nak buat Keria Montok Gula Melaka
- Tunggu keledek sejuk terlebih dahulu, kemudian tumbuk hingga lumat. Masukkan tepung beras dan tepung gandum, uli sehingga menjadi doh yang lembut.
- Bulatkan doh seperti bola ping pong dan buat lubang di tengahnya.
- Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Goreng keria dengan api sederhana supaya keria tenggelam dalam minyak dan tidak terlalu penuh dalam kuali, kerana keria akan mengembang dan gemuk montok.
- Goreng hingga keria berwarna kuning keemasan
Sira gula melaka
- Satukan semua bahan tersebut ke dalam kuali dan renih sehingga berbuih kasar.
- Kemudian, masukkan keria yang telah digoreng tadi. Gaul rata hingga keria bersalut gula yang berkilat.
- Angkat segera dari kuali dan jangan biarkan terlalu lama, kerana jika terlalu lama, keria akan melekat dan gulanya tidak cantik.
Sumber: Siti Saemah dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)
Selain Keria Gula Melaka, Apa Lagi Resepi Kuih Melayu Berasaskan Gula Melaka
Terdapat pelbagai jenis kuih melayu yang menggunakan gula melaka sebagai bahan utama. Gula melaka ini dapat memberikan rasa manis semulajadi dan sedikit berlemak. Berikut adalah beberapa jenis kuih melayu yang menggunakan gula melaka.
1. Kuih Lopes
Pulut yang dibalut dengan daun pisang, dan setelah siap, dihidangkan bersama kuah gula melaka yang disiram di atas kuih tersebut.
2. Sagu Gula Melaka
Dibuat daripada sagu yang dimasak sehingga menjadi kenyal, kemudian dicurahkan dengan susu cair manis dan larutan gula melaka. Ia memberikan tekstur sagu yang kenyal serta rasa manis gula melaka yang lemak manis.
3. Onde-Onde (Buah Melaka)
Adunan tepung pulut dibentuk menjadi bulat dan diisi dengan ketulan gula melaka. Setelah itu, adunan bulat ini direbus dan disalut dengan kelapa parut. Apabila dimakan, ia akan terasa cair di mulut.
4. Kaswi
Kuih ini mempunyai rasa kenyal dan sedikit manis. Diperbuat daripada tepung ubi, tepung gandum, santan dan gula melaka. Setelah itu kuih akan dikukus dan disalut bersama kelapa parut.