2 Resepi Bingka Labu

Kuih bingka atau bengkang labu mempunyai rasa yang lembut, kenyal, dan manis. Tekstur kuih ini lembut di bahagian dalam dengan sedikit kerak rangup di bahagian luar. Warna kuning kuih ini berasal daripada buah labu itu sendiri, menjadikannya sedikit unik. Bahan utama untuk membuat bingka labu ialah labu, tepung, santan, gula, telur, dan sedikit garam.

Cara penyediaan kuih ini bermula dengan melenyekkan labu yang telah dikukus terlebih dahulu. Kemudian, adunan labu ini dicampurkan dengan tepung, santan, gula, dan telur. Setelah siap, adunan dibakar sehingga bahagian atasnya menjadi keperangan untuk menghasilkan kerak yang rangup. Selain enak dimakan, kuih bingka labu juga menyihatkan kerana mengandungi nutrien daripada labu, seperti serat dan vitamin A.

1. Resepi Bingka Labu

Bahan-bahan Bingka Labu

  • Labu anggaran 350gm dikukus @ rebus
  • Tepung Gandum 400gm @ 2 cawan – Digoreng atau disangai sampai ringan
  • Santan 2 1/2 cawan
  • Majerin 2 sudu
  • Gula 1 cawan
  • Garam secukup rasa

Cara nak buat Bingka Labu

  1. Labu dan gula di satukan sehingga sebati.
  2. Masak santan dan majerin sehingga majerin cair dan sejukan dulu santan sebelum dimasukan ke dalam labu.
  3. Sentiasa kacau santan. Tidak perlu tunggu santan hingga mendidih.
  4. Masukkan tepung ke dalam adunan dan kacau sehingga semua bahan sebati.
  5. Oleskan sedikit minyak atau majerin ke dalam loyang sebelum memasukkan adunan kuih.
  6. Bakar pada suhu 170°C selama 30 hingga 40 minit, atau sehingga kuih masak dan bahagian atasnya keperangan.

Sumber: Azahari Abdullah dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

2. Resepi Bingka Labu Versi Air Fryer

Bahan-bahan Bingka Labu Versi Air Fryer

  • 250g labu direbus
  • 200ml santan/susu
  • 1 cup tepung gandum
  • 1 1/2 tbsp butter/marjerin
  • 1/4 cup gula
  • 2 biji telur
  • 1 tsp esen vanila
  • 1/2 tsp garam
  • Bijan secukupnya

Cara nak buat Bingka Labu Versi Air Fryer

  1. Gris loyang 7 inci dengan butter atau minyak. Panaskan air fryer pada suhu 170°C selama 3-4 minit.
  2. Masukkan kesemua bahan ke dalam blender dan kisar hingga halus. Tuangkan bancuhan ke dalam loyang. Taburkan bijan di atas adunan kuih.
  3. Masukkan loyang ke dalam air fryer dan bakar selama 20-25 minit, atau sehingga kuih masak.

Sumber: Keroroyz Royz dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

Selain Kuih Bingka Labu, Apa Lagi Resepi Kuih Bingka yang Sedap?

Selain bingka labu, terdapat pelbagai jenis kuih bingka lain yang boleh anda cuba. Setiap satunya mempunyai rasa dan keistimewaan tersendiri. Jika anda berminat untuk mencuba, berikut adalah beberapa jenis kuih bingka yang menarik untuk dicuba.

1. Bingka Ubi Kayu

Kuih bingka ubi kayu diperbuat daripada ubi kayu yang diparut halus, kemudian digaul bersama santan, gula, dan sedikit garam. Bahagian atas kuih ini berwarna keperangan dan rangup selepas dibakar, menambahkan keistimewaannya. Dengan rasa manis, sedikit berlemak, dan tekstur yang kenyal, bingka ubi kayu memag sedap dinikmati.

2. Bingka Keladi

Kuih bingka keladi menggunakan keladi sebagai bahan utama, yang digaul bersama santan, tepung, dan gula. Kuih ini mempunyai rasa keladi yang sedap dan unik, dengan tekstur yang lembut di bahagian dalam.

3. Bingka Roti

Jika ada lebihan roti, anda boleh mencuba membuat bingka roti. Lebihan roti dicampurkan dengan susu, telur, gula, dan santan untuk menghasilkan kuih yang sedap. Rasanya sangat sedap, terutamanya apabila dihidangkan dalam keadaan sejuk.

4. Bingka Jagung

Kuih ini menggunakan jagung manis, santan, dan tepung sebagai bahan utama, yang kemudian digaulkan bersama. Hasilnya, kuih ini mempunyai rasa lemak manis yang sedap dan tekstur yang rangup, menjadikannya pilihan yang lazat untuk dinikmati.

Leave a Comment