Pernahkah anda keliru tentang keadaan sakit perut biasa dan sakit perut yang disebabkan oleh keracunan makanan? Apakah yang menyebabkan keracunan dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Teruskan membaca perkongsian ini.
Jika anda seorang pelajar sekolah, hati-hati kerana keracunan mungkin juga berlaku akibat makanan di kantin.
Khas bagi yang sedang mencari informasi, maklumat ini bukan hanya untuk tugasan karangan Bahasa Melayu anda. Ini adalah ilmu yang semua orang patut tahu.
Apa itu keracunan makanan?
Keracunan makanan, iaitu dalam Bahasa Inggeris dipanggil food poisoning; juga dikenali sebagai penyakit melalui makanan ialah keadaan yang disebabkan oleh pemakanan makanan yang tercemar.
Organisma berjangkit seperti bakteria, virus, parasit atau toksik serta penyediaan makanan atau peralatan yang tidak bersih, atau tangan yang tidak dicuci, baik berpunca dari penyedia atau dari pesakit sendiri adalah punca utama masalah ini.
Boleh mati?
Walaupun kebanyakan kes keracunan makanan boleh sembuh dengan rawatan, terdapat juga kes keracunan makanan yang menyebabkan kehilangan nyawa. Kebanyakan kes keracunan makanan, melibatkan bakteria salmonella, Escherichia coli (E. coli), atau virus, seperti norovirus.
Masalah ini boleh berlaku dan dialami oleh sesiapa tanpa mengira peringkat usia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Jadi apakah faktor risikonya?
Risiko keracunan makanan
Terdapat beberapa faktor risiko yang cenderung menyebabkan seseorang individu itu untuk mengalami masalah keracunan makanan, seperti:
Usia
Semakin meningkat usia seseorang individu, semakin lemah tindak balas sistem imuniti kepada organisma berjangkit.
Wanita hamil
Kehamilan boleh membawa perubahan kepada metabolisma dan aliran darah, yang menambahkan risiko keracunan makanan. Reaksi badan mungkin lebih teruk sewaktu kehamilan.
Bayi dan kanak-kanak
Sistem imuniti mereka masih belum lengkap berkembang dengan sepenuhnya. Risiko mengalami keracunan adalah tinggi.
Pesakit kronik
Pesakit penyakit kronik, seperti diabetes, penyakit hati atau AIDS.
Punca keracunan makanan
Anda boleh mengalami keracunan makanan jika termakan makanan atau minuman yang tercemar.
Sewaktu penghasilan dan pemprosesan makanan, makanan boleh tercemar pada mana-mana tahap seperti sewaktu pertumbuhan, penapaian, pemprosesan, penyimpanan, penghantaran atau penyediaan.
Peralihan organisma berbahaya daripada satu permukaan ke permukaan yang lain adalah punca utama.
Jika anda makan makanan yang tidak dimasak seperti salad atau selainnya, organisma berbahaya yang tidak dihancurkan sebelumnya boleh menyebabkan keracunan makanan.
Kebanyakan keracunan makanan dapat dikesan dengan salah satu daripada beberapa sebab utama berikut:
Bakteria
Merupakan penyebab keracunan makanan yang paling biasa. Contoh bakteria yang berbahaya adalah seperti E. coli, Listeria, dan cholera.
Cholera adalah penyebab terbesar keracunan makanan serius di Malaysia.
Campylobacter dan C. botulinum (botulisme) adalah dua bakteria lain yang cenderung untuk menyebabkan ancaman nyawa dalam situasi berkaitan masalah keracunan makanan.
Parasit
Parasit yang paling kerap menjadi punca kes keracunan makanan adalah Toxoplasma.
Ia biasanya ditemui dalam bekas buangan najis kucing. Individu yang mempunyai sistem imunisasi atau pertahanan badan yang lemah dan bayi dalam kandungan wanita hamil yang dijangkiti parasit ini boleh mengalami komplikasi yang serius dan kronik.
Virus
Virus juga boleh menyebabkan masalah keracunan makanan.
Norovirus, juga dikenali sebagai virus Norwalk, menyebabkan lebih 19 juta kes keracunan makanan setiap tahun.
Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh membawa maut.
Virus Hepatitis A juga disebarkan melalui makanan dan air.
Toksik
Toksik juga menjadi punca.
Toksik dihasilkan oleh bakteria pada makanan atau dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan dan haiwan atau organisma lain yang ditelan.
Bahan kimia tertentu juga mempunyai toksik yang menyebabkan keracunan makanan.
Tanda keracunan makanan
Terdapat beberapa gejala atau simptom yang boleh anda sedari untuk anda mengetahui bahawa anda berkemungkinan mengalami masalah keracunan makanan dan ia selalunya bermula beberapa jam selepas makan makanan yang tercemar.
Tanda keracunan makanan #1: Rasa loya
Antara simptom dan gejala yang mungkin dihadapi adalah seperti loya
Tanda keracunan makanan #2: Muntah
Antara tanda-tanda lain ialah seseorang itu akan muntah. Makanan yang baru dimakan juga akan keluar bersama muntah.
Jika anda kerap mengalami muntah sehingga badan tidak berkeupayaan untuk menampung dan mengekalkan air, muntah atau najis berdarah, cirit-birit lebih daripada 3 hari dan suhu badan melebihi 38 C, ini mungkin simptom keracunan makanan.
Bukan itu sahaja, kekejangan atau rasa sakit pada bahagian perut, mengalami dehidrasi seperti rasa dahaga yang berlebihan, dan penglihatan mulai kabur bersama otot yang lemah dan kebas juga adalah tanda-tanda bahawa anda perlu segera untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Jangan berlengah!
Tanda keracunan makanan #3: Cirit birit
Ciri-ciri lain yang boleh dilihat bagi seseorang yang mengalami keracunan makanan ialah cirit-birit. Lihat juga punca cirit birit selain keracunan makanan.
Tanda keracunan makanan #4: Sakit perut
Sebelum cirit birit, seseorang itu juga akan rasa sakit perut dan kejang. Namun, apabila pergi tanda, tidak ada apa-apa yang keluar.
Tanda keracunan makanan #5: Demam
Bagi yang masih ‘melawan’ keracunan makanan, dia akan rasa demam.
Tanda keracunan makanan #6: Lemah badan
Badan juga akan berasa lemah atau kurang tenaga. Mahu buat apa-apa pun bagaikan tiada tenaga.
Tanda keracunan makanan #7: Hilang selera makan
Apabila makanan lain ada di hadapannya juga, rasa tiada selera.
Tanda keracunan makanan #8: Sakit otot
Tanda lain jika seseorang itu kena keracunan makanan ialah rasa kesakitan pada otot dan badan menggigil.
Bagi sesetengah kes keracunan makanan yang ringan, individu yang mengalami masalah ini boleh pulih tanpa memerlukan sebarang rawatan khusus.
Walau bagaimanapun, terdapat kes keracunan makanan yang kronik, memerlukan individu terbabit untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Selalunya ia melibatkan individu yang berdepan dengan dehidrasi atau kehilangan air yang banyak akibat muntah dengan terlalu kerap dan mengalami cirit-birit yang berulang dalam sehari atau mungkin najis berdarah.
Cara mengatasi keracunan makanan
Salah satu cara untuk mengelakkan dan mencegah keracunan makanan dari berlaku adalah dengan memastikan anda mengekalkan piawaian kebersihan diri dan makanan ketika proses menyimpan, mengendali dan menyediakan makanan.
Terdapat beberapa langkah penting yang disarankan oleh Agensi Piawaian Makanan (FSA), iaitu:
Pembersihan
Langkah pencegahan yang utama adalah anda perlu memastikan kebersihan diri, persekitaran peralatan memasak adalah bersih. Anda perlu kerap mencuci tangan dan membasuhnya dengan sabun terutama selepas ke tandas, menukar lampin bayi, sebelum memulakan sebarang proses penyediaan makanan, selepas mengendalikan makanan mentah, selepas menyentuh tong sampah atau atau haiwan peliharaan.
Hindari daripada sebarang proses penyediaan dan pengendalian makanan jika anda tidak sihat dan mengalami masalah kesihatan seperti cirit-birit, muntah atau mempunyai sebarang luka yang terdedah.
Memasak
Proses memasak makanan merupakan antara proses yang penting dan perlu dilakukan dengan teliti. Ini terutamanya apabila melibatkan makanan seperti daging dan makanan laut, di mana proses memasak dapat membunuh bakteria yang terdapat dalam makanan tersebut.
Sekiranya anda ingin memanaskan semula makanan, anda perlu pastikan keseluruhan makanan betul-betul dipanaskan. Sebaiknya elakkan daripada memanaskan semula makanan lebih daripada sekali.
Suhu
Menyimpan makanan dalam suhu tertentu adalah perlu bagi menghalang bakteria daripada membiak.
Pastikan anda memahami arahan penyimpanan makanan pada sebarang pek makanan. Bagi makanan yang perlu disimpan dalam suhu dingin, sebaiknya ia disimpan dalam julat suhu 0-5C.
Bagi makanan yang tidak habis dan ingin disimpan, pastikan ia disimpan dalam peti sejuk beberapa jam selepas dimasak. Masukkan ia ke bahagian sejuk beku.
Pencemaran silang
Pencemaran ini boleh berlaku apabila bakteria dipindahkan dari makanan, selalunya melibatkan makanan mentah ke makanan lain.
Ia cenderung untuk berlaku apabila sesuatu makan menyentuh makanan lain, atau terdapat bakteria di tangan anda, permukaan barangan perkakasan dapur dan tersebar ke makanan.
Elakkan pencemaran dengan mengamalkan membasuh tangan selepas mengendalikan makanan mentah, menyimpan makanan mentah ke dalam bekas berasingan dan tertutup serta membersihkan pisau atau perkakasan dapur dengan sebaiknya selepas digunakan.
Akhir kata
Walaupun telah dinyatakan masalah ini boleh baik dan sembuh dengan sendirinya. Tetapi ia tidak bermakna anda boleh dipandang remeh isu ini.
Jika anda tidak pasti tentang keadaan anda, pastikan anda berjumpa dengan doktor. Jika berlaku di sekolah, laporkan pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Itu adalah yang sebaiknya.
Diharapkan agar perkongsian mengenai tanda keracunan makanan ini dapat membantu anda.
Semoga bermanfaat.
1 Comment
mana puncanya