4 Resepi Sambal Telur Pedas (Hancur, Meleleh, Berderai)

Sambal telur ialah hidangan ringkas tetapi lazat yang terdiri daripada telur rebus atau telur goreng yang dimasak bersama sambal pedas berasaskan cili kering, bawang merah, bawang putih, dan tomato. Hidangan ini terkenal di kalangan masyarakat Melayu sebagai lauk pelengkap nasi, sama ada dalam nasi lemak, nasi putih, atau nasi berlauk.

Rasa pedas dan sedikit manis daripada sambal berpadu sempurna dengan kelembutan telur, menjadikannya kegemaran ramai terutama ketika ingin menyediakan lauk yang cepat tetapi tetap menyelerakan. Sambal telur juga mudah disesuaikan mengikut tahap kepedasan dan bahan tambahan seperti petai atau kentang. Ini 4 variasi sambal telur yang popular dan disukai ramai. Ada yang hancur, ada yang meleleh, ada juga yang berderai

1. Resepi Sambal Telur Hancur Berlemak Pedas

Resepi ini memang “berhantu” kerana mudah dibuat dan cepat siap. Disediakan oleh Nurhayati Nasir dari MAHN.

Bahan-Bahan

  • Cili kering (ikut anggaran, kisar)
  • 1 biji bawang merah
  • 3 biji telur
  • Air asam jawa
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Cara Penyediaan

  1. Kisar cili kering dan bawang merah.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (guna minyak lebih untuk warna sambal yang cantik).
  3. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  4. Tambah sedikit air dan teruskan masak hingga pecah minyak sekali lagi.
  5. Masukkan garam, gula dan air asam jawa. Kacau rata.
  6. Pecahkan telur ke dalam sambal dan biarkan seketika.
  7. Apabila telur separuh masak, kacau perlahan untuk dapatkan tekstur berketul.
  8. Siap untuk dihidang. Nak lebih padu? Tuang kicap atas sambal masa hidang!

Sumber: Nurhayati Nasir dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

2. Resepi Sambal Telur Ayam Meleleh

Gabungan sambal pekat dan telur rebus yang disalut sambal pedas manis. Resepi oleh Ida Akmal Idameor dari MAHN.

Bahan-Bahan

  • Telur ayam (direbus atau digoreng sekejap)
  • Bawang besar (hiris)
  • Bawang merah, bawang putih & sedikit belacan (dikisar)
  • Cili kering (dikisar)
  • Sedikit sos cili
  • Air asam jawa
  • Garam, gula & sedikit ajinomoto

Cara Penyediaan

  1. Tumis bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, masak hingga pecah minyak.
  3. Tambah sos cili dan gula untuk cantikkan warna sambal.
  4. Masukkan air asam jawa, biar sambal mendidih.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan ajinomoto.
  6. Masukkan bawang besar hiris, masak hingga layu.
  7. Masukkan telur rebus, kacau hingga bersalut sambal.
  8. Garingkan sambal sedikit untuk sambal yang pekat dan mantap.

Sumber: Ida Akmal Idameor dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

3. Resepi Sambal Telur Pecah Bersama Ikan Bilis

Gabungan sambal, ikan bilis dan telur pecah yang tidak hancur — sungguh membuka selera. Resepi oleh Siti Fatimah dari MAHN.

Bahan-Bahan

  • 4 biji telur
  • Segenggam ikan bilis
  • 10 tangkai cili kering
  • 3 ulas bawang kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit belacan
  • Sedikit air asam
  • Sedikit santan
  • 1 kiub pati ayam
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 biji bawang besar (untuk hiasan)
  • Daun bawang (untuk hiasan)

Cara Penyediaan

  1. Blend semua bahan kisar: cili, bawang, belacan.
  2. Tumis bahan kisar hingga naik bau.
  3. Masukkan ikan bilis, tumis selama 10 minit.
  4. Pecahkan telur satu per satu, guna api kecil supaya tidak hancur.
  5. Masukkan air asam dan santan, biarkan hingga pekat.
  6. Tambah pati ayam, garam dan gula.
  7. Akhir sekali masukkan bawang besar dan daun bawang. Siap!

Sumber: Siti Fatimah dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

4. Resepi Sambal Goreng Telur Hancur Berderai

Versi sambal pedas yang rangup dan bertekstur, sesuai untuk peminat sambal garing. Resepi oleh Leha Yusuf (Kak Ya) dari MAHN.

Bahan-Bahan

  • 4 biji telur (gred B)
  • 1 senduk cili kisar
  • ½ biji bawang besar
  • ½ inci halia
  • Ikan bilis (goreng siap)
  • Gula dan garam secukupnya

Cara Penyediaan

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar serta halia hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak (api sederhana).
  3. Pecahkan telur satu per satu ke dalam sambal, kacau rata.
  4. Biarkan ia sedikit garing.
  5. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
  6. Masukkan ikan bilis goreng, kacau sekali lagi.
  7. Siap untuk dihidang dengan nasi panas!

Sumber: Leha Yusuf dari Masak Apa Hari Ni (MAHN)

Leave a Comment