Malaysia memang kaya dengan alam semulajadi yang indah dan menarik. Hamparan laut yang menenangkan, rimbunan hutan yang meredupkan dan tidak ketinggalan juga tanah-tinggi yang menyejukkan. Memandangkan cuaca yang agak panas serta hujan yang agak kurang akhir-akhir ini, pasti idea untuk pergi menikmati kedamaian alam di tempat-tempat sejuk di Malaysia menjadi favourite ahli keluarga tercinta.
Sebenarnya, ada banyak tempat sejuk yang menarik dan bertaraf 5 bintang yang ada di Malaysia. Kami senaraikan 9 tempat sejuk yang ada di Malaysia, bagi memudahkan anda merancang percutian anda yang akan datang.
Tempat bercuti di Malaysia yang sejuk
Cameron Highlands: Alami Kelazatan Teh Asli dan Kemanisan Strawberi
Jika anda berasa untuk bercuti di tempat sejuk, pasti Cameron Highlands yang akan terlintas di benak fikiran. Terlalu banyak tempat menarik di Cameron Highlands yang sudah pasti tidak akan habis kita jelajah dalam satu hari.
Dengan ketinggian tanahnya antara 1300m ke 1829m, udara di Cameron Highlands segar dan nyaman dengan suhu paling tinggi boleh mencapai 25⁰C sahaja.
Tidak seperti bandaraya yang sarat dengan bangunan pencakar langit, Kampung Raja, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet menyediakan suasana kampung atas bukit yang anda cari untuk berehat.
Hamparan kehijauan ladang teh serta kesegaran buah strawberi yang bukan sahaja untuk golongan elit, Cameron Highlands pasti jawapan untuk melepaskan keresahan anda.
Pastinya percutian di tempat sejuk seperti di Cameron Highlands akan menjadi lebih menarik jika anda berjaya meyakinkan sanak keluarga yang lain serta kawan-kawan untuk berkonvoi bersama dan menjelejahi tanah tinggi kegemaran ramai ini.
Fraser’s Hill: Tak perlu ke England, hanya singgah ke Pahang
Fraser’s Hill atau Bukit Fraser harus menjadi tempat wajib yang anda mahu senaraikan jika mencari tempat sejuk di Malaysia untuk bercuti.
Berada 100km dari Kuala Lumpur, sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa, Fraser’s Hill menjanjikan kedamaian untuk anda.
Kebanyakan bangunan dan hotel-hotel di sini masih mengekalkan arkitek asal zaman koloni British. Ya, anda pasti berasa seperti di kawasan pedalaman England, seperti yang digambarkan di dalam drama kegemaran anda di TV.
Bagi kaki golf, Fraser’s Hill menjanjikan kepuasan dalam permainan bersama rakan niaga. Bagi pecinta alam dan jurufoto tegar yang mahu menikmati keindahan ciptaan Tuhan, Fraser’s Hill tidak mengecewakan.
Sekali-sekala, rehatkan minda anda dengan menikmati nasi goreng kampung extra pedas di tempat sejuk di Fraser’s Hill pasti memberikan pengalaman indah yang boleh menjadi bualan.
Genting Highlands: Bersantai di sempadan KL / Pahang
Untuk warga Kuala Lumpur yang tidak sempat bercuti panjang, Genting Highlands boleh menyejukkan kelelahan minda anda untuk hujung minggu nanti. 50km sahaja dari bandaraya, Genting Highlands lebih happening untuk anda luangkan bersama keluarga.
Menaiki kereta kabel yang pastinya satu pengalaman menarik buat anak kecil, suasana Genting Highlands yang sejuk secara alami membuatkan rasa meriah membuak-buak di dalam diri.
Kemeriahannya lebih terasa di Skytropolis Indoor Theme Park, The VOID Virtual Experience, SnowWorld, Ripley’s Believe It or Not Auditorium dan banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan.
Genting Premium Outlet yang menjual barang-barang berjenama dengan harga murah daripada biasa, menjadi terapi terindah bagi kaki shopping.
Bukit Tinggi: Untuk kaki selfie
Tempat peranginan yang berada tidak jauh dari Genting Highlands ini sesuai untuk mereka yang suka bergambar. Tempatnya yang sejuk dan segar, jelas terlihat di dalam foto yang diambil.
Juga dikenali dengan nama Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi mempunyai beberapa tarikan menarik. Mengadaptasi suasana kampung di Alsace, Perancis , anda pasti terpesona dengan suasana di Colmar Tropicale dan Chateau Spa Resort pasti . Puas berjalan-jalan di situ, boleh tukar mood suasana negara Matahari terbit di Japanase Village yang comel.
Bagi menceriakan anak-anak, aktiviti-aktiviti yang ada di Animal Park serta Horse Trail Riding akan memberi pengalaman menarik untuk mereka berkongsi cerita dengan rakan-rakan di sekolah.
Kunjungi keseluruhan tempat menarik di sini. Jemput baca artikel Bahasa Inggeris kami bertahuk things to do in Bukit Tinggi.
Gunung Kinabalu: Tawani puncak gunung tertinggi di Malaysia
Lengkapi senarai tempat sejuk yang harus anda terokai mercu kebanggaan Malaysia, Gunung Kinabalu. Gunung yang setinggi 4095m ini adalah gunung tertinggi di Malaysia.
Suhu yang sejuk di puncak bukit dan pemandangan sejauh mata memandang yang mengasyikkan menjadikan motivasi buat anda mendaki gunung ini. Puncak gunung ini dibaluti awan tebal yang membuatkan anda berasa di negeri kayangan.
Kaya dengan hidupan liar yang pelbagai, perjalanan mendaki Gunung Kinabalu memerlukan latihan berbulan-bulan dan stamina yang tinggi.
Buat anda, si pecinta alam dan pendaki tegar bukit dan gunung, tunggu apa lagi?
Kundasang: Nikmati pengalaman indah di sini
6km sebelum tiba di kaki Gunung Kinabalu, Kundasang menjanjikan keindahannya yang tersendiri buat anda. Tempias dengan cuaca sejuk dari Gunung Kinabalu, ia juga antara tempat sejuk yang boleh anda lawati, dan tidak memerlukan anda mendaki J .
Banyak aktiviti riadah yang boleh anda lakukan di sini. Rumah Terbalik Tamparuli, Kundasang War Memorial, Spa Ikan Sg Moroli, dan Chanteek Borneo Indigenous Museum antara tempat yang boleh anda lawati.
Bagi yang mahu bawa pulang sedikit cenderahati dari Sabah, Pasar Nabuli mungkin ada barangan yang sesuai.
Selain itu, singgah juga di Desa Dairy Farm, sebuah ladang lembu ternak yang menghasilkan 900,000 liter susu lembu setahun. Anda boleh mendapat pengalaman memerah susu lembu terus dari lembu-lembu ternak yang anda.
Serta jangan lupa, bila berada di tempat sejuk, rehat sebentar di kedai minum tempatan dan nikmati sepuasnya teh SabahTea yang datang dari Kundasang.
Jemput singgah ke tempat-tempat lain di Kundasang. Boleh ikuti tulisan kami dalam Bahasa Inggeris bertajuk things to do in Kundasang.
Bukit Larut: Rasai kedamaian seperti zaman kolonial
Bukit Larut atau juga dikenali dengan nama Maxwell Hill mempunyai tarikannya yang tersendiri bagi pelancong tempatan dan asing. Berada di ketinggian 1035m di atas paras laut, ia dibangunkan sebagai tempat istirehat zaman koloni British pada tahun 1884.
Suhunya sekitar 15⁰C hingga 25⁰C membuatkan diri rasa aman apabila berada di Bukit Larut. Hutan rimba yang masih belum tercemar dengan pembangunan memberi peluang untuk pengunjungnya melihat pelbagai keindahan alam semulajadi.
Usai menikmati kenyamanan Bukit Larut, bolehlah singgah jalan-jalan cari makan di bandar Taiping yang terletak hanya 10km dari Bukit Larut.
Jangan lupa kunjungi lain-lain tempat menarik di Taiping juga.
Gunung Jerai: Rasai kesejukan air terjun dirasai
Gunung lagenda yang menyimpan 1001 rahsia ini juga menjadi pilihan bagi mereka yang ingin ke tempat sejuk yang ada di Malaysia. Setinggi 1217m, Gunung Jerai yang terletak di antara Yan dan Kuala Kedah.
Ada banyak aktiviti riadah dan rekreasi yang boleh anda lakukan bersama keluarga tercinta di Gunung Jerai.
Di kaki gunung, Hutan Lipur Titi Hayun menjadi tumpuan penduduk tempatan menikmati air sejuk membeku yang tidak tercemar dari air terjun yang deras. Jika anda masih belum puas dengan kesegaran air terjun Titi Hayun, anda boleh meneruskan lagi perjalanan mencari air terjun Puteri Mandi.
Anda perlu menelusuri hutan dan mendaki bukit untuk sampai ke air terjun Puteri Mandi. Tetapi, percayalah, hilang segala kepenatan setelah anda menyaksikan sendiri indah ciptaan Tuhan.
Anda juga boleh memilih untuk berbasikal atau menerokai Gunung Jerai dengan cara trekking. Ramai juga pelajar-pelajar kolej serta pecinta alam yang datang ke Gunung Jerai untuk berkhemah semalam dua.
Kelabit Highlands: Nikmati keunikan kehidupan di perkampungan di sini
Terletak di antara Taman Negara Gunung Mulu dan sempadan Kalimantan, Kelabit Highlands antara harta berharga rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak.
Di sini menjadi rumah kediaman kepada 6500 penduduk berbangsa Kelabit dan Penan. Bangsa yang berani dan hebat membina kehidupan di pedalaman hutan serta masih mengekalkan keunikan dan tradisi bangsa mereka.
Anda pasti akan merasakan kelainannya bila berada di sini. Ditambahkan pula dengan cuaca persekitaran yang sejuk, kehidupan harian yang penuh tradisi serta keistimewaan rumah panjang yang masih kuat tali persaudaraannya hingga ke hari ini.
Akhir kata
Diharapkan perkongsian kali ini dapat membantu anda sedikit sebanyak membuat keputusan tentang lokasi percutian anda pada kali ini. Sebenarnya, ada banyak lagi rahsia alam yang ada di bumi Malaysia ini yang masih belum kita terokai.
Ayuh bersama-sama kita terokai dan hargai semua tempat-tempat menarik ini sebelum ianya dilenyapkan meninggalkan nama. Ciptalah kenangan yang indah bersama keluargaketika di sana.
Jika anda mahu ke tempat-tempat sejuk untuk tujuan berbulan maju, rujuk artikel tempat honeymoon di Malaysia.
Semoga bermanfaat.