Kalau pergi ke Langkawi, rugi kalau hanya fikir untuk shopping sahaja. Memang betul coklat dan minyak wangi memang murah kerana status pulau ini sebagai pulau bebas cukai. Tapi alangkah ruginya kalau tak ambil peluang untuk melawat tempat menarik di Langkawi.
Walau bagaimanapun, Langkawi hanya boleh dilawati oleh individu yang telah lengkap 2 dos vaksin Covid-19. Tak kiralah vaksin kayangan Pfizer, Astra Zeneca, Sinovac dan lain-lain, asalkan lengkap itu sudah memadai.
Pastinya akan penuh dengan warga Selangor dan Kuala Lumpur bermula 16 September 2021 ini.
Izinkan kami berkongsi.
Tempat menarik di Langkawi
Berikut beberapa lokasi yang kami cadangkan untuk anda lawati selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) nanti.
1. Sky Bridge
Di penghujung kereta kabel pula, terdapat sebuah jambatan sepanjang 410 kaki yang sudah semestinya memerlukan keberanian dan stamina untuk menyeberanginya. Bukan mudah untuk semua orang, tetapi amat berbaloi untuk menyeberanginya sekali seumur hidup.
Perjalanan menaiki kereta kabel akan membawa pelancong ke Sky Bridge Langkawi – antara tarikan “tertinggi” dengan ketinggian 2300 kaki dari paras laut. Dari puncak jambatan ini, anda dapat menikmati pemandangan hutan yang memukau berserta dengan air terjun Telaga Tujuh. Pasti akan membuat para pengunjung terpesona.
Salah satu tarikan bagi pencinta alam, jurugambar, dan peminat “adventure”. Di sini, pengunjung juga boleh membeli pelbagai jenis cenderamata di kiosk-kiosk di sekitar kawasan tersebut. Jadi, jika anda ke Langkawi, pastikan anda menjadikan SkyBridge sebagai destinasi wajib untuk dikunjungi.
Lokasi: Hentian akhir kereta kabel, Jalan Telaga Tujuh, Langkawi, Kedah.
Waktu lawatan: 10 pagi – 10 malam.
2. Skytrail Jungle Trekking
Bagi mereka yang menggemari aktiviti seperti, “jungle trekking” dan sebagainya, Skytrail Jungle trek seharusnya menjadi destinasi pilihan dimana anda boleh menikmati keindahan dunia flora dan fauna yang berusia lebih dari 500 tahun. Tahap kesukaran “trail” ini adalah pada tahap sederhana, jadi ia sangat sesuai bagi semua peringkat umur.
Perjalan ini akan membawa pengunjung melalui trek yang didiami oleh lebih dari 1500 spesis flora yang berbeza, ada diantaranya adalah tumbuhan yang hanya tumbuh di rantau ini; dan banyak juga tumbuhan yang digunakan dalam bidang perubatan tradisional. Anda juga boleh menggunakan khidmat “guide” atau pemandu arah untuk memastikan anda berada di laluan yang betul disamping itu, “guide” anda juga boleh memberikan penerangan menarik mengenai tumbuh-tumbuhan yang anda jumpa di sepanjang perjalan.
Lokasi: Oriental Village, Kedah.
Waktu lawatan: 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.
3. Skytrex Adventure
Dianggap sebagai taman pengembaraan hutan terbaik, Skytrex Adventures adalah tempat di mana setiap peminat aktiviti lasak harus kunjungi di Langkawi. Anda boleh terbang, meluncur, dan bahkan berayun! Di sini, pengunjung boleh mencuba aktiviti rentas halangan yang tergantung di atas hutan hujan Malaysia.
Aktiviti rekreasi di Skytrex dapat dinikmati oleh semua golongan umur; kerana semua aktiviti akan di lakukan di bawah pengawasan pakar dengan semua langkah keselamatan dijaga dengan baik. Syarikat ini mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab dan berusaha untuk memupuk kesedaran dan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta fungsi mereka.
Lokasi: Jalan Teluk Yu, Kampung Kok, Kedah.
Waktu lawatan: 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
4. Underwater World
Jika anda peminat hidupan dasar laut, anda pasti teruja dengan Underwater World Langkawi. Terdapat lebih daripada 500 spesies hidupan laut dipamerkan di sini termasuk ikan jerung, ikan pari dan banyak lagi.
5. Air Terjun Telaga Tujuh
Bagi penggemar alam semula jadi, pastikan anda mengunjungi Air Terjun Telaga Tujuh yang merupakan tempat terbaik untuk berkelah di Langkawi. Ia merupakan tujuh kolam yang terpisah oleh air terjun.
6. Makam Mahsuri
Siapa yang tidak tahu akan Legenda Mahsuri dan sumpahannya? Di sinilah terletaknya tempat persemadian Mahsuri yang kekal terjaga kebersihannya dan dijaga rapi sehingga ke hari ini.
7. Langkawi Bird Paradise & Wildlife Park
Penggemar haiwan dan burung pula boleh ke Langkawi Bird Paradise dan Wildlife Park untuk melihat lebih daripada 2,500 jenis burung yang asyik berkicau sambil menantikan kehadiran pengunjung.
Jika anda ingin bersantai bersama keluarga, anda boleh membawa mereka ke Taman Burung dan Hidupan Liar Langkawi, dimana anda boleh berjumpa dengan burung-burung unik di sepanjang perjalanan.
Untuk melihat lebih dekat, pelancong boleh mengunjungi sangkar bertutup yang besar dimana pelbagai lagi spesis ini dapat merentangkan sayap mereka dan menawarkan peluang untuk interaksi yang lebih dekat.
Taman ini menawarkan perkhidmatan panduan yang dapat digunakan oleh pelancong untuk lebih memahami hidupan liar dan haiwan lain. Anda boleh mempelajari cara hidup, kepelbagaian corak, dan lain-lain di taman ini. Selain itu, pelancong juga boleh mendapatkan makanan haiwan berkenaan dan memberi mereka makan!
Anak-anak boleh memperlihatkan rasa sayang mereka dengan membelai arnab dan memberi makan kepada burung, landak dan keldai yang dijaga di sini.
Lokasi: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah, Kedah.
Waktu lawatan: 9:30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.
8. Langkawi Arts in Paradise 3D Museum
Terkenal sebagai muzium seni 3D terbesar di Malaysia, dan yang kedua terbesar di dunia – anda hanya perlu memandu 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Muzium ini mempamerkan lebih dari 200 karya seni yang memastikan para pengunjung berasa kagum dengan keindahan mereka.
Muzium ini dibahagikan kepada 9 zon interaktif yang menjadi tuan rumah bagi karya seni yang indah oleh para seniman dari seluruh dunia; terutamanya kerjasama bersama 23 terkemuka dari Korea terkemuka dengan artis tempatan di rantau ini. Muzium ini sememangnya merupakan platform yang baik untuk seniman, peserta pameran dan pencinta seni dan boleh dianggap sebagai salah satu tarikan terbaik di Langkawi untuk peminat seni.
Lokasi: Oriental Village, Jalan Telaga Tujuh, Kedah.
Waktu lawatan: 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Bayaran masuk: Bukan warganegara – RM 38 untuk orang dewasa.
9. Pasar Malam Hari Jumaat Ayer Hangat
Pasar malam ini merupakan salah satu daripada tempat pelancongan popular Langkawi, sangat sesuai untuk bersantai bersama keluarga tersayang. Penduduk tempatan yang ramah menjual pelbagai barang seperti pakaian, cenderamata dan pelbagai jenis makanan dengan harga yang sangat berpatutan.
Ia diadakan setiap minggu setiap hari Jumaat dan menjadi pilihan banyak pelancong yang mengunjunginya dari seluruh dunia. Gerai yang berwarna-warni menjadikan suasana yang meriah menjadikan lokasi ini idea yang bagus untuk berjalan-jalan, jika tidak untuk membeli-belah.
Lokasi: Padang Lalang di Air Hangat.
Waktu lawatan: Setiap Jumaat – 6:30 petang hingga 10 malam.
10. Dek Matahari Terbenam
Dek matahari terbenam adalah tempat pesta yang dinamik; menyajikan koktel, dan minuman keras yang terbaik, menarik dan mewah. Terletak di resort Bon Ton dan mempunyai ruang tempat duduk terbuka yang besar untuk pengunjung. Kawasan tempat duduk terdiri daripada pelantar kayu yang kelihatan sangat menarik.
Melengkapi landskap ini adalah pokok kelapa sawit dan kelapa di sekitarnya yang menjadikan latar belakang begitu indah. Seperti namanya, dek terbuka untuk pemandangan matahari terbenam yang terbaik dan menawarkan privasi bagi para tetamu yang mencari suasana yang damai dan berkualiti dengan orang yang disayangi.
Lokasi: Bon Ton Resort, Pantai Cenang.
Waktu lawatan: 5 petang hingga 2 pagi setiap hari.
11. Taman Marin Pulau Payar
Jika anda gemarkan aktiviti snorkel atau menyelam, di sinilah pusat utamanya. Tetapi jika anda tidak mahu mengikuti aktiviti ini, disediakan sebuah observatori untuk anda melihat keindahan dasar laut dan hidupan di dalamnya.
12. Taman Buaya
Pernahkah melihat pertarungan tinju di antara manusia dan buaya? Ya, di sinilah tempat untuk anda menyaksikannya!
13. Taman Agro Mardi
Bagi yang ingin merasai keenakan buah-buahan yang ditanam di Mardi Langkawi, bolehlah singgah di sini. Dengan menaiki van yang disediakan, anda dibawa mengelilingi sambil melihat dan merasai lebih daripada 20 jenis buah-buahan secara percuma.
14. Kilim Geoforest Park
Jangan lepaskan peluang menyusuri Sungai Kilim jika anda di Langkawi.
Sepanjang perjalanan dalam bot, anda boleh melihat pelbagai spesies pokok bakau yang mencecah ratusan ribu tahun dan struktur batuan batu kapur yang melangkaui usia jutaan tahun.
Anda juga boleh melawat kawasan penternakan ikan dalam sangkar.
15. Dataran Lang
Kalau datang naik kapal terbang, ini lokasi wajib untuk anda. Kalau naik feri, pasti akan bertemu Dataran Lang dahulu.
Replika burung helang setinggi 12 meter di Dataran Lang yang menjadi simbol kemegahan Pulau Langkawi.
Di sini juga terdapat air pancut dan panorama di Jeti Kuah yang memukau terutamanya pada waktu malam.
16. Kereta Kabel Langkawi
Tidak sah melawat Pulau Langkawi tanpa menaiki kereta kabel. Ia akan membawa anda ke puncak Gunung Mat Cincang setinggi 708 meter dalam masa 15 minit sahaja.
Rasai kesejukan di atas puncak serta pemandangan nan menghijau sambil mengambil gambar di balai cerap.
Kereta kabel Langkawi juga dikenali sebagai Sky Cab yang dikatakan merupakan perjalanan kereta kabel paling curam di dunia; boleh membawa pengunjung pada ketinggian 708 meter di atas paras laut. Kereta kabel akan membawa penumpang ke Gunung Mat Cincang – puncak kedua tertinggi di Langkawi, menjadikan ia antara lokasi yang wajib dikunjungi di Langkawi.
Semasa berkunjung ke sini, pelancong disarankan membawa jaket atau memakai pakaian yang tebal kerana ketinggiannya mengundang angin yang agak sejuk. Pemandangan dari puncak ini pastinya memukau dan menjadikan perjalanan ini sangat berharga dan tidak dapat dilupakan.
Lokasi: Jalan Telaga Tujuh, Kedah.
Waktu lawatan: 9:30 pagi to 7 petang setiap hari.
17. Island hopping
Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar, Pulau Beras Basah
Jika anda masih belum dikurniakan cahaya mata, bolehlah berkunjung ke Pulau Dayang Bunting dan mandi di dalam tasik tersebut.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan sewaktu Island Hopping adalah memberi makan burung helang, salah satu aktiviti yang ditawarkan dalam hampir kesemua pakej lawatan.
Akhir kata
Tunggu apa lagi? Mula merancang percutian anda ke Langkawi segera! Diharapkan agar perkongsian tempat menarik di Langkawi ini akan memberikan anda pengalaman berharga bersama keluarga.
Pastikan anda merancang perjalanan lebih awal sebelum mengunjungi tempat menarik di Pulau Langkawi ini. Kenapa? Ini adalah mengelakkan kekecewaan apabila tempat yang anda ingin kunjungi telah penuh!
Apa-apa pun, harap-harap kes Covid-19 semakin berkurangan. Barulah rasa selesa untuk melancong dalam negeri tanpa rasa risau akan kesihatan diri sendiri dan keluarga. Teruskan menjaga SOP
Semoga kita sama-sama dapat rancakkan lagi ekonomi masyarakat tempatan dan menaikkan semula pelancongan domestik Malaysia.
Semoga bermanfaat.