Pernahkah anda mendengar mengenai masalah kerap kencing? Jika anda pernah mendengar mengenainya atau mungkin anda sendiri sedang mengalami masalah ini, terutama sekali jika ternampak tanda tanda awal mengandung, maka tepatlah pilihan anda untuk memilih membaca perkongsian artikel kami ini.
Seperti perkongsian BabyCenter, masalah kerap kencing atau dikenali sebagai ‘Urinary Frequency’ adalah satu keadaan yang sering dialami oleh masyarakat umum, terutama sekali bagi ibu mengandung. Seseorang individu berkemungkinan untuk melalui permasalahan ini paling tidak, sekali seumur hidup.
Masalah kerap kencing
Apa yang dikatakan sebagai kerap kencing? Anda akan dianggap mempunyai masalah kerap kencing jika anda berdepan situasi kencing yang kerap apabila perlu membuang air kencing lebih daripada 6 kali sehari dan perlu bangun daripada tidur melebihi 2 kali untuk membuang air. Keadaan ini berlaku apabila badan anda menghasilkan jumlah air kencing lebih banyak daripada biasa.
Kebiasaannya dalam sehari, seorang individu yang berada dalam keadaan sihat dan normal akan menghasilkan air kencing antara 1 hingga 2 liter. Tetapi keadaan ini berbeza bagi individu yang berdepan dengan isu kerap kencing di mana buah pinggang mereka akan menghasilkan air kencing lebih daripada 3 liter sehari.
Punca kerap kencing
Apakah punca dan penyebab masalah kerap kencing ini? Antara beberapa keadaan yang boleh menyebabkan wujudnya permasalahan ini, adalah seperti:
Kencing Manis
Mengalami masalah kencing yang kerap di dalam kuantiti yang besar pada kebiasaannya merupakan simptom awal bagi penyakit kencing manis atau lebih dikenali sebagai diabetes, iaitu diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2.
Keadaan ini boleh berlaku kerana badan anda sedang berusaha untuk membuang glukosa yang berlebihan melalui air kencing.
Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekaligus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut.
Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam.
Mengandung
Perkembangan janin dalam perut yang semakin membesar pastinya akan memberikan tekanan kepada pundi kencing.
Peningkatan tekanan ini pastinya akan menyebabkan seseorang individu wanita hamil akan mengalami masalah kekerapan kencing lebih kerap daripada biasa.
Masalah prostat (lelaki sahaja)
Keadaan prostat yang membengkak pastinya akan memberikan tekanan kepada uretra iaitu tiub yang akan menyalurkan air kencing untuk keluar daripada pundi kencing, dan ia akan menghalang aliran keluar air kencing lantas menyebabkan dinding pundi kencing menjadi rengsa dan tidak selesa.
Ketidakselesaan ini akan menyebabkan pundi kencing mula mengecut walaupun ia mengandungi sedikit sahaja air kencing dan akan menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air kencing dengan lebih kerap.
Diuretik
Penggunaan ubatan diuretik adalah ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Apabila seseorang individu mengambil ubatan ini, ia akan menggalakkan pengeluaran cecair daripada badan dan menyebabkan seseorang individu itu untuk kerap membuang air kecil.
Interstitial Cystitis
Ia adalah satu masalah kesihatan kencing yang kronik. Individu yang menghidapi masalah ini akan berasa sakit dan tekanan di kawasan pundi kencing.
Masalah kesihatan ini sukar untuk didiagnosis.
Walaupun terdapat rawatan yang boleh dilakukan untuk menjadikan keadaan kesihatan ini lebih baik, tetapi tidak terdapat sebarang kaedah atau cara yang boleh menyembuhkan masalah ini secara keseluruhan.
Beberapa simptom yang boleh dialami individu dengan masalah kesihatan ini adalah keinginan untuk membuang air kencing yang kerap.
Minum banyak
Antara punca paling biasa yang menyebabkan anda kerap kencing adalah kerana anda minum dalam kuantiti yang banyak daripada biasa berbanding keperluan badan.
Pemanis tiruan, kafein
Pengambilan minuman yang beralkohol dan kafein turut akan memberikan kesan seperti pengambilan ubatan diuretik yang akan menyebabkan seseorang individu itu kencing dengan lebih kerap.
Minuman berkarbonat, pemanis buatan dan buah-buahan sitrus turut dipercayai akan memberikan kerengsaan kepada pundi kencing yang akhirnya akan mengakibatkan seseorang individu itu kencing dengan lebih kerap.
Overactive Bladder (OAB)
Kerap kencing juga mungkin disebabkan oleh masalah pundi kencing aktif atau OAB.
Individu dengan masalah ini akan menerima rangsangan daripada pundi kencing terlalu cepat walaupun pundi kencing masih tidak penuh.
Pundi kencingnya akan mengecut secara tidak sedar dan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa amaran. Ini menyebabkan pesakit kerap kencing.
Untuk masalah yang lebih kronik, terdapat juga individu yang mengalami ketirisan air kencing di luar kawalan dan terpaksa memakai pad atau lampin.
Cara mengatasi kerap kencing
Berikut adalah beberapa cara rawatan bagi mengatasi masalah kerap kencing ini, antaranya seperti:
Ubah gaya pemakanan
Lakukan perubahan dalam diet pemakanan anda dan hindari makanan yang berisiko untuk mengganggu pundi kencing atau bertindak sebagai diuretik seperti kurangkan mengambil dan memakan oren, tomato dan makanan berasid tinggi.
Dalam masa yang sama elakkan mengambil kafein, alkohol dan minuman berkarbonat yang terlalu banyak.
Latihan pundi kencing, senaman kegel
Membuat latihan pundi kencing dan senaman kegel, satu amalan senaman yang berkesan untuk membuat faraj lebih ketat.
Melakukan senaman ini akan membantu menguatkan otot-otot di sekeliling pundi kencing dan uretra. Ia dapat membantu meningkatkan kawalan pundi kencing, mengurangkan kekerapan untuk kencing dan mengurangkan rasa ingin kencing.
Lakukan senaman ini selama 3 kali sehari untuk selama 5 minit bagi setiap sesi.
Mengawal pengambilan cecair
Kerap kencing selalunya berkaitan dengan jumlah cecair yang anda ambil dalam sehari.
Walaupun pengambilan air yang mencukupi penting untuk memastikan badan dapat berfungsi dengan baik dan menghindari masalah dehidrasi, tetapi pengambilan secara berlebihan boleh menjadi antara punca masalah kerap kencing ini.
Pembedahan
Untuk merawat masalah ini, terdapat beberapa jenis pilihan pembedahan.
Pembedahan yang paling kurang invasif adalah melibatkan suntikan implan ke dalam saraf kecil di bawah kulit. Ia berfungsi untuk memanipulasi rangsangan saraf yang mengawal lantai punggung yang terlibat dalam proses pengeluaran air kencing.
Suntikan botox
Merupakan pilihan terakhir bagi pesakit yang tidak dapat memberikan tindak balas terhadap rawatan seperti perubahan gaya hidup mahupun ubat-ubatan.
Botox akan disuntik ke dalam otot pundi kencing dan ia akan menyebabkan otot berehat dan meningkatkan kapasiti penyimpanan air kencing.
Masalah ketika hamil dan selepas bersalin?
Seperti yang dikatakan di atas kekerapan membuang air kencing yang kerap boleh menjadi salah satu tanda-tanda hamil.
Ia berlaku disebabkan tekanan daripada rahim yang membesar dan menekan pundi kencing anda serta perubahan hormon yang meningkatkan peredaran darah ke pelvis.
Tetapi seandainya kekerapan untuk kencing ini disertai dengan rasa sakit, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan, kerana ia boleh menjadi simptom jangkitan saluran kencing (urinary tract infection,UTI).
Jangkitan saluran kencing adalah di antara penyebab utama yang menyebabkan kencing menjadi kerap. Ia berlaku apabila bakteria memasuki pundi kencing melalui uretra, iaitu saluran yang menyalurkan air kencing dari pundi kencing ke luar badan semasa proses kencing.
Dianggarkan bahawa 50 hingga 60 peratus individu wanita akan mengalami sekurang-kurangnya satu jangkitan UTI seumur hidup mereka.
Bagaimana pula jika anda kerap kencing selepas bersalin?
Bukan semua wanita selepas bersalin akan mengalami inkontinens urin iaitu suatu keadaan di mana anda tidak dapat mengawal air kencing, terutama semasa bersin, batuk, ketawa, melompat, mengangkat benda berat, atau lain-lain pergerakan yang meletakkan tekanan pada pundi kencing anda.
Keadaan ini lebih kerap terjadi kepada wanita yang bersalin secara normal berbanding kaedah ceaseran.
Untuk merawat masalah ini, terdapat beberapa kaedah rawatan yang boleh dilakukan, seperti:
- Senaman kegel
- Menggunakan pad atau lampin untuk membantu menyerap air kencing dan melindungi seluar daripada kebocoran
- Silangkan kaki dan ketatkan otot pelvik apabila mahu bersin, batuk atau ketawa
- Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan minuman ringan
- Kurangkan mengambil dan memakan oren, tomato dan makanan berasid tinggi
Akhir kalam
Jangan pula anda menganggap tabiat kerap kencing ini adalah satu perkara remeh kerana ia boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti penyakit diabetes serta boleh mengakibatkan kesan dehidrasi yang teruk.
Malah jika ia tidak dirawat, terdapat kecenderungan risiko mendapat masalah gangguan fungsi buah pinggang.
Cuba amalkan diet yang seimbang dan gaya hidup yang sihat untuk membantu mengawal kadar penghasilan air kencing.
Semoga bermanfaat.